Friday, May 24, 2013

Cerita nasyid Jiwang

Dengarkanlah...


"Eh, kak su mana dengar lagu-lagu (hard-core) macam tu.."bicara seorang rakan sekelasku. 

Keningku terangkat. Serta-merta hati berbicara...

"Linkin Park, Hoobastank, Hillary Duff, Jamelia, James Morrison, Jordin Sparks, Plain White, Vitamin C, Simple Plan,.."

Itulah nama-nama penyanyi lagu yang menjadi halwa telingaku suatu ketika dahulu.

"Nak perbaiki Bahasa Inggeris..."

"Punyai makna yang tersendiri untuk difikirkan..."

Itu sebahagian daripada sebab-musababnya..

Namun, pada tahun 2010, seorang sahabatku, telah memperkenalkan aku dengan seseorang...

"Maher Zain..."

Berkali-kali mendengar lagunya menenangkan..Menghayati bait-baitnya membuatkan aku semakin yakin. Andai Allah menjadi tujuan, Allah akan membentangkan seribu satu jalan...Asalkan Segalanya bermula dan berputar pada CINTA ALLAH...

Perlahan-lahan dan sedikit demi sedikit aku mulai menyedari...

Pendengaran ini mempunyai hubungan dengan hati dan pemikiran...

Benarlah kalamnya...Allah telah menciptakan pendengaran  pertama sekali sebelum hati dan penglihatan...pasti ada hikmahnya..

Ketika itulah, abangku menghadiahkan sebuah CD berupa bacaan Syeikh Masyari Al-Afasi....

Allah, sejuk hati mendengarnya..

Apa yang pasti, semakin didengar, semakin suka. Berbeza dengan kesemua lagu-lagu yang hanya bertahan untuk tempoh seketika cuma.

Kemudian, aku mulai membuat perkaitan antara lagu-lagu dan keperibadian yang dibentuk...

Benar, muzik yang keras membentuk jiwa yang suka memberontak. Muzik yang lembut membentuk jiwa yang halus...Namun, antara kesemua itu, berbalik kepada tujuan penciptaannya dan seberapa banyak perkara tersebut mendekatkan kita kepada Allah...

Teringat sebuah perkongsian,

"Apabila kita mendengar bunyi-bunyian alam, hati akan tenangkan? Sebab, kesemua bunyian itu memuji Allah...Kesemua bunyian tersebut adalah bunyi tasbih memuji Allah. Cuma kita tidak faham. Tapi, hati kita faham..."Apa-apa perkara yang mendekatkan kita kepada Allah akan menyebabkan hati akan tenang.."

Kepala mengangguk. Hati mengiyakan...

"Hanya dengan mengingati Allah, Hati akan tenang..."

"Setiap makhluk telah diajarkan Allah akan tasbih masing-masing"

Kesimpulannya

Aku menyetujui pendapat yang dikeluarkan Ust. Hasrizal Abd. Jamil berkaitan dengan lagu-lagu Nasyid pada masa kini yang kian hilang arah. Kembalilah kepada tujuannya...Membawa orang kepada Allah. Bukan untuk mengajar akan cinta yang mengkhayalkan...Bernasyidlah, berqasidahlah...tapi, jangan lupa kalam pertama yang diturunkan adalah "IQRA"...maka, bacalah. Belajarlah. Sebelum kefahaman tiba, tempuhilah segalanya.Sesungguhnya, golongan yang paling takut kepada Allah adalah para ulama..kerana mereka mengetahui...

P/S: Mood lagu "Aku Seorang Umar" dan "Sumayyah".. Penulis tidak berniat untuk menyinggung mana-mana pihak. Hanya cetusan idea...

Thursday, May 16, 2013

Kerana kita dari diri yang satu..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Ikatlah nikmat  yang diberikan Allah dengan kesyukuran

"Apa pandangan kamu tentang perubahan yang berlaku ni?" sebuah mesej kuterima.

Aku tidak membalasnya kerana tidak tahu bagaimana hendak menjelaskannya. 

Entah angin apa yang menerpa, pergolakan dalam dunia kampus membuatkan aku berfikir panjang. Aku menjadi hairan dengan beberapa perkara yang tidak kuketahui hujung pangkalnya atau bagaimana ianya bermula. Namun, apabila beberapa wajah yang dekat di hati semakin kelam dan memilih untuk menjauhkan diri daripada gerakan untuk mengislahkan Umat, aku memilih untuk membawa kita sama-sama merenungkan apa yang telah berlaku...

Di ruangan ini, izinkan aku, duhai sahabat-sahabat sekalian untuk membuka sebuah kisah yang mungkin telah menjadi sejarah dan mungkin juga sudah dilupakan. Namun, buat yang telah melaluinya, ianya merupakan kenangan yang perlu untuk kita ceritakan buat peringatan adik-adik yang akan mewarisi rantaian dakwah ini. 

Hikmah itu mungkin berbeza sebelum dan semasa kita melalui, dan pastinya berubah lagi setelah kita melaluinya. Malah, terus berubah apabila ilmu dan pengalaman yang kita perolehi kian bertambah. Namun, jangan lupa, pentafsiran kita amat bergantung pada bagaimana kita melihatnya bukan pada peristiwa yang kita lalui.

Ingatkah lagi duhai sahabat, segala kisah suka dan duka dalam memperjuangkan Islam di bumi keningau ini? Dalam keadaan yang serba kekurangan, kita bersama-sama menampung dan saling menyokong. Tidak ada istilah tugas aku-tugas aku, tugas kamu-tugas kamu. 

"Alhamdulillah, walaupun kita sibuk, tetapi Allah mempermudahkan kita. Assignment saya dapat siap walaupun masa amat suntuk" kata si A

"Alhamdulillah, mulanya banyak sangat halangan, itu tiada..ini tiada. Itu kurang, ini kurang. Tapi, dengan sokongan dan pertolongan sahabat-sahabat semua, kesemua itu kita mampu diatasi. Hasilnya, seperti yang kita dapat lihat..." kata si B

Itulah antara lontaran kata-kata semasa sesi post-mortem.

Ketika itu, hadis Rasulullah Sallahu alaih Wasalam amat dekat di hati bahawa golongan yang benar akan menjadi golongan yang asing. Ayat-ayat Allah menjadi penguat semangat.

"Alhamdulillah, walaupun kerja ni saya tidak tahu buat, tapi mungkin Allah nak ajar sesuatu...banyak perkara yang tidak sangka terjadi" kata si C

"Mungkin benda ni remeh, tapi, dari program ni lah saya banyak belajar dan terdetik untuk berubah" Kata si D

Kata-kata yang tidak mungkin akan aku lupa kerana aku mengetahui bagaimana keadaan si penutur.

Namun, dengan berlalunya masa, kita terlupa bahawa jarum syaitan itu amat licik...

Musuh kita mengetahui dimana titik kekuatan dan  kelemahan kita. Kesemua kita diuji. Tidak perlu aku nyatakan apakah bentuk ujian yang terbentang buat kita. Cukuplah Allah menjadi saksi atas segala dosa-dosa kita.

Namun, sahabat. Adakah dosa kita itu menjadi penyebab buat kita menarik diri dari medan perjuangan ini?

Jangan kerana marahkan seekor nyamuk, kelambu kita bakar...

Tidak semua air itu sama. Ada air mutlak yang suci dan menyucikan. Ada juga air mustamal, yang suci tetapi tidak menyucikan. Ada juga air yang dahulunya suci dan mneyucikan namun kemudian menjadi kotor apabila bercampur dengan air longkang. Tapi, kemudiannya, ada yang bernasib baik kerana menemui aliran sehingga ke sungai dan "dikutip" oleh mesin di loji pembersihan air. Lalu, kembalilah ianya menjadi air mutlak. Namun, ketahuilah bahawa air mutlak yang kedua ini mempunyai kisahnya.

Itulah tamsilannya kita semua.
Ada yang berhempas pulas untuk keluar dari tarikan lumpur dosa. Namun, apa yang kita berikan? Kita tolak dia ketika dia ingin menyumbang kerana tidak memahami batas-batas. Andainya itulah kekuatannya yang terakhir, adakah dia masih akan bangun? Fikirkanlah...

"Bahasa dakwah adalah bahasa kehidupan"..bagaimana kau ingin berdakwah andai kau tidak mengerti dan memahami bahasa kehidupan ini? Dakwah tidak memerlukan insan yang hebat serba-serbi tetapi cukuplah yang mengerti bahawa dakwah ini perlu diperhebatkan serba-serbi.

Berfikirlah sebelum bertindak. Bukan setakat mengenai diri kita tapi berfikirlah juga dari situasi orang lain. Dengarlah cerita kehidupan dari orang yang jauh dari Allah agar kita mensyukuri kehidupan kita yang didekatkan Allah. Sesungguhnya Allah menciptakan manusia untuk saling berkenal-kenalan...

Ayuh, sahabat. Bangkitlah!Allah tidak akan mengubah nasib kita melainkan kita sendiri yang mengubahnya...