Thursday, January 30, 2014

"Friendship" yang tidak "friendly"

Walau berbeza, kita tetap sama. Hamba kepada Yang Maha Esa.
"Kak, susah mahu join program...kawan saya ajak p jalan-jalan. Serba salah saya, balik-balik sudah saya tolak, nanti dorang merajuk dengan saya..."seorang adik meluah.

Sebuah realiti yang terjadi apabila "keterikatan" kita semakin erat. Ada yang mengistilahkan ini sebagai tanda ukhuwah.

Di sudut ini, Alhamdulillah.

Di sudut lain, ada kelompongan yang akan menjadi barah dalam daging.

Siapa yang tidak mahu bersama-sama sehingga ke syurga?

Bersama-sama ke masjid, bersama-sama melakukan amal kebaikan, bersama-sama mencari ilmu.

Namun, seringkali apa yang berlaku, dalam kebersamaan hanya menyebabkan kita "tertutup". Suatu sifat yang tidak seharusnya ada pada diri seseorang yang ingin berintima' dengan Islam.

Adakalanya, kita perlu bergerak sendirian tanpa ditemani sesiapa atas keyakinan, kita ada Allah sebagai tempat berlindung. Di ketika itulah, kita memahami dan merasai nikmat tawakal yang sebenarnya. Pergantungan sepenuhnya kepada Allah.

Itulah ibrah dari Sirah Rasulullah Solalahu alaih Wasalam.

Baginda kehilangan "tempat bergantung" sedari kecil. Hilang ayah, hilang ibu, hilang datuk.. apabila meningkat dewasa, hilang pak cik, hilang isteri tercinta. Semua itu untuk menghilangkan kesedihan dan kebergantungan kepada sesama makhluk untuk kembali yang Khalik.

Kesedihan yang bertimpa-timpa akan menjadikan hati kita tabah.

"Penat sudah aku menangis. Kering dah air mata...rupanya Allah nak ajar aku agar redha dengan segala yang berlaku" cerita seorang sahabat.

Sunnah perjuangan. Kita telusuri kisah nabi Ibrahim, meninggalkan keluarga tercinta di padang pasir. Kita lihat kisah umat yang terdahulu, pasti tidak lari dari "ditinggalkan" atau "meninggalkan".

Kelmarin.

"Kenapa tidak mahu ikut yang lain? syok tu" aku bertanya kepada seorang adik yang sudah lama tidak ditemui.

"Endaklah, kak. Takda kawan, semua balik kampung.."sambutnya.

Aku menghela nafas berat.

Apakah yang mereka mengerti "ukhuwah".

Adakah ukhuwah itu hanya untuk mereka yang berada di sekeliling kita.

Bukankah semua umat Islam adalah bersaudara. Mengapa ada jurang sebegini. Jurang yang menyakitkan. Jurang yang akan menjarakkan lagi kebangkitan Islam.

Adik-adik, bukalah dirimu. Ilmu kehidupan tidak semestinya bersumber pada buku atau kitab yang tebal. Kadang, ia ada dalam pergaulan sehari-hari dengan orang yang kau temui.

Hanya, lihatlah dengan mata hatimu..

Saidina Umar pernah mengungkapkan, "Semua orang adalah guruku. Kerana mereka mengajar aku sesuatu".
Belajarlah dari sesiapa.

Berdikarilah.

Pertolongan Allah akan datang dari mana pun..

Infiiru.

Friday, January 24, 2014

Apa yang tercatat di situ..


"Apalah ertinya keindahan sebuah tulisan dibandingkan dengan keindahan sebuah kematian? Saya cemburu, terlalu cemburu… mengenangkan bagaimana dia melakarkan sebuah kehidupan yang penuh perjuangan. Dia berdakwah, sehingga Subuh yang terakhir. Benarlah seperti yang sering diungkapkan… cara mati seseorang akan ditentukan bagaimana cara hidupnya. Semoga Allahyarham Ustaz Rujhan bin Hj Razali, anak kepada seorang Tok Imam, adik kepada seorang murabbi, suami kepada seorang isteri yang tabah itu… di tempatkan di kalangan para solehin, diampunkan, dikasihani dan diredai Allah! Amin. "
Ini merupakan catatan seorang "guruku" dalam bidang penulisan (Ust Pahrol M. Juoi). 
Kisahnya ini membuatkan aku teringat semula akan sebuah tayangan video yang sempat aku tonton semasa usrah bersama-sama budak KRU keningau pada minggu pertama Januari yang lepas. 
Tayangan Video Ammar. Seorang yang tidak dikenali oleh sesiapa namun, saat kematiannya, ribuan orang datang menjengah. Malah, dikebumikan di sebelah pusara sahabat Nabi. 
Bagi melengkapi, tayangan "sang Murabbi" yang wajar ditonton.
Tiga individu yang hanya kukenali setelah kematian mereka..
"Ya Allah, ilhamkanlah kepada kami untuk sentiasa mensyukuri nikmat-MU dan amalan yang engkau Redhai.."

Tuesday, January 21, 2014

Kem Kepimpinan 2014

Tuliskanlah kisahmu sebagai kenangan di masa kemudian...

"Ketika gelap, ambil iktibar gelap. Ketika cerah, ambil iktibar cerah..." tutur ust. Rusli bin Ismail semasa kuliah maghrib hari pertama.

Dengan mengharap pada biasan lampu suluh di ruang tengah Masjid Jamek, IPG aku terkial-kial mencatat setiap bait ilmu yang terlontar. Kata-kata penuh makna yang menjadi penutup itu merupakan pembukaan kepada hikmah yang terselit di sebalik kem ini.

Terkenang kembali bagaimana cabaran dan halangan yang ditempuh menyebabkan aku beristighfar beberapa kali.

Maka, nikmat yang manakah yang kamu dustakan..

Gangguan elektrik yang berlaku pada waktu tengahari menyebabkan beberapa orang mencadangkan kem ini ditangguhkan. Gangguan ini telah pun berlarutan selama seminggu. Pastinya agak sukar untuk pengisian slot pada sebelah malam atau yang memerlukan LCD. Rupanya, Allah sedang mengajar kami erti "tawakal". Allah yang Maha Berkuasa mampu menjadikan elektrik berfungsi semula. Namun, di masjid elektrik masih bermasalah menyebabkan kami solat dan berkuliah dalam keadaan bergelap.

"Cuba kita bandingkan keadaan ilmu kita ini dengan para ilmuan Islam suatu ketika dahulu. Dengan hanya berbekalkan lilin, mereka mampu menulis kitab yang manfaatnya mengalir sehingga ke hari ini. Kita, walaupun dilimpahi dengan cahaya lampu neon, namun, untuk menghasilkan sebuah buku pun menunggu masa 5 tahun (ketika membuat tesis kajian tindakan untuk membolehkan kelulusan ijazah). Allah, malulah..."

Kata-kata ini diungkapkan oleh seorang bekas pensyarahku, Ust Misri yang telah berpindah ke semenanjung.

Diuji dengan ketiadaan bajet untuk makanan, mujur duit yuran Jawatankuasa Masjid yang lama tersimpan menjadi penyelamat. Hasilnya, makanan yang tersedia adalah yang paling sederhana.

Diuji dengan ketiadaan tempat untuk menjalankan program ini atas beberapa sebab yang salah satunya adalah bajet dan pengangkutan, merupakan hikmah "tempat sendiri adalah yang terbaik" untuk menyampaikan dakwah.

"Bestnya kak.." itu komen yang kuperoleh untuk aktiviti eksplorace yang melibatkan ladang ternakan lembu, dan kg. Durok. Pelbagai cerita yang dikongsikan pada malam refleksi ditambah lagi ada yang tersentuh dengan layanan yang diterima dari penduduk kampung.

"Tidak ada yang kebetulan..." itu yang aku kaitkan dengan peristiwa yang berlaku sepanjang kem ini rentetan daripada tayangan filem "Kung Fu Panda".

Tahun 2010, kem kepimpinan yang aku ikuti diadakan di tempat yang paling istimewa iaitu Banjaran Crocker. Diikuti tahun berikutnya, di IPDAS (dahulunya dikenali sebagai Pusat Latihan Dakwah).

Tahun 2012, aku dilantik menjadi Ajk Pelaksana bertempat di Masjid Kota Ayangan. Tahun lalu, tahun "kerehatan" yang rupanya aku sedari penyebabnya ketika selesai kem ini.

Sesi post mortem yang merungkaikan segala permasalahan dan kesalah fahaman sebelum ini berjalan dengan luahan perasaan dan melihat ibrah. Rupanya Allah ingin kami "berehat" untuk muhasabah kembali agar tindakan yang akan dilakukan tidak hanya pada "apa yang dilihat" tetapi sehingga "apa yang dirasa". Itulah tarbiyah...

Selesai solat Asar pada hari Ahad itu, aku bersama sahabatku, amna dan jijie, bergerak ke hospital. Sebelum bergerak, kami singgah ke pekan untuk mengambil seorang lagi sahabat, een, yang baru balik kampung. Seorang budak KRU (kelab Remaja Ukhuwah) di bawah kendalian PSS (Persatuan Siswazah Sabah), dikhabarkan dimasukkan ke wad pembedahan.

Namun, kami tidak berkesempatan kerana dia telah pun di bawa pulang. Kami singgah sebentar di kantin Hospital bagi mengisi perut dan menambah tenaga yang pastinya sudah berbaki sedikit sahaja.

"Sesungguhnya Allah Menyukai orang-orang yang apabila melakukan sesuatu sehingga ke tahap itqan (teliti)" kata nasihat dari sahabatku yang banyak membantu mengelap air mata yang tumpah.

"Kesatuan hati dalam JKM yang hilang tahun lalu, syukurlah ditemukan kembali.." luahan seorang sahabat, shira yang banyak menyokong.

Semoga kem ini menjadi "pembukaan" kepada langkah seterusnya. Apa yang berlaku, apa yang dirasai adalah tarbiah secara langsung dari Allah.

Sesungguhnya DIA Maha Mengetahui...

Bersabarlah untuk terus sabar.


Tuesday, January 14, 2014

Bengkel Pemantapan Naqibah 2.0

Batu dan air, kedua-duanya memiliki sifat yang berbeza tapi tidak pernah bertelagah sesama sendiri dalam melaksanakan perintah Allah (Sunnatullah)

"Kak, satu malam ni saya tidak tidur menyiapkan bahan dan berfikir apa yang perlu saya sampaikan.."luahannya menyentak hatiku.

Kata-katanya itu menyebabkan aku terdiam.

Ajakanku agar dia membantu mengambil satu slot "Pengurusan Usrah dan ciri-ciri naqibah yang berkesan" ternyata diambil dengan penuh keseriusan.

MasyaAllah.

Mengenang kembali beberapa hari yang lepas, hatiku sememangnya ragu-ragu untuk meneruskan program ini dalam keadaan yang serba-serbi kalut. Jadual kuliah setiap hari yang padat menyebabkan waktu malam menjadi rebutan untuk menyelesaikan segala perkara "amanah". Natijahnya, program ini hampir-hampir ditunda kepada waktu yang aku sendiri tidak mampu menjawab bilakah lagi peluang yang ada.

"Cuba kakak tengok dulu bahan yang saya akan sampaikan ini..."tangannya menyorot slaid demi slaid yang akan disampaikan pada malam nanti.

Aku tidak memberi komen apa-apa mengenai apa yang terpapar kerana ayat yang terluah dari bibirnya sedetik kemudian menyebabkan aku hampir menitiskan air mata.

"Saya akan cuba sampaikan berdasarkan teori dan apa yang pernah saya alami. Setiap satu yang saya lakukan pada paparan slaid ni kak ada maknanya. Contoh, pada awal slaid ni, semuanya kosong, kemudian, fasa kedua, sedikit warna, dan di akhirnya pada fasa terakhir slaid, dihiasi dengan warna dan hiasan tertentu. Lepas tu, berkaitan dengan LDK pula, saya nak fahamkan naqibah bahawa kaedah mungkin boleh dipelbagaikan untuk menarik perhatian adik-adik usrah..."

Malam itu membuatkan air mata bergenang.

Pertama, dengan rahmat Allah yang dilimpahkan melalui ibu sahabatku yang sudi menyediakan makan malam untuk kami. Menu ayam masak kicap beserta kerabu pisang, ikan goreng bercecahkan sambal belacan cukup membuka selera sehingga ramai yang menambah.

"Bila tengok ada mama jiji terasa macam di rumah..." seorang bersuara.

"Iya, kalau tidak..macam asrama kan.." sahut sahabat yang lain.

Semua ketawa.

Kemudian, bahagian yang paling penting pun bermula..

"Marilah sama-sama kita korbankan mata kita untuk fokus sepenuhnya. Program macam ni bukan selalu.."

Penerangan demi penerangan diberikan. Aku sendiri khusyuk mendengar. Kadangkala diselitkan dengan tips dan Latihan dalam Kumpulan (LDK) serta video menyebabkan aku merasa sangat bersyukur kepada Allah S.W.T yang telah menghantarkannya.

Benarlah, Allah sentiasa menyediakan pertolongan dengan syarat kita benar-benar bertakwa kepada-Nya.

Selesai slot bersama ukhti Liyana Azuren tersebut, kami menonton sebuah klip video "Sang Murabbi" yang penuh ibrah.

Filem yang berasaskan kisah hidup seorang Murabbi Tarbiyah yang memaparkan kisah perjuangan beliau. Kata-kata keramatnya,

"Ketika nilai kemanusiaan hilang, biarlah aku yang mengambil alih tugas ini. Semua orang boleh berdakwah, tetapi tidak semua orang boleh mencintai dakwah. Cinta itu memerlukan pengorbanan. Ianya tidak akan mampu bertahan bagi orang yang mengharapkan sesuatu daripada dunia dakwah ini..."

Perwatakannya yang lembut apabila menasihati dan menyantuni mad'u. Tegas pada prinsip hidupnya cukup membuatkan teringat akan satu sosok tubuh yang serupa iaitu As-syahid Imam Hassan Al-Banna. Kedua-duanya berusaha mengikuti Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam dengan menelosori perjalanan Baginda yang pastinya tidak ada jaminan akan kesenangan berupa keduniaan.

Keesokannya, kami menonton sebuah lagi filem iaitu "Karate Kid" yang menjadi perbandingan dengan filem Sang Murabbi..

"Macam mana ukhti, kita teruskan juga?" soalku berkaitan perancangan untuk mandi sungai. Ketika itu awan mendung dan jalan menuruni bukit pastinya agak licin.

Sahabatku mengangguk.

Dengan berbekalkan doa"Bismillahi Tawakaltu Illa Allah.." kami melangkah.

Sepanjang perjalanan menuju ke sungai untuk aktiviti terakhir, setiap peserta akan membentangkan  ibrah yang diperoleh melalui kedua-dua tayangan tersebut.

Alhamdulillah.

Hanya itu yang mampu aku ungkapkan. Walaupun hati masih lagi ragu-ragu akan hari esok, namun ku yakin sinar masih ada..

InsyaAllah..