Wednesday, October 24, 2012

Diragut sehingga putus tangan perkara biasa?


"Kamu tahu, kelmarin masuk dalam Berita ada orang kena ragut sampai putus tangan di Keningau" 

"Uish, dimana?"

"Ndak tahulah, tapi heboh sudah di Facebook ni..." 


Berusaha dulu baru bertawakal...
 Aku yang pada mulanya hanya mendengar sambil lewa mulai mengambil perhatian...

Walaupun sudah banyak kes seperti ini dilaporkan, namun, inilah yang paling mendapat perhatian kerana berlaku di tempat sendiri. Inilah kita, selagi belum berlaku berhampiran kita, ianya dibaca hanya sekadar untuk mengisi masa terluang dan dilupakan begitu sahaja.

Rentetan itu, nasihat dari teman-teman mencurah-curah secara percuma. 

"Hah, kak su, jangan lagi jalan sorang-sorang.."

"Ish, janganlah keluar sampai lewat petang..."

"Ndak mahu la outing selalu"

Aku tersenyum sahaja.

Namun, jauh di sudut hatiku, aku tahu punca mengapa kejadian ini berlaku kerana pelbagai faktor. Aku tidak menyalahkan mana-mana pihak, namun, aku cuba untuk berfikir dari sudut yang boleh aku lakukan tindakan. 

Aku teringat kembali akan sebuah filem yang sangat bertajuk "Alangkah lucunya negeri ini" hasil karya seorang seniman Indonesia. Filem ini mengisahkan seorang graduan, Muluk yang berhadapan dengan dilema untuk mencari pekerjaan sesuai dengan tahap pendidikannya akhirnya bekerjasama dengan "geng pencopet". Walaupun caranya mungkin akan dipertikaikan kerana hukum telah menetapkan "Matlamat tidak Menghalalkan cara", namun, sebagai seorang Daie, kita perlu belajar sesuatu daripada pemikirannya. Beliau tidak terus menghukum sebaliknya mencari cara untuk menarik kanak-kanak itu agar kembali mengenali agama. Apa yang lebih menyedihkan apabila tidak ada seorang pun dari mereka mengetahui apa agama mereka. Allahu Allah...

Ketika keadaan semakin gawat, dihimpit oleh keperluan hidup yang begitu mendesak, Halal dan Haram hanya akan difikirkan oleh mereka yang memiliki hati yang takut akan Tuhan. 

Ketika itu, syaitan akan menakut-nakutkan dengan kematian. Andai hati tidak disirami dengan peringatan, ianya akan mati. Dan, itulah yang paling menakutkan. Kematian hati adalah sedahsyat-dasyat kerosakan kepada makhluk yang dinamakan manusia. Manusia tanpa hati, adakah masih ada rasa untuk mengenali diri, tuhan dan hari kebangkitan?

Aku tidak tahu apakah ianya peristiwa sebenar atau rekaan tapi kisah itu kuakui ada berlaku di sekeliling kita. Aku teringat kembali kata-kata yang diungkapkan oleh Murabbi Ust Rusli,

"Kita, umat Islam sekarang umpama anak ayam yang kehilangan ibu apabila Kerajaan Khalifah Uthmaniyyah runtuh..."

Benar, perpecahan yang berlaku ini merupakan ujian buat kita sebagai umat Nabi Muhammad. Dan hari demi hari aku dihadapkan dengan pelbagai peristiwa yang bagiku tidak akan selesai selagi kita tidak kembali kepada penyelesaian yang telah Allah tetapkan...

Meskipun kita membelanjakan seluruh harta,
kita tidak akan mampu menyatukan hati seluruh umat manusia...
Tapi, Allah lah yang menyatukan hati-hati orang yang berIMAN...
Sesungguhnya Dia lah yang Maha Gagah lagi Maha Perkasa.

Imanlah penyelesaiannya...
Ayuh, sahabat, biarpun apa yang kita lakukan sekelumit cuma, Mudah-mudahan sekelumit itu mampu menjadi jawapan kepada Allah SWT di akhirat kelak...

Ya Allah, berikanlah kami peluang untuk menegakkan Islam di dalam diri kami agar Islam kembali tegak di muka bumi ini. Ya Allah, sesungguhnya janjiMu itu adalah benar....

~Hidupkanlah hatimu dengan Al-Quran...


Sunday, October 21, 2012

Ubatilah hatimu, sayang...

Menitik air mata di saat membaca Artikel ini. 
Itulah diriku di saat ini.

Pesan sahabatku dahulu,
apabila kau sudah mulai faham...

di suatu saat nanti kau pasti akan kehairanan...
Hairan melihat gelagat manusia di sekelilingmu, seperti hidup ini hanya sekadar di dunia.
Di saat itu, adakah kau mampu mengubah atau dirimu yang akan  diubah oleh keadaan..

Di  saat itu juga, kau akan tertanya-tanya,
kemana hilangnya semangatmu yang berkobar-kobar untuk mendaulatkan Islam suatu ketika dahulu.
Tanyalah hatimu, Apakah ianya dipadamkan oleh angin keduniaan atau kau sendiri yang terjun ke dalam lautan keseronokan...?

Ingatkah kau lagi....
Di permulaan perjalanan, kau memandang setiap yang datang dengan kaca mata yang jernih. Sehingga kau mampu menepis segala rasa yang tidak bermanfaat untuk akhiratmu...
Namun, kini kaca matamu sudah tidak sejernih dahulu kerana kau terlupa untuk mengesat habuk-habuk yang mulai meliputi kacamatamu itu.

Kemana perginya rasa CINTA yang mendalam di hatimu???
Kau tidak akan mampu bertahan di jalan ini tanpa sebuah CINTA.
CINTA itulah yang mengobarkan semangatmu.
CINTA itulah yang memberikanmu kekuatan untuk mendengar setiap luahan.
CINTA itulah yang memberikanmu keberanian untuk mengambil sebarang risiko.

Demi yang namanya kasih sayang sesama saudara.
Demi sebuah keyakinan akan sebuah pertemuan dengan YANG MAHA ESA.
kau cuba untuk bertahan..

Di saat itu nanti,
Kau akan dilanda kebingungan.
Tetapi, kau tidak bisa mengadu.
Kerana persoalan dijiwamu itu bukan sesuatu yang biasa.
Persoalan yang jauh dari ukuran piawai semasa.

Tidak ada, sahabatku.
Tidak ada yang akan mengerti andai kau cuba untuk bercerita kepada mereka.
Malah, kau akan dihidangkan dengan pujukan-pujukan yang melemahkan jiwa.

Lalu, pada siapa? Pada siapa sahabatku, kau akan mengadu....???

Jangan biarkan hatimu terus-terusan beku...
kerana setiap kesulitan, DIA menjanjikan kemudahan bersama-samanya...
Selaklah kembali catatan para pejuang sebelummu. Mereka menulis bukannya dengan tinta biasa tapi dengan tinta darah...
Mereka menulis bukan dari fikiran tapi dari jiwa...
kerana mereka sudah mendahului dirimu...
Berbahagialah mereka di sisi Tuhan Yang Maha Benar janjinya..

Jesteru, sahabatku. Jangan biarkan bisikan syaitan melemahkan jiwamu. Segala yang kau lakukan bukanlah penentu kepada segala keputusan...
Teruskanlah...
Teruskanlah sehingga saatnya kau menyusuli mereka yang telah pergi itu..
Ubatilah hatimu dengan Al-Quran...

Tuesday, October 16, 2012

Usah biarkan ia mengawal harimu...

Aaahh...! Stressnya...!!!
 
Terdengar jeritan seorang rakan. Konsentrasiku terganggu seketika. Aku menoleh ke arah suara tersebut. Kulihat wajahnya yang keruh sambil mengenggam jari jemarinya.
 
Aku mengalihkan pandangan ke arah rakannya yang di sebelah. Rakannya hanya tersenyum seraya mengelengkan kepala.
 
"Kenapa?" terpacul pertanyaan dari bibirku.
 
"Tak, kak...dia tidak dapat kasi habis kerja dia tu..." ujar rakannya.
 
Aku melihat ke arahnya, diam. Otakku ligat mencari ayat yang sesuai.
 
"Jangan emosi..." akhirnya aku menyimpulkan kata-kata sambil menepuk bahunya.
 
Aku tahu dia pasti akan dapat menyelesaikannya kerana bidang itu memang kelebihannya.