Tuesday, May 13, 2014

Tika hati sudah tiada cinta..

Apabila menjelang cuti sekolah, aku mempunyai peluang berkumpul dengan sebilangan adik-beradik yang pulang bercuti. Bilangan itu pula saban tahun makin bertambah dengan bertambahnya bilangan ahli keluarga yang baru. Dalam keramaian itu, aku akan seringkali memerhati.  

"Kakak tidak penat kah melakukan rutin yang sama? Bangun pagi, masak sarapan, cuci dan jemur kain, kemas rumah, mandikan anak, masak tengahari, cuci pinggan mangkuk, sediakan minum petang, angkat kain, masak makanan malam, mengemas lagi, semua itu berterusan. Setiap hari skrip yang sama, yang mungkin beza, pada harinya atau waktunya sahaja"


Tapi, pertanyaan itu hanya bergema di hati.

Segalanya terjawab, tika melihat senyuman bahagia pada wajahnya.

Pengorbanannya tidak sia-sia. Semua itu dilakukan kerana yang namanya CINTA..

Melihat anak-anaknya yang selesa dan terjaga.

Melihat suami bahagia kerana punyai isteri yang meringankan beban di dada.


Aku melihat ke dalam diri.

Betapa cinta yang itu punyai kuasa yang besar. Maka, berhati-hatilah dalam meletakkan cintamu...

Ah! Patutlah H. K Rahmat, Seorang Murabbi dari Indonesia yang pernah mempimpin PKS (Partai Keadilan Sejahtera) pernah mengungkapkan, 

"Semua orang boleh berdakwah. Tetapi, tidak ramai yang dapat mencintai dakwah."

Iya, kerana cinta ini disinonimkan dengan pengorbanan. Andai kita mencintai dakwah, kita tidak akan merasa sedikit pun kerugian saat kita mengorbankan apa yang kita ada demi memastikan kelangsungan dakwah itu sendiri.

Sahabat, tika dirimu terasa lelah dengan "Rutinmu" itu. Tika usrah menjadi hambar dan tiadanya yang menarik hati. Saat bertemu dengan sahabat perjuangan sudah tidak terasa lagi manisnya ukhuwah. Ketika pengorbananmu terasa sia-sia...

Renunglah kembali ke dalam diri.

Bukankah syurga itu indah. Bukankah pertemuan dengan-Nya yang kita nanti-nantikan? Apa itu tidak cukup untuk kita berpenat dengan dunia yang sementara ini demi meraih kerehatan yang abadi? Apa kita tidak yakin dengan janji-Nya?

Sedarilah, cinta itu bukannya sudah tiada. Tetapi kerana kita terlupa membajai dan menjaganya.

Cinta itu umpama buah.

Bagi mendapatkan buah tersebut, kita perlu menanam sebuah pohon dulu. Pohon itu pula perlu sentiasa dijaga dan dibajai pada akarnya. Pelik bukan? kita menginginkan buah, tetapi yang perlu dijaga adalah akarnya. Tapi, itulah hakikatnya. Kerana hanya melalui akar yang sihat sahaja, akan menumbuhkan pokok yang sihat dan mengeluarkan hasil (buah) yang kita inginkan. 

Lalu, bagi mendapatkan cinta yang luhur, kita perlu kembali kepada akarnya. Dimanakah akar cinta?

Hati.

Maka, di situlah kita perlu mencari, mengali, membaiki dan menjaganya dengan bersungguh-sungguh. Tepat sekali sabda baginda bahawa Hati adalah raja bagi seluruh diri kita. Andai rosak hati, maka rosaklah segala amalan. Tidak akan terasa lagi kemanisan dalam ketaatan. Tiada lagi erti sebuah keimanan..


"Dakwah adalah gerakan yang mati sekiranya ia berlangsung tanpa wujud perasaan cinta dalam hati.
Cinta akan masa hadapan ummat.
Cinta akan perubahan dalam masyarakat.
Cinta mahu bersama dalam usaha mengubah masyarakat menjadi lebih baik.
Cinta untuk bersedia tetap positif menghadapi kekurangan-kekurangan orang di sekitar kerana begitulah dakwah, ia menyediakan ruang untuk orang memperbaiki diri. Kalau semuanya sudah sempurna, maka apakah gunanya dakwah.
Menghidupkan perasaan cinta dalam kerja dakwah kita, ia tidaklah semudah menuturkannya.
Berapa orang yang berbicara tentang kesusahan di medan dakwah, tetapi rupanya pada dirinya sendiri tidak ada kesanggupan untuk bangun di awal pagi menunaikan solat Subuh di awal waktu.
Berapa orang yang berbicara tentang agenda dakwah, tetapi rupanya dengan hanya sekecil tohmahan dan fitnah orang terhadap dirinya sudah membuatkan dirinya mengeluh dan cepat berputus asa.
Berapa orang yang berbicara tentang keperluan melakukan dakwah, tetapi untuk dirinya senyum ikhlas sesama saudara seagamanya pun belum langsai untuk dia melakukannya."
(dipetik dari langitilahi.com)

Maka, tika hati sudah tiada cinta, kembalilah pada sang Pencipta...

Insyaallah, ALLAH sentiasa ada...

kerana DIA lah yang menciptakan CINTA...


Monday, May 12, 2014

Ku temui "Aku" dalam dirimu...

"Alhamdulillah...sampai" getus hatiku saat menghulurkan kaki di simen tepi blok Cempaka. Perlahan-lahan, aku mengangkat tubuhku keluar dari Kereta MyVi Kuning yang telah "mengangkut"ku.

"Terima kasih, ji. Terima kasih Mak cik" ucapku pada sahabat dan ibunya yang telah menumpangkan aku dari kampung halamanku ke tempat ini.

Sahabatku mengundurkan keretanya dan bergerak semula ke destinasi seterusnya. Aku melangkah longlai menuju ke bilikku yang terletak di tingkat satu. Menapak tangga asrama sambil fikiran hanyut mengingati memori yang tercipta sepanjang kepulanganku ke kampung halaman.

Ah!Segalanya terasa singkat.

Kini, aku kembali untuk meniti hari sebelum cuti semester bermula dengan peperiksaan yang bakal menjelang pada minggu hadapan.

Hampa. 

Aku pergi dalam keadaan hati yang rawan. Kembali tanpa apa-apa perubahan. 

Aku memberi salam sambil membuka tombol pintu. Menjenguk ke dalam bilik. Tiada sesiapa. Pasti "roomate" ku keluar bersama suaminya. 

Aku meletakkan barang-barangku di lantai.

Dalam perkiraanu ingin merebahkan badan ke katil, mataku menangkap satu gambar yang telah mencuri perhatianku. Gambar pada sebuah buku yang amat kunantikan... (adikku yang sedang menuntut di  UNIMAP telah membelikanku sebagai hadiah namun hanya akan memberikannya semasa cuti kelak).


Dalam keadaan yang masih tertanya-tanya siapakah empunya buku tersebut, aku terus membuka lembaran yang pertama. Lembaran yang diselak semakin bertambah. Aku hanya berhenti membaca ketika azan berkumandang. Pembacaan itu diteruskan. 

Sapu tangan di ribaku semakin basah. Entah mengapa, air mata terasa begitu mudah mengalir saat membaca bait perkataan di dalamnya. 

Apabila aku memandang jam, aku menjadi kalut.

"Alamak! Dah pukul 5. Belum telefon bapa lagi"

"Telefon bapa kalau dah sampai"masih terngiang-ngiang di telingaku Pesanan ini setiap kali berjalan ke mana-mana sedari dahulu. 

Namun, acap kali juga aku terlupa. Sehingga pernah, ayah menghubungiku berpuluh-puluh kali kerana aku terlupa mengecas telefon bimbit yang kehabisan bateri dalam perjalanan sesampainya di tempat destinasi. Aku faham, ayah sangat risau kerana aku seringkali mengembara bersendirian.

Risau ayahku akan kerisauan. Aku tidak berlengah. Setelah menghubunginya baru terasa lega. 

Apabila sampai ke halaman terakhir, aku termenung..

Aku tidak pernah mengenali insan ini. Namun, pada ceritanya aku menemui apa yang telah hilang sekian lama. 

Ketika insan lain memilih untuk menjadi yang biasa, dia telah mengubah kebiasaan untuk menukar yang biasa menjadi luar biasa. 

Tanpa perlu menghebohkan pada seluruh dunia.

Walau dia telah tiada, roh dan semangatnya telah menyentak munkin ratusan malah ribuan anak muda. 

Aku amat bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh abang iparnya, 

Ammar tetap manusia. Jangan jadikan beliau sebagai sanjungan, tapi ambillah kisahnya sebagai pengajaran.

Pada kisahnya, terdapat bukti kekuasaan ALLAH yang boleh membuatkan sesuatu yang mustahil menjadi kenyataan.

Allahuakbar!

InsyaAllah...kita akan bertemu lagi.


Friday, May 9, 2014

Luka itu memang sakit...

Alhamdulillah,segala puji bagi Allah subahana Wa Taala, yang dengan rahmat-Nya, kita masih direzekikan nikmat iman dan Islam.


Terluka. Sesiapa pun yang mempunyai deria rasa yang normal, pasti pernah menghadapinya. Sedari kita kecil, sebelum kenal dan memahami apa yang menyebabkan "luka", kita terus tegar mencari seribu satu sebab untuk terluka. Ketika itu, kita akan menangis dan meminta tolong dengan ibu, ayah atau sesiapa sahaja. Perlahan-lahan, kita mulai belajar, apa yang menyebabkan luka itu perlu dielakkan atau dinyahkan agar luka itu tidak terjadi kembali.

Namun, aku bukan ingin bercerita tentang luka yang zahir tu...

Walaupun luka yang zahir itu tetap ada kesan parutnya, tapi tidaklah sebegitu penting. Apatah lagi bagi kita yang beriman bahawa yang menjadikan manusia "mulia" sehingga Allah Subahana Wa Taala mengarahkan para malaikat sujud kepada Nabi Adam ialah "roh" yang diciptakan dengan kemuliaan-Nya. Bukan kerana sebuah jasad yang diciptakan dari tanah...

Apakah dia? Itulah jiwa. 

Jiwa yang terluka.

Ini adalah rentetan dengan dosa  kita. 

Bilamana jiwa telah sakit, roh kita  akan berhadapan dengan musibah yang teramat besar. Iya, sahabatku. Ketika aku menuliskan ini, aku sendiri sedang mengalaminya. Tidak dapat tidak, kita akan diuji Allah setiap hari. Kerana, memang itulah selayaknya kita sebagai hamba-Nya.

Jiwa yang sihat pasti akan tersenyum dengan setiap ujian yang mendatang.

"Allah ingin naikkan darjatku..."

"Allah masih ingin aku kembali pada-Nya..."

Namun, bagi jiwa yang sakit...

Ujian itu sendiri akan menjadi seksaan yang amat pedih...Benarlah, terasa seperti dunia yang luas ini menjadi sempit sesempit-sempitnya. 

Untuk menitiskan air mata pun amat payah. Apatah lagi mengadu pada-Nya. Hati amat keras. Sekeras-kerasnya. Lebih keras daripada batu kot. Sedangkan batu yang di sungai pasti akan terpecah kerana takut kepada Allah Yang Maha Kuasa. 

Jiwa yang sakit umpama kulit yang terluka. Ujian pula umpama perahan air limau nipis. Andai saja air limau tersebut diperah pada kulit yang tidak terluka. Kita tidak akan menjerit kesakitan. Sedangkan apabila kulit kita terluka, pastinya air mata akan mengalir apabila dititikkan perahan air limau tersebut. Itulah tamsilannya bagi jiwa yang sakit ketika menghadapi ujian. 

Mujur, ayat agung itu kembali memujuk...

"Wahai, orang yang beriman...janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah..."
"Wahai Bani Adam, seberapa banyak pun dosamu, namun pengampunan Allah lebih luas dari bumi dan Langit andai saja tidak menyekutukan-KU dengan sesuatu yang lain.."

Lihatlah sahabat, betapa kasihnya Allah dengan kita.

Betapa penyayangnya DIA...

Ketika kita dihinggapi kesedaran, kembalilah dengan sepenuhnya.

Carilah seribu satu cara untuk merawat jiwamu yang terluka itu.

Meski, hanya dengan melakukan kebaikan yang sekecil-kecilnya. 

Teruslah berbuat kebaikan...kerana sesungguhnya kebaikan itu akan menghapuskan kejahatan...

Teruslah biarpun jiwamu menjerit kesakitan kerana proses penyembuhan itu tidak seindah ketika kau mengecapi nikmat dosa yang menyebabkan jiwamu berkarat.

Proses penyembuhan itu memerlukan kesabaran.

Maka, sabarkanlah dirimu untuk terus sabar.

Kerana, pengakhirannya adalah kemanisan sebuah iman yang mungkin lebih manis daripada yang mampu diungkapkan oleh kata-kata.

Iya, luka zahir mahupun luka jiwa. Kedua-duanya memerlukan kepada perawatan.

Rawatlah jiwamu dengan bacaan ayat sucinya. Dengan memaksa diri berpuasa. Dengan memaksa diri melawan "istiqamah" tidur malam, untuk bangun di keheningan malam. 

Kerana, yang berkuasa menyembuhkan luka itu adalah juga yang menciptakan luka itu...

Mari kita renungkan...


"Apakah seorang hamba mengira bahawa petunjuk Allah itu akan datang mengetuk pintu rumahnya dan mendatangi dirinya saat di pembaringan? Sekali-kali tidak. Petunjuk Allah itu harus dicari dalam kitab Allah, dalam sunah Nabi, dan di baris pertama solat berjemaah di rumah-rumah Allah. Petunjuk Allah datang ketika kita bersedia menanggalkan pakaian kusut kebatilan, menghindari keyakinan-keyakinan yang salah dan syahwat yang menghancurkan. Hidayah Allah harus dicari di medan dakwah dan jihad."
[diambil dari blog: perjalanan yg singkat]