Thursday, May 24, 2012

Mengapa perlu jemaah?

"Dik, cuba patahkan lidi ni"arahku padanya.

Pak! Dengan kening yang bertaut, dia merenung memohon penjelasan. Seketika kemudian, terpacul di bibirnya pertanyaan, "kenapa, kak?"

Aku tersenyum. Pertanyaannya kubiarkan di awang-awangan. Kucapai pula segenggam lidi yang diikat dengan segelang getah lalu menghulurkannya.

"Cuba adik patahkan ini.."ujarku padanya. Walaupun masih dalam muka yang dipenuhi tanda tanya, dia menurut. 

Berulang kali dia mencuba, namun, hampa. Tenaganya tidak mencukupi untuk mematahkan "sekumpulan" lidi. Kulihat mukanya kemerah-merahan mencuba berhempas pulas untuk melaksanakan misi tersebut. Akhirnya, dia mengalah...
"Tak dapat, kak.." sambil menghulurkan semula padaku.

"Ingat cerita akak semalam?"aku memulakan mukaddimah penjelasan.

Sambil mengangguk, suaranya jelas pada pendengaranku,

"Oh, ni mesti berkaitan dengan sejarah kejatuhan kerajaan khilafah Othmaniyah ni kan, kak?" tanyanya.

Aku mengusap kepalanya.

"Hah, ingat pun..."
"Apa bentuk cabaran-cabaran yang kita hadapi sekarang?" aku masih mencungkil pemahamannya.

Sambil anak matanya dilarikan ke arah bawah kiri yang menunjukkan dia sedang menggunakan pemikiran auditori digital, dia menjawab, "Pertama, cabaran syaitan dan hawa nafsu. Kedua, cabaran pemikiran, ketiga,..."

"hurm, tahu kenapa Abdullah Nasih Ulwan meletakkan syaitan dan hawa nafsu sebagai cabaran yang pertama?" aku memotong bicaranya sambil memegang bahunya. 

 Adikku mengeleng-gelengkan kepalanya sambil mengangkat bahunya.

"Cuba fikir..." aku menggesanya.

Dia sekadar merenungku dengan pandangan kosong.

"K, masih ingat hadis nabi berkaitan sejurus kembali dari perang tu dulu?" aku cuba memberikan klu.

"Oh, yang berkaitan dengan peperangan dalam diri tu ya, kak?"dia bertanya semula.

"Alhamdulillah.." aku tersenyum.

"Ada lagi sebuah hadis berkaitan dengan sekumpulan kambing dan serigala tu, masih ingat?

"Iya, kambing yang bersendirian akan dimakan oleh serigala. Bagi manusia, serigala itu ialah syaitan, kan, kak?" dia cuba mendapatkan kepastian.

Senyumanku semakin lebar.

"Tapi, apa kaitan dengan lidi tu pula, kak?" jari telunjuknya dihalakan pada lidi-lidi yang terletak di atas meja setelah selesai "simulasi" sebentar tadi.

"Apa yang adik faham?' aku masih ingin mengujinya.

"kalau kita bersatu, kita akan kuat. Kalau kita satu orang, kita akan mudah "dipatahkan" oleh musuh" katanya.

"betul, begitulah juga hidup dalam beragama. Kekuatan agama kita terletak pada jemaahnya...Sebab itu, kita disuruh hidup berjemaah. Macam sekumpulan burung yang berhijrah merentasi benua, mereka dapat melepasi segala rintangan kerana saling sokong-menyokong antara satu sama lain..."

"Tapi, kak..banyak jemaah..mana nak ikut?" soalan yang tidak kuduga.

"Jangan ikut!" tegasku.

"Hah, tadi akak juga yang cakap hidup berjemaah...?" dia menyanggahku.

"Apa-apa yang kita lakukan biar ada ilmu... jangan ikut-ikut...tapi kita kena faham. Kita bukan nak jadi pengikut, tapi pendokong. Jemaah adalah kunci bagi membangunkan kembali runtuhan-runtuhan khilafah. namun, kesemua Jemaah perlu kepada satu matlamat yang sama, kembali pada Allah" aku cuba memperbetulkan pandangannya.

Dia mengeleng. "Maksud, akak?"

"Takpa, nanti malam kita sambung. Pergilah mandi, bersiap. Adik kan nak ke surau. Nak  maghrib dah ni" aku memutuskan bicara kami petang itu...

Wednesday, May 23, 2012

Bingung.

"Apa pendapat su mengenai hal tersebut?"

Satu pertanyaan muncul di ruangan perbicaraan. Lama aku mendiamkan diri. Jujur, aku hanya mengetahui sedikit cuma. Setakat tahu, dan aku sememangnya tidak berminat untuk mengambil tahu..

Dalam minggu 'genting' peperiksaan semester ini, emosi diri tidak menentu. Lewat pertanyaan itu mindaku seakan-akan diasak oleh pelbagai persoalan. Persoalan yang jika dicari jawapannya, tidak akan ditemui dalam sehari dua kerana ianya melibatkan banyak pihak.

Termenung.

kesayuan mengenangkan sebuah sejarah dek penangan buku "secangkir Teh pengubat Letih" tulisan Ust. Hasrizal Abd. Jamil masih belum hilang. Kesayuan itu semakin mendalam apabila menatap buku-buku tulisan para Mujahid Islam. Fatih Yakan, Sayyid Qutb, Nasih Ulwan..Betapa kita telah menjadi "anak-anak singa" yang dijinakkan. Kita hanya mewarisi fizikal tapi tidak pada semangat.

Pedih.

"Sejarah pasti akan berulang...''

Kata-kata ini sudah seringkali diulang oleh ahli falsafah, namun, siapakah yang sudi untuk mengambil peduli sebuah sejarah?

Apatah lagi ianya bukan sejarah dunia, bukan juga sejarah sebuah negara. Ia hanyalah sejarah sebuah organisasi. Namun, padanya punyai sejarah yang tidak ternilai harganya. Hatiku meronta-meronta untuk melontarkan segala ledakan emosi. Letih memikirkan. Namun, akal merasionalkan kembali dengan melihat kepada realiti.

Di saat rakan-rakan memperkatakan soalan yang akan dikeluarkan, aku bingung mencari jawapan bagi persoalan-persoalan.

Hati terasa ingin mengadu, tapi, akal bertanya, "Ingin mengadu pada siapa?"...Lantas, hati mengakui, tiada siapa yang akan mengerti...

Tiit..

Sebuah Mesej masuk. Jemputan untuk sebuah mesyuarat. Syukbah 3P.

"Mudah-mudahan ada solusi..." desis hati.

Demikianlah Allah membukakan sebuah permasalahan. Perbincangan untuk mencari permasalahan Buletin Mawaddah telah mencetuskan beberapa isu.

Walaupun memakan masa sehingga pukul 12 tengah malam, namun, hasilnya, aku merasa sedikit lega. Masih ada harapan..

Benarlah, sesudah istikharah, susulilah dengan musyawarah. Pasti ada jalannya..InsyaAllah.




Friday, May 18, 2012

Besarkan hatimu

Dengan Nama Allah Yang Maha Gagah dan Maha Perkasa

Alhamdulillah, beberapa hari kebelakangan ini IP mengalami masalah bekalan air. Memang, pada zahirnya ianya memang suatu masalah. Namun, dalam setiap masalah akan membuka peluang kepada kita. InsyaAllah.

Iya, aku sendiri baru menyedari bahawa dalam kemelut yang melanda ini adalah sebahagian daripada tarbiyah Allah buat yang ingin mengambil ibrah..

Satu senaman yang menyihatkan
Disebabkan tekanan air yang tidak kuat menyebabkan bekalan air tidak naik sehingga ke atas, memaksa kita untuk turun mengambil air di tangki yang terletak di bawah. Berulang-alik menaiki tangga memang meletihkan namun, apabila diniatkan untuk kesihatan, InsyaAllah, tidak sia-sia. Kesemuanya akan bernilai ibadah di sisi-Nya. Tambah menyeronokkan, membasuh secara manual (menggunakan tangan) yang semakin jarang-jarang dilakukan dek kerana adanya kemudahan mesin basuh. Apatah lagi jika kain-kain kotor terkumpul sehingga dua tiga hari yang pastinya akan menguatkan stamina dan otot-otot tangan.

Satu cara untuk berkenal-kenalan
Hakikatnya, walaupun duduk sebumbung, namun, apabila masa yang terhad menyebabkan kita lebih banyak terperap di bilik. Kesemua ini mengekang dan menghadkan sebilangan daripada kita untuk berkenal-kenalan daripada opsyen yang berlainan apatah lagi daripada badge yang berbeza. "senior-junior' masih lagi menebal. kemungkinan aktiviti yang diprogramkan lebih menjurus kepada opsyen atau badge tertentu menyebabkan keinginan untuk mengenali luar dari "kalangan" adalah pada tahap minima. Mujurlah, ada yang masih peduli. Kesemua ini dapat dirobohkan andai bijak mengambil peluang "memaksa diri" beramah-mesra. Walaupun segan di hati, namun, demi keperluan dakwah itulah yang kita perlu lakukan. Cukup dengan senyuman, menolong yang termampu, atau memberikan laluan kepada yang ingin air segera. Inilah langkah pertama yang perlu diorak. Buangkan rasa malu yang tidak kena pada tempatnya. Tetapkan niat. Lillahi Taala. InsyaAllah, segalanya akan mudah...

Membuka peluang
Suatu perkara yang ajaib, sedari awal kemasukanku ke IP ini ialah pada Masjid Jamek, jantung bagi IP ini. Walaupun tempat-tempat di sekitar IP mengalami masalah air, Alhamdulillah, hanya sekali sahaja Masjid mengalaminya sehingga membuatkan kita bermusafir ke pekan. Mungkin itulah yang membuka peluang kepada kaum muslimin untuk iktikaf di masjid manakala muslimah tegar untuk berjemaah di masjid. Alhamdulillah, berseri-seri Masjid kita...

Sesuatu untuk kita fikirkan...
Air merupakan keperluan utama bagi hidup manusia. Namun, ada yang lebih penting dari itu. Udara. Tanpa udara kita akan mati dalam masa kurang dari beberapa minit. Diibaratkan rohani kita memerlukan nur Ilahi melalui ilmu seperti itulah. JOm, tuntut Ilmu, amalkan ilmu...dan sebarkan Ilmu. Selamat Hari Guru buat semua. Guru adalah penyambung tugas Nabi...Peganglah amanah ini dengan penuh amanah.

La Hawla wala Quwata illa billah..

Tuesday, May 15, 2012

Pusingan sebuah kembara

"Kakak balik kampung hari ni?" tanyaku kepada seniorku.

Ketika itu kami sedang menikmati juadah makanan tengahari seusai Program Hari Keluarga bagi tahun ini. Ternyata pertanyaan itu membuka peluang untukku menjengah kembali sebuah tempat yang bagiku amat bererti.

Kembara itu bagiku bukannya biasa-biasa tapi dipenuhi pelbagai ibrah. Mungkin ketika aku mengunjunginya suatu ketika dahulu aku masih dalam keadaan "freshie", dan aku menganggapnya sebagai takdir yang telah ditetapkan. Namun,  di saat diri  hampir "lemas" ini, aku mulai mengerti bahawa kesemua itu adalah tarbiyyah dari Allah s.w.t yang seharusnya dilihat dengan pandangan mata hati.

Jalan yang kulalui masih tidak berubah, namun, ada sesuatu yang berubah dan ianya bukan terletak pada zahirnya...

Tempoh bersama-sama dengannya membuatkan aku banyak berfikir dan mengubati kembali emosi diri yang penuh kecelaruan. Kesemua itu adalah berpunca dari kelalaian lemahnya iman. Benarlah, adakalanya masalah yang kita fikirkan hanya akan selesai setelah kita menguruskan kembali pemikiran. Salah satunya adalah "melarikan diri" buat seketika.

Aku masih teringat nasihat abangku suatu ketika dahulu,
"Kalau nak selesaikan permasalahan, teliti dahulu. Jangan terburu-buru untuk menyelesaikan semua perkara dalam satu masa. Adakalanya masalah itu akan diselesaikan oleh masa itu sendiri.."

Pesanan itu diungkapkannya sebelum dia berangkat ke luar negeri. Ketika itu, aku masih belum mengerti. Apatah lagi untuk menganggapnya sebagai sesuatu yang bererti. Kini, aku mulai memahami. Namun, itu semua kusedari setelah menempuhi asap kelabu kehidupan.

"Dalam apa jua yang menimpa kamu dari kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu)"
(Surah asy-syu'ara:ayat 30)

Iya, dosa-dosa yang kita lakukan secara sedar mahupun tidak sedar itu menyebabkan kita ditimpa pelbagai bencana dan kesusahan. Namun, kesemua itu hanya mampu kita sedari apabila kita membuat refleksi ke dalam diri dan menghubungkannya dengan Allah.

"Sebenarnya apa yang kamu lalui dalam tempoh sepanjang pengajian kamu andai dihayati dan diteliti akan dapat membina peribadi. Jangan terlalu fokus kepada exam semata-mata. Kualiti peribadi bukan setakat pada mencurahkan ilmu pada sekeping kertas. Ini semua hanya syarat untuk mendapatkan sijil. Gunakan masa ini untuk melatih kebolehan dan kemahiran lain." ungkap pensyarahku suatu ketika dahulu.

Dalam sebuah perjalanan dakwah, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah ILMU dan AMAL. Kedua-duanya perlu diperkukuhkan dengan sebuah "keIKHLASan". Namun, Imam Al-Gahazali telah menggariskan 6 perkara yang kita perlu lalui untuk mencapai darjat seorang mukmin iaitu Ilmu & Makrifat, Taubat, Penghalang, Godaan, Pendorong, Pencela dan Pujian & Syukur. Kesemua ini memerlukan kepada keazaman yang kuat dan kefahaman yang mendalam.

Andai tersasar dari niat asal, berhentilah sejenak dan laraskan kembali kemudi.

Ingat selalu, bukan kudrat kita yang menjayakan dakwah ini, semua itu semata-mata kerana bantuan dari Allah. Lalu, janganlah leka dengan isyarat kemenangan, kerana tidak ramai orang yang bertahan ketika diuji dengan sebuah kemenangan.

Jadi, sekiranya kita hebat dalam percakapan, ingatlah yang melancarkan pertuturan adalah Allah. Sekiranya kita mantap dalam penulisan, ingatlah,  yang memberikan ilham adalah Allah. Sekiranya kita berjaya menyelesaikan sesuatu permasalahan, ingatlah, segala-galanya adalah kerana rahmat dari-Nya.

La haw la wala Quwata illa billah...