Wednesday, June 26, 2013

Dakwah itu membaiki bukan menghakimi


Kenangan memancing 2013-HELWI

"Macam mimpi jak kan kak...kemarin dulu kaka di rumah papar, kemarin pula sempat pergi walimatul urus seorang sahabat di sepanggar, sekarang ni, memancing di Kota ayangan" ujar seorang sahabat.

Ketika itu kami sedang membahagi-bahagikan joran untuk setiap kumpulan ( Kumpulan Keli, Fatin, kelah dan X). Kami perlu membahagikannya kerana terdapat dua jenis joran yang disediakan iaitu jenis besi dan jenis bambu. Memandangkan aku sendiri tidak pernah memancing, aku juga tidak mengetahui yang mana lebih baik. 

"Sudah takdir, heeh.." aku menyahut.

Ikan. Terdapat pelbagai cerita menarik yang berkaitannya yang pasti akan mencuit hati kami. Terutama ikan Baulu. 

Teringat akan perkongsian seorang sahabat suatu ketika dahulu,

"Jadilah seperti ikan di laut..tidak pernah masin oleh masinnya air laut. Jangan jadi seperti ikan di darat, sedikit garam sahaja sudah masin...Itulah tamsilan hati kita, andai sahaja hati kita hidup, ianya tidak akan mudah dipengaruhi oleh fitnah akhir zaman ini"

Namun, dalam dunia ini, Allah telah menciptakan manusia yang pelbagai karenah dan warna untuk saling berkenalan. Pada peringkat permulaan, kita menginsafi bahawa kitalah yang perlu berubah untuk masa hadapan yang lebih baik. Namun, apabila kita semakin lama berada di situ, kita akan mulai menyedari orang lain juga perlu mengambil bahagian dalam dakwah kita. Apatah lagi, apabila kita keluar dari kelompok biah yang soleh/ah...cabaran itu akan menjadi lebih besar. Berhadapan dengan masyarakat yang dahulunya kita adalah sebahagian daripada mereka sebelum kita ditarik keluar. Namun, kita tetap perlu kembali kepada mereka kerana merekalah medan amal kita. 

"Ketidaktahuan masyarakat akan menjadi penghalang jalan kalian. Oleh kerana itu tugas kita yang paling mulia adalah menjadikan masyarakat mengenal hakikat dakwah kita, kerana kebersamaan mereka dengan kita adalah lebih baik"
(Hassan Al-Banna) 

Apa sebenarnya yang kita inginkan dari dakwah ini? 

Satu persoalan yang kita perlu tanyakan dan muhasabahkan setiap waktu dan ketika agar kita tidak terleka.

Teringat kata-kata petikan dokumentari Seorang Murabbi,  Ust. Rahmat dari seberang Indonesia,
"Semua orang boleh berdakwah, tetapi tidak semua orang boleh mencintai dakwah ini...Ya, dakwah ini akan membutuhkan kita mengorbankan segalanya..."

MasyaAllah.

Jawapannya ialah Keredhaan Allah...hanya itulah yang kita inginkan dalam sepanjang kembara kita menuju-Nya ini...

Lalu, mengapa perlu terasa hati andai ada yang menolak ajakan sehingga kita menggunakan bahasa yang mencederakan emosi mad'u? Adakah mereka yang tidak mahu mendengar atau kita yang sebenarnya tidak benar-benar mendengar masalah mereka.

Lalu, mengapa perlu menangis andai  mereka masih belum mengerti...

Sahabat, pendakwah yang sebenar ialah orang yang mengajar manusia untuk redha dan bergembira dengan apa yang dimilikinya, mengajar mereka untuk memanfaatkan pemberian Allah kepada mereka untuk beramal bagi menghadapi hari kemudian. Lihat bagaimana Rasulullah salallahualaihiwassalam, baginda tidak mengubah kedudukan Bilal, keluarga Yasir yang terdiri daripada Ammar dan Sumaiyah yang merupakan golongan hamba menjadi bangsawan tetapi baginda mengajar mereka erti syukur, redha dengan kehidupan yang diberi dan bersiap sedia dengan akhirat yang akan dihadapi dikemudian hari. 

Dakwah yang sebenarnya juga bukan bermakna menyuruh kita menjadi seperti orang lain tetapi sebenarnya mendorong  kita untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya. 

Jarang kita dengar atau baca dalam hadith baginda menyuruh para sahabat supaya menjadi seperti Abu Bakar RA, atau seperti Umar RA tetapi baginda sebaliknya menyebut :

"Dan apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu maka penuhilah ia semampu kamu"

[Riwayat al-Bukhari dan Muslim] 

Maka, bersangka baiklah...kerana kita bukan insan sempurna tetapi seorang hamba yang punyai seribu satu kelemahan. Jangan pernah menghakimi sebelum kita memahami.

P/s: Teringat usaha seorang ustaz semalam yang cuba menjernihkan keadaan. Sahabat, dakwah ini memerlukan kita saling bantu-membantu bukan saling menjatuhkan. "Kerana Allah adalah matlamat kita".

Tuesday, June 25, 2013

Andai benar kerana agamanya...

Waterfront Kota Kinabalu. (Tempat Lepak dengan Mohd Fazri.)
"Saya rindu kakak yang dulu..." pengakuan seorang adik yang sentiasa meminta nasihat dan berkongsi cerita dengannya menusuk ke dalam hati...

Suatu teguran dari-Nya yang disampaikan melalui hamba-Nya. Teguran yang amat lembut namun menyentak hingga ke ulu hatinya...

Dia tenggelam dalam muhasabah...

Apa yang sudah berlaku? 

Sebuah fitrah kini hadir dalam diri yang sering dielak dari datang menerpa. Diri mengerti apa yang dimaksudkan. Sedikit sebanyak tingkah lakunya mungkin telah berubah dari perspektif orang yang sentiasa berada di sekelilingnya...

"Apa yang berlaku, ya Tuhan..." dia bingung.

Teringat semula bicara dari hati ke hati dengan abangnya suatu ketika dahulu.

"Abg, apa yang perlu dilakukan kalau kita jatuh cinta?" tanyanya sekadar untuk mengetahui jawapan yang perlu diberikan kepada yang bertanya.

"Cinta itu letaknya di mana? Di hati kan...Akal pula letaknya di mana? Di kepala kan? Mana satu yang lebih tinggi...?" soal abangnya bertubi-tubi.

"Akal..." dia menjawab pendek...

"Nah, kalau tahu sudah akal, janganlah rendahkan peranan akal dengan biarkan cinta menguasai akal..." simpul abangnya...

Ketika itu dia mengangguk. Setuju.

Kini, sekali lagi dia mengangguk ...

Apa yang menyebabkan dirimu memilihnya...

Kerana hartanya? Harta tidak menjanjikan bahagia.
Kerana rupanya? Itu semua akan hilang ditelan masa.
Kerana keturunannya? Itu juga bukan ukuran hati akan tenang...

Kembalilah pada satu perkara yang membuatmu sentiasa bahagia meski di mata insan kau menderita.Itulah cinta-Nya. Cinta yang bukan sekadar coretan madah puisi tetapi memerlukan mujahadah..Malah, hatimu juga akan tersiksa. Namun, yakinlah...pada janji-NYa..

Sahabat, andai benar kau memilih si dia kerana agamanya...
lalu mengapa dirosakkan agamanya....?

Mujahadah itu pahit mulanya, manis akhirnya...

Cinta menjadikan manusia suka disuruh. Agar dengan cinta itu kita disuruh lagi disuluh. 
Namun, cinta yang tidak ditentukan arahnya menjadi tidak tentu arah. 
Cinta menjadi penunduk kehambaan. Hambalah manusia kepada sesama hamba, yang hakikat semuanya adalah hamba kepada nafsu dan diri.

Buang emak, buang saudara, kerana cinta yang bukan lagi cinta.
Lautan api sanggup direnangi, ikrar pencinta yang sudah gila dibius cinta. 
Hingga api neraka hilang gerunnya.

Cinta semalam menjadikan umat Islam umat yang hebat. 
Cinta hari ini menjadikan umat Islam luput tenggelam.
 Sirna oleh cinta yang bukan lagi cinta.

Justeru dalam medan yang pelbagai ini, marilah memperjuangkan cinta. 
Cinta yang diteladani daripada seorang Nabi.

(Hasrizal Abdul Jamil,1975)


Andai hatimu semakin sunyi dari merasa rindu pada kalam-Nya dan ingatan pada-Nya..menangislah atas kealpaan itu. Seseorang akan mengikuti apa yang dicintainya...demikian pesan nabi yang mulia..


Sunday, June 23, 2013

Nilai sebuah Ukhuwah

"Aku sayang kamu kerana Allah..." kata budak ni. Sweet tak dorang?
Dengan Nama Allah yang telah bersumpah dengan kalam (pena)..

"Kenapa ni?" sahabatku menepuk bahuku.

"Rasa bersalah..."aku menjawab pendek

"Hurm..."aku tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan. Perasaan itu kian mencengkam di kalbu. Sememangnya amanah ini perlu ditunaikan dengan segera. Namun, setiap kali aku melihat skrin laptop, fikiranku menjadi kosong. Artikel yang sepatutnya disiapkan minggu lepas telah melepasi tarikh hantarnya. 

Hampa.

Apa yang sebenarnya terjadi? Aku melihat kembali ke dalam diri...

"Ya Allah, tunjukkanlah yang hak itu hak, yang batil itu batil..."

Bismillah. Aku menyelak kembali catatan diari yang jujur menceritakan segalanya. Air mata jatuh menitik.  Sekiranya pemadam untuk memadamkan memori dan ingatan ada dijual, pastilah aku orang pertama yang akan mendapatkannya. Betapa beruntungnya sahabat-sahabatku yang masih dan sentiasa dipelihara Allah. 

Aku meneruskan pembacaan. Benarlah, seandainya bukan kerana kasih sayang Allah yang menutupkan keaiban kita pasti sahaja tidak ada yang "cantik" pada diri kita. Buruk kesemuanya. 

Menuruti hawa nafsu memang indah, memang seronok, namun, pertukarannya, rasa manis dalam melaksanakan ketaatan itu ditarik. Andai bukan kerana seorang sahabat yang dihantarkan Allah untuk menegur, aku tidak akan menyedarinya...

Ketika dia menyatakan sejujurnya, aku tidak memberikan sebarang respon. Namun, ketahuilah sahabat...hati ini menangis. Malu pada Allah yang mengetahui segalanya. Malah, untuk bersahabat denganmu pun aku terasa malu. 

"Orang yang beriman itu, dosa kecil sekalipun akan dianggapnya seperti gunung. Sedangkan orang kafir, dosa besar umpama seekor lalat yang boleh ditepis dengan tangannya..." kata-kata yang dituturkan oleh sahabatku ini menusuk jauh ke dalam hati.

Refleksi kembali...

Ketika seorang sahabat terasa hati dengan tingkah laku dan tindakan kita, rasa bersalah pasti akan hadir menggoncang ketenangan yang bermukim di sudut hati. Ah! semuanya terasa hambar. Tumpuan kita akan berfokus untuk menyelesaikan kemelut yang melanda.

Itu seandainya sahabat kita seorang...Bagaimana sekiranya ramai? Dan setiap satunya mempunyai peribadi yang memerlukan kita menjelaskan segala-galanya atas apa yang berlaku...Pastinya kita akan terperangkap dalam perasaan sendiri. Lantas memilih untuk meninggalkan persahabatan tersebut...

Jangan bertindak terburu-buru...

Kita kembali semula kepada Al-Quran dan Sunnah...

Kita melihat dalam al-Quran sendiri menyatakan bahawa hati orang yang beriman ini disatukan oleh Allah Subahanahu Wa Ta'ala. "Cinta akan hadir dengan hadirnya sebab" demikian kata ulama Ibnu Qayyim Al Jauziyah. Maka, jadikanlah Allah sebagai sebab kita mencintai dan menyayangi sahabat kita..Hanya Allah sahaja yang akan kekal selamanya. Andai kita bersahabat kerana sifat riangnya, apa yang akan berlaku andai riangnya hilang? Tegakah kita meninggalkannya? Andai kita bersahabat kerana ilmunya, bagaimana andai dia ditakdirkan menjadi "bodoh" dan diperbodohkan?

Kemudian, kita melihat sirah bagaimana Baginda sendiri sangat dicintai oleh para sahabat. Ya, mngkin ada yang menyatakan "Itu nabi...". Namun, Bagindalah contoh terbaik kita. Apa yang baginda lakukan boleh dicontohi. Kerana itulah tujuan baginda diutuskan. "Untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.." Iya, rupa yang indah bukan menjadi kayu ukuran baginda untuk menjadi sahabatnya. Bukan juga ilmu pengetahuan. Bukan juga kegagahan. Setiap sahabat baginda mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing namun tetap istimewa di hati baginda.

Bagaimana pula menangani sahabat yang mudah terasa hati?

Tersenyumlah. Jangan putus asa untuk memenangi hatinya. Terimalah sahabatmu apa adanya...Bantulah dia untuk mempertingkatkan dirinya. Apa yang paling penting, doakanlah dia setiap masa dan ketika..

Kita semua milik Allah. Jangan pernah merasa kita dimiliki dan memiliki. Segalanya adalah pinjaman semata-mata...

Andai kau tidak bertemu dengan sesiapa untuk menjadi sahabat,
jadilah sahabat  untuk dirimu sendiri.


Nilai sebuah ukhuwah terlalu tinggi. Kerana itu, jagalah ia dan suburilah ianya dengan selalu mengadu padaNya..

Friday, June 21, 2013

Andaian sahaja?


Jadilah dirimu sendiri yang terbaik

“Ok, apa contoh bidang yang terlibat dalam masalah kehidupan seharian kita yang boleh kita selesaikan guna kaedah ini? ”soal pensyarah kami, Pn. Raiteh.

Ketika itu kami mempelajari subjek Linear Algebra berkaitan tajuk Matriks Imbuhan.

“Fizik. mengira aliran elektrik atau air” kata seorang rakan sekelasku.

“Kimia. Mengira Mol” Sahut seorang lagi.

“Iya, betul. Dalam pengiraan tersebut kita akan menggunakan andaian untuk mendapatkan penyelesaian masalahkan?...." simpul pensyarahku.

"Beetuuullll" sahut semua.

ANDAIAN…

Sayyid Qutb dalam kitabnya Petunjuk sepanjang Jalan ada menyatakan,

“Agama ini tidak membuat masalah-masalah ANDAIAN untuk dicari-cari penyelesaiannya, di dalam khayalan, malah ia menghadapi kenyataan dimana sahaja ada masyarakat Islam yang rela tunduk kepada panduan Ilahi, dan menolak sebarang panduan yang lain daripadanya, dalam setiap keadaan dan suasana dalam setiap bentuk dan rupa”

Perbezaan yang boleh dilihat. Dalam memahami sesebuah teori matematik (Misalnya), kita akan menggunakan masalah atau beberapa perkara yang menyokongnya. Namun, kesemuanya itu adalah andaian semata-mata. Sedangkan, agama mengajar kita bahawa "Andaian" itu tidak perlu. Kita hanya akan membuang masa. 

Dalam al-Quran disebutkan bahawa orang-orang yang berangan-angan untuk memasuki syurga tanpa bermujahadah dan berusaha diistilahkan sebagai "andaian" sahaja. Malah, terdapat juga orang yang akan ditanya kelak di akhirat mengapa mereka tidak mahu beriman ketika di dunia ini, rupanya mereka banyak mengikut andaian mereka... Nauzubillah Min Zallik.

Andaian itulah yang membawa kepada angan-angan.

Teringat akan kata-kata seorang Ustaz yang memberikan pengisian dahulu, "Hidup kita ini hanya sekadar sini ke sini (sambil melukis garis lurus di udara), tetapi angan-anganlah yang menjadikannya panjang sehingga ke sana...berangan-angan inginkan rumah yang besar, isteri yang cantik, suami yang ganteng, duit yang banyak, melancong ke sini-sana...kemudiannya, ajal menjemput tanpa disedari...punahlah angan-angan tersebut"

Semua kami terdiam. Berangan-angan memang indah. 

Teringat akan analogi yang diberikan oleh seorang sahabat,

“Cuba koyakkan sekeping kertas dari buku ni. Kemudian, koyakkan lagi kepada cebisan-cebisan kecil. Sekarang, adakah cebisan ini dianggap sebagai BUKU?

Kami semua menggeleng.

“Tapi itulah pemahaman kita sekarang terhadap ISLAM yang kita anuti. Kita berANDAIAN telah menjadi MUSLIM yang sejati apabila telah mengucapkan dua kalimah syahadah. Sedangkan, dalam kalimah tersebut terdapat tuntutan-tuntutannya. Kita menyangka telah sempurna iman apabila kita berkata “aku beriman kepada ALLAH, Nabi, kitab, Hari akhirat, Malaikat, Qada dan Qadar sedangkan dalam hati kita langsung tidak teringat akan hal tersebut semasa menjalani kehidupan seharian...

Kemudian dia menyambung...

Apa yang lebih dahsyat, kita zalim dengan al-Quran ketika berandaian bahawa cukup dengan hanya membacanya tanpa memahami bahawa ianya bukan kitab penglipur lara tetapi panduan. Kita telah menzalimi al-Quran dengan mengamalkan isinya sedikit-sedikit. Tanpa kita sedari dalam kehidupan kita telah menolak sebahagian dari firman-Nya...Jangan mimpilah nak masuk syurga andai usaha kita sekelumit cuma. Sedangkan Rasulullah salalahu Alaihi Wasalam, kekasih-Nya pun berdarah-darah ketika menyertai ghazwah (Perang) dan mengalami sakit luka dalam perjuangan menegakkan Islam...Kita pula senang lenang di atas tilam empuk dan segala kemewahan. Itulah kita. Insan yang diciptakan sebaik-baik penciptaan namun seringkali merendahkan kemuliaan diri tersebut..."

Andaian itu membinasakan.

Andaian itu melekakan...

Andaian itu hanya akan memakan masa kita....

Lalu, berhentilah berandaian...

Berpijaklah pada realiti. Kita hidup dalam dunia yang sebenar. Usahlah berangan-angan untuk menjadi seorang yang hebat tapi, berusahalah. Susunlah perancangan hidup sebaik-baiknya. Tingkatkan kualiti diri dari semasa ke semasa. 

Andaian sahaja tidak menjanjikan apa-apa...

"Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami tampakkan, dan tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi bagi Allah, baik yang ada di bumi mahupun yang ada di langit..." 
(Surah Ibrahim, ayat 38)

Thursday, June 20, 2013

Sungai yang mengalir

Sungai Tambunan.
Airnya menyejukkan, bunyinya menenangkan...
"Ehem, termenung jauh nampak..." sahabatku menegurku. Aku menoleh ke arahnya sebentar sebelum mengalihkan semula pandangan ke arah air sungai yang berada di hadapanku.

"Taklah, tengah berfikir..." balasku.

"Apa yang difikirkan tu?" sahabatku menyoal.

"Sungai...."jawabku sambil melangkah turun dari batu besar di tepi sungai tersebut. Dengan berhati-hati aku mencedok air sungai tersebut dengan kedua belah tanganku dan menyapukannya ke mukaku. 

Sejuk. Damai. Menyegarkan fizikal yang keletihan. SubahanAllah...

"Kenapa dengan sungai?" sahabatku itu kini terpacak di sisiku.

"Plush!" aku menyiramnya. Aku segera terjun ke dalam sungai. Dia yang tergamam kulihat mengetap gigi geram...

Kemudiannya dia pun melompat turun. 

Seketika, aku dan dia bermain air seolah-olah hanya kami yang berada di kawasan tersebut. Apabila terasa penat bermain sambil bergurau, aku mengajaknya duduk di atas sebiji batu yang agak besar.

"Ko tahukah, sungai ini sangat mendalam ertinya pada aku..." aku memulakan mukadimmah.

Suatu ketika dahulu, kehidupanku sangat intim dengan sungai. Pada ketika itu kami sekeluarga masih menetap di pinggiran sungai. Air sungailah yang menyambung kehidupan. Setiap hujung minggu, aku akan membawa adik-adik untuk mandi, mengangkat air dan bermain di sungai. Namun, sebelum kami dilepaskan, arwah ibu akan memastikan kami mengaji dahulu dan bersarapan. Itulah waktu yang terindah.

Ketika itu, airnya sangat jernih. Kejernihannya itu membuatkan kami tidak puas berendam. Selesai mengisi gelen dan baldi, kami akan mencari udang di sebalik batu dan kayu untuk dibawa pulang ke rumah sebagai lauk. Walaupun udang yang kami perolehi hanya kecil, namun, ia tetap dikongsikan bersama-sama. Itulah yang menjadi kenangan terindah. Kelazatannya masih terasa sehingga ke hari ini. Ada ketikanya kami terleka dan  akan bertempiaran balik ke rumah apabila terdengar laungan suara arwah mak...

Terlupa bahawa air yang diisi perlu digunakan untuk memasak makanan tengahari. Walaupun berat, namun, hati tidak mengeluh kerana puas dapat berendam di sungai. 

Apabila kami berpindah rumah, aku semakin jauh dari sungai. Aliran paip yang sampai ke rumah menyebabkan aku semakin lupa akan kenikmatan iar sungai.

Apabila aku mengenali dunia Tarbiyah, aku tetap tidak berpisah dengan sungai. Pertama kali Jaulah dengan Kak Jihah serta sahabat-sahabat ke Tambunan. Aku masih ingat bagaimana kami perlu menyeberangi sebatang sungai dengan membina jambatan manusia iaitu saling berpegang pada sahabat. Ketika itu, terasa ukhuwah yang menjadi pembenteng.

Kemudian, usrah seringkali akan rehlah di tempat yang berair seperti air Terjun Mahoa, air Terjun Ulu Senagang, sungai Pamilan...kesemuanya akan berakhir dengan kami menjadi "ikan duyung" yang seperti baru berjumpa air...

Air sungai seringkali disebutkan dalam al-Quran sebagai salah satu nikmat yang terdapat dalam syurga kelak.

"Di dalam keduanya (syurga itu) ada dua buah mata air yang memancar" 
(Surah Ar-Rahman, ayat 66)

"Pada hari engkau akan melihat orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, betapa cahaya mereka bersinar di depan dan di samping kanan mereka, (dikatakan kepada mereka), "Pada hari ini ada berita gembira untukmu, (iaitu) syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Demikian itulah kemenangan yang agung"

(Surah al-Hadid, ayat 12)

Aku sering hanyut dalam pemikiran apabila melihat aliran sungai. Ketika masih tinggal di tepi sungai, aku sering duduk di tepinya sambil melihat matahari terbenam. Ketika itu, pelbagai impian kuanyam untuk membina hidup yang lebih baik.

InsyaAllah, kami akan datang lagi...
Sungai.

Padanya aku belajar banyak perkara yang membuktikan kekuasaan Allah. Sungai yang mengalir tenang itu bila-bila masa sahaja akan menjadi ganas-seganas-ganasnya...

Setiap kali mendengar deruan airnya aku mengerti bahawa itulah alunan tasbih yang diajarkan-Nya buat makhluk-Nya ini.

Berendam dan direndam. Kedua-duanya punyai makna yang mendalam padaku.

"Pap" bahuku dipukul dengan kuat.

"Aduh!" aku menoleh ke arah sahabatku.

"Dari tadi aku tunggu apa ko mau cakap..." katanya.

"eh, bukan aku sudah cerita ka?" aku tersedar.

"Takpalah lain kali jak la..." aku menyambung sambil bergerak naik ke atas untuk bersiap pulang.

"Wei, jahat!" laungan sahabatku kubiarkan ditenggelami deruan tasbih air-air sungai tersebut...

"Ya Allah, ilhamkanlah kepadaku agar sentiasa mensyukuri nikmat yang Engkau berikan kepadaku dan kepada orang-orang disekelilingku dan berikanlah kami amalan-amalan yang Engkau Redhai...Ya Allah, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, ampunilah segala kesalahan kami. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa atas segala sesuatu..."

Sungai, aku akan kembali...yang pasti, aku tidak akan menemuimu sendiri...InsyaAllah...

Wednesday, June 19, 2013

Sesuatu untuk difikirkan

Apa la rancangan tu..tak siok...hehe
“….anda bersama-sama saya dalam Rancangan Where the Money Drop…” sayup-sayup suara AC Mizal dari Televisyen di ruang tamu masuk kegegendang telingaku.
Aku merasa agak terganggu. Tumpuan terhadap kerja yang kulakukan tidak lagi seratus peratus.
"..entah apa-apa lah rancangan ni. Tak mendidik langsung..."rungutku.
Namun, ia hanyalah pemberontakan dalam diri.
Tiba-tiba, satu persoalan yang dikemukakan menarik minatku. Aku segera bingkas dari tempat dudukku dan melangkah keluar ke ruang tamu.
“Soalannya adalah berapakah surah di dalam al-Quran, masa anda bermula sekarang...” pengacara membacakan soalan.
Pilihan-pilihan jawapan yang ada ialah 91,114,120 dan 3.
Wah, ini sudah bagus ni...Aku tertarik untuk melihat.
“3 tidak mungkin. Tapi, setahu saya bilangan mesti ganjil..”bisik si isteri.
“Abang tak tahu, betul-betul tak tahu…’’ si suami mengangkat tangan ke muka.
Aku melihat ekspresi wajah kedua-duanya apabila diberitahu jawapannya.... 

 Tertunduk. Malu.

Pilu hati melihat mereka. Kesal menerpa.


Adegan itu menyentak fikiran dan jiwa buat yang melihat dengan mata hati...

"Hah, itu pun tak tahu kah?" itu mungkin lazim bagi orang yang telah mengetahui.
Ada juga hikmahnya rancangan ni...detik hatiku.
Pertama, kita dapat menilai sejauhmana tanggapan masyarakat kita terhadap pengetahuan agama. Adakah masih lagi menganggap ianya sebagai tanggungan manusia yang bergelar ustaz/ah, alim-ulama atau setiap yang bergelar MUSLIM...
Kedua, apakah dunia hiburan tidak pernah memberi peluang terhadap pengetahuan ilmu agama disebarkan secara menyeluruh...

sekularnya kita...
Sebagai seorang pendakwah, pasti kita tidak ingin sekadar mengkritik. Tapi, kita perlu memahami dari sudut pandangan dunia dakwah.

Mungkin perkara tersebut kelihatan remeh..

Namun, pilu sebenarnya hati apabila melihat umat Islam semakin jauh dari Al-Quran...

Satu-satunya peninggalan insan yang amat mengasihi Umatnya...

Rasulullah S.A.W...

Maafkan kami ya Habibi...

Khuatir andai baginda tidak ingin memandang kita di akhirat kelak keran kita tidak pernah ingin memandang apa yang dibawa olehnya..ke mana lagi kita ingin meminta syafaat?

Teringat sebuah kisah...

" Di sebuah perkampungan, tinggal seorang anak kecil dengan datuknya. Anak kecil tersebut merupakan seorang anak yang taat dan sentiasa mendengar kata orang yang lebih tua. Rutin harian si anak adalah membaca al-Quran sebelum melakukan kerja-keja lain. Itu yang telah diterapkan oleh datuknya. Namun, pada suatu hari, anak kecil tersebut memberontak...

Mari mengaji, kata adik ni..
"Atuk, kenapa juga perlu baca al-Quran? bukannya kita faham pun..." demikian kata si anak kecil itu.

Si atuk tidak menjawab sebaliknya berjalan ke stor di belakang rumah. Kedengaran beliau menyelongkar barang-barang lama. Tidak lama kemudian, beliau kembali dengan membawa sebuah raga di tangan kanannya dan sebuah baldi di tangan kirinya. 

"Nah, tolong atuk, isi raga ni di sungai depan tu dan bawa ke sini sampai baldi ni penuh..." arah si atuk.

Si anak kecil tersebut melompat kesukaan kerana baginya itu lebih menyeronokkan daripada duduk membaca sesuatu yang tidak difahaminya walau sepatah haram.

Namun, alangkah terkejutnya si anak kecil apabila dia mengangkat sahaja raga tersebut, kesemua air mengalir keluar melalui lubang di raga tersebut.

Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia kemudian mencuba lagi berkali-kali namun tetap gagal...

Akhirnya dia melangkah pulang dan menemuinya datuknya sambil berkata, "Atuk, sia-sia sahaja. tak dapat la isi air di raga ni...airnya asyik keluar sahaja.."

Si atuk tersenyum. Beliau menarik tangan si anak dan mendudukkannya di sisinya. Kemudian, beliau mengambil raga tersebut sambil memandang si anak...

"Apa yang kamu lakukan tidak sia-sia. Cuba tengok raga ni..tadi, masa atuk beri raga ni penuh dengan kotoran. Sekarang cuba tengok...bersih kan?"

Si anak mengganggukkan kepalanya...

"Hah, begitulah juga bila kita baca al-Quran...Walaupun kelihatan pada luarannya tidak ada apa-apa hasil, namun sebenarnya, hati kita sedang dibersihkan secara tidak kita sedari..."

Si anak tersenyum. 

Demikianlah sahabatku...andai kita ingin mengambalikan Islam tertegak di atas muka bumi ini, kita harus kembali kepada apa yang pernah dilakukan oleh generasi awal didikan Rasulullah Sallahu alaih Salam...

Kembali kepada al-Quran...Baca dengan hati demi sebuah petunjuk dan Rahmat...

Bacalah AL-Quran. Sesungguhnya Al-Quran akan datang kepada pembacanya pada hari kiamat kelak sebagai pemberi syafaat...

Pesanan dari seorang guruku, "Biasakan diri membuka al-Quran sebelum mula kuliah..InsyaAllah, ada berkatnya.."

Wallahualam.

Tuesday, June 18, 2013

Sebenarnya aku rindu...

Tambunan sentiasa ada dalam catatan  perjalanan kembara musafirku
"Su tahu ke kenapa kita buat semua tu?" soal naqibahku. 

Ketika itu kami dalam perjalanan ke Tambunan bagi mengunjungi rumah seorang sahabat. Naqibahku meminta untuk menemaninya. Aku menggunakan kesempatan ini untuk bercerita panjang dengan naqibahku berkaitan pelbagai perkara yang bersangkutan dengan dakwah dan tarbiyah. 

"Sebab nak bagi kesedaran ke, kak?" aku cuba meneka.

Kulihat dia tetap memandang ke hadapan sambil memegang kejap stering kereta. Pada bibirnya terukir sebuah senyuman. 

Dia menoleh seketika padaku sebelum membalas...

"Dalam kem kita biasakan mereka dengan fasilitator dan duduk dalam bulatan. Sebenarnya kita ingin mereka biasa dengan suasana Usrah. Ada halaqah dan ada naqib/ah. Kan Usrah tunjang tarbiyah..." 

Aku menganggukkan kepala. 

Aku mengakui...Usrahlah yang banyak mengubah dalamanku. 

Usrah = Keluarga. Ini kita tahu. Taaruf, Tafahum, Takaful. Ini kita hafal. Namun, sejauh mana usrah menjadi darah daging kita sehingga kita akan seperti "ikan yang terpisah dari air" andai lama tidak berusrah.

Memang, aku mengakui...ada juga orang yang tidak perlu usrah dalam hidupnya kerana mungkin peluang itu tidak hadir atau pelbagai perkara yang menjadi penghalang. 

Apabila bercerita berkenaan usrah, segala kenangan indah semalam bersama akhawat berputar dalam memori ingatanku. 

Rehlah (Berkelah)..
Jaulah (berjalan jauh)..
daripada Masjid IPG Kampus Keningau sehinggalah ke Tambunan dan Tenom. 

Kami sentiasa mencuri masa untuk menghadirkan diri kerana ada "sesuatu" yang kami perolehi yang tidak ada di mana-mana. Kemanisan dan kebahagiaan tersebut sukar diungkapkan kerana tidak ada perkataan yang dapat mengambarkannya.

Nikmat mempunyai sahabat yang baik adalah nikmat yang paling indah selepas nikmat iman dan Islam. Setiap kali memandang wajah mereka, terasa bahawa diri dihargai dan disayangi.

Disebabkan itulah, kami berusaha untuk meneruskan segala usaha yang telah dimulakan. Perlahan-lahan usrah menjadi sesuatu yang tidak asing...Namun, terdapat kepincangan di situ. Mungkin kerana kami kurang ilmu dan pengalaman. Hanya sekelumit cuma. Lalu, usrah menjadi sesuatu yang tidak lagi menjadi perhatian apatah lagi rebutan.

Semoga ada lagi kesempatan menjejakkan kaki ke sini...

Allah, ampunilah kekurangan kami..

Pelbagai tips dan kaedah untuk mempergiatkan usrah dicadangkan bagi mengatasi masalah yang berlaku. Sehinggakan kami hampir berputus asa...

"Kamu tidak pernah peduli dengan adik-adik usrah kamu, macam mana mereka nak dengar cakap kamu? Berapa ramai di sini yang mesej adik-adiknya sepanjang cuti ini? Hah, takda..." kata seorang senior semasa tamrin yang lalu. 

Kata-kata tersebut ada kebenarannya. Apatah lagi andai hubungan dengan Allah tidak dijaga dengan sebaiknya menyebabkan kekurangan itu semakin lompang. 

Iya, usrah hanya akan hidup di hati-hati yang inginkan kepada Islam...

Usrah bukan segala-galanya, tetapi tarbiyah memerlukan usrah untuk menggetuk hati-hati...

Namun, sebelum itu, kitalah yang berusaha ke arah tersebut. Usahlah ditangisi apa yang sudah berlalu, tapi anyamlah kerinduan tersebut dengan mencipta memori baru..

"Kita hanya akan dapat memulakan catatan di lembaran yang baru dengan beralih ke halaman yang seterusnya...Tidak ada yang perlu ditangisi. Andai hati sudah mulai merasakan nikmatnya dalam iman, genggamlah dengan gerahammu...usah dilepaskan. Kerana Peluang kedua tidak selalunya ada.."

Sebenarnya aku rindu dengan semua sahabat-sahabatku...Mempunyai impian untuk menyatukan semuanya kembali seperti suatu ketika dahulu sebelum kaki melangkah keluar ke medan sebenar di luar sana...Allahuma Amin...

Allahuma Yassir Wa La Tuassir...

Ayuh, sahabat, kita gerakkan kembali apa yang pernah bergerak. Kita cipta kembali apa yang pernah tercipta. 

"Kemudian apabila engkau telah berazam (untuk berbuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya" 
(Surah Aali Imran: ayat 159)

InsyaAllah. Segalanya dengan Izin Allah.

Monday, June 17, 2013

Belajarlah dari mereka...

Kini hanya tinggal kenangan
"Alhamdulillah..."

Perlahan-lahan aku melangkah turun dari bas Ranau-Keningau yang menghantar kami sehingga ke Blok kediaman cempaka, tempat yang telah menjadi teduhanku sepanjang bermusafir di bumi keningau ini.

"Terima kasih banyak-banyak ya Pak cik..." sambil menundukkan badan aku mengangkat tangan tanda hormat padanya.

Syukur, atas rahmat-Nya, perjalanan berjalan lancar walaupun terdapat beberapa perkara yang berlaku semasa kami ingin bertolak meninggalkan tapak program.

Kereta yang kami naiki tidak dapat melepasi bukit menyebabkan aku dan dua orang sahabat menapak. Aku mengagahkan diri dengan saki-baki tenaga yang ada memandangkan keletihan yang kian berganda-ganda. Semalaman tidak tidur dek menyiapkan segala yang diperlukan bagi majlis penutupan Kem Jati Diri dan Pemantapan Akidah tadi menyebabkan aku berjalan agak terhuyung-hayang. 

Sebak. Rindu. Gembira. Kagum. Pelbagai perasaan bermain di relung hati sehingga aku tidak mampu mentafsirkannya...

Allah. Benarlah hanya cinta Allah dan Rasul yang akan menguatkan kita untuk terus Thabat (teguh) dalam perjuangan ini. Kemudian, kita memerlukan sokongan dari sahabat-sahabat yang juga mempunyai jiwa yang sama untuk menepis segala bisikan hawa nafsu dan syaitan. 

Kuakui, Memang, pada mulanya, aku merasa berat untuk meninggalkan rumah yang kini kian sunyi. Walaupun mempunyai 10 orang adik-beradik, namun, ketika semuanya memilih haluan sendiri rumah ditinggal sepi. Wajah ayah yang semakin dimamah usia  bersama adik bongsuku yang masih memerlukan "kasih seorang wanita" menimbulkan sayu di hati...

"Esok? awalnya kak su balik..." kata adikku sambil mengacau perlahan minuman di hadapannya. Sugul. Itulah yang mampu kutafsirkan..

"Adik kan tahu, kak uti ada program di Ranau hujung minggu ni..." balasku sambil mengurut perlahan bahunya.

"Iyalah..." balasnya lemah.

Sepi. Aku segera bergerak ke sinki dan membasuh beras sambil menahan air mata yang bila-bila masa sahaja boleh tumpah. 

"Tarbiyah ini terlalu mahal harganya dik...perlu dibayar dengan apa yang mampu kakak lakukan" desis hatiku perlahan.

Tidak mudah. Hatiku benar-benar berbelah bahagi. Di rumah, aku merasa sangat bahagia. Melihat wajah ayah yang tersenyum menjamah makanan yang kusediakan menimbulkan rasa bahagia. Insan yang pastinya menerimaku apa adanya dan sentiasa melindungiku...

Namun, saat ini juga aku memerlukan kekuatan untuk bangkit setelah dipukul dengan ujian yang menderu. Benarlah, ujian itu benar-benar memberi peluang kepada diri kita untuk kembali kepada-Nya. Di saat sudah tidak ada sesiapa lagi yang memahami apa yang kita bicarakan, maka, mengadulah pada-Nya...pada DIA Yang Maha Mendengar.

Pagi jumaat itu aku menangis. Sebelum ke sekolah, adikku menyalam dan memeluk bahuku. Walaupun dia mengukirkan senyuman tapi aku merasai apa yang ada di hatinya. Aku tahu dia pasti akan sunyi..

"Ya Allah, aku serahkan mereka pada-Mu..."

Aku menguatkan hati demi sebuah yang namanya ilmu dan pengalaman. Aku tidak punyai apa-apa, hanya itulah yang kelak akan menjadi bekalanku atau penemanku sebelum bertemu-Nya..

Perjalanan selama 2 jam tidak terasa apabila menikmati kehijauan dan merasai kenyamanan udaranya..

Ranau. Sebuah kisah akan tercipta lagi...

"Kak su jadi urusetia ya, kakak yang lain jadi fasilitator..." perlantikan yang secara mendadak itu diterima dengan hati yang terbuka. Memang, kali ini, tidak ramai sahabat yang dapat turut serta. Semoga Allah terus mempertautkan hati kami.

Menjadi urusetia memerlukan ketahanan dari semua aspek. Aku sendiri jatuh sakit, namun, melihat wajah adik-adik yang kegembiraan, sahabat-sahabat yang bersama, sakit itu tidak terasa....

Ah, terlalu banyak kenangan sehingga aku sendiri kehilangan kata-kata untuk dicatatkan

Benarlah, semakin kita membuka diri kita, semakin banyak peluang yang akan datang.

Syukurilah nikmat yang telah dikurnikan dengan berkongsi dengan yang lain...



Sunday, June 9, 2013

Mencari semangat yang hilang


"Bagaimana keadaan semua krew? Persediaan ok sudah?" mesej daripada penyelaras program kurenung berkali-kali.

Aku merenung ke luar melalui tingkap bas yang kabur. 

Aku mengimbau kembali sebuah memori Tahun lepas di sebuah tempat..


Tontolob Liwan, Ranau 

"Suratni, ustaz harap kamu tidak rasa serik untuk join program-program selepas ini..."


Tersentak. Aku yang ketika itu sedang menyiapkan bahan-bahan untuk slotku yang bakal menjelang dalam beberapa jam lagi menjadi kaku. Aku diam. Perlahan-lahan aku mengangkat muka..

"InsyaAllah, ustaz..."Hanya itu yang mampu kuucapkan.

 Satu ayat yang bagiku amat mendalam maknanya. Mungkin beliau ingin memberikan semangat agar aku tidak patah semangat. Aku merasa terharu. Dalam keadaan diri yang serba-serbi kurang ini, masih lagi diberi peluang  untuk mentarbiyah dan ditarbiyah. 

Terlalu banyak yang kupelajari biarpun ketibaan kami agak lewat. Namun, aku memanjatkan kesyukuran kerana pada mulanya aku menyangka kami tidak akan berkesempatan untuk mengikuti program ini. Rancangan awal, kami akan bertolak pada hari jumaat itu tapi kerana bertembung dengan Larian 1 Malaysia pada hari sabtu, segalanya berubah.

Ya Allah...engkau lebih mengetahui...Aku beristighfar. Ingin kuluahkan betapa aku bersyukur masih lagi diberi peluang ini. Namun, semua itu tidak terluah. Sekadar berlegar-legar di dalam minda tanpa terluah. Ah!Terlalu banyak yang aku pelajari, terlalu banyak yang kuperolehi.

Ketika melihat wajah-wajah penduduk kampung, aku merasai satu ketenangan. Namun, pada masa yang sama kerisauan berputik. Aku risau memikirkan gerakan pihak tertentu yang amat laju. Apatah lagi melihat wajah-wajah yang haus akan ilmu agama. Apakah ada lagi orang yang mengambil berat mengenai mereka?


Aku melihat ke dalam diri. Aku lahir dalam keluarga sederhana serba-serbi. Baik fizikal mahupun dalaman. Walaupun pernah makan nasi berlaukkan air garam, namun aku bersyukur. Kesusahan hidup banyak mengajar aku akan kasih sayang Allah dan pergantungan kepada-Nya...


Air mata bergenang. Tiada kata yang terucap. Aku menyangka itulah kem terakhir yang akan aku sertai. Namun, perancangan Allah..

"Jomlah kak..." wajah adik-adik yang menjadi penguatku tika lemah kurenung.

"Tapi , jauh bha Tawau tu..." aku cuba mencipta alasan.

"Kaka ni..pergi semenanjung ndak pula rasa jauh. Ini masih sabah juga bha..."

Aku terdiam.

Dalam keadaan dilema bagaimana untuk menerangkan kepada ayahku, aku memberikan persetujuan. Andai itu yang tertulis buatku, pasti ada jalannya...

Ketika melangkah turun dari bas, angka yang tertera di jam tanganku menunjukkan pukul 4.28 pagi. Tepat waktu subuh, kami sampai ke daerah ini. 

Sambil menumpang kasih di rumah keluarga angkat, 2 hari sebelumnya kami isi dengan menziarahi rumah sahabat yang ada dan menjejakkan kaki di masjid yang ada. Segalanya Indah. Kepada yang telah menerima kehadiran kami, Semoga Allah memberikan balasan yang lebih baik daripada yang diberikan kepada kami. Semuanya membuktikan bahawa ikatan akidah adalah yang paling utuh. 

30 Mei 2013 (Khamis)

Hari yang dinanti telah tiba. "Motor" yang akan mengangkut kami ke Pulau Sebatik rupanya adalah sebuah Kapal bot. Dek kerana mabuk laut, perjalanan yang memakan masa selama 2 jam setengah tersebut diisi dengan ibadah senyap.

Ketibaan kami disapa angin laut yang bertiup dari Laut China Selatan. Maha Suci Allah yang telah menundukkan lautan ini untuk memudahkan perjalanan. Udara berlumba-lumba memasuki paru-paru ketika menarik nafas sedalam-dalamnya. 

Alhamdulillah. 

Tenang. Damai menyelinap ke dalam relung hati. Itulah yang mampu kugambarkan. Melihat keadaan sekeliling yang masih terpelihara daripada "batu-batu konkrit" pembangunan, memberikan peluang untuk menghayati ciptaan Allah yang sentiasa sempurna. 

Sekali lagi, kami menumpang kasih di rumah penduduk kampung di sini bersama sahabat-sahabat yang lain. Walaupun badan agak letih, namun, keterujaan untuk program keesokan harinya menyebabkan kami semua tidak duduk diam. Semuanya membuat persiapan masing-masing.

Di sinilah aku mengenali Ikan Baulu..Menyiang dan memotongnya tanpa mengetahui itulah ikan baulu yang selama ini cuba kuelak daripada menjamahnya.

Alhamdulillah..Rezeki untuk sepanjang program.

Menjadi Kem kom adalah pilihan terakhir yang aku ingin pikul. Namun, seperti mana pesan sahabatku,

"Apabila kita sudah berjanji setia untuk berkorban diri untuk Islam, kita harus sedar janji tersebut datang dengan satu pakej ujian. Terimalah apa pun yang mendatang. Lihatlah dengan mata hati kerana hikmah adalah hasil yang kita ingin perolehi dari setiap perkara yang berlaku. Teruslah belajar setiap hari, di mana pun, dari siapa pun..."

Terima kasih, sahabat....

Aku memilih untuk banyak mendiamkan diri dan memerhati setiap yang berlaku. Benarlah, menimba ilmu di tempat orang akan memberikan kita perspektif yang berbeza. Di saat inilah Allah akan menguji keikhlasan kita. Yakinlah, Andai niat benar-benar kerana-Nya, kesabaran akan menjadi benteng bagi menghadapi segalanya. Disebabkan itulah "Perbetulkan niat" adalah pesanan yang sering diulang-ulang...

Berada di tempat yang baru dan mengenali wajah-wajah baru dengan watak yang pelbagai adakalanya menguji diri. Rasa hati dikesampingkan kerana itulah perkara terbaik yang boleh dilakukan. 

Namun, satu perkara yang menyentuh hatiku adalah melihat perjuangan beberapa insan yang kukira wajar untuk aku kagumi. Melihat mereka berbicara mengetuk kesedaran dalam diri bahawa semua orang diuji...

Meneguk kata-kata nasihat dari seorang Ustaz Nasir bin Yak yang kukira telah lama menyimpan suka duka perjuangan,

"Hanya satu sahaja yang kamu perlu bina dalam diri kamu...itulah keihklasan..bukan untuk hanya dalam program ini tapi untuk seluruh kehidupan kamu..."

Ketika merasmikan penutupan, sekali lagi beliau memetik Surah Luqman dengan penuh penghayatan...

"Inilah ciri-ciri orang beriman..ketika ayat-ayat Allah dibacakan, hatinya akan bergetar. Air mata akan berlinang.." bisik sahabatku.

Allah...hanya orang yang di dalam hatinya ada al-Quran akan mampu memahami apa yang disampaikan...

Segalanya adalah Rahmat dari Allah. Semangat yang dicari kutemui di sebuah pulau...

"Ya Allah, pilihlah kami...janganlah engkau pesongkan kami sesudah engkau berikan kami petunjuk..."