Saturday, January 7, 2012

Ibrah dari Sebuah Cerita: Bersyukurlah sahabatku...

Pada suatu hari, matahari bersinar dengan terangnya, seorang ayah berkata pada anaknya...

"Anakku, hari ini ayah ingin menunjukkan padamu sesuatu" kata si ayah.

"Kita hendak ke mana ayah?"si anak bertanya.

Namun, si ayah tidak membalas pertanyaan si anak itu.

Rupa-rupanya si ayah membawa anak kesayangannya ke sebuah perkampungan "orang-orang miskin" di hujung negeri ntah-berantah. Apabila sampai di tempat tersebut, si ayah menyuruh anaknya memerhati sekeliling dan membandingkan dengan kehidupan mereka. Si anak yang memang telah mendapat pendidikan agama yang mencukupi, menurut perintah ayahnya dengan patuh sekali.

"Apa yang kamu dapat hari ini anakku?" tanya si ayah.

"Kita harus sentiasa bersyukur dengan nikmat yang kita ada" kata si anak menyimpulkan.

Si ayah tersenyum. Merasa bangga dengan kekayaan yang mereka miliki sambil berkata,

"Jadi, kamu harus menjaga harta kita dengan sebaik-baiknya dan bukan mempersia-siakannya" tukas si ayah.

Lama anak tersebut diam. Seketika kemudian, dia memandang ayahnya dan mengeluarkan ayat yang tidak pernah terfikir di benak si ayah.

"Ayah, kita mempunyai sebuah kolam renang yang hanya kita boleh menggunakannya, tapi di sini, air sungai tebentang luas dan dikongsikan, dijaga dan menjadi sumber kegembiraan bagi mereka semua."

Si ayah terdiam. Tujuannya membawa anaknya agar anaknya merasa bangga dan bersyukur kerana dilahirkan sebagai anak "seorang-kaya", tapi sebaliknya pula yang berlaku. Kemudian, anak itu bersuara lagi.

"Ayah, kita mempunyai satu ladang di belakang rumah kita, tapi mereka mempunyai ladang, gunung-ganang dan hutan rimba yang saujana mata memandang."

"Ayah, Kita mempunyai sebuah rumah yang dilengkapi dengan pagar yang tinggi dan beberapa orang pengawal. Tapi, mereka tidak memerlukan semua itu kerana mereka mempunyai sahabat-sahabat yang ramai yang saling melindungi antara satu sama lain"

MasyaAllah. Aku tidak mengetahui bagaimana perasaan si ayah. Tapi, yang pastinya, perasaan kita pasti tersentuh. Betapa indahnya pandangan si anak yang tidak mendefinisikan kaya = bahagia dan miskin = sengsara.

Itulah yang dinamakan, "beauty in the eyes of beholder".

Sesuatu yang tidak bernilai pada pandangan orang lain, mungkin punyai nilai yang amat berharga pada pandangan orang lain pula.

"Kita seringkali melihat pada nikmat yang orang lain dapat tapi melupakan nikmat yang kita dapat. Bukankah Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita?" Kata sahabatku.

Melihat jawapan si anak, ianya hanya akan mampu diucapkan yang lahir dari sekeping hati yang sentiasa melihat keindahan di sebalik sebuah kekurangan.

Bagitulah juga dalam kehidupan ini. Seringkali, kita membandingkan kehidupan kita dengan orang lain. Andai dengan membandingkan itu akan menerbitkan perasaan SYUKUR, tidak mengapa. Tapi, yang parahnya, apabila kita merasakan "pelangi kebahagiaan" itu selama-lamanya di atas kepala orang lain dan kita menjadi manusia yang tidak tahu bersyukur. Naudzubillah min Zallik.

Sedangkan, ALLAH YANG MAHA MENGETAHUI itu telah berpesan yang dirakamkan dalam kisah Luqmanul hakim,

"Dan sungguh, telah kami berikan hikmah kepada Lukman, iaitu "Bersyukurlah kepada ALLAH! Dan barangsiapa bersyukur (kepada ALLAH), maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri, dan barangsiapa tidak bersyukur (kufur), maka sesuangguhnya Allah Maha Kaya, Maha Terpuji".
( Surah LuQman: Ayat 12)

Iya, seandainya kita bersyukur, kita tidak akan resah dengan sesuatu kekurangan, kerana belum tentu kesenangan hidup akan menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat kita.

Jadi, sahabatku sekalian....Marilah, Marilah kita bersama-sama lihat sekeliling kita. Setiap nikmat yang telah dianugerahkan kepada kita, lihatlah dengan pandangan yang dipenuhi rasa kesyukuran.

Sayangilah orang yang ada di sekeliling kita kerana kita tidak mengetahui sampai bilakah kesempatan yang ada untuk kita bersama mereka. Terimalah setiap diri mereka seadanya. Kelebihan mereka kita syukuri dan kekurangan mereka kita redhai...

Bersyukurlah dengan setiap sesuatu yang kita perolehi...

"Dan (ingatlah) ketika tuhanmu memaklumkan, "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azabku sangat berat."
(Surah Ibrahim: ayat 7)

Dari Allah kita datang kepada Allah juga kita kembali. Wallahualam.

"Ya Allah, ilhamkanlah pada kami untuk sentiasa mensyukuri nikmat yang Engkau berikan kepada kami..."
With Lots of Love. Living Here for Hereafter.

1 comment:

CHE ROSSLI said...

Yup..Nikmat Allah tidak terhintung diberi untuk pinjaman. Syukur alhamdulilah