Tuesday, January 29, 2013

Lelaki yang aku rindui...

"Mengapa semua ini terjadi?" jeritnya lagi.

Tidak ada seorang pun yang berani menjawab pertanyaannya. Panglima Vartanius juga tidak mampu memberikan alasan memandangkan dia juga benar-benar takut dengan kemarahan yang terpamer pada wajah Maharaja Hercules. (Petikan dari Novel Sejarah Islam, Khalid Memburu Syahid tulisan Abdul Latip Talib)

Peristiwa ini berlaku selepas tentera yang dipimpin oleh  Khalid Al Walid, Saifullah, yang hanya berjumlah 40,000 orang telah berjaya menumbangkan Tentera Rom yang seramai 240,000 orang. Peperangan ini dikenali sebagai perang Yarmuk kerana bertempat di Yarmuk. Dengan tumbangnya kerajaan Rom dan yang terdahulu (Parsi), maka, bermulalah pemerintahan Islam yang membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada Yang Maha Esa. 

"Buktikan kepada mereka yang kita datang bagi membebaskan mereka daripada kezaliman dan penindasan raja Parsi,"pesannya.

Pesanan Khalid bin Walid itu dipatuhi oleh anggota tenteranya. Buktinya..

"Bayaran Jizyah ini jauh lebih rendah berbanding dengan bayaran yang dikenakan oleh Raja Yazdegir dan anggota tenteranya. Kami lebih senang berada di bawah pemerintahan Islam berbanding raja Parsi. Kedatangan Tentera Islam berjaya membebaskan kami daripada penindasan dan kezaliman,"jawab mereka dengan jujur.

"Kami sanggup bekerjasama dengan tentera Islam bagi menumbangkan kerajaan Raja Yazdegir kerana beliau ialah raja yang zalim dan suka menindas rakyat,"kata mereka yang memeluk agama Islam pula.

Lihatlah bagaimana Cahaya Islam telah menerangi manusia yang berada dalam kegelapan. Lihatlah bagaimana keadilan Islam apabila benar-benar dilaksanakan dalam segenap aspek kehidupan dan tidak hanya dipenjarakan "di masjid" semata-mata. 

Semuanya bermula dengan sebuah keyakinan pada firman-Nya,

"Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam. 
(Surah Aali Imran:ayat 19)


Kemarahan Maharaja Hercules menyebabkan semua yang berada di situ menikus.

Tiba-tiba bangun seorang tentera yang paling tua.

"Tuanku, tentera kita berperang dengan satu kaum yang berpuasa pada siang hari dan beramal ibadat pada waktu malam. Mereka berpegang teguh pada janji, saling berkasih sayang sesama mereka bagaikan saudara. Mereka sentiasa mengerjakan kebaikan dan tidak melakukan kemungkaran." Dia berkata dengan jujur. (Petikan dari Novel Sejarah Islam, Khalid Memburu Syahid tulisan Abdul Latip Talib).

Itulah sejarah kegemilangan Islam. 

Merekalah yang harus kita contohi. Kerana merekalah yang telah membuktikan "Sesungguhnya hidupku, matiku, solatku dan ibadahku hanyalah untuk Allah".

Wahai sahabatku, Sejarah itu bukan untuk dibanggakan tapi ianya harus dijadikan panduan. Panduan bagi kembali menegakkan Islam dalam kehidupan.

"Ada antara orang-orang mukmin itu menepati apa yang mereka janjikan kepada Allah (berjihad), maka ada antara mereka yang gugur. Dan ada antara mereka yang masih menunggu-nunggu (untuk syahid) dan mereka sedikitpun tidak berubah janjinya,"
(Surah Al-Ahzab:ayat 23)

Jadilah Insan yang terus maju ke hadapan tanpa meninggalkan apa yang ada di belakang. Hari esok ditentukan oleh apa yang kita lakukan pada diri kita hari ini... Salam dan Selawat ke atas Junjungan kita...Bagindalah "Murabbi Cinta" kita...

Friday, January 18, 2013

Boleh ikut awak?

"Hah, kuliah mula jam7?"

"Aish, lewat la ni..."

"Ish, tak best la.Sudahlah aku ni jam 7 baru bangun (bersangka baik: dia tidur selepas subuh)."

"Menyusahkan betullah!"

Rungutan tersebut kini semakin tenggelam di telan waktu. Kelihatan setiap orang mulai membiasakan diri walaupun ada juga terdengar beberapa kes rakan yang terlupa hal ini. Biasalah, manusia kan mudah lupa...

Perubahan jadual setiap hari jumaat telah pun bermula sedari awal tahun. Di awalnya, aku juga tidak menyenangi hal ini kerana kuliah Tafsir Hadis yang telah dimulakan semenjak bulan Ramadhan tahun lalu dan diteruskan sehingga ke hujung tahun akan "dikorbankan". Kuliah tersebut yang bermula pada pukul 7 sehingga 7.30 pagi memberikan semangat untuk bersiap lebih awal dari hari yang lain. Setengah jam yang diperuntukkan untuk pengisian rohani sebelum hadir ke kuliah memberi impak yang besar. 

Namun, semasa kuliah subuh pagi tadi, Ustaz Rosli telah menjelaskan kedudukan sebenar.Kesalahfahaman yang timbul menimbulkan penyesalan kerana bersangka buruk sebelum mengetahui hal yang sebenar.

"Itulah su..asyik2 fikir konspirasi. Otak pun dipenuhi dengan konspirasi" ujar sahabatku.

Aku tersengih. 

"Sebenarnya peristiwa ni mengajar aku. Yalah, dahulu ada juga aku ter"miss" kuliah tafsir sehingga ditegur oleh seorang pensyarah. Beliau inginkan setiap muslim dalam kuliahnya mengambil berat soal agama dan pembentukan peribadi Muslim. (Maklumlah, tengah ABC...apalagi terbabas lah.) Masa dapat datang tu, terpancar kegembiraan di wajah beliau melihat kelibat kami. Sejak tu, berazam tak nak tinggal lagi majlis-majlis ilmu. Bila buat azam, "aku nak hadir setiap hari",  tiba-tiba ada pula perubahan. Sedih sangat. Masa tu, barulah sedar sesuatu yang berharga hanya akan terasa nilainya andai ianya terlepas dari genggaman.." luah seorang sahabat dengan penuh emosi.

Aku dan seorang lagi sahabatku juga larut dalam refleksi muhasabah diri...

Hari ini juga aku (dan rakan sekelas) mendapat 2 orang guru baru. Seorang akan menjadi Tutor mengantikan tempat Puan Raiteh, (Tutor kami) bersama-sama Tn. Hj. Zaieddi bin Shahadan (kekal). Nama beliau En. Darussalam (Maaf, tidak ingat nama penuh beliau), yang pada asalanya kusangka Muslim tapi ternyata bukan. Ketika sesi tutoring  pada pagi tadi, kami senyap mendengar kisah pengalamnnya sebagai seorang guru bermula daripada seorang guru sekolah Rendah di Pendalaman Sarawak, di sebuah pulau yang terletak di Sandakan, di sekolah Elit Johor, Jakarta, sehinggalah ke Sekolah Henry Genie (Sekolah penjara bagi budak di bawah umur). Antara kata-kata beliau yang menjentik perasaan ialah,

"Sepanjang saya berkhidmat, satu perkara yang amat menentukan kecemerlangan sesebuah sekolah ialah bagaimana pelajar belajar. Jangan bangga jika dapat menyampaikan ilmu 90% kerana belum tentu mereka dapat sekalipun 20%. Tapi, kita harus usahakan untuk mereka mendapat 100% walaupun kita hanya memberikan 40%. Lagi satu, sentiasalah belajar bersama-sama anak murid. Dengan itu, kamu akan faham perilaku mereka. Apa yang penting timbalah pengalaman sebanyak-banyaknya kerana pengalaman tidak akan diperolehi dalam mana-mana buku. Ianya perlu dilalui dan bersabarlah ketika melaluinya. Pahit, tawar, sakit, jangan terus buang kerana mungkin itulah ubat yang paling mujarab untuk mengubati rasa ego dalam diri"

Setelah itu, pada waktu PJM (kod 3112) kami menerima seorang lagi guru. En. Subra (Tidak tercatat nama penuh beliau) yang berasal dari Perak dan berbangsa India. Beliau merupakan seorang yang terlibat sepenuhnya dalam dunia sukan kerana merupakan bekas pemain Bola Sepak negara. MasyaAllah. Mendengar perkongsian pengalaman beliau juga membangkitkan semangatku. Ya, aku merupakan "peminat sukan". Aku menyukai nilai yang diajar dan dipupuk dalam sukan terutama dari segi penjagaan kesihatan, ketepatan masa, kesungguhan dan tidak mudah berputus asa. 

"Semasa dalam satu kajian, saya dan rakan saya pergi melawat Negara Jepun. Satu peristiwa yang mengagumkan ialah apabila pada suatu hari sebiji Tin aluminium yang terjatuh dari sebuah kereta ke jalan raya. Pada ketika itu, 6 orang meluru ke arah sampah tersebut untuk mengutipnya. Apabila sampah tersebut dikutip dan dibuang ke tong sampah, barulah yang lain beredar. Mengkagumkan...kan?"

Kami mengangguk sambil bibir membulat dan terlantunlah perkataan ..."Wah"!

"Kemudian, ada lagi, ketika itu saya hendak ke tandas, bagaimana tingginya budi yang ditunjukkan mereka apabila saya dihantar sehingga ke pintu tandas yang jaraknya lebih kurang 200 meter. Jika kita, mungkin hanya menunjukkan arahnya, kan?"

Sekali lagi, kami teruja. Sekali lagi, suara"Waahhhhhh" kendengaran.

"Mereka juga berjalan dengan amat laju. Mungkin terdorong daripada pemikiran mereka yang komitmen dengan kerja...oleh itu, masa amat berharga bagi mereka."

Semua senyap. Berfikir mungkin. 

Cerita beliau ini mengingatkan aku mengenai peribadi seorang yang agung. Rasulullah S.A.W. Baginda juga berjalan dengan amat laju sehingga dikisahkan dalam sirah para sahabat termengah-mengah mengejarnya. Sesuatu yang patut kita fikirkan...Menurut seniorku dahulu, seseorang yang berjalan dengan laju akan mempunyai keperibadian yang kuat bekerja dan mempunyai pemikiran yang lebih tajam. Melalui pemerhatianku, aku mengakui hal ini. 

Sambung beliau lagi, 

"Jadi, nasihat saya, semasa belajar ni lah, kutip pengalaman dengan melawat ke negeri orang lain. Jangan hanya menjadi guru biasa...tapi, jadilah guru yang luar biasa. Sedarlah, guru ni merupakan insan yang paling diberkati hidupnya oleh tuhan kerana mengajar orang kepada perkara yang baik."

Apabila aku menoleh ke arah rakan-rakan, semuanya tersenyum simpul. Ada yang matanya menghala ke siling, mungkin sedang memikirkan impian untuk menjelajahi dunia...

Kedua-dua mereka mempunyai satu persamaan. 

PENGALAMAN mengajar mereka dan mereka mengajar kami melalui PENGALAMAN.

Aku teringat kisah bagaimana Nabi Musa (seorang yang mendapat wahyu secara langsung dari Allah S.W.T tanpa perantaraan malaikat Jibril) diarahkan untuk bertemu dengan Nabi Khidr. Kisah yang dirakamkan dalam Surah Al-Kahfi ini, berjumlah  22 ayat bermula dari ayat 60 hingga 82 mempunyai mesej yang amat penting dalam menuntut ilmu.

Pertama, kesungguhan Nabi Musa sebelum tercapai tujuan...

"Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada pembantunya, "Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai ke pertemuan dua laut, atau aku akan berjalan (terus sampai) bertahun-tahun."

Kedua, tidak hanya meminta teori tapi ingin bersama-sama Nabi Khidr untuk menimba ilmu...

"Musa berkata kepadanya, "Bolehkah aku mengikutimu agar engkau mengajarkan kepadaku (ilmu yang benar) yang telah diajarkan kepadamu (untuk menjadi) petunjuk?"

Dalam hal ini, dalam sebuah rancangan TV Al-Hijrah yang bertajuk "AL-Quran The New Dawn" menjelaskan bahawa ibrah dari perjalanan akan lebih berkesan terhadap proses pembelajaran berbanding hanya menatap kitab-kitab yang tebal. Malah, kita boleh lihat bagaimana kisah para sahabat yang gigih menuntut ilmu walaupun mengambil masa bertahun-tahun sehingga kisah para ulama tersohor yang mengambil tempoh bertahun-tahun dan mengembara dari sebuah negara ke negara yang lain untuk menuntut ilmu. Walaupun hasilnya mungkin hanya memperolehi sebuah hadis dari guru/ulama agung, tapi mereka sangat menghargai nilai ilmu tersebut.

Ini kerana, mereka membayar Harga yang amat mahal untuk mendapatkan ilmu tersebut...Sedangkan dunia hari ini, lambakan ilmu hanya berada di hujung jari menyebabkan nilainya hilang...

Dalan sebuah hadis Qudsi dinyatakan bahawa, jalan menuju ke syurga diciptakan Allah  sukar dan dipagari kesusahan manakala jalan ke neraka dipagari oleh kesenangan...Jadi, andai hidup kita senang-lenang sahaja, fikirkanlah kita sedang melalui jalan ke mana? 

Ketiga, Bersabar. Bersabar. Dan terus bersabar sebelum kita memahami keseluruhannya (hikmah di sebalik apa yang berlaku)...

"Dia (Nabi Khidr) menjawab, "Sungguh, engkau tidak akan sanggup sabar bersamaku. Dan bagaimana engkau akan dapat bersabar atas sesuatu, sedang engkau belum mempunyai pengetahuan yang cukup mengenai hal itu?. Dia (Musa) berkata, InsyaAllah akan engkau dapati aku orang yang sabar, dan aku tidak akan menentangmu dalam urusan apa pun. " (18:67-69)
Wallahu' alam.
Sama-samalah kita menghargai setiap detik kehidupan dengan berfikir mengenai kebesaran Allah untuk mendidik hati agar terus berzikir mengingati-Nya ketika berdiri, duduk mahupun berbaring. Maha Suci Allah yang tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia...

P/s: Siapa nak join kembara iman masa cuti semester nanti? Boleh hubungi Syukbah Tarbiyah  (Khas untuk muslimah sahaja)

Monday, January 14, 2013

Atas Nama Cinta: Balik kampung...

"Kita teruskan dengan adik usrah masing-masing tanpa sebarang rombakan. Cuma, pengisian naqibah pelu dimantapkan." cadang seorang sahabat.

Kesemua yang lain mengangguk-angguk. Aku juga menyetujui hal ini. Kebanyakan kami memang kurang ilmu dan pengalaman.

"InsyaAllah...erm, cadangan lain?" aku bertanya.

Masalah demi masalah diluahkan. Cadangan demi cadangan dilontarkan. Diakhirnya, walaupun tidak semua masalah dapat diselesaikan, kerana belum diketahui kesudahannya, tapi satu kelegaan terbit di relung hati. Ya, sesungguhnya Allah jua yang menyatukan hati-hati orang yang beriman. Segala perancangan akan diusahakan untuk dilaksanakan namun tawakal kepada-Nya adalah keutamaan...

"Dan milik Allahlah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi, dan hanya kepada Allah segala urusan dikembalikan" (Surah Aali Imran: ayat 109)

Itu merupakan permulaan kepada Program Atas Nama Cinta yang pertama bagi semester ini...

Kisahnya bermula...

Berkumpul di Blok kediaman tepat pukul 2 petang. Bagi yang tiba lewat, denda menanti. Setiap 1 minit yang terbuang dikehendaki beristighfar sebanyak 100 kali. Ianya untuk mendidik hati agar lebih berdisiplin. Kami memulakan perjalanan dengan doa dan tawakal. Walaupun hanya berjalan kaki di samping perlu membawa barang-barang dan peralatan untuk sepanjang program tersebut ke pintu utama IP kesemuanya kelihatan bersemangat. Di situ, kami menanti bas untuk pergi ke destinasi yang pertama, Pekan Keningau.

Sepanjang perjalanan, semuanya sibuk menghafal surah Al-Muddatstsir bermula dari ayat 1 hingga ayat 7. Sesampainya di pekan, setiap kumpulan perlu menyelesaikan tugasan pertama iaitu membeli barang-barang keperluan untuk makanan. Kemudian, mendapat perkhabaran dari seorang ukhti mengenai tawaran seorang pemandu bas Durok yang membawa mereka untuk menghantar ke destinasi kedua kami. Mungkin kelihatan agak jelas keadaan kami yang kesemuanya seperti ingin mendaki gunung dengan beg galas di bahu masing-masing dan berpakaian sukan lengkap.

Alhamdulillah. Allah permudahkan...

Sebaik kaki menjejakkan di Kg. Pamilan, Tenom, serta-merta kenangan Tahun 2011 menjelma. Di sinilah segalanya bermula…

Jadual imam dan bilal (iqamat) yang disusun oleh ukhti Ida dipatuhi oleh semua. Selesai bacaan mathurat, setiap kumpulan melaksanakan tugas masing-masing.

“Kak, jom p tengok trek untuk esok” tuan rumah iaitu ukhti gg, mengingatkan aku mengenai tugas yang perlu diselesaikan sebelum matahari terbenam.

MasyaAllah. Melihat keindahan alam sekeliling menyejukkan hati dan fikiranku...

“Mak cik, mungkin ndak pernah orang pergi turun naik bukit pakai kain, kita jak kan…”aku mengusik ibu ukhti gg yang teringin untuk menemani kami.

Beliau tergelak. 

Disebabkan bukit yang agak curam dan laluan yang jarang dilalui, kami mengambil masa hampir sejam untuk balik semula ke tapak program.

Apabila melihat kelibat sahabiah yang seronok mengutip buah-buahan, aku tersenyum.

“Esok kita mandi sungai…”aku memaklumkan kepada mereka.

Terpancar keriangan di wajah mereka.

“Tapi, jauh juga kena jalan, pastu bukit pun curam. Kalau hujan malam ni, jalan licin tu..” aku menyambung. Serta-merta riak risau hadir di wajah mereka.

Kemudian beralih kepada yang lain.

"Makan malam dah ready?" aku bertanya kepada seorang sahabat yang menjadi ketua bahagian masakan. Beliau mengangguk sambil mulut masih menggulum buah "Mata Kucing Tahiland" yang dijolok oleh ayah ukhti gigie.

“Ok, kita makan malam dulu sebelum solat Maghrib berjemaah dan pembentangan. InsyaAllah, Kak Ani akan membuat pengisian selepas tu…”

Malam itu kurasa jiwaku yang sudah semakin surut momentum di cas semula. 

Ukhuwah yang terjalin terasa manisnya walaupun masing-masing punyai perbezaan yang amat ketara. Memahami setiap personaliti yang berada di sekelilingku membuatkan masa yang berjalan tidak terasa... Ah! setiap satunya punyai sisi istimewa masing-masing.

Malam itu ditutup dengan pengisian oleh Kak Ani yang membuka minda, mencelikkan hati dan menaikkan semangat semua.

"Kita hidup bukan untuk merancang kehidupan tapi kita hidup untuk merancang bagaimana kematian kita..." MasyaAllah. Kata-kata yang diungkapkan oleh kak Ani yang dipetik dari ucapan seorang murabbi tahun lalu, menyebabkan mata terasa berpasir...

Diakhirnya, dek penangan naik turun bukit petang tadi, aku tidak memerlukan masa yang lama untuk hanyut ke alam mimpi...

"Dengan Nama Allah, aku hidup dan aku mati" Maha Suci Allah yang menjadikan malam sebagai waktu untuk beristirehat.

Keesokannya, berimamkan seorang akhawat semasa qiyam menyegarkan jiwa. Selepas bacaan mathurat, kami menyambung kembali kuliah perbincangan yang tergendala semalam. Kemudian, sarapan yang dimasak oleh ibu ukhti gg, bubur ayam menyebabkan kami semua menjilat sudu...ditambah lagi cucur cempedak kak ani dan kopi tenom...Taaruf berjalan dengan santainya...

"Deebak!" Kata ukhti hanisah...

Ekspedisi menakluki sungai hanya dapat dimulakan pada pukul 9 pagi atas beberapa kekangan. Antaranya adalah faktor cuaca. Walaupun telah melaluinya kelmarin, tapi, beberapa kali juga kami tersesat jalan. Namun, deruan sungai menguatkan semangatku untuk cepat sampai ke destinasi.

SubahanAllah. Air sungai yang jernih menyambut kedatangan kami...Ianya menjadi kenangan manis yang sukar dilupakan. Keletihan terasa berbaloi...

"Tidak ada ukhuwah tanpa iman, dan tidak sempurna iman tanpa ukhuwah..." Kepada Allah orang-orang yang beriman bertawakal..


Friday, January 4, 2013

Terima kasih, kak...

"Su nampak lain macam jak, ada masalahkah?" mesej seorang kakak senior yang sekarang sedang berkhidmat di pedalaman Sarawak, Kak Aisyah. Mesej itu  diterima kelmarin menjadi bukti biarpun jauh di mata namun beliau sentiasa mengambil berat. Terima kasih, kak...

"Su apa khabar, napa lama tak update blog. Sibuk ea?" sebentar tadi  seorang lagi kakak senior merangkap sahabat seusrah, kak yatie yang  baru sahaja menghabiskan pengajian di sini bertanya lewat pesanan ringkas. Aku tersenyum. Kak Yatie yang sentiasa meraikan dan sentiasa menghargai. Kak Yatie yang sentiasa bersemangat untuk mengamalkan apa yang diketahui dan tidak ingin ketinggalan dalam perkara kebaikan. Kak Yatie yang tidak pernah mengungkapkan perkataan penat atau letih walaupun nampak jelas di wajahnya. Kak Yatie yang amat tulus menyayangi sahabat-sahabatnya. Kak Yatie. Terima kasih, kak...

Petang tadi pula mendapat kunjungan dari kakak senior, Kak Ani yang merupakan satu batch dengan Kak Yatie dengan membawa barang kiriman dari kak Ibah. Melihat senyumannya menjadi pengubat bagi kerinduan yang bertandang. Melihat wajahnya membuatkan kenangan yang tercipta sepanjang mengenalinya menjadi suatu yang ingin kuulangi. Kasih yang tidak dihubungkan dengan ikatan keluarga atau pertalian darah tapi terhubung melalui tautan akidah dan perjalanan hidup yang hampir serupa. Kak Ani yang sentiasa tulus dalam berbicara mahupun bertindak. Kak Ani yang sentiasa menjadikan diri istimewa di sisinya. Kak Ani yang sentiasa menghargai dan teliti dalam setiap tindakan. Kak Ani. Terima Kasih, kak...

Melihat barang kiriman yang dititipkan, bibir tersenyum. Ternyata gurauanku diambil berat. Wajah kak Ibah yang sentiasa menyambutku dengan senyumannya muncul di mindaku. Kak Ibah yang sentiasa riang, menyebabkan diri tidak pernah kering gusi. Kak Ibah yang mudah mengalirkan air mata kerana hatinya yang lembut. Kak Ibah yang sentiasa meraikan dan sentiasa empati kepada orang di sekelilingnya. Tutur bicaranya menambat hati. Kak Ibah. Terima Kasih, kak...

Kak Aisyah. Kak Yatie. Kak Ani. Kak Ibah. Ah! Sukar untuk diungkapkan bagaimana kasihnya aku kepada mereka berempat.

Perpisahan dengan mereka berempat merupakan satu tamparan hebat dalam diri. Terasa kehilangan.

Keempat-empat mereka merupakan antara insan-insan yang banyak mendidik diri ini. Mereka menjadi Qudwah Hasanah. Menjadi pendorong. Menjadi penguat semangat ketika lemah.

Bersama-sama menimba ilmu. Bersama-sama mencipta kenangan dalam menuju ke alam kedewasaan. Bersama-sama memperbaiki diri. Bersama-sama bangun di kala ramai yang semakin menyerah.

Terima Kasih. Jazakillah kak kerana membenarkan diri ini menumpang kasih di sudut hati akak. Terima kasih kak kerana bersabar dengan segala kerenah diri ini. Terima kasih kak kerana sudi menyayangi diri ini...

Tidak banyak yang dapat kunukilkan di sini kerana mengingati mereka menyebabkan mata berkaca-kaca sehingga kabur pandangan...

Apa yang mampu kuungkapkan, nikmat bersahabat dengan mereka merupakan nikmat yang teramat besar.

Ya Allah, nikmatmu ini terlalu besar untuk didustakan.

"Ya Allah, peliharalah ikatan antara kami ini. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Gagah lagi Maha Perkasa. Ya Allah,sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul untuk mencurahkan mahabbah hanya kepada-Mu, bertemu untuk taat kepada-Mu, bersatu dalam rangka menyeru  di jalan-Mu, dan berjanji setia untuk membela syariat-Mu, maka, kuatkanlah ikatan pertaliannya, Ya Allah, abadikanlah kasih sayang ini, tunjukkanlah jalannya dan penuhilah dengan cahaya-Mu yang tidak pernah redup, lapangkanlah dadanya dengan limpahan iman dan keindahan tawakkal kepada-Mu, hidupkanlah dengan ma'rifat-Mu, dan matikanlah dalam keadaan syahid di jalan-Mu, Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong. Amin. Semoga selawat serta salam salalu tercurahkan kepada Junjungan Muhammad S.A.W, kepada keluarganya, dan kepada semua sahabatnya."