Friday, August 26, 2011

Biarlah hati berbicara

Dengan Nama Allah Yang Maha Mengetahui, biarlah hati itu terus berbicara meskipun tidak ada yang mengerti kerana hati itu sudah letih dengan karenah-karenah mereka yang tidak pernah ingin menghargainya...Pujuklah hati itu dengan kalimah-kalimah agung, kerana tidak ada yang lebih menenangkan melainkan mendengar ayat-ayat cinta Yang Maha Esa. Sentiasalah meniupkan semangat perjuangan agar ia tidak malap ditelan godaan dan bisikan putus asa. Sematkanlah pada hati, tidak akan ada lagi kesedihan andai hati sudah meyakini bahawa setiap sesuatu berlaku atas izin dari-Nya...

Hati mengakui. Setiap yang berlaku bukan dipinta. Ianya berlaku kerana ianya telah ditakdirkan. Namun, jangan disalahkan takdir kerana setiap insan diberi pilihan. Pilihan untuk mengikut atau menentang. Pilihlah mengikut neraca Allah dan Rasul. Jangan dituruti hati besar yang seringkali dipenuhi keegoan. Dengarkanlah bisikan hati kecil yang merayu agar jangan menyalahi fitrah.

Duhai sahabat yang kusayangi, usahlah bersedih dengan gelora kehidupan yang membuas, kerana disebalik penciptaan hujan-hujan ujian dan petir kesakitan yang sambung-menyambung, Allah s.w.t juga menciptakan pelangi nan indah yang memekarkan senyuman. Teruskanlah langkahmu. Usah ditangisi sebuah kehilangan kerana itulah lumrah sebuah kehidupan.

Luka-luka yang terasa pedih pasti akan sembuh meninggalkan parut sebagai tanda. Ingatlah selalu bahawa semua itu hanya sementara...sebagai ingatan bahwa tidak ada yang kekal selagi mana kaki masih berpijak di atas muka bumi ini. Sebagai ingatan, hanya Allah s.w.t yang akan kekal abadi.

Seperti mana siang yang pastinya akan menghilang apabila tibanya kegelapan...begitulah juga pertemuan. Ianya pasti akan berakhir apabila datangnya sebuah kepastian...Perpisahan itu memang menyakitkan apabila kita merasa kita masih punya rasa memiliki. Sedangkan hakikatnya kita hanyalah seorang penjaga bagi setiap yang dimiliki.

Adakalanya, kita terlalu berharap terjadinya sesuatu perkara sehingga terlupa meminta kepada penguasa setiap sesuatu...Mengapa perlu mengharap pada yang juga mengharap belas ihsan Yang Maha Kuasa? Janganlah biarkan kejahilan membutakan. Jangan biar segalanya punah kerana sebuah kebutaan. Carilah kebenaran di dalam kesamaran. Kerana yang benar tetap akan menjelma.

Janganlah sampai kesenangan membuat kita lalai, dan dugaan menyebabkan kita berputus asa...

Tuesday, August 16, 2011

Rasulullah saw bersabda,

“Pada hari kiamat nanti, akan datang sekelompok orang membawa banyak kebajikan laksana gunung Tihamah yang berwarna putih yang akan diubah oleh Allah menjadi debu yang beterbangan” Para sahabat bertanya,” Wahai Rasulullah! Bukankah mereka adalah kaum muslimin?” Baginda menjawab, “Benar. Mereka solat sebagaimana kalian solat. Mereka juga berpuasa seperti kalian berpuasa. Bahkan mereka memiliki kelebihan harta untuk disedekahkan, dan juga melaksanakan solat malam. Tapi kalau sedang sendirian, mereka gemar melakukan perbuatan-perbuatan haram.” (HR Ibn Majah)

Oleh itu, bagaimana caranya untuk diri kita bebas dari sifat munafik ini. Dr ‘Aidh al-Qorni menyatakan tiga perkara penting dalam menyelamatkan diri dari riya’ dan sum’ah.

1. Sedar yang memberi manfaat dan mudarat hanyalah Allah.

2. Sedar bahawa kemampuan makhluk adalah terbatas. Tidak mampu memberi manfaat dan tidak pula mampu memberi mudarat, melainkan dengan kehendak Allah jua.

3. Sentiasa berdoa kepada Allah agar diri bebas dari perkara ini.

Doa Rasulullah,

“Ya, Allah, aku berlindung kepadaMu jangan sampai aku menyekutukanMu dengan sesuatu sedangkan aku tahu, dan aku memohon ampun dari segala yang tidak aku tahu.” (HR Ahmad)

Hasan Bashri juga berdoa agar dirinya bebas dari sifat-sifat ini,

“Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari riya’ dan sum’ah. ”

Monday, August 15, 2011

Ceritalah...

Dengan Nama Allah Yang Maha Suci. Sahabat, Kasih Allah kepada kita terlalu dalam, lebih dalam dari jurang Mariana. Namun, hanya mampu dirasa tatkala cinta-Nya telah berputik. Mengecapi manisnya cinta kepada Allah hanya mampu diungkapkan ketika merasainya. Cinta Allah terhadap Hamba-Nya juga terlalu agung, sehingga jalan untuk mencapai cinta-Nya itu juga perlu melalui pelbagai tekanan, ujian dan tangisan...

Awasilah diri dari kelalaian dan janganlah menghitung nikmat-nikmat yang telah hilang sedang kita masih ada peluang dan kesempatan.

Tatkala sesi muhasabah diri, kita pasti akan merasa menyesal atas dosa-dosa yang telah lalu. Penyesalan yang tidak berkesudahan andai tidak diiringi dengan usaha untuk memperbaiki keadaan.

Kita perlu menyesal atas dosa-dosa yang telah lalu, tapi bukan bermakna mensia-siakan umur yang masih kita miliki. Sedarlah...setiap kali kita menyesali dosa-dosa yang telah kita lakukan, syaitan akan membisikkan keraguan dan keresahan hingga putus asa. Berputus asa dengan rahmat Allah dan berputus asa dengan kebaikan hingga kita kehilangan sebuah peluang-Abu Umar

Peluang baru datang dan pergi sedetik kemudian. Apa yang perlu kita lakukan ialah merebut peluang yang ada dalam setiap detik kehidupan kita kerana peluang yang datang jarang berulang buat kali yang kedua.

Masa telah berlalu dan mustahil untuk berulang. Ianya berlalu dengan amat pantas. Namun, janganlah ditangisi pemergiannya dan janganlah juga disia-siakan kehadirannya tapi manfaatkanlah kehadirannya dengan sebaik-baiknya.

Firman Allah dalam sebuah hadith Qudsi (Hadith 40 Imam Nawawi):
"Wahai hambaKu, sesungguhnya kamu semua adalah orang yang melakukan kesalahan malam dan siang dan Akulah yang mengampunkan semua dosa, maka mintalah ampun kepadaKu maka Aku akan ampunkan dosamu..."

Hakikatnya, untuk kita tidak melakukan dosa itu adalah mustahil. Tapi, untuk tidak melakukan taubat atas segala dosa itu adalah kezaliman kita terhadap diri. Janganlah pernah merasa diri tidak berdosa kerana itulah dosa yang paling besar terhadap diri.


"Jadilah Hamba Allah yang sentiasa merasa kerendahan diri, menyesali dosa-dosa tetapi tidak pernah berputus asa dari RahmatNya..." (Abu Umar)



Apa yang pasti, lakukanlah taubat dengan penuh kesungguhan (tidak terhad kepada solat sunat taubat). Penuhi rukun-rukun taubat, InsyaAllah, kita akan menemui ketenangan dalam kehidupan...

p/s: Jika inginkan pendengar yang setia, ceritakanlah segalanya pada DIA yang Maha Mendengar...

Sunday, August 14, 2011

Tarbiyah VS Dakwah

Dengan Nama Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha bijaksana. Sedarlah, dimana pun kaki kita berpijak, kita berpijak di atas bumi tuhan. Kita berada dalam kekuasaan-Nya. Dimana sekalipun kita berada, kita tetap berada dalam pengetahuan-Nya.

Menghirup udara kebenaran sambil melepaskan udara kejahilan. Setiap satunya bukanlah secara tiba-tiba tapi semuanya telah dirancang dan diatur oleh DIA yang Maha Kuasa. Untuk itu, kita perlu tetap berpegang teguh terhadap tali-tali agama. Apa yang penting adalah doa agar diberikan peluang itu, usaha untuk mendekatinya, ikhtiar dengan segenap kudrat dan tawakal yang tidak berbelah bahagi.

Di sini, aku mengenali dunia yang berbeza. Dunia dakwah dan tarbiyah. Aku melihat, kedua-duanya harus bergerak seiringan. Tidak boleh tidak. Ibarat laut dan pantai. Ibarat irama dan lagu. Andai salah satu lemah, akan mempengaruhi yang satu lagi. Ibarat sayap burung, andai hanya satu yang berfungsi, tidak mungkin burung itu terbang bebas di udara.

Dakwah tanpa tarbiyah, rapuh. Tarbiyah tanpa dakwah, sia-sia.

Begitulah. Dalam kita berdakwah, haruslah diawali dengan tarbiyah. Setelah mendapat tarbiyah, kita harus mengkesinambungkannya dengan dakwah. Tapi, tarbiyah tetap go on. Kerana, sesiapa yang tidak ada apa-apa, tidak akan mampu memberikan apa-apa...Janganlah pernah merasa sudah cukup, kerana hakikatnya, kita ini mudah lupa...

Kita berdakwah bukan untuk menunjukkan kita ini hebat, tapi kerana sepotong ayat baginda nabi yang berbunyi...

"Sampaikanlah dariku walau sepotong ayat"

Sahabat, sepotong ayat tidak menjanjikan untuk kita dapat mengubah sekeping hati yang telah lama tenggelam dalam udara kejahilan. Sepotong ayat tidak akan mampu meng'alim'kan orang yang sedari kecil disumbat dengan fahaman-fahaman yang tersasar dari kebenaran. Tapi, apa yang kita harapkan dari sepotong ayat itu akan mampu mengetuk sekeping hati.

"Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras, sehingga (hatimu) seperti batu, bahkan lebih keras. Padahal dari batu-batu itu pasti ada sungai-sungai yang (airnya) memancar daripadanya. Ada pula yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya. Dan ada pula yang meluncur jatuh kerana takut kepada Allah. Dan Allah tidak lengah terhadap apa yang kamu kerjakan"
(Al-Baqarah: 74)

Andai sudah mengetahui akan kekuasaan Allah, sedangkan batu pun akan terbelah kerana takut, inikan pula sekeping hati, yang kita tahu bahawa ianya lembut...

Tarbiyah bukanlah segala-galanya. Namun, segala-galanya bermula dengan tarbiyah.

Iya, benar sekali. Jika kita tidak mendapat tarbiyyah yang betul, bagaimana mungkin untuk kita mengenali jalan kebenaran. Namun, dalam proses tarbiyah kita, ianya berlaku kerana ada yang memberikan tarbiyah (berdakwah). Kalau semua orang beranggapan untuk menjadi sempurna dahulu baru berdakwah, pasti saja dakwah tidak akan berjalan. Yela, mana mungkin kita ini menjadi sempurna.

Seorang Ustaz pernah berpesan, "Apa yang kita tahu, kita amal dan share dengan orang lain dengan harapan itu akan menjadi amal kebajikan. Jangan tunggu sampai kita perfect dulu baru nak berdakwah kerana kita tidak akan pernah perfect. Lagipun, Allah bukan melihat hasil tapi Allah melihat usaha kita. Apa2 pun, Allah tahu segalanya (Rujuk tafsir-2:77).

Belum tentu orang yang ditarbiyyah dan berdakwah itu baik. Tapi, orang yang baik tentu akan ditarbiyyah dan berdakwah.

Dalam proses mengenali diri, kita seringkali terlupa bahawa yang mengajar kita sebenarnya adalah Allah. Bukannya cikgu, bukannya buku atau apa-apa sahaja. Semua itu hanyalah sebab. Hakikat sebenarnya adalah atas izin dari-Nya. Mohonlah kepada-Nya, dengan segenap hati. Mohonlah agar apa yang kita lakukan tidak tersasar dari yang namanya keikhlasan. Mohonlah agar kita tetap terpelihara. Terpelihara dari kejahatan yang tersembunyi mahupun yang zahir. Mohonlah agar Allah menetapkan hati dan langkah kita untuk tetap berada di jalan-Nya.

Anything U do, do it with love

Dalam kita berdakwah atau mentarbiyyah, lakukanlah dengan sentuhan kasih sayang. Lakukanlah kerana kita menyayangi saudara seagama kita. Bahasa hati hanya akan mampu difahami oleh hati. Dan, kasih sayang adalah bahasa yang diungkapkan oleh setiap hati. Bagaimana besarnya kasih kita terhadap manusia lain, begitulah ukuran kasih Allah dalam hati kita. Muhasabahlah kembali...

Kenanglah bagaimana besarnya kasih Baginda Rasulullah s.a.w. Kerana kasihnya yang besar itu, segala tentangan dan halangan tidak melunturkan semangat baginda. Kerana baginda tahu...azab dan seksaan itu teramatlah dahsyat...

"Maka jika mereka berpaling (dari keimanan), maka katakanlah (Muhammad), "Cukuplah Allah bagiku; tidak ada tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakal, dan Dia adalah tuhan yang memiliki 'Arasy (singgahsana)yang agung."
(Surah at-Taubah: ayat 129)

Uhibbukum fillah.
Buat sekalian murabbi yang pernah mendidik diri ini. Buat sekalian naqibah yang telah membuka mata hati ini. Buat sekalian sahabat-sahabiyah yang telah mengajarkan diri ini dengan kasih sayang...Semoga Allah meredhai kalian walau dimana. Sama ada di dunia atau di alam yang kekal.

Sahabat dunia dan akhirat,
14 Ogos 2011. 8.45 a.m.
Living Here for Hereafter.


Friday, August 12, 2011

Cukuplah mati sebagai peringatan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha sempurna...

Beri hatimu hanya untuk Allah, pasti Allah temukan padamu pemilik terbaik. Hamparkan masamu seluasnya hanya untuk Allah, pasti Allah aturkan kehidupanmu dengan baik...

Ketika tangan diarahkan pada huruf-huruf, menaip bait-bait kata, sebuah perasaan yang sukar digambarkan muncul. Bersyukur, kerana masih diberi kesedaran. Kesedaran untuk berubah ke arah fitrah kejadian. Berat untuk kunukilkan apa yang kurasa, namun, hati mengingatkan “Aku merasa sangat mementingkan diri apabila aku menyimpannya sekadar untuk diriku sendiri”.

The man who decided to change on the 12th hour dies on the 11th hour.-Hlovate

Sebuah quotes yang kelihatan biasa. Tapi, punyai makna yang amat mendalam. Kita selalu beralasan bahawa akan berubah apabila sampai masanya. Tapi, sedarkah kita akan hakikat umur kita yang sebenarnya sentiasa berkurang sebaik sahaja kita dilahirkan.

Kita terlalu disibukkan dengan benda-benda yang tidak pasti sehingga melupakan akan saat pertemuan kita dengan Allah Yang Maha Esa. Sebuah pertemuan yang pasti terjadi. Bukankah dahulu kita menangis ketika dilahirkan kerana berpisah dari kekasih sejati kita, yakni Allah s.w.t? Namun, kerana godaan dunia dan syaitan..kita tertawa dengan kenikmatan yang sementara. Tertawa sehingga lupa akan pertanyaan ini. Kelak, apakah kita akan menemuiNya dalam tangisan kegembiraan kerana kerinduan yang teramat mendalam atau tangisan penyesalan?

Everybody knows death is inevitably coming, but it never fails to catch everybody by surprise everytime one is going.

Apakah kita sudah benar-benar percaya dengan hari akhirat?

Jika iya, mengapa hati kita tidak pernah merasa takut apabila dibacakan ayat-ayat yang menceritakan azab dan seksaan. Mungkin kerana kita selalu merasa kita ini adalah “orang-orang yang beriman”. Mungkin kerana kita menganggap “orang-orang munafik” itu adalah orang lain. Lantas, kita terus merasa selamat. Selamat sehingga berani untuk bermain-main dengan peluang yang masih diberikan ini.

Anything you do, do it with love.

Seandainya kita sentiasa mengingati akan hari-hari yang dilalui mungkin adalah hari-hari terakhir, kita tidak akan mensia-siakan orang di sekeliling kita. Kita tidak akan membuang-buang waktu kerana tanggungjawab yang kita ada lebih banyak daripada waktu yang kita ada. Takut-takut, pertemuan tersebut merupakan pertemuan kita yang terakhir. Biarlah kita meninggalkan mereka dengan perasaan yang puas. Puas kerana telah memberikan kasih sayang yang sebanyak-banyaknya. Biarlah kita meninggalkan mereka dengan kenangan-kenangan yang manis agar mereka tidak pernah menyesal dipertemukan dengan kita.

Hati, Allah yang pegang.

Adakalanya, kita menginginkan orang di sekeliling kita menjadi yang terbaik dan sempurna. Seringkali mengharap orang lain memberikan yang terbaik, sehingga terlupa bahawa kita ini manusia biasa. Kerapkali, Kita ingin disayangi oleh orang lain sehingga mengundang kepada kekecewaan yang tidak berkesudahan. Jika benar kita menyayanginya, serahkanlah pada pemilik hati itu. Allah s.w.t… Dialah sebaik-baik pelindung, Dialah sebaik-baik penolong. Apapun yang kita lakukan, serahkanlah pada-Nya. Apapun yang menimpa, mengadulah pada-Nya...

Orang beriman yang menjalani setiap saat dalam kehidupan dunianya sesuai dengan ajaran al-quran tidak akan membiarkan fikirannya dikuasai oleh fikiran yang tidak berguna dan tidak masuk akal selama perjalanan. Dia mengarahkan perhatiannya pada hal dan peristiwa yang dapat dia renungkan dengan mendalam.

Yahya harun (2003). Diterjemah oleh Rina S. Marzuki.


Sahabat dunia dan akhirat. Living here for hereafter.1.35 a.m.


Monday, August 8, 2011

Teruskanlah...

Dengan Nama Allah Yang Maha Melihat lagi Maha Mengetahui...jadikanlah setiap yang berlaku pada kita membawa kebaikan pada diri dengan mengambil ibrah dan hikmah dari setiap yang berlaku. Jangan pernah mempersoalkan mengapa Allah menguji kita, tapi ingatlah selalu bahawa kita ini adalah hamba-Nya yang memang layak pun diuji...

"Aku ingin berhenti. Berhenti menulis. Berh
enti ambil peduli mengenai orang lain. Berhenti berprasangka baik... Yang paling hebat, berhenti dari melaksanakan amanah ini..."

Pernah. Pernah hatiku terdetik perkara ini. Ingin berhenti...Tapi, apa yang aku temui adalah tipu daya yang mempesona. Tenggelam dalam kenikmatan yang sementara. Kerana ikutkan rasa, aku hampir binasa dan membinasakan. Kerana ikutkan hati, aku lemas di tempat yang tidak berair.

Peringatan demi peringatan. Bukan sekali, tapi berkali-kali. Bukan seorang, tapi ramai sekali. Bukan sepatah, tapi berpatah-patah kata yang jika dikumpul akan menjadi sebuah buku. Benarkah meninggalkan kelazatan itu lebih nikmat dari kelazatan meninggalkan kita? Entah. Apa yang pasti, aku merasa satu rasa yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Sudah namanya rasa, pastilah hanya hati yang mampu menjawabnya.


"Bukankah yang putih itu jelas. Bukankah yang hitam itu juga jelas. Tapi, dunia hari ini, bukan lagi "dunia-hitam-putih" seperti TV zaman 80an. Dunia hari ini, penuh dengan pelbagai jenis warna. Dan di antara hitam-putih itu terselit kelabu" Kata-kata seorang sahabat ini menerjah ke kotak ingatan. Tersenyum. Dalam kekelabuan itu aku keliru. Membiarkan akal mentafsir apa yang sebenarnya terjadi.

Sehinggalah aku menyedari.
Kesedaran yang membuat aku tersenyum dalam tangisan. Kesedaran yang membuat aku bersyukur dalam kekecewaan. Ya Allah...Betapa besarnya kasih-MU...

Percayalah kepada Rasulullah SAW apabila baginda berpesan,

“Barangsiapa yang takut kepada Allah, tentu ia tidak akan maju-mundur. Barangsiapa yang tidak maju-mundur tentu akan sampai ke tempat tujuan. Ketahuilah, bahawa barang dagangan Allah itu mahal, Ketahuilah, bahawa barang dagangan Allah itu ialah syurga”
(Hadith Riwayat: Tirmidzi dan Al-Hakim).


Sekali lagi, percayalah kepada Muhammad Utusan Allah ini apabila baginda bersabda,

“Iman itu bukanlah angan-angan dan juga bukan perhiasan: tetapi Iman itu adalah sesuatu yang menetap di dalam hati, dan dibenarkan dengan amal.”
(H.R. Ad Dailami)

Adakalanya diam itu menyakitkan buat mereka yang inginkan jawapan kepada sebuah persoalan. Namun, lebih baiklah diam jika apa yang bakal keluar dari mulut itu hanya akan menyakitkan hati orang lain.