“Sejak bila minat menulis ini?” soal seorang sahabat.
“Sejak kenal ABC...” aku menjawab ringkas sambil tersenyum ke arahnya. Aku tahu dia pasti geram mendengar jawapanku.
Seketika itu juga, sepit ketamnya merayap ke lenganku.
“Aduh!” aku menggosok-gosok lenganku yang kemerah-merahan.
“Padan muka! Suka sangat loyar buruk” aku melihat wajah cerianya tadi kini berubah menjadi masam yang mengambarkan ketidak puashatiannya.
“Aku sendiri pun tidak pasti” aku cuba memujuknya kembali.
“Erm... yelah tu”katanya sambil endah tak endah.
Persoalan yang ditimbulkan oleh temanku ini membuatkan aku terfikir semula. Sejak bila seorang manusia mulai pandai menulis? Dalam erti kata yang lain, bilakah saatnya kita benar-benar berubah dari “tidak tahu apa-apa” kepada “tahu menulis dan membaca”. Kalau diikutkan logik fikiran kita, tentulah ketika kita sudah boleh mengenal huruf dan membezakan antara huruf-huruf tersebut. Timbul lagi persoalan kedua, iaitu sejak bila kita mengenal huruf ABC? Sedar-sedar sahaja, kita sudah boleh mengeja. Kemudian, perlahan-lahan kita pandai membaca.
Siapakah yang benar-benar mengetahui saat pertama dia berubah dari tidak-tahu-apa-apa kepada tahu ini? Persoalan ini memang jarang kita fikirkan kerana “kebolehan membaca dan menulis” itu datang kepada kita tanpa kita sedari. Apa yang penting bagi kita ialah kita sudahpun memiliki kebolehan membaca dan menulis itu. Melalui kebolehan inilah kita menjadi seorang manusia hari ini. Siapa yang rajin menggunakan dua kebolehannya ini, akan lebih terkehadapan.
Buktinya? Tidak perlu kusebutkan di sini, kerana bukti itu ada di sekeliling kita. Bak kata pepatah inggeris “Readers today are leaders tomorrow”. Iya, membaca adalah langkah pertama untuk memasuki gedung ilmu pengetahuan.
“Membaca jambatan ilmu” frasa ini seringkali aku lihat ketika memasuki ke mana-mana perpustakaan. Kekerapan membacanya membuatkan aku seringkali terfikir mengenainya. Mengapa menggunakan istilah jambatan? Apakah ilmu itu adalah suatu tempat yang terpisah dari kita dan memerlukan penghubung seperti “jambatan” untuk kita sampai kepadanya.
Sebenarnya ilmu itu apa?
Ada yang mengkategorikan ilmu kepada dua iaitu ilmu dunia dan ilmu akhirat. Ada yang mengkategorikan ilmu kepada ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah. Aku lebih menyukai kategori yang kedua ini. Ilmu fardhu ain dan ilmu Fardhu Kifayah.
Sepertimana kita semua sedia maklum, ilmu Fardhu ain adalah ilmu yang wajib kita pelajari sepertimana kita wajib lulus “ilmu teras” ketika peperiksaan UPSR, PMR dan SPM dahulu. Cuma bezanya, ilmu fardhu Ain ini tidak akan kita ketahui keputusannya di dunia ini dan kita tidak akan berjaya andai hanya “tahu” sahaja tanpa mengAMALkan apa yang kita ketahui itu.
Ilmu Fardhu Kifayah pula, ilmu pilihan. “Kalau ada orang lain yang mempelajari ilmu ini, secara automatik, kita tidak lagi wajib”. Dalam erti kata yang lain, tidak berdosa sudah.
Perkara inilah yang selalu diterapkan dalam pemikiran kita.
Apa akan jadi seandainya semua umat Islam berfikir sebegini? Apa akan jadi pada umat ini jika hanya bergantung dan berharap pada orang lain untuk menguasai ilmu Fardhu Kifayah?
Nauzubillah Min Zallik. Semoga tidak la ya... Oleh itu, marilah sama-sama kita ubah persepsi songsang ini sebelum segalanya benar-benar terlambat.
Sematkan dalam hati keazaman ini...
“Biarlah aku yang belajar ilmu fardhu kifayah ini sebagai tanda aku bersyukur dengan kebolehan membaca dan menulis yang dikurniakan Allah ini”.
Iya, sahabatku...Biarlah orang itu adalah diri kita.
Ingatlah pesan Allah s.w.t dalam al-Quran,
“Allah mengeluarkan kalian dari perut ibu kalian dalam keadaan tidak mengetahui suatu apa pun dan DIA memberikan kalian penDENGARan, PengLIHATan dan HATI agar kalian bersyukur”
(Surah An-Nahl: ayat 78)
TIGA nikmat inilah yang amat perlu kita gunakan dengan sebaik-baiknya agar kita tidak menjadi orang yang rugi. Namun, seandainya kita menguasai sesuatu ilmu, janganlah beranggapan kita tahu segala-galanya kerana diatas setiap yang orang yang mengetahui ada lagi YANG MAHA MENGETAHUI. Wallahualam.
With Lots of Love. Living Here for Hereafter.
No comments:
Post a Comment