
Jam menunjukkan tepat pukul 8 malam.
“Nak buat macam mana ni kak?” seorang rakan sekelasku merangkap rakan seperjuangan bertanya.
“Kenapa?”aku yang tidak mengetahui hujung pangkal persoalannya bertanya semula untuk meminta kepastian.
“Tidak ramai yang datang” kulihat ada garis kerisauan yang terlukis pada wajahnya.
“Yakinlah dengan Allah, kita hanya merancang, tapi Allah yang menentukan, berbaik sangkalah, berlapang dadalah, mungkin belum sampai masanya untuk mereka” aku mengulangi kata-kata yang seringkali dituturkan oleh sahabatku untuk menenangkannya dan dalam masa yang sama memberikan kekuatan pada diriku. Kekuatan untuk meneruskan apa yang telah dirancang.
“Macam mana nak mula ni, kak?” ajunya lagi.
“Rileks, kita tengok berapa ramai yang dapat hadir. Dari sana kita laksanakan ikut kesesuaian. Kalau ramai, kita buat tadabur dalam kumpulan kecil tapi kalau sedikit, kita buat satu bulatan besar sahaja," aku cuba berlagak tenang walhal hatiku sendiri berdebar hebat. Bimbang dengan penerimaan, bimbang akan reaksi yang hadir. Memulakan sesuatu yang telah lama ditinggalkan bukanlah perkara enteng. Apatah lagi melibatkan sebuah kebenaran yang realitinya lebih banyak pahit untuk dituturkan daripada manis pada pendengaran yang hadir.
“Bismillahirahmannirrahim…”aku menarik nafas panjang. Perlanan, aku menuturkan doa yang dituturkan oleh Nabi Musa yang telah diajarkan oleh Allah s.w.t di dalam surah Taha untuk berhadapan dengan sezalim-zalim manusia (Firaun).
Aku menggangkat wajahku. Satu-persatu wajah rakan-rakan yang kukasihi dengan segenap hatiku kutatap dengan seribu satu rasa di dalam dadaku. Dalam pada itu, aku menahan perasaan sedih kerana beberapa orang yang amat kuharapkan kehadiran mereka tidak bersama-sama. Walaupun aku tahu adalah mustahil, namun, ingin sekali aku mengumpulkan kesemuanya untuk bersama-sama pada malam ini.
“Seperti mana yang kita telah persetujui bersama, kita akan belajar dalam Usrah study circle ini. Tapi, sebelum kita belajar, kita kena ingat, ilmu itu adalah nur, yang mana memerlukan hati yang bersih untuk membolehkannya masuk ke dalam hati dan bermanfaat buat diri kita. Oleh itu, kita akan membaca Al-Quran terlebih dahulu untuk membersihkan hati kita yang seringkali dinodai oleh maksiat ini” aku memulakan mukadimah seperti mana yang telah diajar oleh sahabatku.
Apabila telah selesai surah Al-baqarah dan maksudnya, aku memandang sekalian sahabat yang hadir tanpa berkata apa-apa.
“Alhamdulillah, kita telah pun selesai mentadaburkan ayatnya. So, tutuplahkan al-Quran ini?”Persoalan itu kulontarkan dengan sebuah senyuman sambil mengangkat kening sebelah. Aku menggunakan teknik menyimpulkan untuk memulakan perkongsian diiringi dengan mengemukakan persoalan. Ada yang mengangguk. Ada yang tersenyum. Ada juga yang kulihat kebingungan.
Dengan memetik semula bicara sahabatku,
‘Ayat al-quran ini sebenarnya amat jelas. Hari ini, kita belajar mengenai satu perkara. Mengenai penciptaan manusia. Tapi, dibantah oleh malaikat. Kerana apa?”
Aku mendengar beberapa orang rakanku menjawab tanda mereka memahami dan mengikuti apa yang kuperkatakan.
Aku mengangguk-angguk selesai mendengar bicara mereka. Semakin mudah.
“Benar, sepertimana yang disebut dalam ayat yang kita baca tadi, manusia (kita la tu) ada dua potensi. Potensi untuk merosak dan potensi untuk membina. Namun, Allah telah muliakan kita dengan menyuruh para malaikat sujud pada Nabi Adam, atuk kita. Tapi, Allah juga telah mengisyaratkan kepada kita bahawa syarat untuk kita jadi lebih mulia dari malaikat itu, dengan satu perkara iaitu "TAHU"
Kita pun belajar mengenai taksonomi Bloom kan, peringkat pertama adalah TAHU dahulu baru FAHAMkan? Itulah juga yang diutarakan oleh Al-Maududi dalam kitabnya Dasar-dasar Islam. Syarat utama untuk menjadi seorang Islam adalah pengetahuan. Kerana itulah mukjizat Rasulullah s.a.w bukan lagi pada terbelahnya laut, bukan lagi pada tongkat yang berubah menjadi ular tapi pada yang kita pegang sekarang ini. AL-QURAN. Sebuah kitab yang dimulakan penurunnya dengan sebuah ayat yang cukup mendalam maksudnya “ IQRA”. Inilah kunci kemuliaan seorang insan. Pengetahuanlah yang membezakan orang yang beriman dengan tidak. Pengetahuanlah yang menjadi cahaya petunjuk kepada jalan lurus.
Andainya keselamatan seekor ikan itu berada di dalam air, hidupnya burung itu pada udara, hidupnya cacing itu pada tanah, kita hanya akan hidup dengan selamat pada beragama. Marilah, kita sama-sama, belajar agama, bukan untuk menjadi orang agama tapi untuk menjadi orang yang hidup beragama. Kalau kita tidak malu untuk belajar matematik, tidak malu untuk belajar Bahasa Melayu walaupun kita tidak pandai pada mulanya, mengapa kita perlu malu untuk belajar tentang agama?”
Aku sudah tidak mampu meneruskan. Kebetulan lagi, malam itu hujan turun dengan lebat membasahi bumi.
Study Circle diteruskan pada agenda yang seterusnya iaitu perkongsian dari seorang ahli dari kumpulan yang terpilih dengan tema masing-masing. Mujurlah tajuknya agak ringan.
Dalam mendengar bicaranya, aku melihat ekspresi setiap yang hadir. Selesai sahaja perkongsiannya, aku membawa sekalian rakan-rakanku menyanyi lagu tema USRAH semester ini, “Menjadi diriku” hasil idea sahabat-sahabat yang lain. Dalam pada itu, aku mencari idea untuk memberi peluang kepada setiap yang hadir untuk bersuara. Teringat pesan roomateku pada malam sebelumnya,
“Beri peluang pada setiap yang hadir untuk bersuara” cadangnya pendek apabila aku meminta cadangannya.
Alhamdulillah, Allah tiba-tiba menggerakkan kakiku untuk mengambil makanan yang terhidang di luar. Roti yang disapu dengan kaya itu kubawa masuk.
“Ambillah roti tu berapa banyak yang kamu mahu”arahku.
Kulihat ada yang mengambil satu, ada yang dua, dan ada juga yang tiga..
“Ehem…sebenarnya bilangan roti itu menunjukkan bilangan berapa banyak yang kamu harus terangkan mengenai diri kamu” aku menyambung arahanku.
Keadaan menjadi bingit. Gelak ketawa disulami dengan gurau senda. Saat itu, hatiku bergetar. Allah, indahnya sebuah ukhuwah.
Malam itu, mencatatkan satu memori buat diriku. Segala Puji buat Allah, tuhan sekalian alam.
Apabila tiba giliran Alisyah,
Kata-katanya menusuk ke dalam kalbu,
“Saya hanya ingin mengatakan satu sahaja. Saya masih hidup”tuturnya.
Kesemua kami diam dan menumpukan perhatian. Seakan-akan menunggu bicara lanjutnya. Aku sendiri tidak faham apa yang dia maksudkan.
“Sebelum ni, saya telah diisytiharkan “MATI” dalam facebook. Tapi, Alhamdulillah, saya masih hidup hari ini malah lebih baik dari sebelum ini” sambungnya sambil menguntumkan senyuman manis.
Kata-katanya menjadi teman tidurku malam itu…benarlah, HIDAYAH itu HAK MILIK MUTLAK ALLAH S.W.T..
“Ya Allah, satukanlah hati kami di dalam iman dan Islam”
Living Here for Hereafter,
With Lots of Love.
No comments:
Post a Comment