Sunday, January 1, 2012

Bersabarlah seketika...

“krek...”

Bunyi pintu farmasi (tempatku bekerja sambilan dahulu) ditolak orang menarik perhatian kami bertiga (aku, bosku, dan rakan sekerjaku). Seorang lelaki tua berusia dalam lingkungan 50-an melangkah masuk perlahan-lahan sambil memberikan salam kepada sekalian penghuni Farmasi.

“Walaikumsalam w.b.t…” kami berdua (aku dan bosku) menjawab serentak.

Aku berpaling kepada teman sekerjaku yang beragama kristian katolik. Kulihat, dia sekadar melemparkan senyuman penuh keikhlasan sebagai tanda menyambut kedatangan pelanggan ini.

“Iya, pak cik..sakit apa?”

Kedengaran suara bosku bertanya.

Dengan lembut dan senyuman yang tidak pernah lekang di bibirnya, aku melihat kakak pharmacist yang juga bosku tidak kekok melayan karenah pak cik itu. Sebelum memberikan sesuatu ubat, bosku akan bertanya maklumat-maklumat yang perlu. Ini bagi memudahkan beliau mendiagnosis dan menganalisis penyakit yang dihadapi oleh setiap pelanggan yang datang agar ubat yang diberikan adalah yang paling terbaik dan paling bersesuaian.

“Lain penyakit, lain ubatnya utie (nama panggilanku bekerja di situ). Iya, memang betul kalau sakit kita kena makan antibiotik, tapi bukan bermakna kita kena terus makan bila sakit. Inilah yang selalu orang awam salah faham. Kadang-kadang, geram juga bila kakak cakap tidak payah makan antibiotik sebab belum masanya, dorang berkeras dengan alasan “antibiotik bagus, bunuh kuman dalam badan”

Aku masih mengingati penjelasannya apabila ada pelanggan yang kelihatan tidak berpuas hati dengan nasihat yang diberikan oleh bosku ini.

“Memanglah antibiotik bunuh kuman, tapi ianya hanya boleh diberi apabila pesakit menghidapi penyakit sehingga tiga hari ke atas. Kalau boleh, biar badan kita lawan penyakit tersebut dahulu sebab badan kita memang ada sistem keimunan tersendiri. Kalau sakit sikit, makan antibiotik, sakit sikit, makan antibiotik....Hah, lama-lama...kita akan bergantung dengan ubat seumur hidup. Kesan jangka panjang, badan kita akan lemah” tegasnya.

Aku mendengar sambil mengangguk-anggukkan kepalaku. Pengetahuan sedia adaku ketika mempelajari subjek Biologi dahulu memudahkan maklumat itu kuterima dan kufahami. Aku memahami jiwa bosku yang berniaga bukan kerana keuntungan semata-mata tapi lebih kepada memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah. Beliau banyak menerangkan untuk memberikan kefahaman kepada setiap pelanggan yang datang. Baginya, berniaga ini adalah ibadah. Adakalanya, sunnah Rasulullah juga diselitkan.

Beliau amat berhati-hati dalam pemilihan ubat dan tidak tergesa-gesa dalam setiap tindakannya. Walaupun mungkin ada yang tidak menyenangi sikap mengambil berat bosku ini, namun beliau tetap dengan caranya. Lembut tapi tegas. Bertanya, tapi semuanya bersebab.

Dua hari kemudian, pak cik yang sama itu datang lagi dengan muka yang berseri-seri.

“Alhamdulillah, nak..bagus ubat kamu” katanya.

“Astagfirullah, pak cik..sebenarnya ubat yang saya berikan itu sama sahaja dengan ubat di mana-manapun, yang menyembuhkan sakit pak cik itu Allah s.w.t …’ kakak itu memperbetulkan persepsi pak cik tersebut.

Kulihat pak cik itu tetap menerima nasihat bosku sambil mengangguk-angguk, tanda membenarkan kata-kata bosku ini.

Ingatlah pertanyaan Nabi Khidr kepada Nabi Musa A.S dalam surah al-Kahfi,

“Musa berkata kepadanya, “Bolehkah aku mengikutimu agar engkau mengajarkan kepadaku (ilmu yang benar) yang telah diajarkan kepadmu (untuk menjadi) petunjuk?. Dia menjawab, “Sungguh, engkau tidak akan sanggup sabar bersamaku. Dan bagaimana engkau akan dapat bersabar atas sesuatu, sedang engkau belum mempunyai pengetahuan yang cukup tentang hal itu?”

( Surah Al-Kahf, 19:ayat 66-68)

Hanya dengan kesabaran, seorang ibu dan seorang ayah mampu berdepan dengan karenah anak-anaknya yang belum mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai setiap detik kehidupan. Kerana ibu dan ayah telah mempunyai pengetahuan mengenai "tabiat" semulajadi seorang anak...

Hanya dengan kesabaran, seorang guru mampu berdepan dengan ketidaktahuan anak-anak muridnya yang akan selalu berbuat salah. Kerana seorang guru itu telahpun mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai hal itu...

Hanya dengan kesabaran, seorang sahabat mampu menahan segala karenah sahabatnya kerana mengerti sahabatnya juga seorang manusia biasa yang melengkapi dirinya. Kerana sahabat itu telah pun mempunyai pengetahuan mengenai sunnatullah dan syariatullah yang harus dimulai dengan rasa kasih dan rasa sayang yang setulusnya...

Hanya dengan kesabaran...

Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan (solat) itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk”

(Surah Al-Baqarah,2 : ayat 45)

Pesanan penaja: Kembalilah pada fitrahmu. Akhirat itu benar, syurga itu benar, neraka itu benar. Yakinlah akan pertemuan dengan tuhanmu...

1 comment:

CHE ROSSLI said...

Jom kita ambil cakna pasal mahasiswa pula di sini:
Masa untuk Perubahan