Tuesday, July 26, 2011

Sesuatu yang kita lupa...

Dengan nama Allah yang sentiasa Melihat dan sentiasa Mengetahui segala-galanya...

Gumpalan awan yang tadinya di utara, kini sudah beralih ke selatan dibawa oleh sang bayu. Alam terus berputar, siang dan malam silih berganti. Semuanya mengikut aturan yang telah ditetapkan. Segalanya berjalan mengikut kehendak Yang Maha kuasa. Tidak ada yang mendahului, tidak juga didahului. Tidak dipercepatkan, tidak juga dilambatkan.

Berbicara mengenai takdir, teringat pelajaran Pendidikan Islam ketika di tingkatan tiga dahulu. Diulang-ulang, dihafal-hafal..."Rukun Iman ada enam... yang terakhir sekali..."percaya kepada Qada' dan Qadar". Itu aku dan kamu pun tahu. Tapi, apalah yang difahami oleh seorang pelajar yang hanya mengetahui untuk lulus peperiksaan semata-mata. Benarlah, mengetahui sahaja tidak cukup untuk benar-benar memahami...apatah lagi untuk merasai segalanya berlaku atas kehendak dan kekuasaan Yang Maha Esa.

Kita tahu, setiap yang berlaku semuanya sudah diaturkan. Namun, sebagai seorang insan yang sifatnya pelupa...kita terlupa, setiap yang berlaku kepada kita sebenarnya berlaku kerana Allah yang mentakdirkan ianya berlaku. Segalanya sudah ditetapkan. Sejak azali lagi kita telah ditetapkan dengan 4 perkara, ajal kita, jodoh kita, rezeki kita dan amalan kita...

Bercakap mengenai perjalanan kehidupan ini, aku berpegang pada satu perkara. "Segalanya sudah diaturkan Allah s.w.t..."

Berkata seseorang kepadaku, "Walaupun jalan cerita kita itu tidaklah cantik, kerana penuh dengan dosa, tetapi susunan agendanya sangat menarik."

“Kerana apa?Kerana Allah Maha Tahu, apa yang kita perlukan untuk memeruskan kehidupan kita. Dan Dia tahu apa yang terbaik untuk kita.”

Ya. Di sepanjang cerita kehidupanku, Allah memperkenalkan aku dengan pelbagai jenis manusia. Pelbagai jenis bermakna mereka punyai seribu satu macam ragam. Dari pertemuan itu, aku mengakui satu hakikat, "kita boleh mencintai dan menyayangi sesiapa sahaja, tapi itu bukan jaminan untuk kita bersama dengan mereka selamanya...". Aku juga menyedari bahawa, dalam setiap pertemuan itu, di hujungnya kita pasti akan bertemu dengan sebuah takdir yang namanya "perpisahan". Tidak kiralah perpisahan itu yang sifatnya sementara atau yang selamanya...

Apa yang pasti...

"Hanya Allah yang kekal..."

Menelan kepahitan sebuah hakikat, menampalnya dengan sebuah keredhaan. Hati berkata, "Ya Allah, redhakanlah hatiku atas segala ketentuanMu.."

Monday, July 18, 2011

.:Tinggal Kenangan:.Part II

Alhamdulilah. Segala puji hanya untuk Allah...Tidak ada yang lebih menenangkan melainkan mengingati-Nya.

Pesanan seorang sahabat, "Bersyukurlah selalu. Biar seteruk manapun keadaan kita, masih ramai lagi yang lebih teruk dari kita. Apa yang penting, kesabaran dan keredhaan hati kita terhadap apa yang telah ditakdirkan. Jangan lupa, kita ada Allah s.w.t"

Pernah aku menceritakan dahulu, pertama kali menjejakkan kaki ke IP ini, aku tidak mengenali sesiapa. Namun, hari ini...aku teramat bersyukur. Walaupun jumlahnya tidaklah mencecah sehingga ke angka beribu-ribu orang yang kukenali, tapi kehadiran merekalah yang mewarnai kehidupanku sepanjang berada di IP ini. Wajah sahabat-sahabat di sekeliling muncul satu-persatu. Bermula dari kakak-kakak senior, rakan-rakan sekelas, junior-junior sehinggalah kenalan diluar IP baik di alam nyata mahupun di alam maya.

Syukur kupanjatkan ke hadrat Allah s.w.t...

Bersyukur kerana dipertemukan dengan mereka. Bersyukur kerana diberi peluang mengenali mereka. Dari mereka, aku belajar erti kasih sayang. Dari mereka, aku belajar menghargai erti sebuah persahabatan dan dari mereka aku memahami erti sebuah kehidupan.

Ketika sesi usrah bersama Ust. Sobri minggu lalu, beliau menyebut berkaitan perubahan-perubahan yang berlaku. Perubahan yang positif tentunya. Bagaimana beliau sendiri merasai perubahan dari segi pertambahan ahli jemaah yang turun ke masjid. Syukur, Alhamdulilah.

Pernah seorang ustaz berkata,

“ Berimanlah dengan Allah SWT, dan jangan beriman dengan perancangan dan usaha kita.”

Tambahnya lagi :


“ Banyakan doa dan mohon bantuan serta pertolongan daripada Allah SWT dalam setiap gerak kerja kita.”

Iya, segalanya atas izin-Nya. Mana mungkin kita akan dapat menyentuh hati orang lain jika pemilik hati tidak mengizinkan. MasyaAllah.

Namun, dalam kita meraikan orang lain...jangan lupa dengan orang-orang di sisi kita. Biar sesibuk mana sekalipun, janganlah lupa mendoakan orang-orang yang kita sayangi termasuk diri kita sendiri. Kita tidak tahu apa yang terbaik buat mereka, tapi Allah tahu. Lalu, mintalah dan serahkanlah orang-orang yang kita sayangi di bawah perlindungan Allah, penguasa sekalian alam.

Hidup ini, selagi namanya masih hidup, selagi itulah ujian akan terus menimpa. Tidak dalam bentuk kesusahan, ujian datang dalam bentuk kesenangan. Apakah cara terbaik menghadapinya? Hanya dua, syukur dan sabar...

Ketika mendapat nikmat, kita bersyukur...agar kita tidak lupa diri. Ketika ditimpa musibah, kita bersabar. Anggaplah setiap yang berlaku adalah yang terbaik buat kita.

akan bersambung....
2.45 a.m
19/07/2011

Saturday, July 16, 2011

Aku yang lemah

Kita tahu Allah Maha Mengetahui..tapi, mengapa sukar sekali untuk kita merasakan bahawa Allah memperhatikan setiap yang kita lakukan? Mengapa sukar untuk kita menyedari akan hakikat itu?

Kita tahu, Dia Maha Kuasa ke atas segala sesuatu, tapi mengapa kita tidak meletakkan DIA sebagai tempat yang teratas ketika ditimpa masalah? Mengapa tidak kita terus mengadu pada-Nya? Bukankah Allah akan mengabulkan doa-doa orang yang memohon kepada-Nya?

Kita tahu, Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, tapi mengapa kita sentiasa lupa dengan kasih sayang-Nya? Kerana kasih-Nyalah yang memungkinkan kita untuk menemui sinar jalan pulang. Kerana Kasih-Nyalah yang memungkinkan kita merasai nikmat iman dan Islam. Kerana kasih-Nyalah kita masih mendapat peluang ini...

Mengapa kita sering lupa akanNya?
Apakah kita tidak percaya akan pertemuan dengan-Nya?
Bukankah segalanya telah dijelaskan...
Bukankah itu bukti cinta-Nya pada hamba-Nya...
Terlalu besar, terlalu besar kasih-Nya...
Tapi kita sering lupa...

Bahkan,
Kita selalu mengatakan tidak ada yang memahami..
Bukankah DIA Maha Memahami...DIA sentiasa di sisi...DIA lebih dekat dari urat leher kita sendiri...

Mengapa kita sering lupa?
Itulah yang sering kita terlupa..kita lupa bahawa kita ini insan yang pelupa. Kita lupa bahawa kita ini seorang hamba..

Kita lupa kita ini lemah...kerana itu kita sering terlupa pada DIA yang Maha Kuasa...

"Demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaan)nya, maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaannya, sungguh beruntung orang yang menyucikan (jiwa itu), dan sungguh rugi orang yang mengotorinya..."
(Surah Asy-Syams: Ayat 7-10)

Tuesday, July 12, 2011

Kembara Ilmu: KOGUM 2011

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah s.w.t yang berkuasa memperjalankan hamba-hamba-Nya. Segala puji bagi Allah s.w.t yang tetap memberikan nikmat kepada kita semua walau kita kadang dan seringkali lupa mensyukuri. Maha suci Allah.

KOGUM atau nama penuhnya konvensyen guru-guru muda telah berlangsung di UITM Shah Alam pada 8-10hb Julai 2011. Program ini dihadiri oleh wakil-wakil JPP dari seluruh negara yang melibatkan 27 buah IPG. Selama tiga hari, 2 malam pelbagai bicara ilmu dikongsi yang melibatkan orang-orang hebat. Malah, perasmian bagi program ini dirasmikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri kita dan perasmian penutupan oleh Timbalan Pendana Menteri.

Ok, laporan untuk KOGUM sudah selesai. Dalam masa yang sama, terdapat perhimpunan BERSIH yang juga berlangsung di KL. Namun, bukan itu yang ingin kukongsikan disini. Aku masih ingat lagi butir-butir bicara yang dituturkan oleh Kak Aishah sebelum kami bertolak ke KOGUM tersebut.

"Perbetukan niat...apa yang kita niatkan itulah yang kita dapat..."Demikianlah kata-kata Kak Aishah yang menyedarkan aku tujuan aku "terbang" merentasi lautan China Selatan.

Sejujurnya, aku sendiri tidak menyimpan sebarang harapan untuk pergi kerana aku tahu potensi untuk namaku dipilih adalah tipis. Namun, takdir Allah s.w.t menjadi penentu...namaku terselit. Kesyukuran kupanjatkan ke hadrat Allah s.w.t kerana menggerakkan hati pensyarah yang memilih namaku. Pasti, inilah kenangan terindah sepanjang aku bergelar JPP. Selepas ini, aku sendiri tidak pasti apa lagi menanti di hadapan. Namun, kuyakin..Allah telah merancang yang terbaik bagiku. Apa yang penting adalah keyakinan dan keredhaan dengan segala ketentuan-Nya..

Memetik kata-kata Ust Misri (klik sini) ketika beliau mengupas buku La Tahzan..

"Gunakan apa yang ada untuk mendekatkan kita kepada Allah s.w.t dan jangan letakkan setiap perkara yang berlaku di dalam hati yang nantinya akan menyebabkan hati kegelisahan"

Iya, dalam hidup ini kita tidak selalu mendapat apa yang kita inginkan tapi janganlah sampai kita lupa mengenai apa yang kita miliki. Kerapkali juga aku merasa sedih kerana tidak mendapat sesuatu. Mujur, seringkali aku disedarkan kembali dengan sebuah kata-kata ustazahku dahulu, "Janganlah menjadikan sesuatu perkara atau sesuatu peristiwa itu menjadi sebab untuk kita bahagia". Kebahagiaan itu sebenarnya terletak pada hati kita. Betul. Semua orang boleh bahagia. Tidak kira pangkat, darjat, harta, keturunan, bangsa dan warna kulit.

Bak kata roomateku, "Hidup ini adalah pilihan. Nak bahagia atau tidak, terpulang dengan kita. Tak payahlah buang masa fikir benda yang remeh-temeh sampai menghilangkan "mood". Apa yang penting, go on jak..."

Terima kasih mus...

Benarlah kata guruku dahulu, jika ingin merasai nikmatnya menimba ilmu....bermusafirlah. Berjalan dan melihat tempat orang. Sekalipun kita sekadar berjalan di sekitar, jangan hadkan penglihatan dengan hanya melihat yang zahir. Bukalah mata hati. Melihatlah dengan petunjuk Ilahi.

Dalam banyak-banyak yang diperkatakan ketika KOGUM, aku paling terkesan dengan kata-kata beberapa orang ..

"Ketika saya melaksanakan tanggungjawab saya tidak kira apa jawatan, saya sentiasa berpegang pada prinsip adil dan tidak pilih kasih. Saya selalu berpesan pada diri saya dan isteri saya...di akhirat nanti, tidak ada peguam untuk menjawab di hadapan Allah s.w.t kalau saya menyelewengkan kuasa...lagi satu, kalau kita betul-betul sayangkan seseorang, sentiasalah doakan mereka dan serahkan mereka pada Allah...Apa-apa pun yang terjadi, ingatlah kita ini hanyalah seorang hamba yang memang akan sentiasa diuji"
-YBG Dato' Hj. Md. Ghazali bin Abd. Rahman, Ketua Pengarah BPG.

"Jadilah seorang guru yang bukan setakat mengajar, tapi sayangilah setiap anak didik kita. Fahami mereka, ingat dan sedarlah yang setiap dari mereka datangnya dari latar belakang yang berbeza"
-YBG Dato' Prof Dr. Zaleha Kamaruddin, Timb Ketua Peng. IKIM

"Jika peranan guru tidak berjalan dengan baik, rosaklah. Ingatlah bahawa sekolah rendah adalah tempat untuk memupuk minat murid untuk belajar dan meneroka kehidupan serta memperkembang potensi. Pelbagai dasar yang ada sudah baik, tapi semuanya bergantung pada pelaksananya.."
-Dr. Hjh. Ramlah binti Adam (UITM)

"Saya akan memberikan 5 tips, pertama, strategi yang tepat, kedua, komitmen yang tidak berbelah bahagi, kepercayaan terhadap diri dan persekitaran, menyemai minat diri dan dalam diri anak-anak murid, dan yang terakhir...Jangan duduk di bawah gelas kaca..hanya nampak dengan jelas tapi tidak ingin keluar membantu. Lastly, remember that good teacher never sit..."
YBhg Dr. Haji Zahri bin Aziz (KPM).

"Anything U do, do it with love. Nurture and Nurture. Don' t just teach. Teaching is a job whereas educating is an honor..."
- Youth Trust Foundation Malaysia

"Model Jati diri Insan Guru ialah berpegang pada agama dan cintakan negara, menghayati perjuangan seorang guru, menyayangi negara sendiri kerana kita tidak ada lagi negara lain, hormati semua orang, hayati dan lasanakan amanah dengan ikhlas, sabar, sentiasa mencipta peluang, bekerjasama dalam satu pasukan, memperkasa kekuatan diri dan tanamlah sikap untuk membalas budi..."
-Dato' Prof Ir. Dr. Sahol Hamid bin Abu Bakar, Fasc Naib Canselor UiTM

"Rendahkan diri pada orang yang kita ambil ilmunya...Program, program juga..solat tetap solat!"
-En Mohd. Zain bin Abu, Pengarah Projek KOGUM 2011.

"Setiap orang ada kisah masing-masing. Tapi, terpulang dengan kita bagaimana untuk mengendalikannya. Jadilah seorang yang matang dalam menangani setiap masalah. Bahagiakanlah orang-orang di sekeliling..."
-Pn. Afinah (Pensyarah Pengiring)

Tetaplah teguh. Berusaha untuk hidup dalam perubahan dan mengubah orang lain..
-Uknowho.

Wednesday, July 6, 2011

Mencari Nur yang hilang...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Hanya kasih-Mu yang kudambakan. Hanya Kasih-Mu yang mampu menenangkan hati-hati yang kegelisahan.

Mataku kulontarkan ke kejauhan. Keindahan alam terbentang luas. Betapa indahnya ciptaan tuhan. Bibir serta merta mengorak senyum. Allah. Hatiku berirama tenang. Menghirup nikmat, merasai nikmat dan menikmati nikmat. Mata serta-merta tertutup dalam merasai sebuah kenikmatan. Benarlah, yang indah itu lebih indah dalam bayangan. Ketika dua kelopak mata tertutup...

Perlahan-lahan, aku melangkah ke arah sebuah pokok yang rendang.

Mintalah fatwa pada hatimu..kebaikan itu akan membuat hatimu tenang, sedang kejahatan itu akan membuat hatimu gelisah dan gundah gulana..

Alhamdulilah. Aku masih lagi berkesempatan untuk merehatkan minda dan jiwa di ruangan maya ini. Aku tidak pasti apa yang ingin kunukilkan kerana aku sendiri tidak ada ada buah bicara yang pasti.

Kadangkala, berdiam itu merupakan kerehatan buat diri. Janganlah kita terlalu syok sendiri dan leka dalam mendengar suara sendiri sedangkan orang lain menyampah.

Kita diberikan akal untuk berfikir dan mengambil pelajaran daripada apa yang berlaku disekeliling kita sebagai bentuk usaha mendekatkan kita kepada Allah SWT dan menambah keimanan kita serta menjadi motivasi yang membantu kita mempergiatkan amalan kebajikan.

Apa yang pasti, Ilmu itu dicari bukan disuap...