Friday, January 13, 2012

Kenapa kena belajar?

"Kalau naik bukit, kadar kelajuan dan tekanan minyak kena seimbang. Kalau sudah slow macam ni, tukar gear..." kata sahabatku semasa perjalanan ke Tenom. Ini pernah juga diajar dahulu oleh guru memanduku dahulu.

"Kalau kakak nak cepat tukar gear, jangan tengok gear box ni. Tolak jak guna tangan" ajar rakan sekelasku yang sudah kuanggap seperti adikku di sini, imah. Benarlah, perasaan ketika belajar kerana "terpaksa" dahulu tidak senikmat ketika belajar untuk mengamalkan kini.

Mempelajari teori sentiasa tidak sama dengan mengaplikasikannya. Sedikit demi sedikit apa yang pernah dipelajari dahulu ketika masih dalam kalangan pemegang Lesen L berputar kembali dalam pemikiranku. Masih segar di kotak ingatan akan timbunan "teori-teori" yang dipaksa untuk dihadamkan ke dalam otak dalam waktu yang amat singkat. Iya, memahami memang mudah. Tapi, untuk menterjemahkan apa yang dipelajari tidak semudah menuliskan apa yang difahami itu di atas sekeping kertas.

Saat itu, aku sendiri tidak mengerti apa perlunya untuk belajar beberapa perkara sehinggalah aku menghadapinya kini. MasyaALLAH. Betapa singkatnya pemikiranku suatu ketika dahulu. Disebabkan ingin cepat-cepat menghabiskan Lesen L, aku tergesa-gesa dalam menerima ilmu. Syukurlah, Allah menemukanku dengan guru yang terbaik. Mungkin dia memahami aku yang "keboringan" mendengar lambakan maklumat mengenai apa yang bakal aku hadapi, sehingga suatu hari dia menerangkan dengan panjang lebar mengenai prinsipnya.

"Cikgu tidak mahu mengajar setakat mengajar yang kamu perlu masa sekarang. Tapi, cikgu nak kamu bersedia dengan pengetahuan apa yang bakal kamu hadapi. Kamu pun fahamkan memandu ni melibatkan nyawa orang. Sebab tu lah, cikgu tidak boleh sekadar memberitahu mengenai pemanduan, tapi cikgu kena pastikan setiap yang datang belajar dengan cikgu faham tanggungjawab. Sebanarnya, cikgu tidak setuju dengan sistem pembelajaran pemanduan di negara kita kerana untuk memahamkan orang mengenai undang-undang jalan raya tidak boleh di ajar dalam masa yang singkat. Tapi, kerana semuanya melibatkan bayaran yang bukannya murah, nilai yang penting ditolak ke tepi. Jadi, tidak hairanlah kalau masa ujian JPJ sangat bersopan-santun dan sangat berhemah, tapi apabila sudah memegang lesen, JPJ sudah tidak dipandang lagi"

Aku tersenyum. Iya, andai kita hanya takut pada sesuatu yang tidak kekal (manusia, undang-undang, etc), pastilah kesannya tidak sama apabila kita takut pada YANG MAHA MENGETAHUI.

Waktu selama lapan jam ketika bengkel itulah satu-satunya waktu yang amat kritikal untuk terus mengaplikasikan apa yang perlu diketahui. Bermula dari undang-undang jalan raya sehinggalah perkara yang sukar iaitu menumpukan perhatian dengan "orang di sebelah"(juru latih) tidak berhenti bercakap. Rupa-rupanya, itu sebahagian dari modul pembelajaran. Beliau ingin menguji sama ada aku mampu fokus atau tidak apabila dalam keadaan tertekan.

Nasihat beliau, "jangan biarkan pemikiran kita dipengaruhi oleh persekitaran".

Muhasabah diri...

Inilah kelemahanku yang amat ketara. Seringkali emosi menguasai apabila melihat realiti. Kemuncaknya apabila aku tidak mampu mengawal diri ketika melihat sendiri adik-adik jiran yang dahulunya berwajah suci kini sudah tidak kukenali. Hati pedih. Perasaan berat. Dada terasa sempit.

Melihat semua ini...

Siapakah yang patut dipersalahkan?

Ibubapa? Persekitaran? Kawan-kawan? Sistem pendidikan?

Ah, jika dicari siapa yang salah sampai bila kita tidak akan bertemu dengan kesudahannya. Di akhirnya, aku menyetujui apa yang diucapkan oleh sahabatku.

"Kita ubah apa yang mampu kita ubah. Tapi yang paling penting, janganlah mudah berkecil hati andai mereka menolak apa yang kita ingin sampaikan. Perlahan-lahan, tapi berterusan. Ubahlah dari dalam ke luar. Jangan terburu-buru. Tidak semua orang memahami dengan apa yang kita fahami. Kerana itu, hubungkanlah dahulu. Gunakan setiap kesempatan, bangunkan kekuatan dengan asas yang paling kukuh.."

"Asas yang paling kukuh, maksud?" aku mencelah.

"Bagi membina sebuah bangunan yang tingginya mencakar langit, ia memerlukan tapak yang kukuh mencengkam ke muka bumi. Bangunkan jiwa insan dengan kesedaran hidup bertuhan. Ingat, kita bukan ingin membawa mereka mengenali kita tapi, kita ingin membawa mereka mengenali Allah."

Aku termenung.

Mahu atau tidak, suka atau tidak, kita pasti akan menghadapi fasa baru dalam setiap aspek kehidupan kita. Jika hari ini kita seorang pelajar, esok lusa kita akan menjadi seorang yang bekerjaya. Jika hari ini kita menggunakan biasiswa hanya untuk diri sendiri, esok lusa kita akan menggunakan duit gaji kita untuk perbelanjaan di alam rumahtangga. InsyaAllah.

Jadi, terpulanglah pada diri. Pilihlah belajar untuk persediaan menghadapi cabaran hari esok. Kerana semua itu pasti tiba andai hayat masih dikandung badan. Walau mungkin apa yang dipelajari itu tidak sama dengan realiti, tapi, sekurang-kurangnya bekal yang dibawa mampu menahan kita dari kelaparan panduan dalam menghadapi kemelut esok hari.

Tidak ada yang mudah, sahabatku. Tapi, yakinlah akan janji ALLAH. Dia akan sentiasa ada dalam menemani kita mengharungi sebuah episod dalam kehidupan. Ya, yakinlah yang DIA pasti akan memberikan kita kekuatan untuk mengharungi apa-apa yang terbentang di hadapan. Itulah kemanisan hidup dalam keimanan...

With Lots of Love. Living Here for hereafter.

Never stop to believe.

No comments: