Tuesday, January 3, 2012

“Salahkah untuk bertanya?”

“Kak utie, kak utie…”suara adik bongsuku memanggil dari ruang tamu menganggu konsentrasiku. Aku memberhentikan seketika kerjaku.

“Ya…?” aku menyahut tanda aku mendengar panggilannya.

Sepi. Aku menoleh ke arahnya yang sedang duduk termenung. Aku tahu pasti ada yang mengganggu fikirannya, aku segera menuju ke arahnya.

Ada apa dik? ”aku bertanya semula sambil duduk di sebelahnya.

Salahkah kita nak tanya, kak?” soalnya tiba-tiba.

Aku merenung ke arah wajahnya. Cuba menyelami isi hatinya. Aku melihat keresahan yang terpampang di wajahnya yang menimbulkan rasa simpati dan kasihan di hatiku.

Kenapa adik cakap macam tu? Apa yang adik tanya?” aku cuba mengorek apa yang bermain-main di fikirannya.

“Adik kena marah sebab tanya apa yang adik tak faham” jelasnya

“Takpalah, mungkin belum masanya adik tahu..’’aku memutuskan perbualan kami sambil menggosok-gosok bahunya perlahan-lahan.

"Belum masanya untuk menerangkan" aku berkata pada diriku. Aku faham keresahan itu bukan disebabkan persoalan yang diutarakan tapi mungkin lebih kepada usikan emosinya yang terganggu. InsyaAllah, apabila dia sudah tenang, akan aku terangkan. Janjiku pada diri sendiri.

Inilah yang juga pernah aku tanyakan pada sahabatku. “Salahkah untuk bertanya?”

“Menyekat pertanyaan tidak menyelesaikan masalah. Membebaskan fikiran pun tidak juga mengurangkan masalah” jawabnya ringkas.

Islam adalah agama yang paling menggalakkan berfikir dan bertanya. Namun jangan dibiarkan akal berfikir dengan sebebas-bebasnya. Ia harus disesuaikan dengan keupayaan diri untuk berfikir. Akal manusia tidak mampu membekalkan segala jawapan kepada semua soalan.

Persoalannya,

Apakah manfaatnya jika suatu persoalan dikaji dan dicari? Apakah kita akan semakin bersungguh dalam beramal? Apakah kalau kita tidak tahu mengenainya akan menjejaskan kehidupan kita?

Kalau memang apabila kita tahu mengenainya , tidak juga mendatangkan manfaat dan ketidaktahuan mengenainya tidak akan mendatangkan mudarat, lalu perlukah lagi bertanya?

Apa sahaja pilihan kita, tetap tertakluk kepada lautan sebab musabab yang tiak bertepi iaitu Ilmu Allah.

Kerana itu Allah peringatkan kepada kita...

“Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu.” (Surah al-Maidah, 5: ayat 101)

Bebaskan diri untuk bertanya, tetapi pandulah kebebasan itu dengan meletakkan tujuan yang jelas.

Marilah kita bersama-sama memohon perlindungan kepada Allah dengan doa yang diajarkan oleh kekasih-Nya yang menjadi tauladan kita semua.

“Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak pernah kenyang (puas), daripada doa yang tidak didengari (tidak dipeduli).”

(Riwayat Ibn Abi Syaibah, Ahmad, Abu Daud,Ibn Majah dan al-Hakim).

With Lots of Love. Living here for hereafter.

No comments: