Monday, November 11, 2013

Layakkah aku untukmu?

"Tidak penting apa yang dilihat, tetapi bagaimana kita melihatnya.."

"Kamu tak layak untuk melakukan kesalahan konten matematik" tegas Puan Raiteh .

Beliau merupakan pensyarah kami bagi semester ini untuk subjek MTE 3112, Assessment Practices in Mathematics.

"Sebab kamu opsyen Matematik..." sambungnya.

Aku masih ingat kata-kata beliau itu. Seingatku, hari itu beliau memakai baju kurung dan tudung ungu yang sangat sederhana. Wajahnya yang lembut keibuan, menarik perhatian. Apatah lagi dengan ketegasan dan kecekapannya yang mengagumkan. Beliau merupakan satu-satunya pensyarah wanita di Jabatan kami (Jabatan Sains dan Matematik).

Ketika sedang kalut "mengorek" kembali nota kuliah, aku terjumpa kata-kata beliau ini yang tercatat di tepi helaian kertas.

KELAYAKAN

Sekiranya melihat kepada pernyataan beliau ini, "kelayakan" kami ditentukan oleh apa yang kami "terlibat". Tidak sewajarnya untuk kami melakukan sesuatu kesalahan yang sangat berkait rapat dengan diri kami.

Kebelakangan ini, ada sesuatu yang mengganggu fikiranku. Soal kelayakan..

Situasi 1

"Kalau nak ikut kelayakan, aku tak layak pun jadi naqibah ni. Tapi, sebab dah diberikan amanah, aku cuba juga..Alhamdulillah, banyak yang aku dapat belajar" kata si A.

"Aku tak dapat selalu buat  usrah, sibuk..." Kata Si B.

"Sebenarnya, aku rasa kosong. Yala, sudah selalu "memberi" tapi tidak selalu dapat peluang "menerima". Aku tak mampu nak teruskan sudah ni.." Sambung si B.

Maka, hilanglah sudah seoarang penyambung rantaian ini.

Situasi 2

A: Aku nak berhenti lah jadi AJK masjid...
B: Hah? Kenapa?
A: Aku rasa tak layak..
B: Ish, aku pun tak layak..Kalau gitu, aku pun mahu berhenti lah.
A: Eh, janganlah. Kau layak bha aku tengok.
B: Naa..aku tengok kau pun layak bha..
A: Tidak..kau tak faham..
B: Buatlah aku faham..
A: Susah..
B: Takda benda yang senang
A:Yala, nantilah aku fikir semula.
B: Ndak payah.  Aku dah hantar borang kau..aku letak setuju..(ketawa)
A: Hah???!

Kedua-dua situasi ini pasti akan berlaku dalam mana-mana gerakan Islam. Ada yang menyatakan ia sebagai tanda-tanda awal "futur". Tetapi, ada sesuatu lagi yang perlu diambil kira...

MOTIVASI.

Iya, perkara ini bukanlah ajaran orang Barat semata-mata. Walaupun mereka sangat "bermotivasi" untuk mengkaji sehingga sanggup mati demi mempertahankan ideolagi mereka.

Kelayakan ada kaitan dengan motivasi.

Cuba kita lihat situasi masa kini. Sebagai contoh, dalam sebuah syarikat. Apakah yang melayakkan seseorang untuk menyandang sesuatu jawatan? Iya, banyak kriteria yang boleh dinyatakan. Tetapi, ianya sebenarnya adalah "apa yang tidak kelihatan". Pendorong dari dalam. Seseorang yang menginginkan sesuatu akan berusaha dengan sedaya upayanya untuk memenuhi apa yang diperlukan untuk melayakkan dirinya mendapatkan apa yang dihajati.

Kita akan secara automatik merasa layak apabila kita mendapat motivasi yang betul.

Mari renungkan Kisah Umar Al-Khattab...

Dikisahkan suatu hari, beliau ketawa. Kemudian, beliau menangis. Kemudian, beliau ditanya kenapakah beliau berkelakuan sedemikian. Beliau menjelaskan,"Aku ketawa kerana mengenang kebodohanku di masa silamku. Aku telah memakan "Tuhan"ku sendiri yang diperbuat daripada buah tamar. Aku menangis juga kerana mengenang kekejaman yang aku lakukan terhadap anak perempuanku"

Iya, Umar Al-Khattab telah menguburkan anak perempuannya hidup-hidup. Namun, cahaya Islam telah "memotivasikan" beliau sehingga "Layak" menjadi ahli syurga.

Kita insan yang lemah. Diburukkan lagi apabila kita telah tewas dalam pertarungan antara iman dan taghut yang dibantu oleh syaitan dan hawa nafsu. Diri kita akan terasa hina dan jijik.

Ketika itu, sahabat, kita akan tersungkur dan terperosok. Keadaan itu hanya dirasai kita. kerana, iman kita telah bersuara. Ketaatan tidak akan selama-lamanya bersatu dengan maksiat. Umpama air dan minyak. Hati kita hanya mampu memilih satu sahaja. Kebenaran atau kebatilan. Sekiranya satu telah memasuki, yang satu lagi akan keluar.

Layakkah aku untukmu?

Bukan untuk seorang insan. Tapi, untuk sebuah matlamat di atas muka bumi ini. Penciptaan kita sebagai khalifah (Surah Al-Baqarah, ayat 30) dan sebagai hamba Allah untuk beribadat kepada-Nya.. Ketika ini, bukalah kembali hadis pertama yang paling sahih..

"Setiap amalan bermula dengan niat. Seandainya hijrah kita kerana Allah dan Rasul-Nya, maka itulah yang akan kita perolehi. Seandainya hijrah kita kerana perempuan atau dunia..itulah juga yang akan kita perolehi. Setiap orang akan dibalas amalannya berdasarkan niatnya.."

Niat itu halus.

Tetapi ia umpama nukleus yang menjadi sumber tenaga kepada sebuah sel. Sel itu pula yang akan membentuk satu organisasi.

Andai rosak nukleus, rosaklah seluruhnya...

Begitulah niat. Andai sudah salah niat sedari awal...apa lagi yang tinggal untuk dinilai? Niat. Rahsia antara kita dengan-Nya.Buatlah apa sahaja, biarlah niat kerana Allah semata-mata...

Janji yang kita lafazkan ketika menghadap-Nya selama 5 kali sehari semalam..

"Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan Sekalian Alam.."

Layakkah aku untuk ISLAM?

Layakkah kita untuk syurga-Nya?

Layakkah aku bernafas di atas muka bumi ini..Ya Allah..

Niatlah menjadi penentu. Kemudian, berusahalah semampumu untuk tuhanmu..DIA YANG MAHA MENDENGAR LAGI MAHA MENGETAHUI...

Tuesday, November 5, 2013

1 Muharam 1435H


"Aku tidak mahu diberikan penglihatan. Aku cuma ingin agar Allah berikan rahmat dan perlindungan di hari kiamat kelak. Di hari yang tiada perlindungan selain dari-Nya" kata-kata anak muda itu menyebabkan penemuramahnya menangis. 

Mengapa?

Anak muda itu buta. Tapi, hatinya bercahaya. Allah merahmatinya sehingga mampu menghafal 30 Juzuk al-Quran. Pastilah dia telah menikmati ketenangan dan kelazatan dalam ibadah kepada Allah sehingga tidak terliur lagi dengan tawaran berupa keduniaan. Apalah ertinya penglihatan andai menyebabkan hati kita buta. Ah! Tayangan video sempena sambutan awal muharam itu mampu menyebabkan air mata hadirin berlinangan. 

Kemudian, Ust. Mohd. Rusli menyampaikan ceramahnya. Allah, tidak ada yang lebih nikmat melainkan ketenangan dalam majlis ilmu. "Hijrah kepada Fitrah". Demikian intipati yang telah disampaikan Ustaz. 

"Bertambahnya umur, maka makin berkuranganlah masa yang kita ada. Sudah cukupkah bekalan yang kita ingin bawa menghadap Allah Taala kelak ? Adakah kita tidak mahu lagi bertaubat daripada dosa-dosa kita ini?!!"

Allah Maha Kuasa. Dia telah menyaksikan sekian banyak dosa yang dilakukan. Namun, masih memberi peluang kepada kita..

Bertaubatlah..kembalilah kepada fitrah...

Majlis disudahi dengan solat Isya' berjemaah yang juga diimamkan oleh Ust. Mohd Rusli bin Ismail. Mendengar bacaan surah beliau yang sudah sekian lama kurasa tidak menyapa di telingaku menyebabkan sayu di hati. Betapa beruntungnya beliau kerana memahami bahasa Arab dan merupakan hafiz al-Quran. Dan, betapa kami telah menyia-yiakan tempoh keberadaan kami di sini dengan lebih banyak "membuang" masa daripada mengisi masa dengan menuntut ilmu dengan beliau.

"Sekarang jam 9.15, insyaAllah, jam 10.15 kita sampai Tenom" kata kak Ani.

Kembara jiwa ke Tenom. Terdorong untuk meluangkan masa bersama Kakak seniorku yang kebetulan singgah di Masjid, aku menawarkan diri untuk menemaninya. 

Peluang itu tidak selalu ada. Berbual mengenai pengalaman berada di tempat orang membuka mataku. Orang di sekeliling kita akan datang silih berganti, namun, andai Allah sentiasa di hati, InsyaAllah, DIA akan selalu melindungi kita..

ALLAH YANG MAHA BAIK...

Malam itu aku membiarkan segala kenangan semalam berputar kembali di ingatan untuk menjadi batu lonjatan "Tahun Baru" ini.

Iya, Tahun Baru sebagai orang Islam.

Cukup banyak sudah masa yang telah disia-siakan. Hanya pengampunan-Nya menjadi harapan. Risau apa yang akan menjadi jawapan seandainya setiap detik nafas di tanya Allah Subahana Wa Taala di Hari Pengadilan kelak.

Menghirup udara segar di rumah kakak seniorku ini adalah perkara yang menambat hatiku untuk sentiasa bersetuju bermalam di sini. Keramahan ibunya yang menyentuh hati,  ditambah dengan keletah anak buahnya yang mencuit hati menyebabkan perjalanan pulangku membawa senyuman dan kenangan. 

Namun, kami tidak terus pulang ke IPG. Suatu tempat menjadi perancangan kami.

"Kami main tawakal jak ni, kak.." luahku kepada kakak naqibah kami yang sekian lama menyepi. Kerinduan yang diulang-ulang membawa kami ke rumahnya. 

Syukurlah, Allah izinkan. 

Pertemuan itu mengubat segala-galanya...

Benar, kita tidak kuat tanpa sahabat...Apatah lagi dengan pelbagai godaan yang sentiasa ingin menjerumuskan ke lembah kebinasaan.

Satu sahaja persoalan....

"Sudahkah kita menunaikan amanah kita sebagai umat Nabi Muhammad Sallahu alaih Wasalam atau kita ingin menjadi orang biasa-biasa sahaja?" Tanyalah iman di hati...

P/S: Menjaga hati itu tidak mudah kerana yang terasa itu adalah hati...


Friday, November 1, 2013

Hanyalah Takdir


Tiada lagi yang bertanya
Tiada lagi yang peduli
Malam dan siang serupa

tiada bulan tiada mentari
Gelap gelita di sini

sama gelitanya hati

Hidup hari ke sehari
Esok yang indah umpama mimpi
Berguguran di setiap detik
Di mana tanda setia saudara
Dihimpit derita
Tiada siapa sedia membela
Biar terbatas langkah
tiada yang menyebelahi demi satu amanah semangat membara berakhir
Biar tiap ruang darah mengalir
Perjuangan tak berakhir
Bukan dia
Bukan kuasa 
penentu segala... 
hanyalah takdir..


Ketahuilah takdir di hujung usaha kita...