Monday, August 26, 2013

Memberi makna pada 1434 H


"Kak en, Kak Ida, abang man, abng piding tidak balik raya tahun ni..." lapor adikku. 

Aku baru sahaja ingin berehat sebentar bagi meluruskan kaki dan pingang setelah menempuhi perjalanan berbukit bukau dari Keningau ke papar. Kemunculan adik bongsuku dari ruang belakang rumah mematikan hasratku. 

Aku sekadar melemparkan sekuntum senyuman. Tawar. Setawar hatiku.

"Takpala, kak nor, abng juan, abng shaldi kan balik juga..." aku mengosok rambutnya sebelum berangkat ke dapur. Sebentar lagi waktu asar, bermakna aku perlu segera untuk menyiapkan juadah berbuka puasa. Walaupun letih, kugagahkan juga untuk meraih sedikit kelebihan. 


Rasulullah bersabda:


"Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (untuk berbuka puasa), dia akan mendapat balasan pahala yang sama seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikit pun daripadanya"

(Riwayat Tirmidzi dan Ibn Maja)



Pastinya hanya di rumah. Selama di IP kami tidak berkesempatan kerana kesibukan praktikum menyebabkan kami bersetuju untuk menempah makanan. Iftar jamaie (berbuka puasa beramai-ramai) tersebut berlangsung setiap hari Isnin sehingga Jumaat di bawah kelolaan syukbah 3P.

"Koti, masak sup ya.." suara adik bongsuku mematikan lamunanku.

"Ok,tapi adik tolong kupas bawang " aku segera menyahut sambil memberikan arahan.

"Alaa..." omelnya.  Namun, kulihat dia menghala ke rak bahan kering kemudian mencari tempat simpanan bawang-bawangan.

Aku tersengih melihat aksinya. Rumah agak sepi kerana adik-adikku yang lain belum balik ke kampung. Hanya yang bongsu ini sahaja tinggal menemani ayahku. 

"Koti, cuba koti teka..." mukadimahnya untuk bercerita hari-hari yang dilaluinya. Aku mendengar ceritanya sambil sibuk menyediakan segala yang perlu. Namun, sekali-sekala aku menyampuk untuk menghidupkan suasana.

Satu-satunya saat yang telah menghimpunkan kami sekeluarga adalah pada tahun lalu ketika pernikahan abangku. Namun, kehilangan itu tetap terasa. Dalam keramaian itu, aku tetap merinduinya...Insan yang pernah mengelus rambutku dan mengajarku nilai-nilai kehidupan. 

"Bapa nak minum air apa?" aku bertanya apabila melihat kelibat ayahku ke dapur.

"Buatkan bapa air nescafe. Letak gula jak. Jangan letak susu" ayahku menyahut.

Aku mengangguk sambil meneruskan kerja lain.

Pantang-larang ayahku yang banyak menyebabkan aku berhati-hati apabila menyentuh soal makan dan minumnya. Pernah suatu ketika ayahku tidak menjamah sebarang lauk. 

"Bapa tidak makan kalau kak uty masak letak aji-no-moto" bisik adikku tahun lalu ketika balik ke kampung. Aku tersentak. 

Saat itu, hatiku hiba. Kesal. Tidak peka dengan seorang insan yang banyak berjasa kepada kami adik- beradik. Aku segera bangkit dari meja dan menuju ke dapur. Ayahku menegah, namun aku berkeras. Aku tahu, ayah pasti merindui arwah ibuku. Benar, hanya arwah ibuku sahaja yang mampu membaca isi hati ayahku. Segala makan-minum ayah terjaga. 

Ah! aku juga merinduinya..



Syawal 1434H akhirnya menjelma.

Takbir yang bergema menjadi penutup tirai Ramadhan. Segalanya umpama seketika cuma. Namun, itulah hakikatnya. Ramadhan telah pergi, tapi Allah sentiasa ada. 

Tahun ini, aku secara rasmi mendapat "jawatan" sebagai pemandu dan tukang masak. Tersenyum. Dalam keterpaksaan, kita belajar erti kesabaran. Alhamdulillah.

Tahun ini, masa cuti ini kugunakan untuk merapatkan diri dengan adik-adikku. Ironinya, di sebalik "kekurangan" ahli keluarga yang lain, aku mendapat "kelebihan" masa untuk memenuhi permintaan ayah dan adik-adikku.  "Sedia berkhidmat" demikian kataku pada mereka. Berbekalkan sebuah kereta, kami memenuhi semua undangan yang ada. Kenangan yang tercipta menjadikan segala keletihanku terbayar apabila melihat senyuman ceria mereka.

"Ya Allah, peliharakanlah mereka dan cucurkanlah rahmatmu ke atas kami, keluarga kami, guru-guru kami, sahabat handai kami, saudara mara kami, jiran tetangga kami, orang-orang yang bersama kami dan umat Islam seluruhnya..."

Perjalanan ini masih panjang, andai kita melihat pada kewajipan. 

Benarlah kata seorang insan, 

"Kewajipan yang kita ada lebih banyak daripada masa yang kita ada" Imam Syahid Hassan Al-Banna.

Semoga Allah menempatkannya dalam kalangan para syuhada...

Sangat teringin menemuinya...

"Sahabat, Semoga Allah menerima amalan kita semua."

Amin.

Friday, August 23, 2013

Just Go On...

"Aih, leganya sudah kena observe" luah teman sepraktikumku.

Aku tersenyum. Minggu ini kami sudah memasuki minggu keempat praktikum yang dahulunya menjadi minggu terakhir bagi praktikum Fasa 1. 

Kali ini, aku, sahabatku amna mendapat dua orang teman praktikum baru di tempat yang baru. Sk. Pekan 1, Keningau. Perjalanan kali ini hanya mengambil masa sekitar 10-15 minit bergantung kepada kelajuan kereta dan suasana trafik. Alhamdulillah, Allah mempermudahkan dengan urusan kenderaan, abangku sudi meminjamkan keretanya yang banyak memberikan peluang kepadaku untuk kembali yakin memegang stereng kereta. 
Hari pertama- Suasana perhimpunan
Aku "hanya" mengajar dua subjek iaitu Matematik dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dengan jumlah masa 9 waktu seminggu. Aku menggunakan "hanya" kerana rata-rata guru yang mengajar di sini akan mengajar 3 subjek dengan peruntukan waktu sehingga 30 waktu seminggu atau lebih. Disebabkan itu, masa yang ada untuk beramah mesra dengan guru-guru di sekolah ini adalah terhad. Malah, tidak menghairankan apabila kukatakan terdapat guru yang kami masih belum kenali (bersemuka) walaupun telah berada di sini hampir sebulan sudah.

Salah satu dari perkara penting yang kupelajari daripada praktikum fasa 1 dahulu adalah "jangan expect tinggi sangat..". Perkara ini juga berlaku dalam fasa ini. Mujur, pengalaman lalu sentiasa menjadi guru dan penasihat terbaik. 

Aku pernah terkapai-kapai semasa praktikum yang lalu apabila murid yang kuajar tidak memahami apa yang kusampaikan. Puncanya, "objektif" yang ingin kucapai tidak berpijak pada alam realiti. Hasilnya, aku hilang keyakinan untuk mengajar. Mujurlah ketika itu, aku mengikuti kursus kahwin yang mempunyai slot "pengurusan konflik". Sesuatu yang janggal kerana aku mendapat motivasi daripada sesuatu yang tidak ada kaitan dengan apa yang berlaku. Iya, bantuan datang dari pelbagai arah...

Saat ini juga aku menghadapi situasi yang sama. Mengajar Tahun 4 menjadi suatu cabaran apabila prinsip yang kupegang "jangan jadi guru yang garang, jadi guru yang penyayang". Hasilnya, apabila aku membuat muka serius,

"cikgu, jangan murung bha...kami suka tengok cikgu senyum" si Jujie, anak murid yang cukup banyak celotehnya. Setiap hari dia akan menunggu di hadapan kelas untuk bersalam dengan guru-guru.

Kemudian, satu kelas menyokong...

"Iya, senyum lah..."

Aku tidak mampu menahan senyuman yang berbunga.

Ah! merekalah penawarku, merekalah yang menyebabkan hari-hariku menjadi indah.

Selepas "membebel" selama sepuluh minit, aku melafazkan kata-kata terakhir,

"cikgu sayang kamu.." serentak, satu perasaan halus menyusup ke dalam relung hatiku.

P/s: When things seem difficult to handle, just go on coz' the time will come when everything will more easier for u...Terasa lama tidak meluahkan. Pelbagai perkara ingin diceritakan namun, kekangan masa menjadi "alasan"..

Tempat pertapaan selama 8 minggu

Wednesday, August 14, 2013

Seloka Dia...




Ramadhan. Seribu satu cerita. Penuh cinta.
Syawal menjelma. Bertambah lagi cerita.
Setiap kita punyai cerita.
Tapi bagaimana kita mengolahnya itu yang memberikan makna.
Cerita kosong atau punyai ibrah.
Maka, menulislah...
Bukan untuk siapa-siapa tapi untuk kita..
Di saat kita sudah tidak mampu mencipta cerita..
Kerana kudrat yang semakin lemah...
Ketika itu,
tawa dan duka akan menjadi sama..
segalanya hanyalah sebuah cerita..
pilihlah untuk berbahagia...
kerana Allah sentiasa ada...