Thursday, March 24, 2011

Luahan dari sudut hati...

Angin malam menebarkan hawa sejuk. Badanku mengigil kesejukan. Sudah dua minggu kesejukan ini kurasakan yang agak luar dari kebiasaan. Ketika membaca blog para sahabat..aku tersentuh. Catatan yang dahulunya bila kubaca, hanya biasa-biasa sahaja. Tapi kini, aku sedar...apa yang dicatatkan itu keluar dari sudut hati yang paling tulus...mereka berbicara dengan sepenuh hati...

Apabila mereka berbicara berkaitan keluarga masing-masing, perasaanku tersentuh. Aku juga merindui setiap ahli keluargaku.Wajah setiap ahli keluargaku terbayang satu persatu. Terasa begitu pantas masa berlalu. Kian lama, peluang untuk semuanya berkumpul semakin tiada. Masa yang terbatas, tapi tidak membataskan rasa rindu yang mendalam. Namun, kata-kata tidak mampu menghuraikan rasa rindu itu. Apabila memikirkan janji-janji yang tidak tertunai, tanggungjawab yang seringkali terlepas dari pandangan...semuanya mengundang perasaan kesal yang entah bila akan padam. Dari tanggungjawab sebagai seorang anak, seorang kakak, seorang adik, seorang makcik, seorang cucu, seorang cicit, sehinggalah kepada sebagai seorang jiran...Apakah aku hanya pandai berkata-kata tapi sering sahaja lupa apa yang diperkatakan? Apakah yang telah kulakukan untuk membuktikan rasa cintaku terhadap mereka...? Apakah yang boleh kutinggalkan buat mereka jika diri dipanggil dahulu? Bagaimanakah caranya untuk aku memberitahu mereka aku amat menyayangi mereka? Air mata mengalir lagi...

Di lain masa, apabila mereka berbicara berkaitan aktiviti harian mereka, aku merasa sedih kerana tanggungjawab yang menuntut perhatian seringkali merampas masaku untuk bersama-sama dengan orang-orang disekelilingku. Perancangan demi perancangan yang terpaksa dianjakkan untuk memberi keutamaan kepada yang perlu disegerakan. Aku memohon keampunan dari Allah atas kelemahan diri ini, dan memohon kemaafan dari kalian...

Saban ketika aku diburu rasa bersalah. Kadangkala, aku bingung. Dalam usaha untuk menguatkan diri sendiri, aku diterjah persoalan-persoalan yang pastinya menuntut jawapan. Sudah cukupkah aku mengambil berat orang-orang disekelilingku? Sudah cukupkah usahaku sehingga aku mampu untuk menjawab persoalan-persoalan mengenai tanggungjawab yang akan kuhadapi kelak? Bukan di dunia ini, tapi di akhirat sana. Tanggungjawab yang sering membuat para sahabat dahulunya menangis menyesali kelemahan diri tapi kini kian dipandang remeh...Amanah yang dahulunya pernah ditolak oleh gunung-ganang tapi sekarang kian menjadi rebutan...Apakah kita ini semakin kuat untuk menanggungnya atau sekadar kuat berangan-angan?

Apabila sahabat-sahabat meluahkan masalah, aku hanya mampu mendengar. Sehingga satu saat, aku terasa ingin menutup telingaku. Aku tidak ingin mendengar lagi. Bukan kerana aku tidak memahami, tapi kerana satu perasaan yang timbul di saat mendengarnya. Perasaan bersalah. Bersalah seandainya aku tidak mampu menjawab dengan sebaik-baiknya. Bersalah seandainya aku tidak mampu menolong...Aku malu, aku takut, aku lemah...Akulah kawan yang sering mementingkan diri. Adakalanya, aku tertanya-tanya, apakah aku layak untuk mendapat kalian sebagai sahabat? Terlalu banyak yang kalian beri kepadaku tapi aku tidak mampu membalasnya...

Apabila mendengar bicara di sekeliling, hatiku pedih apabila mendengar kutukan demi kutukan terhadap saudara seakidah sendiri...Ingin kujeritkan, "Adakah kita cukup baik untuk mengutuk orang lain?". Kejahatannya Allah telah balas di dunia, sedangkan kita? Aku dan kamu juga pernah dan selalu melakukan kesilapan. Namun, Allah telah menutup keaiban-keaiban itu. Apabila melihat pendedahan demi pendedahan kesalahan yang dibuat oleh media, aku terfikir. Orang lain telah dibayar secara tunai di dunia, sedangkan kita? Apalah sangat kehinaan di dunia ini kerana kita hidup didunia ini hanyalah sementara. Sedangkan di akhirat, selama-lamanya...Mampukah kita untuk berhadapan dengan pendedahan di padang mahsyar kelak? MasyaAllah...Di saat itu, di depan seluruh umat manusia dipertontonkan kesalahan masing-masing,di manakah hendak meletakkan muka kita ini?Segalanya tercatat...sehingga yang kita anggap kecil pun akan diperlihatkan...

Di dunia, kita boleh lari dari penguatkuasa...di akhirat? Hendak lari ke mana?

Ku akhiri catatan ini dengan sebuah kata-kata...

Buat setiap ahli keluargaku, buat sekalian sahabatku, buat guru-guruku, buat orang-orang di sekelilingku...aku menyayangi kalian dengan segenap hatiku...
Aku tidak mampu untuk mengungkapkannya dengan lisan, aku tidak mampu membuktikannya dengan perbuatan, tapi ketahuilah..aku amat menyayangi kalian...

Wednesday, March 23, 2011

Mesyuarat yang pertama kali...

Dengan Nama Allah yang sentiasa dekat dan sentiasa memahami...

Tidak ada yang lebih memahami melainkan DIA... Disaat hati inginkan ketenangan, dikirimkannya masalah untuk difikir dan diselesaikan. Agar diri tidak tenggelam dalam melayan perasaan yang tidak ada kesudahan...Di saat hati inginkan kebahagiaan, diberikannya nikmat merasai kemanisan ukhuwah yang tidak dapat ditukar ganti dengan apa pun...

Lihatlah setiap sesuatu dengan mata hati..mata yang tidak kelihatan pada zahirnya tapi paling tajam dalam membuat penilaian diri.

Alhamdulilah. Allah masih memberikan kesempatan dan kekuatan untuk memenuhi undangan ke Mesyuarat Jawatankuasa Masjid yang pertama kali bersama dengan pensyarah bagi tahun ini. Semoga semua ini tidak menjadi sia-sia di sisi Allah s.w.t...

Agak lama. Ya, agak lama juga untuk melihat kembali semua ahli JKM berkumpul dalam satu tempat. Agak rindu untuk melihat kesatuan itu. Malam ini, Allah telah mengizinkan hati-hati ini berkumpul dan berbincang meskipun ada juga yang tidak dapat menghadirkan diri kerana beberapa faktor.

Mengutip bait-bait kata dari pensyarah Japim...

Menjadi Ajk Masjid bukanlah suatu perkara yang patut dipandang remeh. Segala tindakan akan menggugat organisasi ini. Bukanlah bermakna kita sangat mementingkan nama, tapi dalam berdakwah nama baik itu amat perlu. Segalanya perlu dijaga, dari hal yang seringkali dianggap remeh seperti pemakaian hinggalah kepada yang tersembunyi, iaitu hati. Sentiasalah ikhlaskan hati. Ingatlah selalu, kita buat apa pun kerana Allah, bukan kerana apa-apa, bukan kerana siapa-siapa. Ustazah juga mengingatkan berkali-kali agar tetap menjaga tugas yang utama iaitu pelajaran. Ini amat penting agar tidak menjadi fitnah buat JKM...

Apabila menyentuh soal bidang tugas setiap syukbah, hatiku tertarik...

"Saya sendiri pun tampal bidang tugas ini agar saya tidak lupa selain daripada kerja sebagai seorang pensyarah ada lagi yang perlu saya beri perhatian..."Demikianlah ayat pensyarah yang bagiku seorang yang komited dalam tugasnya. Seorang ibu, seorang ketua, seorang pensyarah dan seorang perempuan...Aku tidak menyangkal kebenaran kata-katanya kerana beliau bukan setakat bercakap tapi telah melaksanakan...

Melihat perancangan dan idea yang dilontarkan oleh para sahabat, aku merasa kagum. Alhamdulilah. Allah telah memberikan bantuan dalam keadaan yang tidak disedari. Allahlah yang telah menggerakkan hati-hati ini untuk berubah dan memberikan ilham untuk merealisasikan impian yang murni....Melihat Islam diamalkan dalam seluruh kehidupan.


Di saat ustazah menyebut berkaitan penghargaan buat ahli-ahli yang lama, aku tenggelam dalam memori kenangan tahun-tahun yang lalu. Buat seketika hatiku terasa sayu.. Mengingat kembali pengalaman-pengalaman yang telah dikutip. Teringat akan hadiah-hadiah dari Allah yang tidak pernah terfikir oleh pemikiran...MasyaAllah. Hanya yang bersama-sama melalui saat-saat itu merasainya. Apabila mengenang kembali tempoh-tempoh yang telah dilalui. Betapa pentingnya saling bantu-membantu dan sering kuat-menguatkan. Kami bukanlah dari bidang agama, tapi Allah yang memilih kami menjadi pemegang amanah yang amat berat ini. Tidak ada lafaz kata yang mampu menggambarkan perasaan syukur itu atas nikmat yang tidak terhitung ini. Allah seringkali mempermudahkan segalanya...itulah yang seringkali kami ucapkan. Bantuan yang tidak disangka-sangka, idea yang datang tiba-tiba, sahabat yang sanggup bersama-sama bersengkang mata dan pelbagai lagi yang jika dikenang semula membuatkan hati kian tunduk. Bukan perancangan kami, bukan usaha kami dan bukan hanya kami yang menjayakannya tapi banyak pihak. Pastinya, semua itu atas izin dari Allah dan atas rahmat-Nya.

Teringat semula perbualan dengan naqibahku berkaitan sifat syaitan yang tidak mudah berputus asa. Betapa "mereka" amat memahami perjuangan nenek moyang mereka dengan sebenar-benarnya. Walau berkurun, tetap berpegang pada janji "anchestor" mereka ketika bersumpah di hadapan Allah bahawa mereka akan menyesatkan umat manusia. Allah tetap memperkenankan..kerana apa? Kerana Allah amat yakin dan bangga dengan kita, hasil ciptaan-Nya. Kita telah diberikan manual (Baca: Al-Quran dan as-sunnah) yang cukup lengkap. Hanya terpulang dengan kita sama ada menggunakan manual tersebut atau tidak.

P/s: Kepada Kak Aisyah dan Shahirah: Semoga cepat sembuh..

Monday, March 21, 2011

Aku Down...

Katakanlah, “ Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah SWT. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang.”
(Az-Zumar,39 : Ayat 53
)

Di suatu saat, ketika perasaan dihimpit dosa-dosa semalam, diri terasa ingin meninggalkan segalanya. Tidak ingin terlibat dengan apa-apa lagi. Menjalani kehidupan seperti dahulu. Namun, ketika sang rasional datang, hati bertanya, hendak ke mana? Apakah dengan meninggalkan jalan ini, akan ada lagi jalan yang lebih baik... Apakah dengan meninggalkan jalan ini, hati akan menjadi lebih tenang? Bukankah dengan melalui jalan ini, peluang untuk melakukan kebaikan semakin mudah. Dan bukankah Allah menyukai orang-orang yang melakukan kebaikan. Lalu dengan kebaikan-kebaikan itu nantinya akan menghapuskan kejahatan-kejahatan semalam.

Down. Istilah yang disinonimkan dengan lemah semangat dalam perjuangan. Tidak berdaya untuk melakukan apa-apa. Terasa ingin menjauhkan diri, bersendirian tanpa diganggu sesiapa. Apabila melihat keadaan ini berlaku...bersiap sedialah.

Periksalah niat kita semula. Masihkah kerana Allah s.w.t atau sudah menyimpang dari landasannya...Demikianlah pesan murabbi.

Pertanyaan seorang sahabat mengetuk pintu alam separa sedarku,

"Di akhir zaman ini, dikatakan beruntung sesiapa yang menjadi asingkan?" Katanya.

Iya, balasku lemah.

Tapi, aku melihat kau bukannya sekadar ingin tergolong dalam golongan asing tapi sedang "mengasingkan diri"...

Aku tersentak. Aku mengasingkan diri?

"Bukankah itu pernah dilakukan Rasulallah s.a.w dahulu?"soalku.

Haha. Tiba-tiba ketawanya meletus. "Apa yang kau faham dengan konsep "uzlah" Rasulullah itu dengan keadaan masa kini? Apakah dengan mengasingkan diri kita akan dapat menyentuh hati-hati yang lain? Bukan begitu caranya...

Kita harus ingat, dalam Rasulallah s.a.w beruzlah, baginda tetap berdakwah. Baginda beruzlah tapi hasilnya, MasyaAllah...makin bersemangat..

Begitulah. Semakin lama dalam tarbiyah, kita akan menyedari bahawa apabila kita merasa lemah, kitalah yang patut menguatkan diri sendiri.

Mujur, Allah tidak pernah membiarkan perasaan itu menguasai sekeping hati yang rapuh ini. Dia kirimkan sahabat-sahabat yang bersemangat untuk menaikkan semula semanagt yang kian lemah itu. Alhamdulilah..terima kasih Ya Allah...Astagfirullahal azim..ampunilah aku atas segalanya..

Pesanan sahabat...
Ingatlah, untuk menjadi manusia yang terbaik – seseorang perlu bersedia memadam segala kesalahan-kesalahannya yang bertentangan dengan syara. Dosa dan maksiatnya harus dihapuskan dengan linangan air mata taubat. Ia perlu sentiasa bertaubat dan memperbaharui taubat.

Saturday, March 19, 2011

Aku dan Kau tidak sama...

Dengan Nama Allah yang Maha mengetahui dan Maha Memahami segalanya...

"Never explain yourself to anyone. Because the person who likes you doesn't need it.
And the person who dislikes you won't believe it."
.

Kadangkala,kita merasa seperti tidak ada yang memahami. Jangan begitu, Allah memahami...Allah mengetahui apa yang kita nyatakan dan apa yang kita sembunyikan. Kadangkala, kita merasa keseorangan. Jangan begitu, Allah sentiasa dekat...Allah sentiasa menurut sangkaan kita. Bersangka baiklah selalu. Allah sentiasa menyayangi kita, sentiasa memerhati kita dan sentiasa ada untuk kita.

Cuti pertengahan semester. Seminggu. Sekiranya tempoh ini diberikan kepada orang yang sibuk...pasti dia akan bersyukur dengan sepenuh hati. Pelbagai perkara yang tertangguh akan disempurnakan. Perkara-perkara yang tidak dapat dilakukan ketika sibuk akan dilaksanakan. Begitulah, hanya orang yang sibuk akan menghargai nilai masa. Para ibu-ibu yang sering terkejar-kejar dalam urusan rumahtangga dan urusan yang lain pasti akan menarik nafas lega buat seketika. Para pelajar yang sentiasa belajar dengan sepenuh tumpuan sampai lupa hal-hal yang melalaikan akan berehat seketika. Setiap manusia dengan peranan masing-masing, setiap jiwa dengan perasaannya semuanya akan menghargai sesuatu yang sukar untuk dimiliki ini (mensyukuri masa lapang)...

Situasi di IP ini, kebiasaannya, para pelatih yang tinggal area yang berhampiran akan balik kampung. Bagi yang tinggal "jauh" adakalanya balik juga untuk tempoh seminggu ini, atau menumpang di rumah kawan-kawan yang tinggal berdekatan. Dan tidak dilupakan juga, ada yang memilih untuk tinggal di IP ini, untuk membantu melariskan makanan di kafe IP ini.hehe.

Alhamdulilah. Pengembaraan dari Tambunan hingga ke Nabawan membawa aku menikmati dan merasai sesuatu yang sentiasa kurindui. Kedamaian dan ketenangan jiwa. Melihat keindahan alam yang tersembunyi tapi kini semakin digugat oleh tangan-tangan yang tidak pandai menghargai. Semuanya terakam dalam sudut hati yang paling dalam. Buat kenangan untuk generasi di masa akan datang. InsyaAllah.

Tidak lupa. Bagi mengisi hati yang kian kering, aku menerima pelawaan untuk menjadi Fasilitator Kem Aulad sempena cuti sekolah selama 2 hari...Semuanya menggamit kenangan-kenangan tahun 2009 dan 2010. Cukuplah untuk aku katakan, aku seronok melayan kerenah mereka...

Setiap kanak-kanak memancarkan kasih yang tulus suci. Sayangilah kami!


Setiap yang berlaku pasti akan meninggalkan kesan dalam kehidupan kita. Hargailah orang-orang di sekeliling kita selagi kita ada kesempatan itu...Aku dan kau tidak sama kerana kita adalah berbeza. Namun, kita adalah sama-sama hamba kepada Yang Maha Esa.



P/s: Maaf teman, kesihatanku tidak mengizinkan untuk berceloteh panjang. Semoga coretan ini sedikit sebanyak memberi manfaat.



Saturday, March 12, 2011

Duhai hati, bersabarlah...

Langit masih lagi gelap-gelita. Kurenung bintang-bintang yang berkelipan. Semakin lama, kerlipannya semakin terang. Indahnya. Belum pernah dan tidak akan pernah orang dapat mencipta seindah ciptaanNya ini. Semakin diteliti, semakin tinggi rasa kagum. Sebuah keindahan di sebalik kegelapan. Benarlah, kita hanya akan mampu menyedari kehadiran bintang di kala kegelapan menyelubungi. Bukan kerana bintang itu tidak ada di waktu siang, tapi kerana terangnya cahaya matahari sehingga menyilaukan pandangan. Hilang seketika gundah di hati. Seakan masalah yang menghimpit kepala dan menyesakkan dada semakin ringan.

Teringat pertanyaan beberapa orang teman,

"Balik ka cuti?"


Tak,jawabku.

Semua melahirkan rasa kehairanan. Bagi mengelakkan diterjah dengan persoalan-persoalan yang pasti menuntut penjelasan, aku menggunakan alasan "assignment" banyak. Alasan yang agak relevan tika ini.

Hakikatnya, aku ingin bersendiri buat seketika. BUkan niatku untuk melarika diri tapi kerana ingin menenangkan diri. Terlalu banyak perkara yang datang secara mengejut. Perkhabaran yang bagiku terlalu awal untuk aku hadapi. Hatiku tersayat. Pilu. Segalanya itu menuntut sebuah kesabaran. Aku cuba berpaut dengan sekuat tenagaku. Namun, di akhirnya aku tersungkur... Aku mengutip kembali memori untukku bertahan... Kudratku sudah semakin lemah. Tapi tidak bermakna aku akan menyerah. kusematkan, Kita masih ada Allah...Hanya kepadaNya tempat mengadu.

Teringat kembali bait kata-kata,

Seperti dirimu aku juga manusia. Manusia, tidak akan pernah asing dengan sebuah ujian. Apabila badai melanda, kita kukuhkan kemudi. Atau mungkin saja, kita terpaksa melabuhkan sauh kehidupan buat seketika. Bertenang dan muhasabah tanpa berkata-kata, tanpa tindak-tanduk dan gerak...cuma fikir dan berdoa.
-Pahrol M.Juoi


Kugenggam kata-kata Hassan Al-Banna, "aku bukanlah seorang yang gagah perkasa, tapi kerana aku sudah terbiasa melakukannya". Ujian yang mendatang ini bukan sebagai hukuman, tapi sebagai tanda Allah masih menyayangi. Aku memujuk hatiku, ada hikmah di setiap apa yang Allah rencanakan...

Diwaktu diri terasa lemah, penggantungan terhadap Allah semakin dirasa. Ketika itulah terbit rasa cinta yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Betapa selama ini diri sering mengabaikan-Nya. Mengharap pada manusia, kecewa sering bertamu. Mengadu pada manusia, keresahan semakin berganda...Malah, kerana berharap itulah diri terlupa sebuah hakikat. Tidak ada yang lebih memahami melainkanNya.

Mujur, iman mengetuk pintu hati. Menyedarkan kembali. Ujian ini tanda kasih sayang-Nya. Walau aku sudah tidak mampu lagi menahan air mata dari mengalir, tapi aku bersyukur, Aku masih mampu tersenyum. Sekurang-kurangnya ketika menghadap orang-orang yang kusayang...

Pesan iman pada hati,
Hanya dengan kembali kepada-Nya kita akan menemui ketenangan..

Bukankah dengan mengingati Allah, hati-hati akan menjadi tenang(13:28)...

Ya Allah, tabahkanlah hatiku...

Berbahagialah temanku...

In the Name of Allah.Alhamdulilah, we still have another day to live. So,live the life.

"Carilah persamaan sebelum membahaskan perbezaan"

Di luar, rintik-rintik hujan masih kedengaran. Angin malam berhembus perlahan. Seketika, terasa sejuknya menusuk hingga ke tulang sum-sum. Namun, semua itu tidak lagi dihiraukannya. Fikirannya masih berserabut. Segalanya serba tidak kena. Berdiri, duduk, berbaring..tapi ketenangan itu tidak juga hadir. Dalam keramaian itu, dia bersendirian.Kiri dan kanan semuanya sibuk dengan diri masing-masing. Semuanya seakan-akan berlumba dengan masa. Terkejar-kejar. Seakan-akan masa itu tidak pernah cukup. Memanglah, masa tidak akan pernah cukup. Sebab itulah Allah telah memperingatkan akan pentingnya masa..

"Semua manusia dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan melakukan kebajikan, serta saling nasihat-menasihati dan berpesan-pesan dengan kebenaran..
(103:3)

Matanya masih tertancap pada foto itu. Foto yang telah menjangkau usia puluhan tahun. Satu-satunya foto yang terselamat dari kebakaran itu. Walaupun hanya bangunan yang kelihatan, tapi foto itulah satu-satunya kenangan yang dia ada untuk menghubungkannya dengan masa silam. Betapa masa begitu cepat meninggalkan. Betapa pantas segalanya berubah. Namun begitu, ada juga yang masih sama...

Kejadian itu benar-benar menggores hatinya, sehingga dia sendiri merasa ingin pergi sahaja. Meninggalkan segala-galanya...

Kehilangan. Ya, itulah yang ditakutinya. Dia takut untuk merasai kehilangan sekali lagi. Disebabkan itulah dia memilih untuk mengasingkan diri dari masyarakat. Baginya tanpa teman pun dia masih boleh bernafas dengan sempurna. Tapi kini...

Air matanya menitik lagi. Dia sendiri hairan dari manakah insan itu hadir. Hadir sebagai seorang teman yang cukup bermakna. Mengingatkan dia mengenai sesuatu yang sudah lama dia tinggalkan. Bahagia. Ya, sehingga semalam dia seorang yang tidak pernah merasa bahagia. Tapi kini, dia telah kembali ke dirinya yang asal...

Temannya itu bukanlah aneh. Tapi, dia cuma berbeza. Berbeza dari segenap aspek. Ketika orang lain sibuk mengajaknya berseronok dengan dunia, temannya itu mengajaknya untuk berseronok dalam ketaatan. Ketika orang lain sibuk bercerita isu-isu perkembangan semasa, tapi temannya itu lebih banyak berdiam. Temannya itu tidak akan berkata kecuali sekadarnya. Diamnya kadang cukup untuk menjawab persoalan. Kata-kata temannya itu banyak membuatkan akalnya berfikir.

Masih terngiang-ngiang kata-kata temannya itu,

"Aku hanyalah seorang manusia biasa. Seperti dirimu, aku juga pernah diuji. Tapi, aku pasrah. Semuanya berlaku atas kehendak-Nya. Redha. Itulah ubat segala kekecewaan. Sebenarnya,sahabatku...rasa kehilangan itulah bukti rasa sayang yang mendalam. Kita hanya akan merasa kehilangan apabila orang itu dekat dengan hati kita. Perasaan itu normal tapi janganlah sampai mengorbankan diri sendiri. Hidup kita ini terlalu singkat untuk menangis kerana hal itu. Jangan hukum diri sendiri atas apa yang berlaku. Bersyukurlah. Masih banyak lagi nikmat yang Allah berikan. Nikmat-nikmat itu pun tidak akan pernah habis jika ingin menghitungnya. Jika kau tidak melepaskan perasaan itu, kau sebenarnya sedang mencabar ketentuan-Nya. Di dunia ini, semua orang akan diuji. Tapi, Allah telah berjanji, setiap ujian itu adalah mengikut kemampuan kita. Allah tidak akan menguji, jika kita tidak mampu. Yakinlah. Allah lebih mengetahui.."

Dan kini, temannya itu meninggalkannya buat selamanya...

Matanya melihat catatan pada kertas peninggalan temannya itu,

Sahabatku... Kebahagian itu umpama mengutip serpihan kaca. Ada yang dapat mengutip dengan banyaknya, ada yang sedikit,ada yang langsung tidak dapat mengutipnya...dan ada juga yang terluka ketika mengutipnya...Namun, jangan pernah putus asa untuk menjadi orang yang bahagia. Gembira dan bahagia itu dua hal yang berbeza. Orang mungkin dapat melihat kita gembira apabila gembira, tapi bahagia itu hanya kita yang merasakannya. Kita tidak akan pernah bahagia apabila melihat bahagia itu umpama kita melihat pelangi, kerana pelangi itu sentiasa di atas kepala orang lain..

Sahabatku, Hapuskanlah air matamu. Air matamu terlalu berharga untuk sesuatu yang sia-sia. Biarlah air matamu mengalir ketika engkau mengingati Allah. Itu lebih bernilai. Kelak, air matamu itu akan menjadi saksi. Apa pun yang berlaku, penyelesaiannya hanya satu. kembalilah pada pencipta kita..Hanya dengan mengingatiNya,hati kita akan menjadi tenang.

Aku bukan siapa-siapa, segala keputusan terletak di atas tanganmu. Hanya engkau yang mengetahui hatimu. Apa yang bersarang di hatimu juga hanya engkau dan Allah sahaja yang tahu. Semua yang berlaku atas izin-Nya. Engkau terluka pun kerana Allah yang mengizinkan perkara itu berlaku. Jikalau pun engkau tidak dapat melupakan kisah semalam, sabarlah. Biar masa mengubatinya. Jika engkau berterusan begini, itu tandanya engkau putus asa dengan rahmat-Nya. Sedangkan sebagai seorang mukmin, kita tidak boleh berputus asa.

Kini, Air matanya menitik lagi. Tapi, bukan lagi kerana mengingati peristiwa itu. Tapi kerana bersyukur dia dipertemukan dengan sahabatnya itu...Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Rasa itu juga persinggahan semata-mata, untuk menjadikan dia semakin dekat dengan pencipta-Nya. Mungkin saja, jika tidak kerana peristiwa itu, dia akan terus tenggelam dalam keasyikan duniawi yang penuh tipu daya ini. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Biarlah masa yang merungkaikan segalanya. Biarlah masa yang mengubatinya.Terima kasih, sahabat...Semoga Allah sentiasa meredhai dirimu dan mencucurkan rahmat-Nya...

"Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, Maka peliharalah kami daripada seksaan neraka."
(3:191)






Friday, March 11, 2011

Dari sahabat buat sahabat...

(kenangan tahun lalu- Pemandangan matahari terbenam di Johor)

Di kala menghirup udara yang segar, hiruplah bersama dengan hati yang penuh kesyukuran. Rasakanlah di sudut hati kasih sayangNya. Renung sejenak. Biarpun berjuta manusia yang menghirupnya, namun ia tidak pernah berkurang, malah sentiasa mencukupi. Kajilah dari sudut mana pun, pasti kita akan bertemu dengan satu sahaja kesimpulan. Segalanya ini ada yang mengaturnya..Itulah bukti Dia yang Maha Bijaksana lagi Maha Perkasa.

Bersyukurlah kerana kita masih lagi diberi nikmat untuk menghirupnya. Tanpa udara, kita tidak akan bernafas lagi buat selamanya. Biar setinggi mana pangkat, biar sebanyak mana harta, biar seindah mana paras rupa, biar di ceruk mana kaki berpijak, kita semua tetap menghirup udara yang sama...Ucaplah Alhamdulilah...Segala puji hanya untukMu ya Allah.. Terlalu banyak nikmat yang Kau beri untuk didustakan...

Bicara hati...

Dalam kesibukan mengurus kehidupan dan menunaikan tanggungjawab yang kian hari kian mencabar, aku dihinggapi satu persoalan. Persoalan yang tidak ada jawapan. Perasaan yang semakin hari terasa semakin kosong. Terasa ada sesuatu yang hilang. Merenung ke dalam diri. Meneroka kembali sekeping hati. Sepi. Masihkah ada cinta di situ di kala bibir mengucapkan namaNya. Masih bergetarkah di saat mendengar alunan kata-kata agungNya. Teringat pesan seorang sahabat...

Sekiranya diri sudah tidak mampu lagi menangis ketika mengingatiNya, maka menangislah kerana ketidakmampuan itu.

Iya, itulah yang terjadi pada diriku. Sehingga sampai ke satu tahap, aku terfikir...jika dunia ini hanya tempat persinggahan, apakah yang aku ada sebagai bekalanku untuk meneruskan perjalanan menuju perhentian? Apakah yang aku ada semakin bertambah, atau adakah masih sama, atau sudah semakin berkurang...tanyaku pada diriku sendiri, bukankah sebaik-baik bekalan adalah takwa. Namun, apakah takwa itu? Dalam aku terkapai-kapai mencari makna sebuah hakikat, mataku terpaku pada sebaris ayat...

"ILMU itu daripada Allah. Bukan dari buku. BerTAKWAlah kepada Allah, pasti DIA akan mengajarmu. Ingatlah, Takwa itu adalah kehidupan kita, bukannya lakonan kita. Takwa bukan sesuatu yang boleh dibuat-buat kerana kewujudannya sangat seni dan halus"

Agak lama. Dengan tidak semena-mena, aku teringat kembali kuliah subuh setiap hari Jumaat (Klik sini) yang disampaikan oleh Ustad Rusli.. "Bertakwa itu ialah mentaati, melakukan segala arahan/ suruhan Allah dan meninggalkan larangan Allah walaupun tanpa sesiapa yang melihat...sama ada secara bersendirian atau berhadapan dengan orang lain." Ini antara yang sempat masuk ke dalam benakku sebelum tunduk setuju (baca:tidur dalam duduk).Minta maaf, ustaz.

Oleh itu, marilah kita semua bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benar takwa...hakikat diri kita hanya kita dan Allah yang tahu. Kita mungkin boleh menipu orang lain, tapi tidak diri kita apatah lagi Tuhan yang mengetahui segalanya...

P/s: Janganlah tunggu masa lapang baru nak ke masjid, tapi lapangkanlah masa untuk ke masjid...


Monday, March 7, 2011

Bingkisan hati: Sanah Helwa ya ukhti..

Dengan Nama Allah...izinkan hati ini bergetar di kala menyebut nama-Mu, saat jantung masih lagi berdenyut...

Dalam menempuhi perjalanan kehidupan sehari-harian, kita pasti akan bertemu dan berkenalan dengan ramai orang. Ramai orang, pastilah banyak ragam. Dalam menghadapi kerenah mereka, pasti kita tidak akan terlepas dari dilukai dan melukai. Yela, luka ditangan nampak berdarah, luka di hati hanya Allah yang tahu. Bak kata orang tua-tua... "Rambut sama hitam(khas untuk yang berada di garisan khatulistiwa), tapi hati lain-lain..."

Namun, satu perkara yang kupegang,

In our life,
many people comes in and out,
but ...
only friends left footprint in our heart...


Begitulah..kita pasti akan menemui ramai orang,dengan pelbagai ragam..tapi hanya sahabat sahaja yang akan meninggalkan kesan di dalam hati kita....

Apabila kita terluka, itu maknanya ada rasa sayang dalam hati kita terhadap orang itu. Apabila kita melukai, itu juga bermakna kita ada tempat yang istimewa di dalam hati orang tersebut...

Tapi, janganlah merasa seronok untuk melukakan hati orang. Kita kena sedar, kita duduk di atas bumi yang bulat. Hari ini kita gembira, esok kita menangis. Hari ini kita senang, esok lusa kita susah. HARI INI kita melukai, ESOK kita pasti akan dilukai...Apabila kita menyayangi, kita pasti akan disayangi. Itu sunnatullah...


Ucapan kali ini ditujukan khas buat seorang naqibahku, Kak Aisyah..

(kredit to Chibby's photography-gg)
Kali pertama mengenalinya di dalam dewan (minggu orientasi)..
Pada waktu itu, hati terdetik untuk mengenalinya..
Alhamdulilah, Allah memperkenankan...
Cukuplah untuk aku menyatakan di sini buat kali ini (nanti akan kuceritakan)..
aku bersyukur dipertemukan dan diberi peluang untuk mengenalinya..

Uhibbuki fillah..

p/s: Maaflah kak..memang agak "ganas" apa yang kitaorang (nama2 dirahsiakan) buat hari tu..tapi biarlah tahun ini menjadi tahun yang banyak meninggalkan kenangan buat akak...

Semoga Allah sentiasa merahmati dan memelihara kita semua di dalam keimanan...

Khas buat seluruh sahabat di seluruh dunia..dahulu,kini dan selamanya..kalian tetap berada di hatiku...

“ Aku menyayangi sahabatku dengan segenap jiwaku. Sahabat yang baik adalah yang seiring denganku dan menjaga nama baikku. Kuhulurkan tangan untuk berkenalan kerana aku rasa senang, makin ramai sahabat aku semakin percaya diri.aku selalu berharap mendapat sahabat sejati yang tak luntur dalam suka dan duka. Jika kutemui, aku akan setia padanya…-Imam Syafie.

Semoga ukhwah ni berada dalam rahmat Allah. Ukhwah Fillah Abadan Abada~”


Saturday, March 5, 2011

Ibrah dari kehidupan.:Merentas Desa:.

Dengan Nama Allah yang Maha teliti..

Dalam kedinginan subuh...Saat tangan menadah dan mengaminkan doa bersama makmum yang lain, hujan turun membasahi bumi. Bersyukurlah, Allah masih memberi kekuatan untuk melaksanakan kewajipan. Bersyukurlah, Allah masih melorongkan kita di jalan-Nya. Tidak ada yang lebih nikmat selain merasakan nikmatnya kita mendapat nikmat Iman dan Islam ini...Alhamdulilah.

Aktiviti Hari ini: Merentas Desa

Satu-satunya aktiviti sukan yang tidak pernah aku "miss" dari segi penyertaan. Bermula dari tingkatan satu sehingga ke tingkatan enam..dan kini, aku masih lagi menyertainya. Walaupun aku melakukannya buat tahun yang kedua, tapi agak terkilan dengan diri sendiri...Lalu, aku terfikir untuk berkongsi, melalui pengamatanku sebagai seorang sahabat. Marilah kita sama-sama mengambil pengajaran daripada aktiviti yang dilakukan tadi bersama dengan seluruh warga IPG Kampus Keningau...Apa yang baik, ambillah. Yang tak baik,tinggalkanlah...Jika apa yang kuperkatakan adalah perkara baru, ambillah sebagai ilmu. Jika apa yang kuperkatakan sudah diketahui, ambillah sebagai tazkirah (peringatan buat diri). Semoga bermanfaat.

"Practice makes perfect". Ini adalah kata-kata yang amat penting untuk maju dalam apa-apa bidang. Melihat kejayaan saudara Bryan yang menyandang gelaran juara bagi tiga tahun berturut-turut, itu adalah kerana usahanya yang bersungguh-sungguh (of course juga atas izin Allah)...Tapi, kita kena ingat tawakal di hujung usaha. Adalah sesuatu yang amat menyalahi tabii sekiranya kita sekadar berharap tanpa sebarang usaha. Aku sendiri melihat kesungguhan beliau yang sentiasa berlatih. Biarpun beliau seorang yang berlainan agama, tapi kesungguhan dan kerajinan beliau amat aku kagumi. Inilah sikap yang harus ada pada diri setiap yang menggelar dirinya Muslim.

Orang takkan dapat lihat agama Islam itu agama yang menyuruh umatnya menjadi seorang yang rajin sekiranya rata-ratanya bersikap pemalas (Ini kenyataan umum ye). Bukan bermakna aku menafikan kenyataan " Jangan salahkan Islam, tapi salahkan umat islam kerana gagal mematuhi ajarannya agamanya sendiri"... tapi, kerana sebuah pertanyaan yang dilontarkan oleh seorang sahabat, "Apakah peranan Islam untuk membentuk umatnya?"..Ini adalah satu perkara yang serius. Jangan sampai kita menjadi fitnah buat agama kita sendiri....Sejauh mana sudah kita berusaha untuk mematuhi ajaran Islam dalam erti kata, zahir dan batin?

Buat sesuatu biarlah ada hasilnya. "Setiap anak adam akan ditanya mengenai empat perkara..salah satu ialah umur kita ini, ke mana dihabiskan...". Apabila merenung kembali apa yang berlaku tadi, agak kesal di hatiku. Pertama, aku tahu, kejayaan bermula di hujung minda. Ketika aku "dipotong " oleh orang yang ke sepuluh, aku tiba-tiba merasa putus asa...Lalu, aku sekadar ingin menamatkan larian... Itulah kesilapanku, mengalah sebelum sampai ke penghujung. Memang agak geram juga apabila mengetahui ada nombor sehingga ke dua puluh... Tapi, seorang pernah berkata, "Kalau nak target, targetlah yang paling tinggi..."Means, kalau situasiku tadi, aku dari awal-awal lagi target nombor sepuluh..sangat2 tak baik... Tapi, memandangkan sudah berlalu, jadilah ianya pengajaran yang amat berharga...

Naik bukit, turun bukit.. Uniknya kawasan pedalaman keningau ini, kawasannya yang berbukit-bukau. Dalam laluan merentas desa ini juga kami akan menuruni dan menaiki bukit (IPG Keningau terletak kat atas bukit).Ketika pertengahan larian, kami akan menuruni bukit...sekiranya berlari, agak sukar untuk mengawal kelajuan...khuatir juga terguling ke bawah. Namun, tidaklah sesukar ketika menaiki bukit. Aku sendiri hampir-hampir merangkak kerana keletihan. Tiba-tiba aku terfikir untuk berjalan secara membelakang (Tak lari dah)... Apabila aku memalingkan badan. SubahanAllah. Aku melihat keindahan ciptaan Allah... benarlah, jalan untuk sampai ke atas memang meletihkan, tapi apabila kita menoleh ke belakang dan ke bawah, kita akan melihat sesuatu yang indah. Begitulah juga dalam kehidupan ini, sama ada kita ingin terus kekal di takuk lama dan hanya melihat orang-orang yang berada di atas, atau berusaha dengan segenap kudrat untuk turut sama berada di atas. Hanya orang-orang yang di atas akan dapat melihat keseluruhan pemandangan...Ingat, Allah tidak akan mengubah nasib seseorang melainkan dia sendiri yang mengubahnya..( belum cuba, belum tahu)
Bahasa dakwah bahasa kehidupan. kenal? Kata-kata ini adalah moto Pusat latihan Dakwah Keningau yang akan dibaca dan dilihat setiap kali ingin menunaikan solat lima waktu ( Papan tandanya terletak di hadapan masjid PLDK). Apa yang boleh kita dakwah melalui berlari tadi?

Aku teringat kembali zaman-zaman sekolah menengahku dahulu. Aku bersekolah di St. joseph, papar. Sudah namanya sekolah saint, memang rata-ratanya adalah non-muslim. Namun, pada ketika itu, seorang guru sukan yang amat kuhormati hingga ke hari ini pernah berkata," Suratni, cikgu mahu kamu tetap pakai tudung masa lari nanti".. Mengapa beliau berkata demikian? Sebab, kebiasaan yang dapat kulihat sepanjang bergelar "atlit
"..asal lari, tudung mesti akan "terbang". (Maaf, bukan nak buka aib)...Sehingga satu tahap, aku mulai tertanya-tanya...

"Berat sangatkah tudung tu nak dibawa berlari?

Pelbagai alasan dikemukan..tapi, bagiku, kalau dah memang tak mahu tu,seribu alasan akan dikemukan untuk menghalalkan apa yang dilakukan...

Apabila melihat beberapa orang sahabat (Imah, kak ani, amna,zela-klik untuk ke blog mereka) yang menang, dan tidak lupa seorang pensyarah dari JAPIM (Ust. Rusli)...Aku rasa kagum...bukan nak memuji tapi nak buktikan, pakaian yang mematuhi syariat tidak menghalang untuk bersukan...

Dalam keadaan dunia hari ini yang terlalu banyak fahaman "isme-isme, marilah kita berusaha dengan sekuat tenaga kita untuk bermujahadah ( Baca:buat samapai tak mampu)..

Marilah kita kembali kepada Al-Quran dan Sunnah. Dalam kita mentarbiyah diri, jangan lupakan orang yang kita sayang (Baca: setiap yang menggelar dirinya muslim adalah bersaudara, dan tidak sempurna iman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri)...



P/s: Kepada yang menang, sekalung tahniah kuucapkan. kepada yang kurang berjaya(termasuk diriku) tapi berjaya menamatkan larian, takpe..ada manfaatnya. InsyaAllah. kita akan menjadi seorang yang sihat dan kuat(mukmin yang kuat dikasihi Allah)..

Tuesday, March 1, 2011

.:Aku ingin berubah:.

Dengan nama Allah Yang Maha Kuasa. Rasakanlah kekuasaan-Nya agar kita tidak lupa kita hanyalah seorang hamba-Nya...

"Dinasour itu walaupun kita tak tahu dia wujud ke tak, tapi kita boleh ambil iktibar dari kisah kepupusan dinasour tu. Tahukah kenapa ianya pupus? Sebab dinasour tidak dapat beradaptasi dengan perubahan yang berlaku ke atasnya...Jadi, kalau tak nak pupus, bersedialah untuk berubah..."-MK-

Kebelakangan ini, aku sering melihat, mendengar dan merasai perubahan yang sedang melanda bermula dari peringkat diriku hinggalah ke peringkat global. Saban hari dihidangkan dengan cerita-cerita yang berkaitan perubahan...Cerita pergolakan di Mesir, cerita politik-politik yang tak sudah-sudah mencari kesalahan orang lain untuk membuktikan diri adalah benar (kalau kita betul, tak payahlah bising-bising, Allah tahu tu) dan macam-macam lagi (Boleh rujuk kat berita harian atau Malaysia kini)...

Apabila bercakap mengenai perubahan, ada juga yang mengenai batang hidungku sendiri. Perubahan yang membabitkan segenap aspek. Ada yang berkaitan kisah silam, ada yang berkaitan azam nak berubah, ada yang berkaitan perubahan dalaman...

Realiti kehidupan. Setiap perkara akan berubah. Kita hidup di atas muka bumi yang bulat yang sentiasa berputar sehinggalah "Hari yang Besar" itu tiba...Hari yang tidak berguna lagi harta dan anak-anak. Itu sunnatullah (baca:hukum alam yang telah ditetapkan Allah s.w.t). Bak kata seorang kawanku, bulatan itu adalah cantuman titik-titik yang tidak ada awal dan tidak ada akhir...begitulah juga perjalanan hidup kita ini.

Setiap detik, setiap saat kita akan mengalami perubahan. Cuma, terpulang kepada kita sama ada ingin menerima atau menolak perubahan itu. Janganlah kita beranggapan menunggu persekitaran berubah ke arah yang baik baru kita ingin berubah. Kita tidak akan mampu mengawal arah tiupan angin, tapi kita mampu mengawal layar kapal (Pahrol M. Juoi)..

Mulakan dari yang kecil, tapi istiqamah (baca: buat secara konsisten). Itu lebih baik.

Bak kata (Ust. Rusli, klik untuk ke blog beliau)."Kalau tak dapat semua, jangan tinggal semua..."

Apabila bercerita berkaitan perubahan ini, Syukur, Alhamdulilah, apabila diri melihat perubahan-perubahan yang menjurus ke arah positif. Sebaliknya pula, apabila melihat ke arah yang lebih teruk. Sehingga kadangkala diri merasa sedih yang teramat kerana tidak berupaya untuk membantu saudara seagama sendiri.

Apabila berbicara soal ini dengan naqibahku, aku dapat membuat kesimpulan bahawa kebanyakan keputusan kita sebenarnya banyak dipengaruhi oleh niat kita. Dan niat kita itu perlulah jelas. Tapi untuk mendapat niat yang jelas perlulah ada panduan (baca:guideline) yang betul. Bagaimana...

Tuntutlah ilmu. Ilmu Allah ni luas, umpama kita menulis dengan menggunakan air dilautan itu sehingga habis pun belum habis lagi ilmu Allah itu. MasyaAllah.. orang mukmin yang berilmu akan sukar diganggu oleh syaitan.
Pernah dengar? Sebab, setiap kali dia melakukan dosa, dia akan teringat Allah dan bertaubat. Lalu, terhapuslah dosanya itu. Malah, kalau kita telusuri sirah, ilmulah sumber cahaya. Itulah sebabnya, golongan yang paling takutkan Allah adalah golongan ulama. Ini kerana mereka sentiasa merasakan Allah dalam hati mereka tidak kiralah masa berdiri,duduk mahupun baring...

Aku pernah mendengar, seseorang mengeluh...

"Aku nak berubah, tapi belum dapat kekuatan lagi..."

Alhamdulilah. Niat tu dah ada. Lafaz pun dah dibuat. Apa yang perlu dibuat, tinggal buktikan dengan perbuatan sahaja. Barulah namanya iman...Berdoalah selalu agar ada kekuatan itu. Bukankah DOA itu sumber kekuatan kita. Dan, bukankah Allah akan mengabulkan orang-orang yang berdoa...

Ada juga yang berkata,

"Dahlah, semuanya dah berlalu. kalau boleh saya taknak benda tu berlaku lagi..

Ini pula kes orang yang dah serik dengan "kejahilan" yang telah dilakukan. Teringat kisah Umar al-khattab yang menangis dan ketawa sendirian apabila mengingati kisah hidupnya sebelum memeluk Islam. Beliau menangis kerana pernah menguburkan hidup-hidup anak perempuannya, dan beliau ketawa kerana pernah makan "tuhannya "yang beliau buat menggunakan tamar...Apabila cahaya hidayah meresapi jiwanya, semua itu menjadi sejarah yang menyebabkan beliau amat bersyukur kerana diselamatkan dari api neraka.

Iya, kadangkala kita terlalu obses nak berubah sampaikan apa yang telah terjadi tu seakan "taboo" buat kita. kalau boleh kita nak jadi orang yang baru, yang suci bersih..Namun, kita harus ingat..semua manusia tidak akan terlepas dari membuat dosa. Dan, sebaik-baik orang yang berdosa itu ialah yang bertaubat dari dosanya itu. Bersyukurlah Allah selamatkan kita. Berapa ramai yang mati sebelum sempat bertaubat...Semoga Allah meredhai kita semua.

Hargai diri sendiri agar kita dapat menghargai orang lain. Kadangkala, Allah timpakan itu semua agar kita tidak lupa diri. Dengan selalu mengingat kita ini berdosa, kita akan selalu mengikhlaskan diri ketika beribadah. Yela, dah tahu diri berdosa, takkanlah nak tempah tiket ke neraka awal2 kan? Allah.., Dosa kita ni, biar setinggi langit dan sepenuh bumi, Allah tetap akan ampunkan selagi kita bertaubat..

Satu hal yang kukesal apabila telingaku mendengar luahan ini...

"aku ni dah confirm masuk neraka, buat apa lagi aku berubah jadi baik?"

MasyaAllah. Siapa juga yang bagi confirmation ni? Istighfarlah banyak-banyak...Itu semua bisikan dan helah syaitan ( baca:musuh ketat anak cucu adam) agar kita berputus asa dengan rahmat-Nya. Allah itu Maha mengetahui. Dia tidak akan menguji kalau kita tak boleh terima. Lagipun, Allah dah ingatkan agar jangan berputus asa dengan rahmat-Nya kerana yang layak untuk berputus asa ini hanyalah orang-orang kafir ( Kesian..Dorang tak percaya ngan Allah, jadi dorang takda tempat mengadu...-ayat seseorang-.) Lagi satu, kita ni beribadah bukan nak dapat syurga atau nak menjauhi neraka..Tapi kerana kita nak dapat rahmat-Nya. Siapalah kita ni kalau bukan kerana rahmat-Nya...

Perubahan sebenarnya tidaklah sepayah yang kita sangkakan. Cuma perlu niat yang ikhlas, ketabahan dan kesungguhan selain kebergantungan kita kepada Allah s.w.t. yakinlah apabila kita menetapkan hati mengikut perintah Allah, setiap perkataan sinis yang keluar dari mulut manusia bukanlah menjadi satu halangan yang menjatuhkan semangat kita.

Namun, satu perkara yang kita perlu ingat..dalam kita "syok" nak berubah, jangan lupa dengan niat kita..Apa-apa pun yang dilakukan, apa-apa pun perubahan yang dilakukan, jangan "kerana orang/sesuatu"..Nanti jadi "syirik"...nauzubillah min zallik..

Apabila berhadapan dengan segalanya..ingatlah Allah. Apabila berhadapan dengan Allah, lupakanlah segalanya...