Monday, January 30, 2012

Nota Hati: Girls Talk 1


“Kak, bolehkah GIRLS TALK ditunda ke minggu hadapan?” pertanyaan melalui sms itu mengundang perasaan sayu dan sebak di hatiku. Sayu kerana aku merasa masa yang kupunyai kian mendekati penghujungnya. Sebak andai apa yang dilakukan tidak mendapat keredhaan-Nya.

Aku memejamkan mata. Ya Allah, kuatkanlah aku. Satu-persatu wajah mereka kubayangkan dalam fikiranku. Wajah mereka yang suci dan mulus membuatkan aku harus bertegas sedikit untuk memberikan mereka peluang merasai indahnya sebuah ukhuwah yang didasarkan pada sebuah keimanan.

Aku tidak ingin memaksa mereka, tapi, janji ini harus ditunaikan.

“kenapa,dik?” aku cuba mendapatkan penjelasan.

“Kami agak sibuk, nak buat pembentangan untuk esok hari” balasnya semula.

“Cubalah bincang semula dengan kawan-kawan. Dapat jumpa setengah jam pun ok sudah..” aku memaksa hatiku untuk tetap dengan keputusan dan perancangan awal.

Seperkara yang mudah dalam menguruskan USRAH mereka adalah kesatuan yang memang telah wujud dalam diri setiap dari mereka dan penerimaan diri rakan-rakan mereka apa adanya itu menjadi suatu kelebihan untuk menggerakkan mereka.

Alhamdulillah. Walaupun 2 orang tidak dapat hadir, bilangan yang hadir membuatkan aku lega sebentar. Iya, kelegaan itu berganti dengan debaran kerana pengisian untuk malam ini belum diputuskan kecuali tadabur ayat al-Quran.

Dengan nada yang perlahan, aku memulakan sesi muhasabah diri...

“Adik-adik, disaat kali pertama, kita membuka al-Quran ini tadi, apa yang terdetik di hati? Apa yang kita inginkan ketika membuka kitab warisan ini? Nak dapat pahala? Buat sebab diarah oleh kakak? Atau tak da niat?

Aku berhenti sejenak untuk melihat reaksi mereka.

“Setiap amalan bergantung pada niat…”ini sudah sering kita dengar, tapi sejauhmana kita mengamalkannya...

Andai kita mebacanya kerana inginkan pahala, insyaAllah, itulah yang akan kita perolehi. Andai kita membacanya kerana ingin membersihkan hati, insyaAllah, itulah yang akan kita perolehi. Dan, andai niat kita sekadar suka-suka, maka, sia-sialah suara kita, masa kita dan tenaga kita...

Adik-adik, Mari kita sama-sama buka surah al-Fatihah. Surah yang menjadi IBU kepada al-Quran...

Pada ayat yang kelima, bersungguh-sungguh kita meminta kepada Allah untuk ditunjukkan Jalan Yang Lurus, Jalan Yang Allah berikan nikmat…Malah, kita meminta bukan sekali tapi sebanyak bilangan rakaat setiap kali kita solat, lima kali sehari semalam.

Kita meminta petunjuk.

Adik-adik, Allah telah pun jawab doa dan permohonan kita itu. Allah jawab dalam surah yang kedua. Cukup cantik sudah apa yang disusun oleh Allah s.w.t. Dalam surah Al-Baqarah, Allah jawab…

"Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertakwa" (Surah Al-Baqarah:ayat 2)

Al-Quran inilah petunjuknya. Tapi dengan syarat, menjadi orang yang bertakwa dahulu. Apakah ciri-ciri orang yang bertakwa itu?

Allah jelaskan dalam ayat yang berikutnya...

"(Iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, melaksanakan solat dan menginfakkan sebahagian rezeki yang kami berikan kepada mereka, dan mereka yang beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepadamu (Muhammad) dan (kitab-kitab) yang telah diturunkan sebelum engkau dan mereka yakin akan adanya akhirat. Merekalah yang mendapat petunjuk dari Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang beruntung." (Surah Al-Baqarah: ayat 3-5)

Semoga Allah permudahkan bagi kita untuk mendapat petunjuk-Nya...

Perkongsian kemudian disambung oleh Kak Izzah yang membicarakan hal wanita sesuai dengan peranannya sebagai Ketua Syukbah HELWI. Alhamdulillah. Segalanya berjalan lancar.

Sesi luahan hati memaparkan kekuasaan Allah sebagai pemilik hati, betapa mereka anak-anak yang baik. Aku hampir menitiskan air mata mendengar luahan hati mereka dan keazaman mereka untuk menjadi lebih baik. Semoga Allah memperkenankan dan merahmati kita semua.

Kata-kata dari seorang adik yang paling periang, Lily cukup mengesankan yang hadir,

“The man who decided to change in twelve, died in eleventh" ungkapan yang dipetiknya dari sebuah novel karangan Hlovate, bertajuk Contengan Jalanan.

"Satu kesimpulan yang saya boleh buat, janganlah bertangguh untuk berubah. Kita tidak tahu bila ajal akan menjemput kita.." simpulnya sebagai penamat sesi kerana aku sendiri merasa sebak...

“Kak, kak..saya ada mahu cakap ni, saya ada masalah bha ni”seorang adik mendekatiku selepas GIRLS TALK berakhir.

“Apa dia?” kataku sambil tersenyum.

“Saya tidak pandai mengaji, tapi saya mahu belajar, tapi tak tahu macam mana nak belajar…”tuturnya agak malu sambil matanya melilau ke kiri dan kanan, khuatir didengari.

Aku ketawa untuk menyembunyikan getaran di dadaku. Hatiku bergetar penuh kesyukuran kerana adik ini ingin melakukan perubahan kerana dia sendiri yang menginginkannya. Itulah yang kuharapkan.

Maha Suci Allah.

“La..ingatkan perkara besar tadi…itu senang jak tu…”aku cuba meredakan kerisauannya dengan membawanya melihat masalah itu boleh diatasi. Perubahan perlu dilakukan dengan membuat gambaran yang positif terlebih dahulu di minda. Begin in the end of mind-Stephen Covey.

“kakak pun dulu nak SPM baru belajar Alif, ba, ta..masa PLKN baru belajar mengaji..Masa masuk IP ni baru belajar hukum tajwid…”aku cuba meyakinkannya dengan mengorek kisah silam sebagai bukti tidak ada yang mustahil.

“InsyaAllah kak..” azamnya selepas aku memberikan sedikit tips untuk mudah mengaji dan lancar membaca al-Quran.

Semoga Allah merahmatimu dik…

Living Here for Hereafter. With Love till the end of time...

Terimalah amal kami, Ya Allah...

4 comments:

Anonymous said...

su, kenapa setiap kali kakak baca entri su mesti air mata ingin menitik. selalu terkesan dengan entri2 su. menulis dr hati, sampai terus ke hati. ya Allah, rahmatilah kami..

SH4Vi4Mie said...

semoga Allah menguatkan hati2 kami untuk terus mencari nilai Islam dan keimanan dalam hati2 kami. amin ya Rabb.

musafir kehidupan said...

MasyaAllah, kak...
hati kakak yang lembut tu..dilimpahi rahmat dan taufiq dari Allah.. Apa yang penting, apa yang kita buat ini dirahmati Allah

SH4Vi4Mie
Amin. Terima kasih atas ziarah dan doanya. Semoga Allah Merahmati kita semua..

SH4Vi4Mie said...

insyaAllah...amin ya Rabb. :)