Friday, March 30, 2012

Yang terakhir kali...


"Dan Sesungguhnya akhir itu lebih baik bagimu daripada permulaan..."
(Surah Ad-Dhuha,93:ayat 4)

Cukuplah Allah sebagai penolong dan pelindung.
Dialah sebaik-baik sandaran...

Ayuh!Bangkitlah sahabat sekalian...
Buktikan sinar itu hanya diliputi oleh mendung, bukan tenggelam...
InsyaAllah...
With Lots of Love, Till The End.

Thursday, March 15, 2012

Bingkisan hati: titipan kasihku buatmu

Pokok ini punyai nostalgia...
Bismillah.

Aku memohon keampunan dari Allah dan kemaafan dari kalian.

Pertama, apa yang mampu kunyatakan di sini adalah berdasarkan penilaianku sendiri. Bukan hukum dan bukan juga fatwa. Aku menuliskannya sebagai tazkirah buat diri yang sering dihingap penyakit lupa ini. Biiznillah..

Sahabat, Dalam kita menilai, janganlah menghukum. Seringkali, apa yang terjadi masa kini, kita terlalu banyak ditenggelami oleh emosi sehingga menilai kebenaran berdasarkan orang dan bukan lagi menilai orang berdasarkan sebuah kebenaran.

Sahabat yang aku kasihi, Sebelum kita menghukum, perlu kita tahu adakah orang yang kita nilai itu sudah mengetahui. Janganlah kita mengikuti lagak "Ultraman", kerana ingin menewaskan seekor raksasa, kita menghancurkan sebuah bandar. Ingatlah, membina sebuah bandar itu memerlukan masa yang bukan sehari cuma. Ingatlah juga, dalam bandar itu tersimpan memori bagi sesetengah manusia yang pernah mendiaminya. Dan yang lebih utama, ada nyawa yang menghuni bandar tersebut.

Sahabatku, berpada-padalah dalam berbicara. Bertakwalah kepada Allah dalam melakukan apa sahaja. DIA tidak pernah lengah dengan apa yang kita lakukan...

Sahabatku yang amat kucintai... Sekali lagi, aku memohon keampunan dan kemaafan. Aku menyayangi dirimu sedari awal pertemuan kita sehingga nafas ini berhenti berdenyut, InsyaAllah. Ketahuilah. Andai apa yang aku coretkan ini melukai hatimu, aku justeru lebih terluka...

Cerpen: Izinkan aku berbakti padamu...


Aku sudah merasa lelah dengan segalanya.

“Ini aku punya!” pekik seorang.

“Ini aku yang tanam..!” tingkah seorang lagi.

“Aku yang menjaganya. Aku yang lebih berhak!” Seorang lagi

Aku hanya melihat dari kejauhan. Kulihat dia yang berdiri di sebelahku. Sedari awal, ia tetap begitu. Tetap tegak, tetap tenang. Perilakunya itu mengagumkanku.

“Apa kau tidak takut?” tanyaku padanya

“Takut pada apa, sahabatku?” tuturnya lembut.

“Mereka...” kataku sambil menunjuk ke arah kumpulan manusia yang berkumpul itu.

“Oh...usah terpengaruh dengan mereka...” katanya sambil memandang ke langit.

“Bagaimana?” aku tidak dapat menahan persoalan yang bermain-main di kepalaku sedari tadi.

“Yakin dan percayalah, sahabatku...”ujarnya lembut.

“Aku yang memberinya baja, menyiramnya, menjaganya...” jeritan itu semakin kuat.

“Biarkan mereka. Walaupun mereka mengatakan mereka yang menjagaku, memberiku kehidupan, memberikan aku segala yang aku perlukan, namun, aku yakin, aku hidup hari ini atas rahmat dan izin-Nya” terangnya. Kulihat kemudian dia bertakafur.

“Maksudmu...?” tanyaku lagi.

“Aku memang ditanam oleh mereka, tapi mereka lupa, ada lagi proses yang aku perlu lalui selain daripada “ditanam”. Proses menanam itu hanyalah permulaan sebagai langkah permulaan takdir dalam kehidupanku. Tapi, kemudian dalam proses kehidupanku, aku tidak hanya bergantung pada baja dan air yang diberikan mereka. Siang dan malamku tidak akan mampu kulalui andai aku bergantung pada mereka. Halanganku untuk membesar sehinggalah aku boleh mengeluarkan hasil kini, bukan hanya setakat memenuhi keperluan asasku seperti yang diuar-uarkan mereka. Mereka tidak pernah mengetahui, bahawa Siang dan malam aku berjuang untuk melawan ribut taufan kehidupan, siang dan malam juga aku berhadapan dengan pelbagai serangan parasit kehidupan. Semua itu tidak akan mampu kulalui andai aku menggantungkan harapan pada mereka...”

Dia menarik nafas perlahan.

“Siapa yang menemanimu mengharungi semua itu?” aku tidak sabar.

"Dia.."balasnya.

"Dia itu Siapa?" aku bingung

“Dialah yang sentiasa ada. Yang Maha Hidup, Yang Maha akhir, Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu...”

Aku menunduk. Sesuatu yang aku tidak pernah terfikir selama ini.

“Yakinlah, biarpun kita dikatakan kepunyaan mereka, tapi hakikatnya kita semua kepunyaan Allah. Dari-Nya kita datang, kepada-Nya kita kembali. Letaklah pergantungan kepada-Nya.

“Prak..Prak..”

“Cepat atau lambat kita pasti akan bertemu dengan-Nya...” katanya lagi sebelum tumbang.

Apabila aku melihat ke tepi, tubuhnya sudah kaku...

Kulihat “mereka-mereka” itu kemudiannya pulang.Tanpa rasa bersalah. Malah, pada wajah masing-masing terlukis kepuasan kerana telah mendapat titik noktah bagi sebuah perebutan untuk mendapatkan "hak".

Air mataku mengalir. Inikah jalan penyelesaiannya?

Dia menjadi korban nafsu ‘mereka’, tapi, dia bahagia. Bahagia, kerana sebelum dia pergi, dia sempat memberikan manfaat biarpun hanya untuk seketika. Bahagia, kerana perginya tanpa ada hisab. Tapi bagi mereka, nantikanlah saatnya. Saat perhitungan dengan neraca keadilan. Apakah “mereka’ lupa, segalanya akan ditanya kelak...?

Cerpen ini hanyalah percubaan pertama MK...Semoga ada manfaat dan iktibar.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Yakinlah dengan sebuah ketentuan. Harapan sentiasa ada buat mereka yang tidak berputus asa dengan rahmat-Nya...

Really, with lots of Love,

Lets, together..Living here for our hereafter...

Tuesday, March 13, 2012

Kenangan semalam- Bahagian 1

"Eh.."aku terkejut dan merasa sedikit marah apabila merasa seseorang menyiku pinggangku. Aku segera berpaling. Ketika itu, aku khuatir jika yang melakukannya adalah lawan sejenisku. Walaupun keadaan pasar malam yang sesak, tapi bagiku itu bukanlah alasan untuk sesuka hati melanggar orang.

Apabila melihat wajah yang tersenyum di hadapanku kini, aku terkedu. Akalku segera memproses maklumat yang telah lama tersimpan. Wajahnya yang tersenyum lembut menyejukkan api amarah di hatiku..

"Kakak..." ujarnya sambil memelukku.

Aku yang agak kaget, hanya terkaku.

Kenangan semalam terus berputar di ingatan. Sedaya upaya aku menahan perasaanku yang berkocak.

"Tiga hari yang lalu, aku mengikuti program menjadi fasilitator di Sek Ren Yuk Yin kat keningau..Sepanjang perjalanan kami ke sana mengambil masa lebih kurang 20 minit dimanfaatkan sepenuhnya oleh saudara pengerusi masjid, untuk memberi taklimat dan pesanan agar perbetulkan niat. 

Apabila sampai, ternyata tidak jauh berbeza dengan sekolah cina yang lain. Tulisan cina di mana-mana(memang patut pun...kan namanya sekolah cina..)kami menikmati minuman petang (sedap! Sangat sedap!)...kuih karipap dan pelat pisang. Alhamdulilah. selepas diberikan fail dan name-tag fasilitator,kami pun membawa barang-barang ke hotel (tempat penginapan kami iaitu di kelas darjah 4) dan membantu adik-adik mempersiapkan diri. Buat pertama kali aku mengajar mereka membaca doa dan cara-cara mengambil wuduk yang betul, aku merasa tersentuh.Betapa banyak lagi insan malang yang tidak berkesempatan mengenali agama Islam.Seharusnya aku bersyukur kerana aku, walaupun tidak lahir dalam keluarga yang ada pegangan agama tapi Allah telah mengerakkan aku untuk mengenali-Nya..Aku juga diberikan teman-teman seperjuangan yang tidak jemu untuk membawa aku mengenali Islam. Dalam aku tidak sedari, air mataku menitis..."
Senaman pagi...
 
Catatan semalam ku belek..Ah!Terbit perasaan rindu...Semua itu berlaku dalam perancangan Allah. Bukan kebetulan. Semuanya telah tertulis di Loh Mahfuz.

"Di mana sekarang?" aku bertanya.
"Di Smk Gunsanad..kakak masih di IP?" jawapannya disertakan dengan persoalan.

Aku tersenyum. Sambil mengangguk, tanganku kunaikkan untuk mencubit pipinya.

"Iya...ada dua tahun lagi, bila mahu lawat pergi IP lagi ni?"

"hehe.."dia sekadar tersenyum.

Selepas bertukar-tukar nombor telefon, dia sempat meminta nombor telefon kakak fasinya (Kak Yati)...

"Balajar rajin-rajin, jaga solat, jaga iman..." hanya itu yang mampu kutitipkan padanya. Semoga Allah terus melindunginya...

Cabaran yang menanti di hadapan lebih besar...dan bekalan yang terbaik ialah takwa.

With Lots of Love,
Living Here for Hereafter.

Thursday, March 8, 2012

Betul yang tak betul, salah yang tak salah...

Yang mana betul?
"Apa pendapat kamu semua berkaitan buku kerja?" pensyarah bagi subjek resos matematik melontarkan pertanyaan untuk meransang pemikiran kami.

"Memudahkan kerja guru" seorang menjawab.

"Membolehkan murid melakukan latihan sendiri, sebab disediakan jawapan" seorang lagi memberikan  jawapan.

Pensyarah tersebut tersenyum.

"Inilah antara pemikiran kita. Pemikiran kita disempitkan oleh konteks "IKUT BUKU KERJA"..." ujarnya.

Aku melihat ke arah pensyarah tersebut, mencari maksud sebenar beliau.

"Memanglah buku kerja tu salah satu cara untuk kita mengukuhkan pemahaman, tapi, cuba bayangkan andai setiap anak-anak murid kita diterapkan stereotaip "kalau sama dengan buku kerja, betul. Kalau jawapan tidak sama  dengan apa yang terdapat dalam buku kerja, salah...otak mereka akan menjadi sempit. Kesudahannya, mereka akan TAKUT untuk mencuba sesuatu yang baru dalam proses pembelajaran kerana takut salah.." simpul beliau.

Kata-kata beliau memang banyak menyentuh realiti masa kini.

Salahkah untuk salah?

Kita selalu berbuat salah. Malah, kita lebih banyak belajar daripada kesalahan kita untuk menjadi seseorang yang lebih baik dari semalam.

Namun, apa yang menyedihkan, andai kita tidak suka dengan kesalahan sebaliknya ingin sentiasa betul. Iya, memang sifat itu baik, kerana kita akan berhati-hati daripada melakukan kesalahan. Tapi, andai sudah sampai ke tahap membenci "salah" itu dan membuangnya terus, kita tidak akan memperolehi apa-apa pun daripada kesalahan itu.

Sahabatku, terimalah kesalahan itu sebagai satu proses dalam kehidupan kita. Kita tidak selamanya betul. Kita juga tidak selamanya akan terus-terusan melakukan kesalahan. Berlaku adillah...

Usah disalahkan pada yang salah, tapi, ambillah iktibar dari kesalahan itu kerana dari kesalahan kita mengenali apa itu kebenaran.

Kisah silam bukan untuk dibuang, tapi untuk diambil ibrah. Darinya akan lahirlah sebuah HIKMAH, mengapa Allah mentakdirkannya ke atas kita...

Pandanglah segala sesuatu dengan pandangan seorang hamba, agar kita mampu beroleh HIKMAH-Nya...

Living Here for hereafter,
Never stop to believe.