Saturday, January 21, 2012

Nota Hati: BUGEM 1


"Apa kata kita bawa dorang ni jalan-jalan macam yang kak jihah buat dengan kita?" cadangku pada sahabat-sahabat seperjuangan. Ketika itu, kami baru usai solat Isya' berjemaah. Aku tahu, mereka pasti mempunyai idea yang hebat-hebat. Apatah lagi minggu ini "risiko" untuk pelatih balik ke kampung adalah minima disebabkan minggu hadapan adalah cuti Tahun Baru Cina selama seminggu.

"Tapi kan sekarang ni musim pokai (kekurangan duit)" seorang sahabat menyedarkan mengenai situasi yang dialami oleh rata-rata pelatih buat masa ini.

"Kita bawa yang dekat-dekat jak la" seorang lagi menyampuk.

"Hah..apa kata kita bawa ke penternakan lembu di belakang tu.." usulku.

"Tapi, bahayalah perjalanan..biarpun jarang digunakan tapi kebanyakan kereta yang melalui jalan ini memandu dengan kadar kelajuan yang tinggi. Risiko tu. Kita nak bawa anak orang ni..."seorang lagi memberikan buah fikiran.

Aku mengangguk-angguk. Benar, mengikut pengalamanku sendiri, walaupun jaraknya tidaklah seberapa jauh, namun, kenderaan yang lalu-lalang membahayakan bagi adik-adik junior yang akan kami bawa.

Keadaan sunyi seketika.. Sepi. Semuanya terdiam berfikir, mencari lokasi yang sesuai untuk mengadakan BUGEM secara Qubra yang tidak mengikut kelaziman (duduk dalam bulatan di masjid).

"Apa kata kita buat di sekitar IP ini sahaja, tapi kita bawa mereka ke padang" seorang sahabat tiba-tiba menuturkan idea.

Semua menyetujui cadangan itu. Kemudian, kami beralih pula kepada perancangan aktiviti. Setiap orang melontarkan idea yang bernas dan bertepatan. MasyaAllah. Semuanya pertolongan dari Allah yang memberikan ilham kepada kami.

14/01/2011- (Sabtu, 7.30 a.m-11.30 a.m)

Dengan tema, "Kerana Islam kita bersama" setiap aktiviti dilaksanakan seperti yang telah dirancang. Walaupun ada yang tidak mengikut perancangan awal, namun, Allah menggantikannya dengan yang lebih baik dari yang kami rancang.

Di akhir pertemuan...

Alhamdulillah. Dengan bantuan beberapa orang (kak nana, alisyah, mus, wana, eema, syikin) selain naqibah-naqibah yang sedia ada (kak Yatie, kak ani, kak atiqah, kak annis, kak anisah, kak seha, kak izzah, dayah, kiah, shira, amna, farah, gigie, ida, lily, dayu, zela) perjalanan BUGEM memang benar-benar mengembirakan.

Segala idea, pertolongan dan kerjasama dari semua pihaklah yang menjayakan BUGEM kali pertama ini. Semoga Allah menerima segalanya sebagai nilaian ibadah di sisi-Nya. InsyaAllah. Apa yang pasti, peringatan dari sahabatku tetap menembus ke hatiku,

"Ini baru permulaan, jangan mudah lalai. Bertakwalah kepada Allah ketika merancang, bertakwalah kepada ALLAH ketika melaksanakan, bertaqwalah kepada Allah ketika segalanya telah selesai. Ingat kembali tujuan asal kita. "Mengenali Allah". Pasakkan ke dalam hati mereka dengan menuturkannya melalui hatimu..."

Aku akur.

Semuanya adalah hadiah dari Allah s.w.t berupa pengalaman yang indah berada dalam ikatan ukhuwah dan merasai curahan rahmat dari Allah s.w.t.

Sayu hatiku melihat kegembiraan yang terpancar di wajah setiap adik-adik junior dan di wajah para sahabat. Kepuasan dan ketenangan itu merupakan kurniaan Allah semata-mata. Hanya Allah yang mampu menyatukan hati orang-orang yang beriman. Walaupun adik-adik BUGEM datang dari pelbagai tempat, yang berlainan bangsa, berbeza-beza budaya, berbeza gaya, tapi kesemuanya adalah sama di sisi Allah s.w.t. Kesemua mereka memerlukan tarbiyyah untuk menjadi penggerak masa depan dan penegak Islam di atas muka bumi ini.

Kepada Allah jua kami kembalikan kesyukuran yang teramat kerana mempermudahkan segalanya. Dengan keupayaan kami yang terbatas, Allah telah memberikan kekuatan dari arah yang tidak disangka-sangka. Allahuakbar.

With Lots of Love. Living Here for Hereafter.

No comments: