Saturday, January 29, 2011

Pesanan seorang sahabat...

Aku dan kau adalah keajaiban alam yang terbesar.
Aku dan kau telah diberi mata untuk melihat dan akal untuk berfikir.
Aku dan kau semakin mengerti bahawa semua masalah, kekecewaan, kesakitan jiwa dan seumpamanya adalah peluang-peluang besar yang datang dalam rupa yang berbeza. Bahkan semua itu hanyalah sedikit ujian yang ditimpakan berbanding manusia-manusia lain.

Tidak ada binatang melata atau tumbuhan, tiada batu batan atau tasik yang diciptakan sama seperti kita. Aku dan kau dikandung di dalam kolam cinta dan dilahirkan untuk matlamat yang istimewa. Aku dan kau sering melupai akan hal itu sebelum ini. Tetapi mulai saat ini kita akan membimbing hidup ke arah menyempurnakan sebuah aspirasi. Aku dan kau akan menghayati hari ini seakan-akan ia adalah hari yang terakhir.

Aku dan kau tidak perlu memikirkan lagi cara bagaimana untuk melupakan perkara silam. Walaupun semalam terlalu banyak kisah sedih, namun kesedihan orang lain lebih teruk daripada kita. Kita jauh lebih beruntung dari mereka. Oleh itu, abaikanlah sengsara lama. Besok telah terkubur bersama semalam. Hari ini kau dan aku tidak akan memikirkannya lagi. Aku dan kau punya satu nyawa dan nyawa itu tidak lain hanyalah suatu ukuran waktu. Jika kita mensia-siakan nyawa hari ini sama seperti merosakkan nyawa yang terakhir. Oleh itu,setiap jam yang berlalu di hari ini akan kita hargai kerana ia sama sekali tidak akan kembali lagi.

Sahabat...
Matlamat kita sekarang bukan percintaan tetapi kejayaan dalam pengajian.
kenapa harus pecah kepala memikirkan tentang hubungan.
Tidak berhubung bukan bererti putus.
Berenggang tidak bererti benci,kerana kasih yang sejati itu lahir dari keimanan.
Cintailah seseorang kerana Allah, Benci kerana Allah,
Bertemu kerana-Nya dan berpisah kerana-Nya.

Sahabatku,
Jangan jadi seperti mereka yang mabuk dengan cinta nafsu.
Ikatan dengan kata-kata belum terjamin.
Tetapi kalau hati sudah tetap dan muafakat,
berdoalah semoga esok masih ada hari untuk kamu bersama.
Akui bahawa kalau sudah jodoh tidak akan ke mana.Tidak lari gunung dikejar.
Namun,selagi kita berdiri sebagai seorang pelajar,penuhilah tuntutan itu.

Sahabatku,
Yakin dan pastilah masa untuk bersama akan tiba..
Cinta tidak mampu memenangkan segalanya.
Cinta tidak membawa segala kesempurnaan hadir ke sisi.
Tetapi cinta mengajar kita menerima sesuatu seadanya.
Cinta bukan semestinya bersama.Cinta memastikan orang yang dicintai bahagia.
Kadangkala, tidak memilikinya itu juga mempunyai nilai yang lebih istimewa kerana dia akan sentiasa sempurna di mata kita.


p/s: Kata-kata ini dipetik dan diubahsuai dari sebuah novel. Tapi, novel tersebut sudah tidak dapat dikenalpasti lagi. Mohon sesiapa yang tahu, tolong beritahu ya...Semoga bermanfaat.




Sunday, January 23, 2011

.:Tinggal Kenangan:.Part 1

In the Name of Allah, He is the First and He is The last..Salam dan selawat ke atas Nabi Junjungan..

Firman ALLAH (maksudnya):

“ Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.”

(Surah Ar-Rum (30) : 54)


Usia remaja adalah zaman di antara dua kelemahan iaitu di antara zaman kanak-kanak dan zaman tua.

Semester tiga akhirnya melabuhkan tirainya. Sedar tak sedar, aku sudah melangkah ke peringkat ijazah pada tahun ini dan meninggalkan peringkat diploma. Setahun setengah bermusafir di bumi Keningau ini banyak mengubah diriku. Semoga kita semua berubah ke arah yang lebih baik.

13 Julai 2009. Tarikh keramat yang menjadi titik permulaan perubahan dalam hidupku. Aku tidak pernah terfikir pun untuk berada di bumi keningau ini...Apatah lagi untuk menetap di sini selama lima tahun setengah. Cukup.

Masih segar di kotak ingatan...

Disaat aku ditinggalkan sendirian, air mataku mengalir. Tapi, cepat-cepat kuseka untuk mengelak dari dilihat oleh orang lain. Aku melihat ke kiri dan ke kanan. Asing. Aku tidak mengenali sesiapa. Dalam keresahan itu, aku mendengar laungan azan dari Masjid IP. Masjid yang terletak betul-betul bersebelahan dengan dewan besar tempat pendaftaran dan taklimat seakan menggamit diri. Kebetulan kaunter pendaftaran berhenti rehat sehingga pukul 2 petang, aku kemudiannya terus melangkah ke masjid.

Ketika melangkah masuk ke dalam Masjid, aku menyedari bahawa aku pernah ke sini. Memori PLKN berputar di ingatan. Satu perasaan halus meresap ke dalam hatiku.
Di saat itu, aku telah jatuh cinta. Aku jatuh cinta dengan ketenangan yang ada di dalam masjid ini. Aku tahu, Allah telah mentakdirkan aku ke tempat ini...dan pastinya ada sesuatu yang indah di sini...

Minggu orientasi yang berlangsung selama 5 hari merupakan suatu detik yang mencatatkan suka duka di permulaan perjalananku sebagai seorang bakal guru. Walaupun aku sering mengikuti kem-kem sewaktu berada di sekolah menengah dahulu, tapi inilah kali pertama aku merasai tekanan yang teramat hebat. Saban waktu diherdik sehingga aku sendiri bingung dan tertanya-tanya "Apa salah kami?". Masih jelas di ingatanku ketika aku dipanggil naik ke atas pentas kerana biskutku (amanah yang diberikan) terbelah. Aku mengakui kelemahanku yang terlalai seketika akan amanah itu. Hatiku memang amat sedih apabila mereka mengatakan..

'Amanah yang sebegini kecil inipun kamu tidak terjaga, macamana kamu nak jaga 'amanah anak murid' kamu nanti?

Ketika itu empangan air mataku hampir pecah. Aku memang amat sensitif. Seakan-akan aku telah gagal. Tapi, kutahan air mataku dari mengalir kerana kudengar seorang lagi berkata...

"Nangis,nangis, baru macam ni pun sudah mau nangis. Nanti kalau berhadapan dengan kerenah anak murid, macamana? Nangis juga?

Aku mengetap bibirku. Menahan air mata, sedangkan pandangan sudah berkaca-kaca. Apabila melihat beberapa orang rakanku diherdik, aku turut tersentak. Bagiku, tempat ini semua orangnya jahat, garang, tidak ada belas kasihan. (Kecuali beberapa orang seperti Ajk makanan..Kak seha & kak Aishah sahaja yang masih kuingat) Pada saat itu, aku memang tidak tahu dunia apa yang sedang kelalui ini. Segalanya memang asing.

Apabila kami diugut akan dibuang, aku merasa menyesal yang teramat kerana memilih profesian guru ini. Pada waktu itu, aku pasrah. Jika memang rezekiku dibidang ini, Allah akan memelihara aku. Aku mengingatkan diriku berkali-kali, mereka semua tidak berkuasa apa-apa. Namun, dalam tawakal itu, pernah juga terdetik, "Kan baik kalau aku terima tawaran sebagai penolong pegawai kesihatan aritu, takdalah aku kena teruk macam ni..."..

Seingatku, Aku dan roomateku hampir setiap malam menangis (Sampai mata bengkak-bengkak). Selera makanku memang hilang. Kemuncaknya, aku sakit selama beberapa hari setelah minggu orientasi selesai. Tidak cukup dengan kesihatan yang lemah, aku diserang penyakit insomnia. Setiap kali aku menutup mata, seakan-akan bunyi siren terngiang-ngiang di telinga. Apabila mata ingin lelap, seakan jeritan senior2 menjelma.

Mujurlah, pada waktu itu seorang PISMK OUM (Kak Yatie) adalah kenalan abangku. Aku menceritakan segala yang kurasakan padanya. Ketika itu, dia sedang berpraktikum. Dari situlah, baru kuketahui segalanya adalah lakonan semata-mata. Segalanya terjawab ketika malam kebudayaan. SEGALANYA INDAH. Para seniorku ternyata penyayang. Ketika semakin mengenali mereka, aku amat mengagumi bakat-bakat yang mereka ada dan berazam untuk belajar dari mereka. Aku amat menghormati senior-seniorku.

Kenangan orientasi itulah yang sering menjadi kenangan bersama.

Saat yang paling kutunggu-tunggu sepanjang sesi orientasi itu ialah waktu solat. Ini kerana hanya waktu itulah kami bebas dari sebarang teriakan. Perasaan itu sukar digambarkan dengan kata-kata. Tenang. Air mata mengalir dengan mudah. Menangis dan mengadu dengan Allah agar segalanya segera berakhir...Apatah lagi aku memang amat sensitif dengan "dimarahi". Mujurlah, Allah mengirimkan beberapa orang yang banyak membina kembali keyakinan diriku.

Selesai minggu orientasi, beberapa program telah dijalankan. Setiap kali kami (aku dan rakan sekelasku) melihat perkataan WAJIB di atas sebarang memo atau poster, kami akan mengikuti pertandingan itu walaupun tanpa kemahiran. Secara berkumpulan kami telah mengikuti pertandingan nasyid dan koir. Aku memang tidak ada kemahiran dalam seni suara. Lantas aku memilih untuk belajar bermain alat muzik. Aku memang tidak pernah bermain apa-apa alat muzik kecuali rekoder sewaktu di sekolah rendah dahulu. Hasilnya, bukannya menyumbangkan apa-apa tapi menyebabkan persembahan kami "sumbang". Kami diketawakan. Hakikatnya, apabila kami sendiri melihat rakaman itu semula, memang akan meletus ketawa. Namun, tetap, banyak yang kami pelajari...

Selang beberapa ketika, sempena dengan bulan Nisfu Syaaban diadakan beberapa pertandingan. Disebabkan menyangka bahawa mesti menghantar wakil untuk setiap pertandingan, kami mencabut nama. Aku? Aku "tercalon" mengikuti pertandingan syarahan tafsir...Di situlah aku telah berkenalan dengan seseorang yang banyak membantu aku berubah. Aku bukan dari sekolah agama. Tapi, kerana nak mencuba. Aku kentalkan semangat. Aku berazam untuk melakukan yang terbaik. Selama dua hari sebelum pertandingan aku berkurung di perpustakaan. Di situ, aku membaca pelbagai buku tafsir Al-Quran. MasyaAllah. Kepalaku pening... Segalanya terlalu tinggi arasnya. Dek kerana takut salah, aku akhirnya menyalin kesemua tafsir yang kutemui lalu kugabung-gabungkan. Ini kemudiannya ditegur oleh Ustaz Misri, (Klik untuk ke blog beliau) pengadil ketika itu. Sejujurnya, Aku merasa diriku seperti membaca berita dan sejarah...

Namun, dari sini aku belajar sesuatu...Jika nak ambil sesuatu tafsir itu, nyatakan rujukan. Jika nak bersyarah, eloklah dihafal. Jangan membaca...Lagi satu, tambahkan ilmu. (Mendalam nasihat itu)

Setelah itu, perlahan-lahan aku mulai menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran yang berlangsung. Assignment, exam, kuliah adalah rutin harian. Selama 3 semester aku berada di sini, banyak yang kutemui, banyak yang kupelajari, banyak yang aku perolehi..Namun, masih banyak lagi yang perlu aku pelajari..

Pesanan ahli keluargaku,
  1. Belajarlah nak, bapa tiada harta. Ilmu sahaja yang bapa boleh bagi supaya kamu selamat sentiasa. Bapa sentiasa doakan kamu...(Terima kasih bapa...)
  2. Belajar rajin-rajin, jaga diri di tempat orang. kalau ada masalah, bagitau abang..(abng Pe)
  3. Jangan tinggal solat.Belajar rajin-rajin, jangan cepat mengalah. Carilah punca masalah dan cuba selesaikan. (abg Man)
  4. Belajarlah baik-baik, jangan pula fikir nak bercinta. Balaslah dulu jasa orang tua kita. (Kakak2ku dan ibu angkatku)
  5. kak Uty. Jangan lupa balik kampung, tau!Jangan lupa kami sentiasa rindu kak Uty...( adik-adikku)
Pesanan guru-guruku,(Sekolah terakhirku)
  1. Study hard Suratni, take care of yourself.(Sir Idzam)
  2. Sentiasalah hormati orang yang lebih tua dan guru-guru.( Ustz Kaharuddin)
  3. What is past,is past. Focus on your study...(Sir Fareed)
Pesanan kak yatie (PISMK OUM)
Jaga solat. Belajarlah rajin-rajin. Skor betul-betul. Sentiasalah ringan tulang membantu orang lain. Buat sesuatu perkara dengan sehabis baik.Carilah pasangan yang juga menjaga solat..jangan terlalu memandang rupa, tapi pandanglah hatinya.

Pesan seorang sahabat,
"Jaga diri disini, banyak cabarannya..."
Jangan pernah lupa kita ada Allah...setiap yang berlaku ada hikmahnya..


Ya Allah, tunjukkanlah kami jalan untuk tetap berada dalam rahmatMu...



Thursday, January 13, 2011

.:Ubati hati:.

Dengan Nama Allah yang Maha Tinggi lagi Maha besar. Salam dan selawat ke atas junjungan nabi Muhammad s.a.w.

Alhamdulilah.All praise to Allah.

"Sentiasalah memelihara diri dengan keikhlasan yang tulus kerana Allah swt kerana di situlah letaknya nilai amalan di sisi Allah swt"

Hati. Setiap manusia mempunyai sekeping hati. Kita sudah sedia maklum bahawa setiap yang ada di atas muka bumi ini diciptakan berpasang-pasangan. Lihat pada diri. Kita ada sepasang mata, sepasang telinga, sepasang tangan, sepasang kaki dan yang lain-lain yang juga berpasangan(Tidak termasuk golongan istimewa) tapi kita hanya ada satu hati . Mengapa? Ada orang mengatakan, Kerana yang satu lagi ada pada pasangan kita yang sudah ditetapkan sejak kita belum lahir lagi (Antara perkara yang sudah pasti- Jodoh dan pertemuan). Wallahualam. Betulkan jika saya silap.

Namun sedarkah kita, kita hanya ada satu hati yang bermakna kita hanya ada satu cinta. Cinta yang bagaimana yang menghuni hati kita? I LOVE ALLAH. Tanyalah hati. Adakah lafaz ini sekadar untuk menyedapkan rasa atau sudah sebati dalam jiwa? Adakah kita sudah benar-benar mencintaiNya? Adakah kita benar-benar mengharap akan pertemuan denganNya? Lalu, mengapa di saat dilaungkan azan subuh, hati masih berat untuk meninggalkan katil yang empuk? Sedangkan panggilan telefon hanya berdering sekali sudah diangkat. Panggilan Azan atau panggilan ring-tone kah yang lebih agung? I LOVE MUHAMMAD. Benarkah hati kita bergetar di saat mendengar nama insan yang agung ini sepertimana bergetar apabila mendengar nama orang yang kita minati? Bukankah tanda kita mencintai sesuatu ialah kita akan kerap mengingatinya, teruja untuk bercerita mengenainya..Lalu, selalukah kita ingat akan Allah dan Nabi Junjungan?

AWALUDIN MA’RIFATILLAH-“Awal-awal agama ialah mengenal Allah”.Mengapa? Kita imbas sirah. Kita buka lembaran sejarah. Berapa lamakah masa yang diambil untuk menerangkan dan menanamkan dalam diri para sahabat untuk mengenali Allah? BUKAN SETAHUN DUA. Tapi 13 tahun. Dek kerana kenal itulah, timbulnya kecintaan. Dan kerana kecintaan yang mendalam itulah, timbulnya kerinduan. Dan kerinduan itu terubat dengan Peristiwa Israk dan Mikraj (Solat). Solat itu menjadi tempat mencurahkan segala perasaan , mengubati segala kerinduan. Tapi, kita sering terlupa. Sesuatu yang mudah diperolehi seringkali kurang dihargai. Kita tidak pernah menanti dengan penuh kerinduan kerana kita tidak pernah menanti sepertimana para sahabat menanti. Solat itu seakan-akan menjadi satu paksaan. Lalu, dimanakah kemanisan pertemuan?

Itulah yang selalu kita lupa. Kita sering diasak dengan hukuman-hukuman, azab-azab Allah sehingga kita terlupa dengan sifat pengasihNya. Iya, kita terlupa bahawa KasihNya itu melebihi kasih seorang ibu. Kita terlupa bahawa DIA amat menyayangi hamba-hambaNya. Kerana kelupaan kita itulah, kita menjauh. Kita mengadu pada yang lain. kita merasa kita keseorangan. Sedangkan Allah sentiasa memerhati. Dia sentiasa Melihat. Dia sentiasa Mendengar. Apabila kita suka bertemu dengan Allah, itulah tanda cintaNya telah bertapak di hati..Siramilah cinta itu dengan zikrullah( mengingati Allah), Mengadulah kepadaNya dalam Qiamullail (solat malam), baca dan hayatilah ayat-ayat cintaNya dalam Al-Quran...dan berfikirlah mengenaiNya. Semua itu tidak akan kita dapat lakukan tanpa ilmu. Lalu, tuntutlah ilmu.

Satu keadaan. Tidak perlu pergi jauh-jauh. Lihat bagaimana orang yang sudah jatuh cinta. Pasti ingin tahu segala-galanya tentang yang dicintainya, ingin dekat dengan orang yang dicintainya, dan ingin memberitahu segala-galanya kepada yang dicintainya. Aplikasikan...






Tuesday, January 11, 2011

Aku bertanya..

Apakah perkara yang membahagiakanmu?

Aku bahagia apabila melihat orang-orang yang kusayangi bahagia. Aku bahagia apabila dapat menggembirakan orang lain. Aku bahagia apabila aku tidak lagi bergantung dengan orang lain. Aku bahagia apabila aku dapat membahagiakan orang lain. Dan, Aku akan teramat bahagia apabila mendapat cintaNya...

Apakah perkara yang paling menyakitimu?

Apabila aku merasa aku semakin jauh dari Allah, apabila aku sudah tidak merasa nikmatnya dalam iman dan apabila orang-orang yang kusayangi menangis...apatah lagi jika ianya disebabkan olehku.

Apakah perkara yang paling kau kesali?

Apabila aku menjadi penyebab bagi kehancuran orang lain. Aku kesal apabila aku terpaksa menyembunyikan sebuah hakikat dari orang yang bertanya.

Maksudmu?

Apabila aku menjadi fitnah.

Lalu, apa yang kau lakukan?

Aku hanya mampu meminta maaf dan berdoa. Aku tidak mampu lakukan apa-apa. Hanya itu.

Apakah perkara yang paling kau sayang?

Nikmat Islam dan iman. Keluargaku. Guru-guruku. Sahabat-sahabatku...semua orang.

Sebenarnya, aku ingin bertanya...Mengapa kau berubah?

Tersenyum. Aku tidak ada jawapan untuk soalan itu kerana aku tidak merasa aku berubah apa-apa pun. Malahan aku merasa aku masih sama.

Ketahuilah sahabat, kau sudah berubah. Jika kau masih mengganggapku sebagai sahabatmu, aku bersedia bila-bila masa untuk mendengarnya. Aku tidak menjanjikan penyelesaian, tapi aku boleh meringankannya dengan sebuah perkongsian. Aku terlalu menyayangimu. Dahulu kau banyak menasihatiku, tapi kini kau semakin bisu. Jika perubahan itu ke arah yang lebih baik, aku akan terlebih dahulu menyokong perubahanmu itu. Tapi, kau semakin mengundurkan diri sehingga aku kehilanganmu. Aku semakin tidak mengerti. Akulah yang bersalah kerana tidak menyedari ....Maafkan aku. Aku terlalu mementingkan diri. Aku mendiamkan diri kerana aku ingin mendengar kau berbicara. Aku menjauh kerana aku khuatir aku akan menyebabkan kau semakin pergi jauh. Tapi, hakikatnya semuanya menyakitiku. Aku sudah kehilangan bicara, yang tinggal hanyalah kata-kata.

Sunday, January 9, 2011

.:Belajar dari Alam:.

Pisang.
Ia hanya berbuah sekali sahaja.SELEPAS ITU MATI.
Tapi, pisang itu tidak akan mati sebelum ianya berbuah.
Namun, SEBELUM MATI..
ia telah meninggalkan anak-anaknya untuk terus berbakti...
Renung2kan.

Saturday, January 8, 2011

Apakah ada lagi...?

Dengan Nama Allah yang sentiasa melihat dan mengawasi kita...Semoga apa yang kita lakukan sentiasa mendapat keredhaanNya..

Ada tiga hari yang kita lalui dalam hidup kita di dunia yang sementara ini...
  1. Semalam – Tidak ada apa-apa yang kita boleh ubah. Biarlah ia berlalu pergi sebagai kenangan, ambillah iktibar dan pengalaman darinya. Bersyukurlah dan jadikan ianya sebagai sesuatu yang manis untuk dikenang...
  2. Esok- segalanya belum pasti, mungkin suka, mungkin duka, mungkin senang / mungkin susah… Kita tidak pasti... Lalu, tinggallah ia sebagai teka teki. Janganlah terlalu menanti akan kehadirannya...ini kerana Esok pasti ada, tapi belum pasti kita ada pada hari esok"
  3. Hari ini- Inilah detik yang kita sedang jalani. Kutiplah mutiara (pengalaman dan pengajaran) dan jalinkan ia menjadi sekalung harapan untuk bekalan hari esok. Kejayaan hari esok bermula hari ini."Inilah sahaja yang kita ada, lalu, pastikanlah hari ini kita lebih baik dari semalam. Janganlah bazirkan ia. Memetik kata-kata Hassan al-Banna, Tanggungjawab yang kita ada lebih banyak dari masa yang kita ada...Gunakanlah ia dengan sebaik-baiknya..
Semalam, Hari Ini dan Esok merupakan laluan kita di alam dunia ini. Ingatlah hidup hanya sekali. Awasilah setiap gerak geri dan tingkah laku kita…Ingatlah sentiasa, ada yang memerhatikan kita..

Aku menyayanginya...

Dengan nama Allah yang Maha Teliti lagi Maha halus. Salam dan selawat ke atas Nabi junjungan.

“ Nikmat yang paling berharga selepas nikmat Iman dan Islam, adalah memiliki SAHABAT yang soleh. Jika kamu mendapati kewujudan kasih sayang antara kamu dengannya, maka peganglah ia bersungguh-sungguh.”
~ Saidina Umar Al-Khattab


Ketika aku berada di bangku sekolah rendah, satu perkara yang sangat popular ketika itu ialah menulis diari. Tapi, diari itu bukanlah untuk mencatatkan apa yang berlaku setiap hari tapi untuk diisi didalamnya oleh rakan-rakan yang lain. Pelbagai rekabentuk, jenama dan warna yang menepati cita rasa kanak-kanak (kami) menjadi pilihan. "Hello Kitty", "Sailormoon" dan kartun-kartun yang seangkatan dengannya adalah "trend" pada masa itu. Kebiasaannya, perkara yang ditulis adalah biodata diri dan perkara-perkara yang disukai. Namun, Satu perkara yang pada waktu itu amat menarik perhatianku adalah apabila rakan-rakanku menulis siapakah "best-friend" mereka. Ada juga yang membezakan antara sahabat, kawan baik dan kawan biasa. Beberapa kali, aku jatuh dalam golongan "kawan biasa". Ada juga yang mengatakan aku kawan baik. Tapi, aku tidak pernah menyuarakan apa-apa. Dan, memang kadangkala aku terasa sehingga apabila aku diberikan peluang untuk turut sama mencoretkan sesuatu aku lebih memilih untuk mengatakan semua orang adalah sahabatku. Aku tidak ingin orang lain terasa. Lagipun, aku suka berkawan dengan semua orang selagi mereka ingin berkawan denganku...

Ketika itu juga,sifatku yang pendiam menjadikan kawan-kawanku boleh dihitung dengan jari. Dengan itu, untuk bersama kawan-kawanku ini adalah mudah. Tapi, apabila melangkah ke alam sekolah menengah segalanya berubah. Aku semakin menemui ramai "kawan". Sehingga satu saat, aku mulai menyoal kembali ke dalam diri, siapakah kawan yang sebenarnya. Satu hakikat yang kusedari, untuk berkawan memang senang, tapi untuk tetap bersama-sama dengan semua kawan adalah mustahil.Apatah lagi jika minat yang berbeza-beza dan urusan harian menjadikan kita akan berkawan dengan ramai orang. Ketika ke perpustakaan, bersama dengan kawan lain. Ketika ke kantin, bersama kawan lain. Begitulah lumrah dalam berkawan. Tapi, berbeza dengan bersahabat. sahabat itu walau kita terpisah dengannya beribu-ribu batu, bertahun-tahun lamanya atau bagaimana kita pernah melukakan hatinya...Dia tetap tersenyum pada kita dan menerima segala perubahan-perubahan kita.Siapakah sahabat kita yang sebenarnya? Apakah ciri-ciri seorang sahabat itu? Bagaimanakah yang dikatakan bersahabat itu...

Sahabat. Hakikatnya, mereka adalah manusia biasa juga. Dan kerana hakikat itu, kita harus sedar mereka juga punyai pelbagai kelemahan dan kelebihan. Dari sini, kita akan tahu bahawa dalam bersahabat kadangkala kita akan menemui pelbagai perara yang tidak disangka-sangka. Sebelum bersahabat, segalanya indah. Jumpa sekali-sekala, muka sentiasa manis. setelah mengenalinya untuk satu tempoh yang lama, pelbagai perkara baru kita akan tahu yang orang lain tidak pernah tahu. Memang, jika kita ingin mencari sahabat yang sempurna sampai bila-bila pun kita tidak akan menemuinya. Sebab itulah, kita tidak perlu mencari sahabat yang sempurna cukuplah dengan sahabat-sahabat yang menjadikan kita sempurna apabila bersama dengannya. Sentiasalah bersabar dalam menghadapi kerenahnya kerana kita juga ada pelbagai kerenah. Sahabat itu umpama cermin diri kita. Yela, kalau bersahabat dengan penjual minyak wangi kita akan berbau harum. Sebaliknya, jika bersahabat dengan penjual ikan, berbau hanyirlah kita. Tapi, jangan silap. Adakalanya, kita tidak boleh menilai seseorang dari luarannya sahaja. "Don't judge a book by its cover, but somehow first impression still important, right?" Apa-apa pun segalanya bergantung pada sekeping hati. Jika kita baik, maka sahabat-sahabat kita pun akan baik.

Hati yang bersih akan menarik hati yang bersih.
Seorang sahabat yang baik, tidak akan memuji kita jika dia merasa dengan pujian itu membuatkan kita lupa diri. Dia juga tidak akan menjauhkan diri ketika kita dikeji. Seorang sahabat yang baik juga tidak akan mendedahkan keaiban kita walaupun perkara itu diketahuinya. Dia akan berusaha untuk menutupi kelemahan kita. Apa yang lebih istimewa, seorang sahabat itu sentiasa mendoakan kita walaupun kita tidak pernah menyedarinya. Malah, kadangkala dia juga terluka apabila kita dilukai. Sahabat yang sejati ialah yang bersahabat dengan kita bukan semata-mata kerana ilmu kita, sifat periang kita atau apa-apa sahaja nilai yang ada pada kita tapi yang bersahabat dengan kita kerana mengharapkan keredhaanNya. Apabila hati kita bersatu kerana Allah, InsyaAllah, apa pun cabaran yang menguji dalam bersahabat kita tetap akan menyayanginya...

Adakah lagi sahabat yang baik? Ada. tapi dengan syarat kita perlulah menjadi seorang sahabat yang baik dahulu. Seperti hukum dalam fizik, setiap apa yang keluar akan ada yang masuk. Begitulah juga kehidupan ini. Jika kasih-sayang yang kita sebarkan, maka kasih-sayang jugalah yang akan kita perolehi. Walau bagaimana pun orang membenci kita, tetaplah menyayangi. InsyaAllah, hati manusia itu fitrahnya suka akan kebaikan dan pasti suatu hari nanti akan menyedarinya.

Perlukah beritahu siapakah sahabat kita? ...

Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya, menambahkan ilmu agama,melihat gerak-gerinya teringat mati...


Friday, January 7, 2011

Teruslah melangkah..

Dengan Nama Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha bijaksana. Selawat dan salam ke atas Nabi junjungan.
Ya Allah,Rahmatilah kami, bimbinglah kami dan tetapkanlah hati-hati kami...

Seiring dengan perjalanan masa, kita pasti akan mendapat sesuatu yang baru dan dalam masa yang sama kehilangan sesuatu tapi pastikanlah agar apa yang kita dapat itu lebih berharga daripada apa yang kita hilang
-Pahrol M.Juoi.


Cuti baru sahaja berlalu. Segalanya terasa seumpama mimpi. Terlalu banyak perkara yang berlaku, sehingga aku tidak mampu mencatatkan apa-apa samaada dalam diari kehidupan mahupun diari alam maya ini. Letih. Bukan letih fizikal tapi letih untuk berfikir dan mentafsirkan apa yang telah terjadi. Jika suatu ketika dahulu aku menganggapnya remeh tapi kini ianya semakin mencengkam...

Banyak yang sudah berubah. Suasana di sekelilingku sudah tidak sama lagi sehingga kadangkala memerlukan aku berhenti sejenak untuk mengenang kembali apa yang telah berlaku. Akhir-akhir ini aku menjadi tertarik dengan yang dikatakan sebagai kenangan. Apabila berada dalam lingkungan keluarga, topik yang sering menjadi perbualan adalah kenangan sewaktu kecil. Kisah silam diungkit sehingga kadang air mata menitis mengenangkan segalanya yang telah berlalu. Apatah lagi apabila jarak dan keadaan yang semakin memisahkan antara kami adik-beradik menjadikan kenangan-kenangan itu sebagai penghubung. Benarlah kata-kata imam syafie, " Masa silam adalah perkara yang paling jauh". Walau bagaimanapun kita berusaha untuk kembali, ianya adalah mustahil.

Kadangkala kenangan manis itu amat pahit untuk dikenang, dan sebaliknya kenangan pahit itu amat manis untuk dikenang.Iya,sebenarnya semua perkara itu terpulang dengan kita bagaimana untuk melihat kenangan-kenangan itu. Jika kita melihat dari sudut positif, maka yang positiflah yang akan kita dapati. Jika kita melihat dari sudut yang negatif, maka yang negatiflah yang akan kita perolehi. Apa yang lebih penting, janganlah terus-menerus membiarkan diri terperangkap dalam "kenangan" itu. Apatah lagi jika ianya melibatkan hak-hak orang lain, semuanya perlu ditangani dengan kematangan.Biarlah kita merasa sakit disini, kerana hidup ini sesingkat cuma. Sakit yang kita rasakan di dunia ini hakikatnya singkat cuma. Lapangkanlah dada. Terimalah segalanya dengan hati yang terbuka.

Pernah, suatu ketika seorang sahabat bertanya soalan serius ketika duduk bersantai,

" Apa yang akan kau ubah jika kau dapat kembali ke zaman silam?"katanya.

Aku terdiam. Lama aku berfikir sebelum aku menjawab pertanyaan spontan itu. Kebiasaannya, jika aku tidak ingin menjawab aku akan bertanya kembali ,"Kenapa juga kau mahu tahu? "Agak kejam juga jawapan itu tapi itulah caraku untuk mengelak dari terus-menerus ditanya. Tapi, berbeza kali ini, aku tidak sampai hati untuk membiarkannya tergantung begitu sahaja.

Aku melemparkan senyuman sebelum membalas,

"Tidak ada apa-apa...Aku, jika berpeluang kembali, aku hanya ingin melihat bagaimana "aku" yang dahulu.Tapi berfikir untuk mengubahnya, tidak pernah sekali-kali. Sebab, aku tahu...kisah silam itulah yang menjadikan aku yang kau kenali hari ini. Tanpanya, mungkin aku akan menjadi orang lain. Lagipun, aku pernah mendengar dari ustazahku jika kita pernah terfikir untuk mengubah apa yang telah berlaku, itu maknanya kita tidak redha dengan apa yang berlaku. Seolah-olah kita mempertikaikan takdir Allah. Cara paling mudah, sentiasalah bersyukur. Tidak kiralah pahitkah, maniskah, masamkah, tawarkah kenangan itu. Lagipun, semua itu sudah menjadi rempah-ratus dalam "masakan" yang memberikan erti dalam kehidupan...kan?"

Dia tersenyum mendengar jawapanku. Dia kemudian bersuara,

"Baguslah kalau ko fikir macam tu. Bagi akulah, orang yang selalu menyalahkan apa yang telah berlaku adalah orang yang penakut. Mereka takut dengan bayang-bayang mereka sendiri. Apabila kita terlalu melihat ke belakang, kita akan terlepas pandang dengan apa yang ada di hadapan. Last2, kepala kita terhantuk dinding. Apa yang sepatutnya, kita perlu belajar dari pengalaman atau sejarah silam. Apa yang baik jadikan teladan. Apa yang buruk jadikan sempadan...Anggaplah apa yang telah Allah takdirkan itu adalah yang terbaik buat kita. Yela, kita ni bukannya tahu apa-apa. Ilmu kita terbatas. Mungkin perkara tu kita suka tapi belum tentu lagi baik buat kita. Dan mungkin juga perkara itu kita tidak suka tapi belum tentu lagi tidak baik buat kita. Apa-apa pun bersyukurlah selalu. Mudah-mudahan apa yang menanti di hadapan itu tetap dalam keredhaanNya..."

"Iya,aku faham..". Aku tahu mengapa dia menimbulkan persoalan itu..." Apa-apa pun, aku tetap menghargai setiap insan yang pernah hadir dalam hidup aku sama ada yang masih kutemui atau yang sudah tidak lagi kutemui. Setiap dari mereka sentiasa mengajarku sesuatu. Dan setiap sesuatu yang kupelajari memberikan makna dalam kehidupanku...

P/s: Di sebalik kelemahan yang Allah ciptakan kepada kita Allah meniupkan kata-kata semangatNya dengan memujuk hati kita yg remuk-rendam.

Firman ALLAH (maksudnya):

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.”

(Surah Ali-Imran (3) : 139)

Ya Allah, semadikanlah kami dalam mencintaiMu, semoga tiada suatu pun yang boleh memesongkan kami daripadaMu.

Sunday, January 2, 2011

.:Peluang kedua:.

Dengan Nama Allah yang sentiasa mengasihi setiap makhlukNya..

Dengan RahmatMu. Kasihanilah aku, ibubapaku dan orang-orang di sekelilingku..

Apa yang lebih indah daripada merasa dalam rahmatNya? Tidak ada. Apa yang lebih indah daripada merasa keampunanNya? Tidak ada. Apa yang lebih indah daripada merasa perlindunganNya? Tidak ada. Apa yang lebih indah daripada merasa kehadiranNya disisi. MasyaAllah...Apakah yang lebih indah daripada mendapatkan cintaNYA...Beruntunglah bagi yang mendapatkannya...

Ketika kita diuji dengan kesedihan, kita menangis. Tapi apabila kita diuji dengan kesenangan, kita terlupa padaNya. Betapa mudahnya kita melupakanNya. Walau bibir mengatakan syukur tapi hati tidak berirama sedemikian.Kita terlupa...Allah sentiasa mengetahui apa yang kita sembunyikan.

Ya Allah,benarlah hati ini sentiasa berbolak balik. Pintaku, Tetapkanlah Ya Allah..
Seringkali aku tersasar. Tapi, seringkali juga Engkau menarikku kembali..

Ajarkanlah aku keikhlasan, agar aku tidak letih dengan ujian.
Ajarkanlah aku kesyukuran, agar aku tetap redha dengan segala ketentuan..

Ya Allah, aku hanyalah hambaMU..
Aku lemah segala-galanya. Aku tidak punyai apa-apa...
segalanya milikmu..
Hati ini..
Diri ini,
Nikmat-nikmatMU..
Tapi, aku selalu terlupa hakikat itu...Ampunilah aku.

Tetapkanlah aku dijalanMu ini..
Agar aku tidak hanyut.

Maafkanlah kesalahan-kesalahanku...


Allahuma inni as'aluka hubbaka wahubbi man yuhibbuka wa hubba kulli amalin yuqaribuni ila hubbik
Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadamu cinta kepadamu, cinta kepada orang yang mencintaimu dan cinta kepada segala perbuatan yang mendekatkan aku kepada mencintaimu...