Wednesday, December 21, 2011

Cerita kami di masa cuti: Part 2

"Tiit..Tiiit...Tiiit..."

Bunyi alarm yang membingitkan telinga di sebelahku mengejutkan aku dari lena. Aku melihat jam yang tertera pada skrin telefon bimbitku,

"Jam 3.30 pagi" detik hatiku.

Aku berpaling ke sebelahku. Dalam kesamaran lampu yang menerobos masuk melalui tingkap bilik, aku merenung kedua-dua anak buahku (kembar dua) dan adik perempuanku yang masih lena diulit mimpi. Kelihatan anak buahku bergerak-gerak mencari posisi yang selesa sebelum meneruskan bahtera mimpinya, aku mengusap ubun-ubun mereka sebelum mencium dahi mereka.

Kemudian, aku bangkit dan menuju ke bilik air untuk mengambil wudhuk. Selesai menunaikan solat sunat, aku membuka laptop yang terbiar lama semenjak kehadiran anak-anak buahku ini. Bukan kerana tidak berkesempatan, tapi khuatir mereka akan "terbiasa" dengan laptopku, yang pastinya 'game' adalah pilihan utama mereka. Melihat kerja-kerja yang perlu dihabiskan sebelum berakhirnya cuti ini, aku mengklik pada E-book yang seterusnya. Ada sebahagian yang telah aku cetak bagi memudahkan untuk membacanya pada saat-saat terluang. Aku telah berjanji dengan sahabatku untuk menghabiskan bahan-bahan yang ada sebelum membincangkan mengenainya selesai cuti ini.

Ah, janji ini pasti akan ditagih. JANJI. Fikiranku serta-merta mencetuskan kembali memori yang terjadi pada hari kelmarin.

"kak en, kita nak masak apa malam ni?" aku bertanya kepada kakakku yang merupakan ibu kepada ketiga-tiga anak buahku yang balik bercuti kali ini. ketika itu, kulihat dia sedang menyapu.

"Kita masak sup jak la ayam ni. Boleh buat mee sup. Lagipun, tak elok makan goreng-goreng selalu" jawabnya sambil menyelitkan nasihat.

"Bha, aku tolong bersihkan ayam ni la"kataku sambil melangkahkan kaki ke singki.

"A'ah, nanti kejap lagi kakak turun pekan, beli bahan-bahannya lepas ni. Cuma, asingkan beberapa ketul untuk buat ayam panggang. Abang mat (abang iparku) kata nak tolong masak" tambahnya.

Aku mengangguk-angguk. Belum lagi sempat aku bertanya lebih lanjut, kedua-dua anak buahku meluru masuk ke dapur. Soalan lazim yang akan terpacul di mulut mereka meluncur seperti biasa,

"Umi, umi buat apa tu?"

Dan seperti biasa, aku akan menerangkan dengan panjang lebar supaya tidak banyak soalan yang perlu aku jawab.

"Oohhh..." kedua-dua mengangguk-angguk kepala mendengar jawapanku sambil tangan kedua-duanya mencucuk-cucuk ayam yang berada di dalam besen.

"Nak tolong..." kata mereka. Aku tahu, perkataan ini pasti akan keluar.

Aku menarik nafas. Aku melihat ke wajah mereka sambil tersenyum. Aku mengangguk-anggukkan kepala. MEREKA DALAM PROSES BELAJAR. Aku mengerti bagaimana keterujaan perasaan ingin"menolong" itu. Apatah pagi, kakak sulungku yang kini menetap di KL pernah berpesan padaku ketika dia balik bercuti bersama-sama anak-anaknya. Ketika itu dalam kesibukan membuat juadah bagi menyambut Syawal, anak-anak buahku juga ingin turut ingin menyibukkan diri untuk "menolong".

"Budak-budak ni, kalau dorang mahu menolong jangan dimarah. Nanti "kemarahan" tu akan melekat dalam kepala dorang. Sabar, ajar dorang perlahan-lahan. Lama-kelamaan, dorang akan mahir juga buat semua tu. kalau dimarah, itu yang nanti dorang malas mahu menolong bila sudah besar. Ko pun dulu masa kecil bukan "menolong" sangat pun, mengacau jak. Tapi arwah mama dulu sabar juga kan...."

Aku tersenyum. Iya, arwah mak dulu, andai kenakalan kami sudah ke tahap maksimum, dengan kuat beliau akan mengucapkan "La haula wala Quwwata ila billah". Secara automatik, kami semua akan senyap dan saling menyalahkan antara satu sama lain.

"Splash!"

Bunyi air di kamar mandi yang terletak bersebelahan dengan dapur menarik minat kedua-duanya. Pasti adikku yang bongsu dan yang kedua bongsu tengah membersihkan bilik air. Mereka segera berlumba-lumba ke arah bilik air.

Tidak sampai lima minit, kedengaran suara adikku yang bongsu, menjawab setiap pertanyaan mereka.

"Sabar je la..." gumamku.
Satu perkara yang kupelajari dari adikku ini ialah kesabarannya melayan karenah mereka. Mujurlah, walaupun dia masih suka melihat "kartun" tapi selepas aku bersoal-jawab dengannya, banyak kartun yang dikurangkan dari senarai "wajib tontonnya" dan banyak masanya dihabiskan untuk membantu.

"Umi, bila nak buat kek batik?"

Aku yang sudah selesai membersihkan ayam, menoleh. Si tasya berdiri di sebelah peti sejuk, sambil mempamerkan giginya ke arahku. Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Seingatku, JANJI untuk membuat kek batik ini dituturkan ketika kami membaca majalah NUR minggu lepas. ketika itu, bahan-bahannya tidak mencukupi. Tapi, kini, tidak ada alasan lagi kerana sudah dibeli pada dua hari yang lepas.

"Masih ingat rupanya..."detik hatiku.

"InsyaAllah, petang ni, lepas asar..." jawabku sebelum menyambung membuat kerja yang lain.

Dan kerana perkataan "lepas asar" ku itu, mereka sentiasa melihat jam di dinding. Sekejap-sekejap, mereka melihat kalendar solat yang melekat di ruang tamu.

Tepat sahaja masuk waktu, mereka segera mengambil wuduk.

"Umi, umi, pas solat kita buat kek batik kan umi? " kata nabila

"Siapa bagitau ila?" soalku kepadanya.

"kakak.."katanya.

Aku mengangguk bagi membenarkan kata-katanya sambil mengusap kepalanya.

Petang itu, kerana sebuah JANJI, aku mengajak mereka MENOLONGku dengan mengagih-agihkan tugas. Mulutku tidak berhenti memberi arahan, mataku pula sentiasa meninjau-ninjau hasil kerja mereka. Jika tidak diawasi, pasti berebut. Walaupun langkah-langkahnya sudah kuhafal, tapi aku sengaja menyuruh mereka membaca buku resepi tersebut bagi menguji literasi bahasa mereka.

Malamnya, bermula dari proses memotongnya sehinggalah menghidang, mereka setia menunggu. Kemuncaknya, apabila menikmati hasil tangan mereka, kedua-duanya tersenyum puas.

"Erm, Sedapnya umi..." kata mereka sambil mengangkat ibu jari. Aku hanya tersenyum.

"Dorang ni, kalau nak berjanji, jangan sembarangan, dorang ingat tu..." kakakku membisikkan di telingaku sambil ketawa kecil apabila aku menceritakan peristiwa ini kepadanya.

Iya, kita selalu mengingat janji yang diucapkan orang lain kepada kita, tapi seringkali terlupa menunaikan janji yang kita ucapkan. Semoga kita semua dijauhkan dari salah satu sifat munafik ini. Marilah kita memohon kekuatan dari-Nya untuk menunaikan janji teragung yang kita lafazkan dalam doa iftitah kita setiap hari...

"Sesungguhnya, solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah Taala"

InsyaAllah.
With Lots of Love,
Living here for hereafter.

Thursday, December 15, 2011

Cerita kami di masa cuti: Part 1

"Umi, ummi buat ape tu?" tanya tasya (kak long)

"Umi tengah baca buku..." aku menjawab pertanyaan anak buahku sambil mata terus menatap buku yang ada di tanganku.

"Buku apa tu, ummi?" tanyanya lagi

"Buku cerita...erm,.. tasya nak dengar tak?" jawabku sambil bertanya semula padanya.

"Nak!Nak... Cerita ape ummi?" Balasnya sambil tersenyum riang.

Baru sahaja aku hendak bercerita, tiba-tiba...

"Ummi buat apa tu?" seorang lagi datang bertanya (kak ngah)

"Ila dari mana ni?" aku menjawab pertanyaan anak buahku yang seorang ini dengan pertanyaan juga.

''Ila dari dapur" jawabnya

"Ummi, ummi ceritalah..."si tasya yang kemungkinan "bosan" dari tadi menunggu bersuara meminta agar aku memenuhi "tawaran" awalku tadi.

"Kejap ya, tasya" aku memujuknya.

Ehem...aku berdehem.

Dalam aku mencari-cari idea bagaimana hendak memulakan ceritaku..

"Erk" tiba-tiba seseorang memeluk leherku dari belakang.

Aku memegang tangan kecil itu sambil memusingkan kepalaku.

Kini, Nadira (si adik) pula datang menyertai kedua-dua kakaknya..

Aku tersenyum.

"Adik dah abis makan?"

"Eem, kenyang..."kepalanya diangguk-anggukkan sambil tangannya mengusap-usap perutnya.

"Alhamdulillah..."
kataku.

"Ok, semua duduk ..." aku menyuruh ketiga-tiganya duduk di hadapanku sambil menepuk lantai dihadapanku.

Ketiga-tiganya segera duduk bersila di hadapanku sambil mematah-matahkan jari masing-masing, setia menunggu...


"Pernah tengok ..." aku memulakan cerita dengan sebuah persoalan. Kemudian dari jawapan mereka aku kaitkan dengan diri mereka. Apabila nama masing-masing disebut, senyuman lebar terlukis di wajah suci mereka.


Demikianlah sedikit sebanyak cerita ketika melayan anak-anak buahku yang datang bercuti selama dua minggu.

Pada waktu melayan mereka inilah aku merasa bersyukur yang teramat kerana pernah mempelajari teori"perkembangan kanak-kanak" di semester satu dahulu. Di kala kesabaran sudah menipis, akal segera memberi "hujah-hujah" logik berdasarkan apa yang pernah dipelajari dahulu.

"Mereka tengah belajar" aku menyabarkan hatiku apabila menghadapi "kenakalan" dan "kecelotehan" mereka yang tidak kenal erti penat dan lelah. keaktifan mereka membuatkan aku semput nafas, semput idea. Semua ini membuatkan aku mengagumi guru-guru prasekolah yang betah melayan karenah anak-anak kecil yang adakalanya sehingga mencecah puluhan orang. Aku yang baru berhadapan yang paling maksimum pun sehingga lima orang anak buah sudah mengeluarkan ''bendera putih" dan adakalanya meminta bantuan adik bongsuku untuk membawa anak-anak buahku yang lelaki untuk dilayan.


Apa taknya, semua perkara hendak ditanya. Semua perkara hendak diberitahu. Semua perkara hendak ditunjukkan yang pastinya menuntut "kesabaran" dan "kreativiti" agar mereka tidak merasa bosan dan di akhirnya menghabiskan masa terluang cuti ini dengan aktiviti bermain "game" semata-mata.

Namun, peringatan dari seorang sahabat menjentik keinsafan dalam diri ini...

"Anggaplah ini semua tarbiyah dari Allah. Kehadiran mereka memberikan kita peluang untuk turut "belajar" dalam konteks "alam belajar" mereka. Berhati-hatilah melayan karenah mereka. Jangan kerana sifat mereka itu, kita menyerah. Bersihkan hati sentiasa. Mereka adalah anugerah dari Allah. Didiklah mereka dengan membawa mereka mengenal Allah s.w.t melalui fitrah mereka. Mereka masih suci. Biarpun kita akan letih, ndak pa...Itu semua sekejap jak. Asal kita tidak letih melayan mereka seumur hidup...fahamkan?"

Semoga Allah merahmati kita semua dalam setiap detik kehidupan kita. Setiap perkara ada waktunya. Bersabarlah duhai hati...

With Lots of love.

Living here for hereafter...InsyaAllah.

Sunday, November 13, 2011

Kisah kehidupan: Kurus atau gemuk bukan ukuran

Tepat pukul 6 pagi. Selesai solat subuh berjemaah, bacaan ma'thurat, dan sedikit "bicara hati" bersama seorang teman, aku memulas tombol pintu bilikku untuk menghirup udara di luar bilik.

"Eh, dayana?"

Aku sedikit terkejut dan kehairanan melihat seorang adik junior pagi ini terpacak berdiri di depan bilikku. Dalam kekalutan mentafsirkan tujuan kedatangannya, aku cuba untuk meneka-neka. Serta-merta aku teringat gurauanku dengannya semalam ketika makan malam bersama-sama.

"Kalau tidak mahu tidur lepas subuh, jom ikut akak joging esok.." tapi, aku tidak berniat untuk memaksanya.

"Boleh,boleh..kak..."Sambil mengangguk-angguk, kulihat matanya bersinar-sinar dan kulihat senyuman terlukis lebar pada wajahnya. Sungguhpun demikian, aku tidak menyimpan harapan yang tinggi.

MasyaAllah. Pagi ini, melihat kesungguhannya itu, diam-diam, aku menyimpan rasa kagum terhadapnya. Iya, dari dahulu, aku sangat mengagumi orang yang sentiasa mengotakan janji mereka. Hari ini, bertambah sudah keahlian "senaman pagi" aku dan Imah (jiran sebelah bilik yang paling rajin apabila kuajak untuk menemaniku).

Apabila mengingat kembali apa yang mendorongku untuk mengubah rutin pagiku, aku sendiri tersenyum.

"Akhir-akhir ni, rasa lemah dan lemas jak, kenapa ya.." luahku suatu hari pada seorang sahabat.

"Nak jawapan yang jujur ka yang tipu?" guraunya.

"Yang tipu, kalau jujur nanti menyakitkan hati jak. Ko tu "laser"..."Aku membalas gurauannya.

Dia tersenyum sebelum membalas pendek..

"Sebenarnya ko makin gemuk..."ujarnya.

"erk?"

Terasa seperti seketul batu menghempap kepalaku. Kata-katanya itu membekas dalam hatiku. Aku yang seringkali mengingatkan diriku agar bersyukur dengan "bentuk" yang kita ada mulai muhasabah diri. Sahabatku ini tidak akan menegur jika tidak teruk.

"Jahat..." Kataku sambil memukul bahunya.

Walaupun sedikit "terasa hati" tapi aku cuba untuk menyelami pemikirannya. Akhirnya aku meluahkan apa yang kupegang selama ini.

"Apa pula kaitan antara gemuk dengan rasa lemah?" aku meminta penjelasan.

"Gemuk dan kurus bukan ukuran, itu semua hanyalah luaran. Tapi, kita kena ingat. Kurus belum tentu sihat dan gemuk pasti tidak sihat. kalau sudah sampai rasa lemah, itu tandanya tubuh kita bagi "signal" dengan kita yang ia sedang menderita. Ini serius. Macam mana kita nak jalankan ibadah dengan sebaik-baiknya kalau baru jalan sikit, dah tercunggap-cunggap. Masih ingat hadis Rasulullah mengenai penyakit umat akhir zaman?"

Aku mengangguk.

"Cinta dunia, takut mati..." Aku menjawab yakin.

"Bukanlah. Yang berkaitan perut buncit tu.."dia membetulkan.

"Oh, yang tu. Sebab banyak makan dan banyak tidur... Hurm (Aku diam seketika) Eh, kan tu semua menyumbang kepada kegemukan. Kesannya, aku "rasa lemah", kan..." aku membuat perkaitan.

"Ehem...belum lagi orang abis cakap...sudah buat kesimpulan.."kulihat wajahnya tidak puas hati.

Aku menghadiahkan senyuman buatnya.

Walaupun itu bukanlah satu-satunya faktor, tapi, aku bersyukur kerana dengan mengubah rutin, aku tidak menjadi "robot" di Ip ini. Suatu penyeksaan buat diri sendiri untuk menempuhi tiga tahun dengan hanya mengulangi rutin yang sama yang kian lama kian menenggelamkan..


Sedikit selingan...
Dalam hidup Rasulullah, baginda sangat mengutamakan keberkatan pada waktu subuh. Baginda telah berdoa,
"Ya Allah, berkati umatku pada waktu pagi."
( Riwayat al-Tirmizi)

Sebuah coretan untuk renungan kita bersama,
"Sewaktu di Amerika, Sewaktu pergi dan pulang dari masjid setelah solat subuh, sekitar jam enam pagi, di jalan-jalan utama telah dipenuhi kereta. Mereka itu orang Kristian, Yahudi dan Atheis. Jumlahnya tidak sedikit. Mereka bangun pagi untuk kehidupan dunia, bersamaan waktu solat subuh. Hajat kemanusiaan mampu mendorong mereka untuk bangun pagi. namun, mengapa seorang mukmin tidak mahu mengerah segenap potensinya untuk menyamai mereka bangun pada waktu pagi?"
(Dr. raghib al-Sirjani, penulis buku Misteri Solat Subuh)

With lots of love,
Living here for hereafter.

Friday, November 11, 2011

Perkongsian: Bebaskan dirimu

"Biar bebas tapi sopan" Kata-kata ini kukutip dari sebuah novel yang kubaca sekitar tahun 2005 dan menjadi salah satu prinsip dalam hidupku sebelum aku mengenali dunia tarbiyyah. Ketika itu aku masih dalam fasa "pencarian identiti" sebagai seorang remaja.

Dalam waktu itu, aku melihat pergaulan antara lelaki dengan perempuan adalah sesuatu yang lazim tanpa sebarang batasan. Iya, aku tidak pernah mengetahui bahawa ada istilah "ikhtilat" antara lelaki dan perempuan dalam Islam. Setiap orang bagiku adalah rakan tanpa mengira jantina. Itulah asas pemikiran sekular dan liberal yang disembunyikan atas nama "open-minded". Aku sendiri, jika bukan kerana rahmat-Nya hampir tenggelam dalam pemikiran "open-minded" ini.

Segala-galanya terbuka. "Kebebasan adalah hak asasi manusia". Itulah yang sering dilaung-laungkan dan ditanam ke dalam pemikiran mentah kami. Mujur, dalam kebebasan itu, aku masih mendapat sekatan dari ayahku. Walaupun ayahku hanya biasa-biasa sahaja, namun, ayah amat tegas dalam perhubungan dan adab. Malah, pernah ayah mengugut akan "mengahwinkan" kami adik-beradik sekiranya beliau melihat kami berdua-duaan dengan lelaki. Kesannya, aku hanya berani bergaul dengan rakan lelaki ketika berada di sekolah. Malah, abang-abangku juga tidak pernah bertoleransi bab-bab cinta denganku. Kerlingan dan jelingan tajam mereka sekiranya rakan lelaki menghubungiku membuatkan aku "kecut".

Hakikatnya juga, aku tidak ingin dan tidak berminat untuk melibatkan diri dalam sebarang hubungan yang melibatkan "perasaan" dalam pergaulanku dengan lawan sejenis. Mungkin kerana aku tidak melihat sebarang kebebasan apabila mempunyai hubungan dengan lawan sejenis. Berkawan, iya..bercinta, aku undur diri. Aku sendiri tidak yakin apabila mengetahui pemikiran mereka yang hanya ingin keseronokan semata-mata.

Kebiasaannya, apabila "couple", rakan-rakanku banyak yang kecundang dalam akademik dan tidak dapat berkembang dengan baik kerana terlalu sibuk. Sibuk ingin kelihatan cantik di hadapan yang "tersayang", sibuk memikirkan apakah perbuatan mereka disukai atau di"restui" oleh pasangan mereka, sibuk dengan pelbagai perkara yang sia-sia dan akhirnya tenggelam dengan pelbagai khayalan-khayalan yang menutup diri daripada melihat alam realiti. Walaupun dinasihati,"orang yang mabuk cinta adalah buta"...Itulah yang kugeruni. Aku tidak ingin bercinta yang akan menyebabkan aku lupa diri, hilang malu dengan orang sekeliling...Naudzubillah min Zalik.

Teringat kata-kata baginda Rasulullah s.a.w,
"Jika kamu tidak malu, berbuatlah sesuka hatimu".
Iya, malu itu memang benar-benar perisai bagi kita. Jika kita sudah tidak merasa malu, muhasabahlah diri kembali.

Pun begitu, aku tidak pernah memilih kawan. Walaupun aku suka mendekati orang-orang yang cemerlang, tanpa mengira ianya lelaki atau perempuan dengan harapan aku akan mendapat "tempias" kecemerlangan mereka tapi aku tidak pernah menutup diriku dari rakan-rakan yang nakal. Aku melihat mereka juga budak-budak baik cuma perlukan bimbingan. Namun, aku tidak tahu bagaimana caranya ketika itu.

Pernah, ketika masih aktif dalam aktiviti sukan dan ko-kurikulum, pergaulanku semakin meluas. Ini menyebabkan perubahan drastik dari seorang yang pendiam menjadi seorang yang lincah sehingga aku dikaunseling oleh seorang guru Bahasa Melayuku (Semoga Allah meredhainya di mana pun beliau berada).

Sejujurnya, aku sendiri terkejut dan terharu apabila mengetahui rupa-rupanya beliau sentiasa melihat perkembanganku dari semasa ke semasa. Ternyata sangkaanku bahawa "ayah" hanya di rumah, meleset. Di sekolah, Allah tetap memeliharaku.

Itulah rahmat Allah. Aku tahu, melalui guruku ini,
Allah menegurku agar tidak tersasar. Setiap orang yang kutemui dalam episod kehidupanku, pasti ada sesuatu yang kubelajar dari mereka...

Mujur, dalam kebebasan aku bergaul, aku masih dipelihara Allah s.w.t. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Seringkali apabila mengingatkan kisah-kisah lampau, aku bersyukur yang teramat kerana kegilaanku terhadap buku banyak menyibukkan diriku dari terjebak dengan gejala yang tidak sihat. Bahkan, melalui bukulah aku banyak belajar mengenali Allah, mengenali diriku, dan belajar mengenai kehidupan remaja yang penuh dengan pelbagai warna.Semuanya atas rahmat Allah.

Bagi adik-adik yang masih dalam alam remaja, carilah ilmu sebanyak-banyaknya agar dirimu tidak kosong. Kekosongan yang menyebabkan anasir-anasir jahat senang untuk memasuki dirimu. Kehidupan ini adalah proses untuk belajar. Belajarlah setiap hari, belajarlah di mana-mana sahaja dan belajarlah sepanjang hayatmu.

Di suatu saat, aku terfikir semula, "bebas" ini sebenarnya bagaimana?

Kita hanya akan merasai kebebasan apabila kita mendekati Allah s.w.t dan mengenalinya dengan mata hati untuk merasai cinta-Nya.

Nukilan ini buat seorang adik yang mempersoalkan adakah dirinya masih lagi berpeluang untuk berubah dan mengapa "orang lain buat salah, tak kena tegurpun". Yakinlah dik...Selagi namanya nadi masih berdenyut, selagi itulah Allah masih menerima taubat. Janganlah berputus asa kerana itu sikap orang kafir...Pilihlah untuk berubah saat ini demi meniti kebahagiaan hakiki. Tidak ada yang mudah dalam hidup ini, tapi, yakinlah dalam kesusahan itu, kita akan merasai manisnya sebuah hidayah.

Atas segala kelemahan diri ini, kumemohon keampunan dari Allah, dan kemaafan dari kalian. Aku juga seorang manusia...

akan bersambung, insyaAllah...

Coretan sekeping hati,
with lots of love,
Living Here for hereafter.

Wednesday, November 9, 2011

Menyelami ke dasarnya...

Dengan Nama Allah Yang Maha Mengetahui...

"Ya Allah, berikanlah kami ilmu yang bermanfaat, hati yang khusyuk, rezeki yang berkat dan ilhamkanlah kepada kami untuk mensyukuri segala nikmat yang Engkau berikan kepada kami dan kepada kedua ibubapa kami"

Alhamdulillah. Segala puji hanyalah buat Allah, tuhan sekalian alam.

Menghirup udara segar pagi ini bersama seorang teman, berkongsi cerita-cerita mengenai kehidupan membawaku ke dalam kenangan masa lalu. Dalam diam, aku merindui seorang sahabat yang lama tidak kutemui yang kini sedang berada di perantauan. Terbaru, aku mendapat khabar berita dia akan melangsungkan perkahwinan. Mudah-mudahan Allah mempermudahkan segala urusannya.

Membayangkan wajahnya menerbitkan perasaan rindu pada saat-saat masa lalu. Pada geraklakunya, pada tawanya, pada tuturkatanya semuanya menyatu dalam ingatanku. Satu sifatnya yang amat kusenangi dan ingin sekali aku contohi ialah pada sikap positifnya. Walau dibebani pelbagai masalah, dia masih mampu tersenyum. Malah, seringkali dia memikirkan orang lain melebihi dirinya. Sebelum mengenali dirinya dengan lebih mendalam, aku seringkali merasa cemburu melihat kehidupannya yang sentiasa ceria. "Macam orang yang tidak ada masalah" detik hatiku setiap kali melihatnya. Perwatakannya yang sentiasa tersenyum membuatkan ramai orang di sekelilingnya menyayanginya.

Namun, ditakdirkan Allah, suatu ketika aku menemuinya menangis bersendirian di suatu sudut di sekolah. Ketika itu, waktu sekolah telah pun berakhir. Hatiku tergerak untuk mendekatinya.
"Ain, napa ni?"
Persoalan pertama yang meluncur di bibirku.
Dia mengangkat kepalanya.

Allah...detik hatiku.
Pertama kali aku melihat wajah itu lesu dan matanya yang suram. Pada sinar matanya aku melihat kesedihan yang mendalam. Rasa simpati meluap-luap dalam hatiku. Aku segera memeluknya. Walaupun aku tidak rapat dengannya, namun, hari itu, aku ingin sekali menyelam ke dasar hatinya. Untuk merasai kesedihan yang membuatkan "bunga" yang sentiasa tersenyum ini menjadi layu begini.

Pada hari itulah, aku insaf dan malu sendiri apabila mendengar kisah hidupnya. MasyaAllah... Hanya itu kata yang mampu terucap. Betapa beratnya penderitaan yang ditanggungnya. Segalanya dipendamkan kerana prinsip hidupnya"tidak ingin menyusahkan orang lain". Bermula daripada masalah keluarga sehingga kepada masalah persekitarannya kian menekan perasaan batinnya. Semua itu hakikatnya merupakan penderaan mental, psikologi dan sosioemosinya. Segalanya terlalu berat untuk ditanggung seorang diri. Akhirnya, aku sendiri pun menangis bersama-samanya.

Apabila kufikirkan semula bagaimana dia mendapat kekuatan untuk terus positif adalah pada sifat memahaminya. Seringkali apabila dia dimarahi walaupun dia tidak bersalah, dia akan bergurau "datang bulan tu" walaupun hakikatnya yang memarahinya itu adalah lelaki. Semakin mengenalinya, aku mengerti, dalam tak disedari dia mengaplikasikan apa yang dikatakan oleh Stephen Covey yang berbunyi "seek to understand before being understood". Iya, hatinya yang sering dilukai menjadikan dia seorang yang amat memahami. Hatinya yang sering menangis membuatkan dia tidak sampai hati melihat orang lain dilanda kesedihan. Ilmu agamanya juga tidaklah setinggi mana, tapi dia selalu menasihatiku untuk menjaga solat kerana katanya solat itu dapat menjaga kita dan saat itulah merupakan tempat kita bercerita segalanya kepada Yang Maha Mendengar.

Dengan gaya yang santai, dia berkata, "Kalau cerita dengan orang, orang pandai boring, tapi dengan Allah, tiada limit...mungkin kita kali boring, mudah-mudahan tidak, la ya...Hurm,yakinlah, setiap perkara ada kesudahannya. Lagipun, hidup ni bukannya lama.."

Itulah dirinya. Darinya aku belajar erti sebuah kehidupan. Dia yang sentiasa bersyukur diberikan ujian, kerana dalam kemelut masalahnya dia mengenali tuhan.

Dia yang berpada dengan apa adanya kerana yakin dengan janji tuhan. Dia yang sentiasa memahami kerana "matanya yang cantik'', yang sentiasa melihat kebaikan rakan-rakannya ketika orang lain melihat keburukan rakan-rakannya. Semua itu juga kerana dirinya memiliki sekeping hatinya yang bersih.

"Ya Allah, engkau gembirakanlah hidupnya selalu. Engkau ceriakanlah hatinya setiap waktu. Engkau tenangkanlah fikirannya dengan rahmatMu. Amin..Amin...Ya rabbal alamin..

Dari seorang sahabat,
With Lots of Love,
Living here for hereafter.

Tuesday, November 8, 2011

Berserahlah...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

"Kesempurnaan penyerahan diri, penyucian jiwa yang sebenarnya adalah
apabila kamu berasa yakin tidak memiliki sesuatu pun di dunia ini dan
pada waktu yang sama, kamu yakin bahawa kamu tidak dimiliki selain Allah..."

-Sumnun bin Hamzah.

Dalam hidup ini, kita tidak akan merasa tenang andai kita masih punya rasa pergantungan selain kepada Allah s.w.t. Berusahalah sahabatku sehingga engkau merasa dirimu hanyalah milik Allah s.w.t...bukan milik siapa-siapa. Dan, apa yang pada dirimu saat ini juga bukan milikmu. Semua itu hanya sekadar pinjaman yang juga sebuah amanah untuk dijaga dengan sebaik-baiknya. Ingatlah selalu, kita hanyalah seorang hamba. Jadilah hamba yang sebenar-benarnya. Jangan biar persekitaran menjadikan dirimu terumbang-ambing...berpegang teguhlah dengan tali agamamu. Kerana, keselamatan dirimu terletak pada hidup beragama.

Buat sekalian sahabat-sahabat yang akan menduduki peperiksaan,
"Selamat Maju Jaya. Semoga dipermudahkan segala urusan..."

Pesan dari naqibahku,
"Jangan tak cukup nanti tak habis..."
InsyaAllah, kak...

With Lots of Love,
Living here for hereafter.

Saturday, November 5, 2011

Carilah cinta di sudut hatinya...

Perpustakaan. Di suatu sudut, kelihatan seorang murid membantu gurunya menyusun buku-buku yang baru sampai. Suasana bilik perpustakaan sekolah kelihatan berselerak. Masing-masing tenggelam dalam dunia mereka sendiri sehingga yang kedengaran hanyalah bunyi kipas yang ligat berpusing di atas siling. Kesunyian suasana itu dipecahkan dengan suara murid tersebut yang tiba-tiba bertanya,

"Cikgu, macam mana mahu score dalam exam?"

Guru tersebut berhenti seketika dari kerjanya dan merenung ke arah anak muridnya yang seorang ini. Agak lama beliau diam, berfikir.

"Jawab soalan sampai puas hati" katanya.

"Err, saya tak faham cikgu..." balas anak murid tersebut dalam keadaan teragak-agak.

Peperiksaan itu merupakan salah satu cara untuk kamu menguji tahap kefahaman kamu sepanjang tempoh kamu belajar. Jadi, adalah tidak berbaloi jika kamu menjawab dengan ala kadar sahaja. Curahkan segalanya di atas sekeping kertas tersebut sehingga kamu kehabisan idea untuk diperkatakan, barulah kamu akan rasa lega. Tapi, pastikan kamu betul-betul bersedia. Itulah namanya usaha yang terakhir sebelum kamu bertawakal. Tapi, jangan lupa, jadilah orang yang bijak.

"Apa ciri-ciri orang yang bijak?" Soal guru itu pula.

"Sentiasa bersedia dan berhati-hati dalam setiap aspek kehidupannya serta sentiasa merendahkan diri dalam menuntut ilmu..." murid tersebut menjawab berdasarkan apa yang seringkali dinasihatkan oleh gurunya itu.

"Alhamdulillah, amalkan, amalkan..." guru tersebut tersenyum. Tidak henti-henti hatinya memuji Allah kerana mendapat seorang anak murid seperti itu.

"Cikgu, macam mana pula kalau mahu berjaya dalam hidup ni?"murid itu masih bertanya.

Kali ini guru tersebut tidak mengambil masa yang lama untuk menjawab persoalan itu. Dengan senyuman kasih, dia menjawab,

"Sentiasa ingat Allah, dan lakukan setiap perkara dengan sepenuh hati"

Kelihatan murid itu mengangguk-anggukkan kepalanya.

"Cikgu tahu, kamu masih belum mengerti apa yang cikgu cakap tadi, tapi, cikgu harap, kamu jangan pernah berhenti dari menimba ilmu dan mengamalkannya. Hanya dengan ilmu, kita mampu mengubah diri kita. Ingat juga, kalau kita tidak mampu dari segi kewangan untuk bersedekah, bersedekahlah dengan menggunakan tulang empat kerat, insyaAllah, Allah suka dengan orang yang berbuat kebaikan...."

"Oklah, cukuplah dulu untuk hari ini, esok kita sambung lagi susun buku-buku ni. Jom, kita pergi ke kantin. Cikgu belanja.."

Mendengar perkataan "belanja" itu, murid tersebut tersenyum lebar...

Demikianlah sebuah kisah di suatu hari.

With Lots of Love,
Living Here for hereafter.

Thursday, October 27, 2011

Belajarlah dalam setiap detik kehidupanmu

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

"Every child is special"

Frasa ini merupakan tajuk bagi sebuah filem Hindi yang bagiku bukan setakat membawa pengajaran tapi membuka mata. Sentuhannya meliputi pelbagai sudut. Apa yang pasti, ianya mengajar erti "empati" dan bukan setakat simpati.

Seringkali kita menuturkan ungkapan "kasihan" apabila melihat anak-anak miskin di tepi jalan ketika menaiki bas yang berhawa dingin, 'kasihan..." apabila mengetahui ramai lagi anak-anak murid di luar sana yang tidak pandai membaca. Begitulah, Seringkali "kasihan" akan meluncur di bibir apabila mendengar kisah-kisah sedih, penderitaan orang lain, bencana-bencana yang menimpa orang lain. Namun, "kasihan" itu kekal menjadi satu kata-kata hiasan semata-mata andai tidak disertai tindakan. "Kasihan" kita tidak membawa apa-apa makna pada mereka yang kita "kasihankan" tersebut.

Kembali menjalani kehidupan seperti biasa. Itulah yang sering terjadi. Apa yang dilihat, atau apa yang dirasa sebentar tadi umpama angin yang menyapa. Hanya dirasa ketika itu sahaja. Tapi, kemudiannya hilang seiring dengan berlalunya tiupan angin itu...Tanpa sebarang tindakan.

Tidak terkecuali diriku. Seorang sahabatku pernah berkata, "Adakalanya kita ini selalu merasa kurang kerana selalu melihat ke atas dalam hal-hal duniawi, dan selalu merasa kita yang terbaik dalam hal-hal amal ibadah kerana melihat kepada yang lebih teruk dari kita..."

Ketika itu, kami sama-sama menaiki bas ke sebuah destinasi. Dalam perjalanan itu, menemukan kami dengan sebuah realiti kehidupan apabila melihat seorang ibu yang mengendong anaknya di belakang dengan menggunakan kain sarung dan di atas kepalanya memikul barangan. Cukup menyentuh hati. Melihat sekilas wajah ibu tersebut cukup untuk menceritakan besarnya cabaran yang terpaksa dihadapinya untuk meneruskan sebuah kehidupan...

Iya, jika kita rasa kitalah yang paling banyak masalah, pandanglah sekeliling kita. Mungkin apa yang kita rasa sebagai masalah besar itu, tidaklah sebesar mana dibandingkan dengan orang-orang yang kehilangan keluarga yang tersayang, kehilangan anggota tubuh badan dan yang paling menyedihkan kehilangan peluang untuk mengenali Allah s.w.t kerana tidak pernah menjejakkan kaki ke alam persekolahan. MasyaAllah.

Jika kita merasa kitalah yang paling "kasihan", itu menunjukkan kita masih lagi belum mengerti. Mengerti bahawa kebahagiaan itu bukanlah terletak pada berapa banyak orang yang meyanyangi kita tapi pada berapa besarnya kasih kita terhadap manusia seluruhnya sebagai tamsilan cinta kita kepada Allah s.w.t. Lalu,marilah kita sama-sama merenung kembali apa yang telah kita lalui dalam setiap detik kehidupan kita...

Pesan kak seniorku,
Muhasabahlah diri selalu...

"Barangsiapa mengerjakan kebajikan maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri dan barang siapa berbuat jahat maka (dosanya) menjadi tanggungan dirinya sendiri. Dan tuhanmu sama sekali tidak menzalimi hamba-hamba-(Nya)."(Surah Fussilat: ayat 46)

With Lots of Love,
Living here for hereafter.

Thursday, October 20, 2011

Dalam Kenangan: Majlis Jamuan akhir Tahun JKM

Dengan Nama Allah.

Let your life speak, listening for the voice of vocation
Parker J. Palmer, Author of The Courage to Teach

Saat kaki melangkah masuk ke dewan, aku melihat ke barisan kerusi yang kosong, tidak diduduki. Entah mengapa, dalam hatiku terdetik rasa sedikit terkilan. Baik yang diraikan, mahupun yang meraikan. Ah! Teringat pesan kak yati dahulu, "berbaik sangkalah...." Aku tersenyum sendiri. Bak kata Stephen covey, "Seek to understand before being understood". Pasti ada sebabnya. Aku cuba untuk meletakkan diri dalam keadaan mereka. Mungkin ada kekangan yang tidak memungkinkan mereka untuk hadir. Perlahan-lahan, aku mengatur langkah menuju ke deretan kerusi. Menyedari akan kehadiranku, menguntum senyuman yang menyejukkan seluruh relung hatiku dari sahabat-sahabat yang duduk berdekatan. Semoga Allah terus mengekalkan senyuman itu. Kemudian, sambil berbual-bual, kami saling bertanya khabar untuk mengisi masa sebelum majlis bermula. Antara topik yang paling hangat ialah,

"Balik cuti ni?"

Aku tersenyum. Entah mengapa, aku sukar untuk memberikan jawapan untuk persoalan itu. Bukan tidak ada keinginan untuk balik, tapi pelbagai perkara yang perlu dipertimbangkan. Malah, kelmarin aku sudah berbincang dengan abangku berkaitan hal ini. Namun, masih belum mendapat kata putus.

Perbualan kami terputus begitu sahaja apabila pengerusi majlis, dik al-Hitir mengumumkan ketibaan Timbalan Pengarah dan beberapa orang pensyarah.

Majlis petang ini sederhana tapi bagiku penuh bermakna. Pengisian-pengisiannya biarpun kelihatan biasa-biasa, namun, ada manfaatnya. Majlis dimulakan dengan laungan nasyid asmaul husna dan bacaan doa.

Kemudian,

Mendengar butir-butir bicara dari wakil mantan JKM membawa aku mengimbau kembali memori lama. Aku mengenali Kak Dina di awal tahun 2010. Ketika itu, aku diberikan amanah untuk menguruskan bahagian makanan sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul. MasyaAllah. Walaupun aku pernah beberapa kali menjadi Ajk makanan ketika menguruskan orientasi, tapi kali ini berbeza kerana makanan itu akan dimasak bukannya ditempah. Otakku seakan-akan berhenti dari berfikir.

Aku yang ketika itu kebingungan seperti mendapat jalan keluar apabila secara tiba-tiba Kak Aishah mencadangkan nama Kak Dina. Melalui Kak dina, aku belajar pelbagai perkara. Bermula dari perancangan menu hinggalah cara membahagi-bahagikan tugas kepada rakan lain yang turut sama bertugas di bahagian ini, semuanya disentuh dengan teliti. Tidak setakat itu, kak dina juga berkongsi pengalaman-pengalaman beliau yang lepas sebagai langkah-langkah berjaga bagi mengelakkan ianya berulang. Kata-kata nasihat beliau kusematkan dalam hati, dalam diam kupanjatkan kesyukuran kepada Allah yang memberikan aku peluang ini. Ketika itulah, aku berjanji dengan diriku untuk "menurunkan" ilmu yang kudapati ini kepada adik-adik pelapis kelak. Semoga Allah membalas jasa akak dengan sebaik-baiknya dan dipermudahkan dalam segala urusan kehidupan akak. Mungkin apa yang kakak lakukan itu hanya biasa-biasa sahaja, tapi ia sangat bermakna buat diri ini yang masih mentah tika itu.

Kemudian, seorang lagi pensyarah yang kuhormati menyampaikan ucapan. Ucapan yang padat, mudah difahami, dan membangkitkan semangat. Apa yang paling menyentuh hatiku apabila beliau menyentuh soal keikhlasan...

"Tidak mahulah sekerat-kerat ni. Biarlah sampai ke penghujung pengajian. Kalau ikhlas, segalanya akan dipermudahkan dan Allah akan membantu untuk menetapkan hati kita.."

Aku merenung ke kejauhan. Cukup ikhlas sudahkah? Apa yang kuinginkan dalam perjuangan ini? Benarkah kerana lillahi Taala semata-mata. Aku tidak menemui jawapan...

Tanpa kusedari, pensyarah tersebut sudahpun menyudahi ucapannya dan kini yang berdiri di hadapan adalah timbalan Pengarah kami. Melihat beliau, aku terkenang kembali setiap bait-bait nasihatnya dalam setiap perkara. Nasihat beliau yang masih kuingat dengan kukuh adalah ketika "peristiwa bersejarah" yang menyebabkan kesemua sahabat dan sahabiyah menangis berhari-hari.

"Kopi, paling sedap diminum kalau dibuat dengan menggunakan air yang saaaaangat panas. Makin panas, makin sedap..." perumpamaan yang dibuat oleh beliau itu cukup pantas untukku hayati makna yang tersirat di sebaliknya. Hanya dengan tekanan, kita akan menerima hasil yang indah.

Beliau menambah, "Andai kita terluka dan menangis, itu tandanya kita berada di jalan yang betul..."

Hari ini, sekali lagi beliau menaburkan nasihat,

"Tidak kisahlah berapa orang yang hadir hari ini, kerana bilangan itu hanya sekadar angka. Yang paling penting, rasa kebersamaan itu...."

Bagaikan dihempap dengan batu, aku diterpa perasaan bersalah. Perlahan-lahan, aku mengangkat wajahku, melihat ke sekelilingku. Iya, di awal tadi aku terkilan, sehingga aku lupa mensyukuri nikmat ini.

Yang tidak ada, tidak usahlah disebut-sebut. Yang ada inilah yang perlu dihargai. Jangan sebab orang yang tidak hadir hari ini, kita terlupa menghargai insan-insan yang hadir hari ini. Malah, ikatan hati itu bukan terletak pada "24 jam melekat" . Tapi, pada sebuah doa.

Perlahan-lahan aku mengucapkan istighfar. Mujur, Allah menegurku awal. MasyaAllah.

Dalam KULTUM(Kuliah tujuh minit) yang disampaikan oleh Ust. Misri membuka mataku bahawa jalan perjuangan menyampaikan agama ini tidak indah. Menangis, terluka, jatuh tersungkur itulah lumrahnya. Andai manis dan keseluruhannya dihiasi keindahan, pasti ramai yang menyertainya...

"Ya Allah, janganlah Engkau condongkan hati kami kepada kesesatan setelah engkau berikan petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisiMu, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi"
(Surah Aali Imran; ayat 8)

Aku menuliskan kenangan ini buat kenangan yang hadir dan buat tatapan yang tidak berkesempatan hadir. Biarpun jasad kita berjauhan, tapi jadikanlah doa sebagai penghubung dan pengikat hati kita semua...

P/s: Terima kasih kepada adik-adik KERAM yang membantu menyediakan makanan. Especially for kak long, inang, dayana, rozaina, ashima, bashira, liyana and the geng...

With Lots of Love,
Living here for hereafter.

Wednesday, October 19, 2011

Kuatkan hatimu



Kita perlu yakin bahawa Allah sahaja yang kuat dan Dialah yang menguatkan kita. Jadi, seandainya kita berasa lemah memikul kebenaran, yakinlah bahawa Allah yang akan menguatkan kita....

Tuesday, October 18, 2011

Sebuah kasih sayang

Dengan Nama Allah yang Maha Mengetahui.

"Malam ini ada mesyuarat JKM..." aku membaca bait pesanan ringkas yang kuterima tersebut. Ketika itu, kami masih dalam perjalanan untuk balik ke IPG dari Tambunan. Walaupun pandanganku kuhalakan pada pemandangan hijau pada alam sekeliling, namun fikiranku melayang. Pelbagai perkara bermain-main dalam fikiranku.

Sekali lagi, aku merenung mesej tersebut. Kuakui, dalam keadaan seluruh badanku yang masih sakit-sakit akibat "kemalangan kecil" kelmarin pastinya aku merasa berat untuk menghadirkan diri ke mesyuarat malam ini. Tapi, kontranya kali ini, ada semangat yang membuak-buak dalam diriku untuk bertemu dengan sekalian rakan seperjuangan. Mungkin juga kerana masih lagi disapa "angin program" yang baru sahaja tamat tengahari tadi, setelah berkampung selama tiga hari dua malam. Sebuah program yang menuntut sebuah semangat untuk memberi semangat kepada adik-adik biarpun semangat diri sendiri berada dalam tahap yang minima.

Kem Syabab Muslim itu mencatatkan seribu satu pengalaman dan ilmu yang menjadi bekal buat kami untuk meneruskan kehidupan yang kian mencabar. Istimewanya kem ini, bukan setakat para peserta, malahan diriku sendiri yang diberi amanah untuk menjadi fasilitator turut disuntik semangat baru. Beberapa sahabat yang bersama-samaku juga turut meluahkan perkara yang sama.

"Biarpun penat, tapi dalam kepenatan itu pastinya ada kemanisan" Itulah kata-kata yang sering diulang-ulang oleh ketua fasi kami, Ust. Idris dari saat pertemuan pertama dengan beliau pada tahun 2009 sehingga kini. Kuakui, kata-kata itu seakan-akan menjadi penawar apabila keletihan melanda diri sepanjang program. Apatah lagi, dalam apa pun program, "tidak ada istilah tidur lena, makan kenyang dan mandi basah" kerana hakikatnya, dalam program, setiap orang akan diprogramkan.

Selepas solat Isya' berjemaah..

Majlis dimulakan dengan bacaan Ummul kitab, al-Fatihah...

Sedetik demi sedetik masa berlalu bersama-sama dengan lontaran kata-kata dan pelbagai reaksi setiap yang hadir.

Bagiku, mesyuarat kami malam ini bertukar menjadi sesi muhasabah apabila mendengar pandangan dan luahan yang disampaikan oleh rakan-rakan seperjuangan, yang semuanya membawaku berfikir. Dalam banyak-banyak luahan tersebut, aku terkesan dengan apa yang disampaikan oleh seorang senior yang amat kuhormati, mengenai keutamaan dalam membuat pilihan. Ada waktunya, kita tersepit di antara tanggungjawab di kampus dengan tanggungjawab yang menanti di rumah. Setiap keputusan yang kita lakukan pasti ada pro dan kontranya. Terpulang pada diri untuk mentafsirkannya.

Memetik kata-kata yang diungkapkan oleh Mother Theresa, apabila diminta pandangan beliau berkaitan isu sosial yang semakin meruncing dari hari ke sehari. Cukup Simple. Beliau menasihati "Apa yang penting ialah setiap orang balik ke pangkuan keluarga masing-masing, dan sayangi setiap ahli keluarga masing-masing". Pointnya, setiap orang kena sedar bahawa masing-masing mempunyai peranan dalam keluarga masing-masing.

Itulah yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.aw, manusia yang paling sibuk tapi masih sempat berlumba lari dengan Saiditina Aisyah r.a...MasyaAllah. Semua itu hanya berlaku apabila kita mampu untuk tersenyum dalam kemelut yang melanda diri. Malah, kita mampu bersabar dan berlapang dada ketika ingin meledakkan kemarahan sebagai gambaran diri yang keletihan.

"Masalah kerja jangan bawa ke rumah, masalah rumah jangan bawa ke tempat kerja"
, kata-kata ini menjadi satu slogan ketika aku bekerja sambilan di farmasi Fawwaz dahulu. Ketika itu, apa yang mampu kufahami, biar teruk macamana kena marah dengan "bos" tapi, bila datang pelanggan kena sambut dengan senyum. Percayalah, biarpun hati sudah tinggal separuh, tapi, itulah ubat yang paling mujarab untuk terus bertahan demi sesuap nasi. Kini, aku mengakui, hanya dengan belajar menelan pahitnya ujian, kita akan mampu merasai manisnya iman.

Pernah juga, aku berbicara berkaitan hal ini dengan seorang naqibahku, mengenai keutamaan untuk memilih antara aktiviti kampus atau balik ke kampung. Namun, pada waktu itu, aku sendiri masih tercari-cari formula untuk merealitikan ilmu yang kuperolehi dan diterapkan dalam diri adik-adikku. Pada waktu itu, aku beranggapan, jika aku balik, hanya akan berakhir dengan kesia-sian. Lantas, aku memilih untuk menjalankan tanggungjawab di sini dan dalam masa yang sama berharap mendapat sesuatu untuk kubawa pulang.

Di sini, sedikit demi sedikit, aku memberanikan diriku untuk belajar menyayangi sahabat-sahabatku. Satu perkara yang paling aku takuti selama ini kerana pengalaman-pengalaman lalu yang banyak meninggalkan kesan dalam diriku, apabila aku mulai menyayangi, pasti ianya akan berakhir dengan perpisahan. Rupa-rupanya, dalam tidak sedarku, tindakanku itu menyebabkan wujud jurang kasih sayang antaraku dengan kadik-adikku.

Sehinggalah, apabila aku mengubah persepsiku mengenai hukum kasih sayang. Perubahan-perubahan itu rupanya disedari oleh adik perempuanku sehingga aku menangis sendiri apabila membaca luahan hatinya. Betapa selama ini, tanpa kusedari pada pandangan adik-adikku, aku adalah seorang kakak yang keras, kaku dan banyak hidup dalam duniaku sendiri. Sehingga mereka menuruti kata-kataku bukan dengan kerelaan tapi kerana terpaksa. Dan, keberaniannya untuk meluahkan semua itu bermula apabila melihat aku belajar untuk mendengar dan memahami dirinya.

Pedih, satu hal. Kesal, satu hal. Terasa aku telah gagal memahami adik-adikku. Bagiku selama ini, aku telah cukup menjalankan tanggungjawabku sebagai seorang kakak dengan menjaga makan minum dan keperluan asasi mereka. Namun, rupa-rupnya aku terlepas pandang satu lagi keperluan. Keperluan untuk memberikan mereka kasih sayang. MasyaAllah. Walaupun banyak yang aku terlepas dengan mereka, namun, aku bersyukur kerana Allah masih memberi peluang. Walaupun agak lewat, tapi sekurang-kurangnya adik-adikku masih bernyawa. Sekurang-kurangnya aku masih ada kesempatan untuk memulakan segalanya semula dan memperbaiki keretakan itu. Itulah yang membuatkan aku tidak henti-henti bersyukur atas segalanya yang diberikan Allah s.w.t ini.

Aku berpegang dengan kata-kata bahawa, selagi kita masih bersama, itu tandanya Allah ingin kita berusaha untuk mengatasinya. Iya, peluang itu masih ada kerana kami masih bernafas. Peluang yang jika kusia-siakan lagi akan membuatkan aku kehilangan adik-adikku untuk seluruh kehidupanku. Mungkin bukan secara fizikal, tapi dari segi hubungan hati. MasyaAllah. Kepada Allah jua segala puji-pujian.

Mesyuarat ini juga menyaksikan linangan air mata beberapa orang sahabat disebabkan "hal yang amat menyayat hati itu". Namun, aku tidak menyalahkan sesiapa. Aku sendiri merenung ke dalam diri...

Apakah yang telah kuperolehi selama ini?

Persoalan ini aku tanyakan ke dalam diriku, saat mendengar "hal yang amat menyayat hati itu". Di sini, aku bukan setakat menimba ilmu untuk akademik, tapi, di sini aku belajar untuk menjadi seorang manusia. Iya, jangan kerana hal-hal yang kecil yang telah berlalu, "hal yang amat menyayat hati itu" menjadi taruhannya.

Lihatlah dengan pandangan kasih sayang. Tanyalah hati masing-masing, apakah sebenarnya yang kita perlukan dalam hidup ini? Cukupkah dengan menerima sahaja tanpa pernah ingin memberi. Tanyalah!

Apakah formula penting dalam ukhuwah?
Kesimpulan yang dibuat oleh kak yati bagiku cukup untuk menyelesaikan segalanya,
"Serendah-rendah ukhuwah ialah berbaik sangka dan setinggi-tinggi ukhuwah ialah bersedia untuk memberi, berkorban dan membahagiakan orang lain". Wallahualam.

Cinta tanpa pengorbanan adalah fantasi semata-mata!
With Lots of Love,
Live here for hereafter

Sunday, October 9, 2011

Dalam kenangan: Karnival sukan Olahraga 2011

Alhamdulillah. Bersyukurlah, semoga dengan kesyukuranmu itu akan menambahkan lagi nikmat kurniaan Allah terhadap kita...

Tempat: Kompleks Sukan Keningau

Malam tadi, selepas solat Isya' berjemaah, seorang adik junior yang juga merupakan adik angkatku ketika kem Cinta Islam yang lalu mendekati untuk bersalaman. Aku menyambutnya dengan senyuman.

"Kak, marilah ikut kawad perbarisan. Kami 9 orang jak..." tuturnya selepas aku bertanya khabarnya.

"Erk...erm..." Kata-katanya itu membuat aku merasa serba-salah.

Ketika itu, aku memang berbelah bahagi. Malah, petang tadi pun, seorang adik syukbahku pun bertanya hal yang sama melalui SMS.

Sejujurnya, aku tidak ingin lagi terlibat dalam sukan. Malah, memang telah memasang niat untuk "ponteng" dari hadir ke karnival sukan ini. Namun, apabila mendapat dua permintaan dari dua orang adik yang kukasihi ini...

"Oklah, kita latihan dimana?" Aku menyatakan persetujuan secara tidak langsung.

Mendengar bicaraku, kulihat wajah mereka yang penuh pengharapan itu menjadi ceria. MasyaAllah. Sejuk hatiku.

Ternyata, malam itu membawa fikiranku kembali ke memori PLKN 2007, yang pastinya kawad adalah cara kami bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Ah! terbit perasaan rindu di relung hatiku.

Kami berlatih sehingga jam sebelas malam. Ini kerana ini merupakan latihan terakhir (bagiku yang pertama dan terakhir) kami kerana esoknya kami akan bertanding. Walaupun agak keletihan, namun, hatiku puas. Dalam pasukan kawad ini, aku dapat mendekati lagi adik-adikku ini. Semoga Allah terus mempertautkan hati-hati kita di dalam iman dan Islam...

Pagi tadi, kami bertolak sekitar pukul 6 pagi dengan menaiki bas IP ke tempat kejadian. Semoga ada sesuatu yang mampu kuperolehi hari ini...

Dengan berpakaian serba merah dan muka yang bercat, memang aku sendiri merasa janggal melihat diriku. Tapi, kuabaikan segalanya itu. Aku ingin berkawad dengan sepenuh hatiku. Aku tidak mengendahkan orang sekeliling. Sehingga kini, masih segar dalam ingatanku segala tunjuk ajar guru-guru kawadku ketika PLKN dahulu supaya menyatukan diri sendiri dengan pasukan. Menghayati rentak langkah, patuh dengan arahan command, disiplin, serius dan mengingati setiap perkara yang perlu dilakukan itulah serba sedikit perkara yang ditekankan.

Setelah perbarisan, bermulalah sukan olahraga...

Kuakui, ketika di sekolah menengah dahulu, sukan adalah perkara yang kusukai selepas membaca buku. Hampir kesemua acara cuba untuk kusertai. Malah, kerana kegilaanku untuk bersukan itu, aku mengambil risiko untuk tetap bersukan biarpun dihalang oleh abangku kerana ketika itu aku akan menghadapi SPM. Apatah lagi keputusan akhir tahun tingkatan empatku yang memang teruk. Namun, aku tetap berdegil dan meyakinkannya bahawa aku akan belajar bersungguh-sungguh dan akan membawa nota-notaku ke tempat sukan (ketika itu, sukan peringkat daerah diadakan di Weston).

Apa yang kukejar ketika bersukan?

Ketika itu, aku melihat sukan sebagai salah satu cara untukku berjalan melihat tempat lain tanpa memikirkan mengenai kos-kos (free of charge), apatah lagi aku memang suka berjalan. Melalui sukan banyak membantu menaikkan keyakinanku dan salah satu cara untukku melatih (dalam erti kata yang lain-memaksa diriku) untuk bergaul dengan budak sekolah lain (Ketika itu aku masih lagi seorang budak pendiam). Dan, yang menambahkan semangatku untuk berlatih setiap hari seawal pukul empat pagi, kerana tidak ramai rakan-rakan muslim yang mahu ikut sukan dengan memakai tudung. Walaupun aku masih terumbang-ambing dengan pegangan agama yang lemah, tapi, aku merasa bersemangat apabila ustazahku menceritakan mengenai keadaan pelajar-pelajar Islam yang seperti tidak dipandang dan aku merasa bertanggungjawab "terjun" untuk membuktikan bahawa tidak semestinya apabila kita terlibat sukan, kita tidak boleh cemerlang akademik. MasyaAllah. Daripada Allah jua segala kekuatan itu.

Alhamdulillah. Allah memberikan aku kedua-duanya. Malah, melalui sukan, aku banyak belajar erti disiplin dan menghargai orang lain serta semangat berpasukan. Kenangan-kenangan itu banyak meninggalkan kesan dalam hatiku. Tapi, kini, aku memilih untuk tidak menyertai sebarang aktiviti olahraga atas pelbagai faktor. Aku lebih senang memilih bersukan melalui aktiviti halaqah, dan jika peringkat IP, aku memilih merentas desa kerana "mata-mata yang memandang" tidaklah seramai ketika berlari di kompleks.

Dan hari ini, mencatatkan seribu satu kisah yang mengundang kekesalan yang amat mendalam di dalam hatiku. Dalam kerancakan lagu, hatiku pedih, tersayat-sayat pilu melihat sekelilingku yang di"bius" oleh budaya hedonisme dan sekularisme. Hanya satu persoalan yang berlegar-legar dalam fikiranku, "Sejauh mana sukan mampu mendidik rohani seorang guru, andainya dengan sukan akan menyebabkan kita "mengagung-agungkan" seseorang, andainya dengan sukan membuatkan saudara dan saudari kita hilang sifat malunya, dan andainya dengan sukan kita semakin sombong...

Semua itulah yang menyebabkan aku kecewa. Apatah lagi, apabila aku pun tidak mampu berbuat apa-apa untuk membantu adik-adikku...

Apabila mereka mengadu denganku, dengan seribu kepayahan, aku cuba untuk mengukirkan senyuman. Walau hakikatnya, hatiku sudah terlalu pedih dan air mataku seakan-akan menunggu masa untuk tumpah. Hanya Allah yang tahu betapa terseksanya perasaan apabila dalam keadaan begitu, kita tidak mampu melindungi orang yang kita sayangi.

Pesananku buat adik-adik,

Apa yang terjadi itu di luar kemampuan kamu. Allah tahu apa yang berlaku....Mudah-mudahan kita semua tidak terus tenggelam dalam sistem yang semakin meremeh-remehkan agama. Semoga kita semua diberi kefahaman agama yang sebenar-benarnya.

"Ya Allah, berilah kami peluang untuk menegakkan Islam dalam diri kami...."

Satu nasihat yang mampu menaikkan kembali semangatku apabila seorang sahabat mengucapkan, "Janganlah kita benci dengan orang yang melanggar hukum Allah, kerana kemungkinan dia melakukannya atas kejahilannya. Tanggungjawab kita ialah memberikan kefahaman itu, dan menyayangi mereka dengan mengingati mereka dalam setiap DOA yang kita panjatkan....Allah tahu hatimu..."

Di akhir acara, aku terkejut apabila mengetahui, rumah kami memenangi perbarisan. MasyaAllah. Malah, adik-adikku sempat bergurau,

"Tengok, kak su ikut, terus kita menang..." Aku hanya mampu ketawa sambil menggeleng-gelengkan kepala.

Ada-ada sahaja gurauan mereka yang membuat aku tidak kering gusi apabila bersama mereka.

Apa yang mampu kucatatkan ini adalah luahan hatiku yang tidak mampu kuungkapkan dengan bahasa lisan. Semua ini hanyalah pandanganku semata-mata, bukannya fatwa. Dariku, buatmu sebagai seorang sahabat. Sama-samalah kita berpesan-pesan dengan kebenaran...

With lots of love,
Living here for hereafter.


Buat, kena faham dulu

All praise to Allah.

"Ah! Hari ini semua kelam-kabut. Semua yang kulakukan tidak keruan.." detik hatiku.

Sepanjang perjalanan ke masjid hari itu, aku berfikir.

"Apa yang sebenarnya terjadi?"

persoalan itu terus berputar-putar dalam kepalaku.'

Inilah padahnya kalau "ikut-ikut" orang...

Hanya itu kesimpulan yang mampu kubuat. Langsung takda ilmu pun pasal benda tu. Last2 makan diri sendiri.

Istighfar...

Tuesday, October 4, 2011

Jangan syok sendiri

Letih. Perkataan itu kian sebati dengan diri ini dalam semester ini...sehingga aku merasa akulah orang yang paling letih. Dengan setiap hujung minggu yang tidak ada pernah istilah "kosong dari aktiviti".

Sehinggalah Allah membuka mata ini..

Ditakdirkan Allah, tiga hari yang lalu, ketika aku mengklik blog seorang sahabat, aku terjumpa pautan ke (Sila Klik) yang sedari dahulu ingin kujejaki...

MasyaAllah. Hanya itu yang mampu terucap ketika membaca catatan-catatan seorang insan yang bagiku hidupnya lebih sibuk dariku, lebih bermanfaat dan lebih berharga...tapi, masih mampu memberi.

Aku kelu. Jujur, aku merasa malu pada diri sendiri. Aku membandingkan kehidupanku dengan beliau. Ah! Pasti saja aku tidak mampu mengangkat muka.

Apa yang mampu kuucapkan hanyalah istighfar..betapa egonya aku selama ini...betapa lemahnya aku selama ini..betapa ceteknya ilmu...

Betapa sayunya hati kerana selama ini aku kerap melarikan diri dari masalah berbanding berhadapan dengan masalah...

Ya Allah, tunjukkanlah yang hak itu hak, yang batil itu batil...

Sabur. 1.00p.m
Living Here for hereafter.

Monday, October 3, 2011

Ada apa dengan Al-Quran...

Beberapa langkah lagi, Salahuddin dan tenteranya akan menakluk semula Palestin dari cengkaman Kafir Quraisy. Tiba-tiba, datang satu berita yang mengejutkan Salahuddin.

“Khalifah,mekah akan diserang. Tentera Kristian sedang menuju ke arah Mekah!”Lapor seorang perisik beliau.

Saat yang dinanti-nanti untuk menakluk semula Palestin hanya ada di depan mata, sedikit sahaja lagi bumi Palestin akan bersinar semula dengan sinar Islam. Namun, selepas mendengar berita tersebut, Salahuddin mengeluarkan arahan.

“Berundur, kita akan ke Mekah,aku tidak akan biarkan mereka memijak tanah haram walau setapak,”arah Salahuddin Al-Ayyubi.

“Tapi, hanya beberapa langkah lagi kita akan menakluk Palestin,”kata seorang pengikutnya.

“Ya, lagipun bukankah Allah telah menjamin keselamatan Ka’bah?”tambah seorang lagi.

“Ya, memang Allah menjaga dan melindungi Ka’bah, namun aku ingin menjadi seperti burung dalam kisah Ibrahim. Walaupun mempunyai paruh yang kecil, burung itu terbang mengambil air dan cuba memadamkan api yang membakar nabi Allah Ibrahim. Bila malaikat tanya, supaya aku mempunyai hujah di hadapan Allah nanti,”ujar Salahuddin.

MasyaAllah. Membaca secebis kisah ini membuatkan aku teringat akan sebuah peristiwa yang pernah berlaku beberapa tahun yang lalu, ketika itu seingatku masih berada di alam sekolah menengah. Penambahan beberapa surah di dalam al-Quran telah menggemparkan seluruh umat Islam.

Namun, kemudiannya kita disejukkan kembali dengan janji Allah yang akan melindungi al-quran hingga ke hari kiamat. Tapi, dalam masa yang sama kita yang tertipu. Allah tidak pernah menipu kita, ayat Quran akan tetap dijaga dan dibela oleh Allah biar sekuat mana pun usaha orang kafir mengubahnya tapi kita tertipu.Tertipu yang bagaimana?

Disebabkan janji Allah melindungi Al-Quran lalu kita tiada usaha untuk melindungi dan menjaga Al-Quran. Kita langsung tidak berusaha untuk menghafal Quran pun...,pendek kata, kita tidak bersedia langsung jika ayat di dalam al-Quran diubah.

Atas alasan janji Allah, maka syaitan mengambil peluang ini untuk menipu kita.

Syaitan memang licik. Syaitan akan menggunakan segala yang ada untuk memperdayakan kita. Usaha mereka untuk menyeret kita ke neraka semenjak dari zaman Nabi Adam lagi. Tidak pernah berhenti. Dan kita, dalam sedar atau tidak, kita telah tertipu. Kita langsung tidak cuba mempertahankan ayat Allah, kita langsung tidak menghafal dan memahami ayat Allah.

Mengapakah sahabat-sahabat membukukan Al-Quran? Ini kerana walaupun mereka yakin Allah melindungi ayat Quran, tapi mereka tetap bukukan juga, bukannya untuk menderhakai Allah tetapi kerana mereka ingin usaha mereka itu menjadi bukti usaha mereka mempertahankan Al-Quran di akhirat kelak.

Kita pula...

Kalau kita ditanya oleh Allah di akhirat nanti,

“apa usaha yang kamu sudah lakukan sewaktu mereka cuba mengubah ayat-Ku?”

Kita terdiam, tunduk ke bawah...

Terdiam kerana takut. Terdiam kerana kita tiada alasan.

Kita bukan seperti Salahuddin Al-Ayyubi yang berpatah balik mempertahankan Ka’bah, kita tidak seperti burung yang cuba memadamkan api yang membakar nabi Ibrahim.

Kita langsung tiada usaha maka kita tiada jawapan.

Sedarlah wahai diri.

Walaupun Allah Maha Kuasa ke atas segala sesuatu, tapi Allah tetap menyuruh kita berusaha. Kerana apa?

Allah tidak akan mengubah nasib kita, jika kita tidak berusaha pun untuk mengubahnya.

Kalau kita masih menggunakan alasan kita bukan dari bidang agama...

Sedarlah..

Al-Quran bukan diturunkan hanya untuk orang agama. Al-Quran itu untuk seluruh umat manusia. Tidak kiralah kita memegang title apa pun.

Kalau kita masih lagi beralasan tidak pandai membaca al-Quran...

Sedarlah...

Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang yang tidak tahu membaca apatah lagi menulis..Lalu siapakah yang mengajar baginda? Allah...

Iya, Ilmu itu milik Allah. Allah yang akan mengajar kita. Apa yang penting adalah usaha kita untuk belajar ilmu-Nya.

“Patutkah kamu menyuruh orang membuat kebaikan sedangkan kamu lupa akan diri kamu sendiri, padahal kamu semua membaca kitab Allah, tidakkah kamu berakal.”

(Surah al-Baqarah. ayat: 44)

Sayangilah al-Quran..Sayangilah Al-Quran...Sayang al-Quran bukannya dengan membalutnya elok-elok dan meletakkannya di tempat tinggi. Sayang al-Quran bukan setakat membukanya ketika bulan ramadhan atas ganjaran yang berlipat kali ganda. Sayangi al-Quran dengan merenungkan ayat-ayatnya setiap hari. Iya, setiap hari!

Bacalah al-Quran dengan sepenuh perasaan, seumpama kita menghayati novel-novel yang menyebabkan air mata kita mengalir. Malah, bacalah dengan penuh kesyukuran kerana dikurniakan nikmat iman dan Islam ini...

Janganlah tunggu sehingga Allah mengangkat ayat-ayat-Nya kerana kita lebih seronok membaca gosip-gosip, berita palsu dsbnya daripada membaca al-Quran...

Jom baca al-Quran. Jom amalkan isinya. Jom, kawan-kawan...

Rujukan: Azzariyat.com

With lots of love,

Living here for hereafter.

6.00 a.m


Saturday, October 1, 2011

Rewind and renew the old things...

Suatu hari, ketika sesi usrah, seorang hamba Allah mengajukan pertanyaan berkaitan "saham dosa" yang akan diperoleh oleh seseorang yang mengajar perkara-perkara jahat dan mungkar. Pada waktu itulah, aku tertanya-tanya berkaitan orang yang bertaubat tapi kemudiannya mengulangi lagi perbuatan jahatnya.

Setiap makhluk yang bergelar insan pasti akan melakukan kesilapan. Ini kita semua tahu. Lalu, Rasullullah s.a.w memberikan solusi terhadap perkara ini...

Rasulullah SAW bersabda,

“Setiap daripada kamu adalah orang yang berbuat salah,

dan sebaik-baik orang yang berbuat salah adalah orang yang bertaubat.”

( HR Ahmad)

Tapi, bagaimana pula dengan orang yang tak sudah-sudah nak buat jahat ni biarpun sudah bertaubat? Adakah itu petanda taubatnya tidak diterima Allah. Wallahualam.

Apabila aku membaca satu artikel (aku tidak menyimpan bibliografinya), di dalamnya menerangkan hal ini secara tidak langsung.

Allah s.w.t berfirman,

"Sesungguhnya Allah mencintai orang yang banyak bertaubat,

dan mencintai orang yang sentiasa menyucikan diri..."

(2:222)

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. Allah tahu akan kelemahan kita. Dek kerana lemahnya kita ini, kita pasti akan "ter"ulang melakukan suatu hal yang sangat ingin kita tinggalkan. Sebab itulah Allah berfirman dengan "banyak bertaubat" dan "sentiasa" menyucikan diri, bukannya sekadar bertaubat dan menyucikan diri. MasyaAllah. Benarlah Allah itu Maha Halus lagi Maha Teliti.

Andainya kita telah menyesal, apa yang kita perlu lakukan ialah teruslah mengulangi taubat. Lagipun, kita tidak tahu adakah taubat kita yang semalam itu sudah diterima Allah ataupun tidak. Sama-samalah kita muhasabah diri kita ini semula.

Janganlah kita memandang setiap dosa-dosa kita itu kecil, kerana setiap satunya akan dihitung dan dihisab. Takutlah akan hari pembalasan. Suatu hari yang akan kita hadapi bersendirian.

Biarlah apa yang orang nak perkatakan, kerana hakikat diri kita hanya Allah yang tahu. Biarpun Allah itu Maha Pengampun, janganlah pernah lupa akan azab-Nya yang sangat keras. Itulah keadilan-Nya.

Dalam kesempatan ini, kutitipkan kata-kata yang kupetik dari novel Sinergi karangan saudara Hilal Asyraf buat seorang sahabat yang jauh,

Hidup ini kembarnya ujian. Datang dan datang tanpa perhentian. Hanya dengan keimanan kau mampu bertahan. Jangan kau jatuh hari ini kerana hanya selepas mati baru ujian berhenti.

Teruslah berjuang. Jangan takut, jangan sedih. Sesungguhnya Allah bersama-sama kita...


With Lots of Love, Living here for hereafter. 7.45 a.m


Friday, September 30, 2011

Cerita Assignment

Alhamdulillah. All Praise to Allah.

Apabila melangkah ke alam universiti atau mana-mana pusat pengajian selepas alam persekolahan, kita akan berhadapan dengan satu keadaan dan satu situasi yang baru. Dalam banyak-banyak situasi itu, salah satu perkara yang seirng menjadi topik hangat dalam kalangan kita ialah tugasan kerja kursus atau lebih popular dengan gelaran "assignment".

Bermacam-macam ragam. Ada yang tenang ketika menerimanya kerana memang itu sudah kewajipan. Ada yang mengeluh kerana pelbagai lagi bebanan perkara lain. Aku tidak terkecuali.

Hal ini membawaku untuk berfikir, apa sebenarnya yang Allah ingin tunjukkan...

Dalam melaksanakan assignment ini, terdapat dua keadaan yang akan kita rasai. Tidak kiralah apa pun jenis mata pelajaran atau subjek.

Pertama, kita dipermudahkan Allah s.w.t. Kita senang jer nak faham, kita senang nak dapat maklumat yang diperlukan, idea yang berlambak-lambak, kita rasa ringan jer badan nak siapkan assignment...

Kedua, kita merasa kesukaran yang teramat. MasyaAllah. Ada yang sehingga menitiskan air mata kerana tertekan dengan due date yang kian hampir. Malah ada yang sudah terlepas due date sehingga meminta belas ihsan dari pensyarah untuk extand.

sahabatku...

Sebenarnya,
Allah sedang menguji kita...

Ya...Allah sedang menguji kita.

Ketika kita dipermudahkan itu, adakah kita menjadi seorang hamba yang bersyukur. Adakah kita menggunakan nikmat kelapangan itu dalam menuju keredhaan-Nya atau tidak..

Kedua, ketika kita mengalami kesukaran, Allah ingin melihat sejauh mana keikhlasan kita dalam menimba ilmu-Nya. Adakah kita benar-benar ikhlas dan terus berusaha di samping mendekatkan diri kepada-Nya.

Ketahuilah, kedua-duanya adalah nikmat dari Allah. Kedua-duanya juga adalah ujian. Sama-samalah kita memperingatkan satu sama lain. Apa pun yang kita lakukan akan menjadi ibadah andai kita melakukannya dengan niat "lillahi taala"..InsyaAllah.

Oleh itu, marilah kita perbetulkanlah kembali niat kita. Janganlah anggap assignment itu sebagai bebanan, tapi anggaplah ia sebagai amanah. Ingat kembali tujuan kita datang. Ingat kembali tujuan kita belajar.

With Lots of Love,
Living here for hereafter.
6.30 a.m

Thursday, September 29, 2011

Dengan Nama Allah Yang Maha Mengetahui.

Tidak ada yang tersembunyi dari Pengetahuan-Nya...Setiap sesuatu ada dalam catatan kitab yang jelas. Semoga apa yang pernah berlaku menjadi panduan dalam menempuh masa depan.

Sahabat, Kasih sayang adalah anugerah Allah buat sekalian makhluk-Nya. Namun, kerana kasih sayang, ramai yang menderita kerana memburu kasih sayang manusia. Oleh itu, berpalinglah dari memburunya.

Sahabat, Sayangilah manusia kerana Allah yang dengannya itu akan bernilai ibadah disisi-Nya. Janganlah pernah berharap akan kasih sayang manusia. Jika kamu disayangi, bersyukurlah. Jika tidak, hatimu tidak gundah kerana kau ada Allah yang Maha Mencintai...


Malam,
Kulihat, ramainya insan yang dibuai mimpi nan indah,
membiarkan aku sendirian melalui detik ini,
sehingga dinihari menjelma.

Malam,
Kulihat, disana.. sebuah pengabdian,
umpama saat yang berlalu ingin dihentikan...

Tenggelam dalam belaian kasih rahmat tuhan...


Malam,
Kulihat, siapa yang tulus,
pasti akan bangkit,
kerana sebuah kepercayaan,
hidup ini hanya persinggahan...


Malam,
akan terus berjalan,
sama ada dihargai atau tidak,
kerana itulah kepatuhan,
pada yang telah menciptakan...

P/s: If u asked me about love, my answer would be...everything about Allah, is the pure Love.

With lots of love,
Living here for hereafter.
6.00 a.m.

Wednesday, September 28, 2011

Cinta bukan sekadar bicara

Dengan Nama Allah Yang Maha pengasih lagi Maha Penyayang buat sekalian makhluk-Nya...

Sahabatku, Kasih sayang-Nya adalah buat sekalian makhluk-Nya...Itu bermakna kasih dan sayang Allah buat kamu, buat aku, dan buat sekalian yang ada di atas muka bumi ini.

Allah amat menyayangi dirimu...wujudmu adalah bukti wujud-Nya. Apakah maknanya DIA mewujudkanmu jika DIA membencimu. Renunglah ke dalam dirimu dengan renungan yang sedalam-dalamnya.

Sesungguhnya pada dirimu sudah nyata akan kasih sayang-Nya jika dirimu memahami...

CINTA

Satu-satunya bahasa yang dibicarakan oleh setiap hati melangkaui perbezaan bangsa, umur, darjat mahupun negara. Dimana-mana sahaja orang akan memperkatakan cinta.

Apa istimewanya cinta?

Masih ingat kisah adam dan Hawa di syurga? Itulah kisah cinta yang pertama sekali di antara seorang manusia dengan manusia. Cinta itu lahirnya di syurga. Sebuah tempat yang menjadi idaman orang-orang yang beriman.

Tapi, apa yang kita lihat hari ini, cinta yang tinggi itu kian direndah-rendahkan. Cinta itu sudah disulami dan ditunjangi nafsu semata-mata. Cinta itu dicemari dengan keduniaan. Lalu, disalahkan cinta itu. Sedangkan cinta itu sentiasa suci. CInta itu ibarat air yang menyegarkan. Hati pula ibarat tanah. Andai ianya gugur di atas tanah yang kering, ia akan hilang manfaatnya. Namun, andai cinta itu gugur di atas tanah yang subur, ia akan menumbuhkan pokok-pokok kasih sayang, yang membuahkan ukhuwah, yang menjadi teduhan daripada bahang dunia yang membakar ini.

Seringkali, dalam memperkatakan cinta antara seorang lelaki dan perempuan, ada yang mengatakan begini,

"Aku mencintainya kerana Allah.."

Renung kembali ke dalam hatimu. Apakah kamu sekuat itu? Apakah benar hatimu itu setulus-tulusnya mencintainya kerana Allah?

Andai benar kau mencintainya kerana Allah, mengapa ketika Allah mengujimu dengan tidak mendapatkan cintanya kau marah?

Bukahkah kamu mengatakan tadi "cinta kerana Allah..."

Andai benar kau mencintainya kerana Allah, itu bermakna dia hanya sebagai wasilah untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. Wasilah bermakna hanya sebagai cara, bukan bermakna matlamat. Bukan bermakna sudah tidak ada lagi wasilah yang lain. Andainya wasilah itu tidak diizinkan-Nya, mengapa kau merajuk pada yang Maha mencintaimu? Bukankah itu tandanya Allah ingin melihat sejauh mana kebenaran ungkapanmu. Bukan kerana Allah tidak tahu. Tidak. Tidak. Allah Maha Mengetahui. Allah tahu segalanya. Tapi, kerana Allah ingin mengujimu. Kerana dengan ujian itulah yang akan menjadi bukti di akhirat kelak.

Iya, memang sakit sahabatku. Memang sakit andainya cinta kita ditolak. Tapi, bukankah kesakitan itu dari Allah jua. Lalu, mohonlah pada-Nya untuk menyembuhkan hati yang terluka itu. Pasti kemudiannya kau akan merasai indahnya kasih sayang-Nya. Pasti kau akan merasai cinta-Nya yang tidak pernah mengecewakan...

Ingin tahu setakat mana tahap kecintaanmu terhadap pencipta-MU?
Renunglah ke dalam dirimu sendiri. Andai di saat orang-orang di sekelilingmu masih lagi berbuat maksiat terhadap Allah, tidak terdetik waima sedetik pun dihatimu untuk menyelamatkannya dari kemaksiatan yang memebawa kepada kemurkaan Allah itu, itu bermakna kau belum mencintai orang-orang di sekelilingmu.

Dan, jika kau belum mempunyai rasa cinta terhadap mereka, kau akan sukar merasai cinta Allah. Mengapa? kerana hatimu belum mampu menembusi ilusi keduniaan ini. Semakin besar cintamu terhadap Allah, semakin besarlah cintamu terhadap sekalian orang di sekelilingmu. Lalu, dengan itu, kau akan berusaha dengan segenap daya, semampu kudratmu untuk membawa bersama-samamu orang-orang yang berada di sekelilingmu, orang-orang yang kau cintai ini menuju ke syurga-Nya. Membawa mereka menuju Allah. Itulah cinta yang menyegarkan. Itulah cinta yang menyucikan.

Jangan sempitkan istilah cinta. Aku mohon padamu, tolonglah, jangan hadkan cinta itu hanya sekadar buat dua jiwa yang bergelora dengan perasaan. Itu hanya sebahagian. Andai benar kau mencintainya kerana Allah, kau akan merasa takut kehilangannya. Bukan di dunia ini, tapi di akhirat nanti. Jangan sampai kecintaanmu itu membutakan mata dan hati. Jangan sampai kecintaanmu itu menyebabkan kau kehilangan orang-orang yang kau cintai di akhirat nanti.

Kita ini, hidup bukannya sekali. Tapi, dua kali. Yang sekali itu mati. Ada lagi kehidupan yang abadi selepas ini. lalu, pilihlah. Kau ingin sengsara sebentar di dunia ini tapi bahagia selama-lamanya di akhirat nanti bersama dengan orang yang kau sayangi atau kau ingin sengsara yang selama-lamanya kelak kerana melanggar perintah-Nya? Pilihan di tanganmu. Pilihlah mengikut neraca Allah dan rasul.

Cinta bukan untuk dibunuh tapi untuk dikawal.
Sudah kukatakan, cinta itu sudah ada sekian lama. Sejak kita belum lahir lagi. Kerana cinta kedua ibubapa kitalah, kita lahir ke dunia ini. Jika tidak, pasti kita tidak berpeluang pun untuk melihat dunia ini. CINTA ITU FITRAH. Sesuatu yang fitrah itu bermakna, hadir tanpa dipinta. Biarpun seisi dunia menentang, andai kau sudah jatuh cinta, jatuh cintalah juga jawabnya.

Apa yang perlu dilakukan?

BUANG JAUH-JAUH? Tidak mungkin. Hati kita Allah yang pegang. Ingatlah, Islam datang bukan sebagai pembunuh cinta. Malah, Islam tersebar pun kerana cinta. Islam mengajar kita bagaimana untuk menguruskan cinta yang datang itu. Allah Maha Mengetahui. Allah tidak zalim tapi kitalah yang selalu menzalimi diri kita sendiri. Allah sudah memberikan 114 ayat-ayat cinta-Nya untuk menjadi panduan buat kita berhadapan dengan cinta. Tidak cukup lagi? Allah telah mengutuskan kekasih-Nya yang kecintaannya memecahkan tembok masa. Walaupun baginda Rasulullah tidak pernah melihat kita, tapi ingatlah, Rasulullah sangat mencintai umatnya. Sehingga ke akhir hayat baginda pun, masih lagi mengingati umatnya. Tapi kita? Pernahkah kita merasai bagaimana besarnya kasih dan cinta baginda? MasyaAllah. Biarpun hidup sengsara, tapi kerana kecintaan baginda yang melangkaui zaman, Rasulullah tidak pernah berhenti membawa dan mengajak manusia mengenali Allah. Kerana hanya dengan mengenali Allah, manusia akan mampu mencintai-Nya. Tak kenal, maka tak cinta bha kan?

Sahabatku...
Cinta itu hendaklah dibina atas dasar keimanan. Jangan biarkan cinta itu mengawal keimanan kita. Tapi, keimanan kitalah yang mengawalnya. Jika benar cintamu, binalah cinta atas keredhaan Allah, bukan mecari keredhaan Allah atas cinta.

Hapuskanlah air matamu, mekarkanlah senyuman. Andai tidak ada cinta manusia buatmu, ingatlah, cinta Allah sentiasa ada buatmu...

With Lots of Love,
Living here for hereafter.
28.09-6.00 a.m

Monday, September 26, 2011

Dalam kenangan: Kem Cinta Islam 2011

Kumulakan coretan ini dengan sebuah kalimah yang agung, Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang...kerana kasih sayang-Nya, kita masih bersama.

kutujukan catatan ini buat sekalian sahabat dan adik-adikku..
 
KEM CINTA ISLAM 2011
23-25 september 2011
Masjid jamek, IPG kampus Keningau


"Ya Allah, satukanlah hati-hati kami di dalam iman dan Islam" 

 Program ini baru sahaja berlalu, namun sehingga ke saat ini, fikiran, hati dan perasaanku masih lagi merasai dan mengingati suasananya. Program yang bagiku pastinya meninggalkan seribu satu kenangan buat yang merancang, buat yang mengendalikan mahupun yang menyertainya. Bagiku dalam mana-mana aktiviti, impaknya bukan hanya setakat untuk  peserta, malahan terhadap semua yang diberikan amanah untuk menguruskan dan menjayakannya.

Mungkin buat orang yang mengukur dengan neraca dunia akan mempersoalkan begini,

"Apa yang kamu dapat dari program ini? Tiada apa-apa ganjaran, letih dan penat jer bila habis program.."

Tapi, bagi yang mengukurnya dengan neraca iman, akan menjawabnya..

"Kami tidak mengharapkan sebarang balasan dari sesiapa sahaja kerana balasan dan ganjaran dari Allah adalah yang sebaik-baiknya. Apa yang kami perolehi mungkin tidak terlihat pada pandangan mata kasar manusia, tapi insyaAllah, hasilnya tetap ada.

Aku masih mengingati kata-kata yang sering dituturkan oleh Ust. Idris dalam setiap program yang kusertai, 
"Dalam program, memang kita akan penat. Tapi,dalam kepenatan itu ada kemanisan"

Lagipun dalam hidup kita ini tidak ada istilah rehat atau bosan kerana hakikat hidup ini hanya sebentar cuma. Sama ada kita gunakan umur yang kita ada ini untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t ataupun mensia-siakannya. Pilihan terletak pada kita.  

Memetik kata-kata saidina Ali r.a."Andainya kamu penat dalam melakukan kebaikan, ingatlah, penat itu akan hilang tapi pahalanya akan berkekalan, sedangkan andainya kita seronok dalam melakukan kemaksiatan, seronok itu akan hilang, tapi, dosa yang diperolehi itu akan berkekalan..."

Dalam menjalani kehidupan ini, apa yang penting adalah keyakinan dengan janji Allah s.w.t.

 Alhamdulilah. Atas izin Allah s.w.t, program ini dapat dilaksanakan. Di celah-celah kesukaran yang dihadapi, Allah memberikan pertolongan-Nya melalui pelbagai cara. Semuanya mengajar dan menguatkan lagi hati-hati setiap yang terlibat bahawa pertolongan Allah itu dekat dan sesiapa yang menolong agama-Nya akan mendapat pertolongan dari Allah. Apa yang pasti, Allah itu sentiasa dekat, lebih dekat dari urat leher kita. DIA sentiasa mengetahui keadaan kita. Allah tidak akan membiarkan kita bersendirian. 

Janganlah pernah berhenti untuk percaya. Percaya bahawa Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya. Percaya bahawa dalam setiap kesusahan pasti ada kesenangan. Percaya bahawa dalam setiap kejadian, ada hikmah disebaliknya. Percaya bahawa Allah tidak menjadikan setiap sesuatu itu tidak sia-sia. Dan,percayalah syurga itu benar, neraka itu benar, dan hari akhirat itu juga benar.

Itu yang dapat kusimpulkan apabila mendengar luahan sahabat-sahabat yang sama-sama mengikuti kem ini. Ada yang bertindak sebagai urusetia, ada yang bertindak sebagai fasilitator. Semuanya dengan peranan masing-masing. Dalam diam, aku mengagumi semangat yang ditunjukkan oleh mereka atas kesungguhan, semangat dan keyakinan yang ditunjukkan. Semoga Allah meredhai usaha kita semua dan menerimanya sebagai amalan di sisi-Nya.

Kita merancang, Allah juga merancang. Namun, perancangan Allah itulah yang sebaik-baiknya. Begitulah juga dengan peranan yang kita dapat dalam mana-mana posisi. Itulah yang terbaik buat kita. Allah lebih mengetahui kelebihan dan kekurangan kita.

Marilah kita bersama-sama memperbaharui niat kita selalu kerana niat yang menyimpang akan menyukarkan perjalanan dakwah itu. Lagipun, "setiap amalan terletak pada niat... (Maksud Hadis pertama)

Pesanan dari seorang sahabat yang menyentuh hati,
"Jangan sampai Allah menutup pintu masjid kerana kita tidak pernah mahu membuka hati kita untuk datang..."

Iya...jangan sampai...jangan sampai...

Living here for hereafter.
1.37 p.m
Sabur


Thursday, September 15, 2011

Sebuah Cerita

"Sebuah cerita yang diakhiri dengan kesedihan atau penderitaan bermakna cerita itu belum berakhir..."

Setiap orang pasti mempunyai cerita. Cerita yang adakalanya digelar sebagai kisah silam. Tidak kisahlah, kisah silam itu yang indah-indah atau yang penuh dengan air mata. Setiap cerita itulah kehidupan kita kerana apa yang kita ada hari ini, hanyalah sebuah memori.

Tanpa kita sedari, cerita kita sebenarnya adalah diri kita. Apa yang pernah berlaku ke atas kita itulah yang menentukan siapa kita hari ini. Namun, sahabatku...Janganlah menilai seseorang daripada kisah silamnya. Apa yang sudah berlalu itu, biarlah berlalu. Dengan itu, kita akan lebih berani untuk mencipta cerita baru hari ini. Cerita yang pastinya lebih baik dari semalam. Janganlah terlalu difikirkan andai ianya hanya mengindang kekesalan yang tidak berkesudahan. Kerana, setiap apa yang berlaku itu pasti ada sebabnya. Hikmahnya, mungkin bukan hari ini. Mungkin juga bukan hari esok, atau lusa,tapi kita pasti akan menyedarinya kelak. Hanya Allah yang tahu bilakah saatnya itu akan tiba...

"Dia terlalu baik..susah nak lupa"kata seseorang padaku.

"Memanglah dia baik, tapi belum tentu lagi dia terbaik buat kita...Kita tidak tahu, Allah yang tahu, Usahlah mengenang kisah silam dengan keterlaluan kerana ianya boleh mengundang kesedihan dan keputus asaan...." demikianlah jawapan abangku apabila aku mengajukan perkataan sahabatku itu..

Adakalanya, kita dipertemukan dengan orang yang salah agar apabila kita bertemu dengan seseorang yang benar-benar diciptakan buat kita, kita akan lebih menghargainya.

Hakikatnya, cerita-cerita kita itu hanya akan menjadi berguna andai dengan cerita kita, kita mampu membawa orang lain dan yang lebih penting hati kita sendiri, untuk lebih mengingati Allah s.w.t...

Dari Allah kita datang, kepada-Nya juga kita dikembalikan.

Masih mencari diri yang hilang...
2.33 p.m
Sabur

Catatan terdahulu...