Saturday, June 25, 2011

Jom...

Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh...Semoga Redha Allah tetap menjadi tujuan kita semua. InsyaAllah.

Dengan Nama Allah Yang Maha Kuasa ke atas segala sesuatu, aku menulis...

Alhamdulilah. Aku menarik nafas lega. Minggu Pengurusan Pelajar Baharu (MPPB) jun 2011 sudah melabuhkan tirainya. Penat, seronok, lega, risau, gembira, sedih. Segala perasaan ini bercampur-baur di dalam hatiku. Dalam merasa kelegaan kerana telah selesai, ada kerisauan bertapak di sudut hati. Risau seandainya dalam melaksanakan amanah yang diberikan, ada kecurangan yang berlaku. Ikhtilat yang melampaui batasan, tingkah yang keterlaluan, tutur yang tidak dijaga, ketepatan masa yang tidak dijaga. Segala sesuatu itu memang kelihatan kecil, tapi ingatlah ALLAH itu MAHA TELITI. Segalanya telah berlalu. Namun, segalanya kurakamkan dalam kotak memori yang bernama "kenangan".

Dalam MPPB kali ini, aku telah dilantik menjadi Ajk makanan dan kerohanian. Kedua-duanya saling berkaitan. Secara halusnya, jika difikirkan kedua-duanya adalah "makanan". "Kerohanian" akan menjadi makanan buat roh kita, sedangkan "makanan" akan menjadi makanan buat jasad dan fizikal kita. Kedua-duanya sama penting buat kita. Andai hanya jasad sahaja yang diberi perhatian, roh akan kelaparan. Natijahnya, kita akan lemah semangat, mudah berputus asa dan tidak tenang. Begitulah juga, andai kita tidak memberi makan pada fizikal, kita juga akan lemah. Lantas, ianya akan menyukarkan kita juga untuk menjalankan kewajipan kita. Ingat, "Orang Islam yang lebih kuat itu lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada orang yang lemah "(Hadis Riwayat Muslim).

Sepanjang 5 hari bersama mereka, bermula dari sebelum subuh hingga ke tengah malam, mencatatkan seribu satu macam cerita. Adakalanya aku tersenyum apabila melihat gelagat mereka, adakalanya aku tertunduk. Sedih melihat apa yang dilalui mereka. Namun, aku tahu. Apa yang mereka lalui ini akan menjadi kenangan yang paling indah buat mereka sepanjang mereka berada di IPG ini.

Melihat wajah adik-adik yang baru ini, timbul rasa kasih di sudut hatiku. Satu persatu wajah adik-adikku terbayang. Ah!Rindu. Bagiku, mereka baru mengenali dunia luar. Apatah lagi, jauh dari keluarga masing-masing. Pasti sahaja, banyak cabaran yang menanti. Ada yang nyata, ada yang tersembunyi. Pada ketika inilah, mereka harus membuat pilihan untuk masa depan mereka sendiri.

Pesanku buat mereka, seperti yang pernah dinasihatkan oleh seniorku, "Rajin-rajinlah ke masjid. Kita ini bukannya hebat sangat untuk menepis segala godaan yang mendatang, jadi, kuatkan diri dengan solat jemaah. Walaupun pada mulanya ia agak memenatkan, tapi yakinlah, setiap yang sukar untuk dilalui itu akan menjadi manis pada akhirnya..."

Seingatku dulu... Pada waktu itu, aku tidak pernah terfikir bahawa solat jemaah itu mengandungi rahsia yang amat indah. Apa yang pasti, aku merasa seronok untuk berjemaah. Setelah solat berjemaah, tubuh akan terasa ringan dan bertenaga. Rupa-rupanya, dari segi saintifiknya, cas-cas dalam badan kita akan menjadi neutral ketika berdiri dalam saf. MasyaAllah.

Pernah juga seorang sahabat menyatakan, "Orang yang sering memelihara solat berjemaah, akan hidup hatinya. Ketika solat berjemaahlah kita dapat menghubungkan silaturahim. Apatah lagi, syaitan itu amat benci dengan jemaah. Jadi, kita kenalah kuatkan hati untuk tetap datang ke masjid walau bagaimana sibuk kita. Hakikatnya, Rasulullah yang lebih sibuk dari kita itu, solat baginda adalah secara berjemaah. Tidak malukah kita dengan baginda? Banding dengan kita ni...alasan jak banyak. Lagipun, masa belajar nilah masa kita paling lapang, nak tunggu sampai berkeluarga atau sudah tua, belum tentu kita ada peluang seperti ini"

Apa yang pasti, nak cari kawan yang baik, sifirnya mudah sahaja...pergilah ke tempat yang baik..Jangan malu untuk belajar perkara yang berkaitan agama kerana seorang guru yang baik ialah yang paling dekat hubungannya dengan Allah S.W.T. Cabaran yang menanti di hadapan akan lebih hebat. Kita bukannya setakat "melatih" murid untuk membaca, tapi kita ingin melahirkan pelajar yang mengenali Allah s.w.t dengan membaca. Lalu, bergantung haraplah kepada-Nya. Hanya kepada-Nya sekalian makhluk bergantung harap. Mohonlah agar kita terus terpelihara dari segala fitnah dan ujian. Mohonlah agar kita terus istiqamah melakukan kebaikan semata-mata kerana mengharapkan keredhaan-Nya dan tidak tenggelam dalam cinta keduniaan.

Wallahualam.

With lots of love,
MK
11:25 P.m



Saturday, June 18, 2011

Kikislah dosamu dengan sebuah pengharapan..

Aku melunjurkan kaki sambil bersandar di dinding masjid. Kelopak mataku kurasa amat berat untuk kubuka. Perasaan yang bertimpa-timpa semakin menekan perasaanku. Pandanganku semakin kabur. Empangan yang sedari tadi kutahan dari mengalir, akhirnya runtuh. Air mata mengalir deras membasahi pipi...Ah!hatiku geram dengan diriku sendiri.

"Janganlah sekali-kali kamu ada niat untuk menjejakkan kaki ke pintu maksiat. Kita ini mudah lupa. Selagi kita masih berdiri jauh, kita akan kuat menghadapi dan melawan kehendak nafsu yang tidak berpaksikan kebenaran. Sebab tu disebutkan dalam Al-Quran, peringatan dari Allah s.w.t.."jangan dekati", bukan "jangan buat...Ingat?" Peringatan dari ustazahku suatu ketika dulu kembali terngiang-ngiang di mindaku. Aku termenung sendiri. Mengapalah aku tidak menuruti nasihat ustazahku? Mengapa? Mengapa...

Tiba-tiba, bahuku ditepuk lembut. Cepat-cepat kuseka air mataku sebelum mendongakkan kepalaku. Kulihat wajah yang asing. Pelbagai persoalan muncul di kepalaku. Aku tidak mengenalinya, demikian getus hatiku.

"Assalamualaikum, dik..." perempuan yang dalam usia 30-an itu membuka bicara sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman. Aku malu sendiri. Seharusnya aku yang patut menghulurkan tangan dahulu kerana dia lebih berusia dariku.

"Walaikumsalam w.b.t. kak..." Aku menjawab salamnya sambil tersenyum. Sesaat, satu siraman sakinah mengalir ke dalam relung hatiku. Ah! Wajah kakak ini kulihat amat menenangkan...

"Orang baru kat sini, ya?"Kakak itu memulakan bicara. Mungkin masih tidak berputus asa untuk berbual bicara denganku. Astagfirullahal 'azim. Istighfarku dalam hati. Mengapa aku begini. Teringat pesanan naqibahku, "raikan setiap orang yang mendekati kita...". Inilah akibatnya. Aku terlalu mengikuti emosiku.

Aku menarik nafas panjang. Aku kini sudah duduk bersila. Sambil tersenyum, aku menjawab dengan sepenuh hati..

"Iya, ziarah kakak saya. Kebetulan sekarang ni cuti sekolah, jadi bantu kakak saya di gerainya..."

"Oh, berniaga ya?

Iya, kak...menjual kuih-muih. Erm, akak?

Perbualan kami berterusan sehinggalah dia mengingatkan aku kepada kejadian sebelum perkenalan kami...

Entah mengapa aku merasa dekat dengan kakak ini. Lalu, kukisahkan secara berlapik. Kelihatan dia tekun mendengar masalahku.

Apabila aku selesai bercerita, dia tersenyum sambil tangannya menghulurkan kepadaku sebuah tafsir Al-Quran. Tuturnya lembut,

"Adik, akak bukanlah seorang pakar motivasi. Tapi, satu cara yang dapat menenangkan akak setiap kali ditimpa masalah atau merasa resah gelisah...akak akan lakukan solat sunat dua rakaat, buka tafsir secara rawak dan membacanya dengan penuh penghayatan... InsyaAllah...adik akan temui jawapannya.."( kemudian, dia melihat jam tangannya). Maaflah tak dapat bercerita lebih lama, akak kena masuk kerja sekarang...Ingat, Allah tidak akan menguji melebihi kemampuan kita. Dia lebih mengetahui. Apa yang kita nampak baik, belum tentu baik buat kita..."

Apabila kakak tersebut beredar, hatiku meronta-ronta untuk mencuba dan mempraktikkan apa yang diperkatakannya itu...

Mataku terpaku pada ayat itu...

"Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, pasti akan kami hapus kesalahan-kesalahannya, dan mereka pasti akan kami beri balasan yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan" (29:7)


SubahanAllah. Terima kasih Ya Allah...air mataku mengalir lagi, tapi bukan kerana kesedihan. Air mataku mengalir kerana sayu. Betapa besarnya kasih Allah s.w.t...

Trit..trit..trit...sebuah mesej masuk ke dalam inboxku..apabila melihat nama pengirimnya, aku tersenyum. Seorang sahabat lama yang sentiasa memahami...

"Usahlah bersedih lagi. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Bersyukurlah DIA masih memberi peluang untuk kembali. Apa-apa pun, "Hanya dengan merasai pahitnya maksiat, kita akan merasai manisnya dalam ketaatan..". Nyatakan kesyukuranmu dengan menyelamatkan orang lain dari melakukan perkara yang sama... Adakalanya, kita terhijab dari melihat kebenaran kerana tersasar dari keikhlasan. Namun, bersegeralah mencari keredhaan dan keampunan Allah s.w.t..Semoga Allah Redha."

Amin. "Semoga kau pun berada dalam keredhaan Allah s.w.t..."desisku...

Sunday, June 12, 2011

Malulah...

Di suatu saat, kita semua pasti akan merasai dan tenggelam dalam menikmati bunga-bunga cinta yang datang tidak diundang...Datangnya, tanpa sebarang bunyi, tapi kita pasti akan merasai kehadirannya. Segalanya indah berbunga-bunga, dunia menjadi indah dari biasa. Di saat itu, kita akan menjadi sangat takut. Takut akan sebuah kehilangan. Takut akan ditinggalkan. Takut untuk merasa keseorangan...

Sungguh mengasyikkan, bukan?

Itulah cinta dari sudut mata seorang pencinta yang tenggelam dalam cinta dunia.

Ada seorang sahabat pernah berkata padaku, "Ketika kau ingin memiliki Cinta, keadaanmu umpama menggengam segenggam pasir..semakin kuat kau mengenggamnya, semakin cepat pula ia mengelongsor turun dari genggamanmu...sehingga apabila kau membuka tanganmu..yang ada hanyalah sisa-sisa pasir.."

Aku menggerutkan dahiku, seraya bertanya semula..."Tapi bukankah dengan cinta, kita cenderung punyai perasaan untuk melindungi orang yang kita cintai...?"

"Astagfirullahulazim...kita ini siapa?"soalnya keras.

"Hamba Allah," jawabku pantas.

Kemudian, sahabatku menundukkan kepalanya. Dengan nada perlahan dia bersuara..."kalau sudah sedar kita sekadar hamba, mengakui kita hamba, bagaimana kita bisa melindungi? Itu sombong namanya...

Aku mengganggukkan kepala. Hatiku tiba-tiba berbisik..

Tidak perlu mencanangkan cintamu kepada manusia kerana dia tidak akan faham betapa luasnya cintamu terhadapnya...

Ah!Benar sekali ayat ini. Kita seringkali ingin orang yang kita cintai mengerti bagaimana istimewanya dia di hati sehingga terlupa akan sebuah hakikat. "Apa yang ada di hati kita, hanya tuhan yang tahu..." Untuk mencari seseorang yang betul-betul memahami apa yang ada di hati, bukan mudah. Apatah lagi, untuk memahamkan apa yang kita rasai...

Berkali-kali. Ya, bukan sekali dua..tapi sudah acapkali aku menyaksikan sendiri dengan mata kepalaku sendiri, mendengar dengan telingaku... Dengan penuh kesungguhan, dengan penuh kecintaan..menerangkan perasaan cinta mereka pada yang dicintai...

Aku yang melihat, terkedu. Apakah jaminan terhadap kata-kata itu?

Malulah. Malu kepada yang Maha Melihat. Yang sentiasa mengetahui kelemahan kita ini. Andai saja, kita melihat semula semua itu kelak...adakah kita akan bahagia?

Hakikatnya, orang yang kita cintai itu hanyalah seorang manusia biasa. Pandangannya terbatas. Dia juga mengharapkan rahmat Allah untuk tetap bernafas di atas muka bumi ini. Dia hanya mampu melihat yang zahir. Sedangkan Allah s.w.t mengetahui apa yang kita nyatakan, mahupun apa yang kita sembunyikan...

Malulah. Allah mengetahui segala-galanya...

Sesaat. Hatiku berbisik lagi...

Dan tidak perlu menghebohkan cintamu terhadap Pencipta kerana Dia sentiasa tahu betapa sempitnya cintamu itu...


Pasti kita semua pernah mendengar nama Rabiatul Adawiyah. Hanya yang mendapat rahmat dan kasih sayang dari Allah s.w.t akan dapat merasai...kehangatan, keasyikan, kenikmatan dalam beribadah...Begitulah besarnya cinta Rabiatul Adawiyah...tidak tertanding kerinduannya kepada Allah s.w.t..

Lalu, pesanan dari sahabatku itu.. "Cintailah dahulu pemilik cinta..Jika kita tidak dapat mendapat cinta dari manusia, tidak mengapa. Kerana hidup ini bukan selamanya...Ingatlah, kita tidak akan selalu mendapat apa yang kita inginkan, tapi jadikanlah apa yang kita dapati itu terbaik, agar kita tidak mensia-siakannya..."



Ya Allah, jika engkau tidak menyelamatkan kami, pastilah kami menjadi orang-orang yang zalim..

P/s: Suka artikel ni..(Klik!!)