Friday, January 20, 2012

Macam mana nak belajar ni?


"Aku nak belajar berenang!" azamnya dalam hati. Semua ini tercetus selepas mengetahui berenang adalah anjuran rekreasi yang diajarkan Rasulullah s.a.w dan diakui pada masa kini sebagai aktiviti yang paling kurang risiko kecederaan.

Dengan keazaman dan semangat yang tinggi itu, dia pun bergerak ke perpustakaan yang berhampiran. Melangkah masuk ke ruang bacaan juga dengan semnagat yang berkobar-kobar, sambil matanya meninjau-ninjau ruangan sukan.

"Hah, ada pun..."detik hatinya sambil tersenyum. Barisan buku-buku yang berkaitan aktiviti renang di hadapannya kini semakin menyemarakkan lagi keinginan dan keazaman di dalam hatinya.

"Kalau macam ni, senanglah aku pandai berenang, banyak maklumat.."getus hatinya.

Tanpa berlengah, dia pun mengangkut kesemua buku yang berkaitan dan mulai menelaah satu persatu sehinggalah masa perpustakaan berakhir. Usahanya itu tidak sia-sia, dia sudah menghadam pelbagai maklumat mengenai cara-cara berenang. Pelbagai jenis cara berenang sudah diketahuinya. Ada yang kuak dada, kuak lentang, kuak kupu-kupu sehinggalah berenang dengan gaya bebas.

Namun, "TAHU" sahaja belum mencukupi, dia masih tidak pandai berenang pada hakikatnya. Apabila meminta pandangan temannya,

"Belajarlah daripada guru..." cadang temannya mudah. Cadangan itu diterimanya dan dengan bantuan beberapa pihak, dia pun mulai merisik beberapa orang jurulatih yang berkebolehan, berketrampilan dan pastinya kompetensi untuk melatihnya. Ternyata usahanya tidak sia-sia. Dia mendapat seorang jurulatih yang hebat yang telah mengajar ribuan orang berenang dalam masa sehari sahaja.

"Yes, esok mesti aku sudah pandai berenang..." jerit hatinya girang.

Apabila tiba keesokan harinya,

"Mula-mula kita belajar mengapungkan diri,"kata guru yang mengajarnya.

"Baik, kemudian?"sampuknya menggambarkan kesungguhan untuk belajar.

"Julurkan tangan kanan ke hadapan dan tarik ke belakang dan sebelum tangan itu sampai ke belakang hulurkan pula tangan kiri dan lakukan balik gerakan seperti tangan kanan tadi. Lakukan berulang-ulang," terang gurunya itu.

"Kedudukan kaki bagaimana?" tanyanya lagi.

"Kaki hendaklah menguak air serentak dengan kuakan tangan,"kata guru itu.

"Perut, dada dan kepala bagaimana?" dia masih lagi bertanya.

Sepi. Kelihatan guru itu bergerak menuju ke tepi kolam.

"Cuba dekat sini" kata guru itu sambil memanggilnya tepi kolam. Sebaik sahaja dia tiba,

"Blush!" air berdebur kuat apabila guru itu menolak si anak murid yang rajin bertanya ini.

"Tolong, Tolong! Saya tidak pandai berenang!"

Guru itu cuma melihatnya dengan selamba.

Dia mulai tenggelam timbul dalam kolam. Dia mula panik dan begitu takut. Tetapi dalam keadaan terdesak itu, dia ingat semula ilmu renang yang telah dipelajarinya. Tangan, kaki, perut dan dadanya digerakkan mengikut apa yang telah dipelajarinya. Dia benar-benar terdesak. Akhirnya, tanpa diduganya...badannya terapung dan dia sudah mula terapung...

Muhasabah diri

"Umat Islam sudah hilang dari wujud dan realiti begitu lama sekali dan peranan memimpin umat manusia itu telah diambil alih oleh fikiran yang lain, oleh umat yang lain dan oleh konsep yang lain" tulis syed qutb dalam petunjuk sepanjang jalan.

Bagaimana ingin memulihkan kembali segalanya ini?

"Mesti ada golongan pelopor yang menghayati cita-cita ini, dan meneruskan kegiatannya dengan cara menerobos ke dalam alam jahiliyah yang sedang berpengaruh di seluruh permukaan bumi ini dengan 2 kaedah iaitu:
Pertama, memisahkan diri.
Kedua, membuat hubungan di bidang lain pula dengan pihak jahiliyah ini (Jadilah seperti ikan yang hidup di lautan yang masin- tidak terpengaruh dengan kemanisan laut itu sendiri).

Kelihatan sukar bukan? Lalu bagaimana?

Pesan Sayyid Qutb lagi,
"Lahirkan perasaan belajar untuk melaksanakan. Inilah rahsia generasi pertama. Generasi kita mundur kerana kita belajar untuk buat kajian dan penglipurlara semata-mata"

Nampak perkaitannya?
ISLAM itu KATA KERJA bukannya kata Nama. Ayuh, kawan-kawan, yakinlah dengan apa yang diperkatakan oleh Fathi Yakan, dalam Apa Ertinya Saya Menganut Islam, "KITA HARUS YAKIN ISLAM AKAN KEMBALI GEMILANG" InsyaALLAH. Kurangkan bercakap, banyakkan bertindak.

With Lots of Love,
Living Here for hereafter.
Never stop to believe. Everythings gonna fine.

No comments: