| Kenangan memancing 2013-HELWI |
"Macam mimpi jak kan kak...kemarin dulu kaka di rumah papar, kemarin pula sempat pergi walimatul urus seorang sahabat di sepanggar, sekarang ni, memancing di Kota ayangan" ujar seorang sahabat.
Ketika itu kami sedang membahagi-bahagikan joran untuk setiap kumpulan ( Kumpulan Keli, Fatin, kelah dan X). Kami perlu membahagikannya kerana terdapat dua jenis joran yang disediakan iaitu jenis besi dan jenis bambu. Memandangkan aku sendiri tidak pernah memancing, aku juga tidak mengetahui yang mana lebih baik.
"Sudah takdir, heeh.." aku menyahut.
Ikan. Terdapat pelbagai cerita menarik yang berkaitannya yang pasti akan mencuit hati kami. Terutama ikan Baulu.
Teringat akan perkongsian seorang sahabat suatu ketika dahulu,
"Jadilah seperti ikan di laut..tidak pernah masin oleh masinnya air laut. Jangan jadi seperti ikan di darat, sedikit garam sahaja sudah masin...Itulah tamsilan hati kita, andai sahaja hati kita hidup, ianya tidak akan mudah dipengaruhi oleh fitnah akhir zaman ini"
Namun, dalam dunia ini, Allah telah menciptakan manusia yang pelbagai karenah dan warna untuk saling berkenalan. Pada peringkat permulaan, kita menginsafi bahawa kitalah yang perlu berubah untuk masa hadapan yang lebih baik. Namun, apabila kita semakin lama berada di situ, kita akan mulai menyedari orang lain juga perlu mengambil bahagian dalam dakwah kita. Apatah lagi, apabila kita keluar dari kelompok biah yang soleh/ah...cabaran itu akan menjadi lebih besar. Berhadapan dengan masyarakat yang dahulunya kita adalah sebahagian daripada mereka sebelum kita ditarik keluar. Namun, kita tetap perlu kembali kepada mereka kerana merekalah medan amal kita.
"Ketidaktahuan masyarakat akan menjadi penghalang jalan kalian. Oleh kerana itu tugas kita yang paling mulia adalah menjadikan masyarakat mengenal hakikat dakwah kita, kerana kebersamaan mereka dengan kita adalah lebih baik"
(Hassan Al-Banna)
Apa sebenarnya yang kita inginkan dari dakwah ini?
Satu persoalan yang kita perlu tanyakan dan muhasabahkan setiap waktu dan ketika agar kita tidak terleka.
Teringat kata-kata petikan dokumentari Seorang Murabbi, Ust. Rahmat dari seberang Indonesia,
"Semua orang boleh berdakwah, tetapi tidak semua orang boleh mencintai dakwah ini...Ya, dakwah ini akan membutuhkan kita mengorbankan segalanya..."
MasyaAllah.
Jawapannya ialah Keredhaan Allah...hanya itulah yang kita inginkan dalam sepanjang kembara kita menuju-Nya ini...
Lalu, mengapa perlu terasa hati andai ada yang menolak ajakan sehingga kita menggunakan bahasa yang mencederakan emosi mad'u? Adakah mereka yang tidak mahu mendengar atau kita yang sebenarnya tidak benar-benar mendengar masalah mereka.
Lalu, mengapa perlu menangis andai mereka masih belum mengerti...
Sahabat, pendakwah yang sebenar ialah orang yang mengajar manusia untuk redha dan bergembira dengan apa yang dimilikinya, mengajar mereka untuk memanfaatkan pemberian Allah kepada mereka untuk beramal bagi menghadapi hari kemudian. Lihat bagaimana Rasulullah salallahualaihiwassalam, baginda tidak mengubah kedudukan Bilal, keluarga Yasir yang terdiri daripada Ammar dan Sumaiyah yang merupakan golongan hamba menjadi bangsawan tetapi baginda mengajar mereka erti syukur, redha dengan kehidupan yang diberi dan bersiap sedia dengan akhirat yang akan dihadapi dikemudian hari.
Dakwah yang sebenarnya juga bukan bermakna menyuruh kita menjadi seperti orang lain tetapi sebenarnya mendorong kita untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya.
Jarang kita dengar atau baca dalam hadith baginda menyuruh para sahabat supaya menjadi seperti Abu Bakar RA, atau seperti Umar RA tetapi baginda sebaliknya menyebut :
"Dan apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu maka penuhilah ia semampu kamu"
[Riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Maka, bersangka baiklah...kerana kita bukan insan sempurna tetapi seorang hamba yang punyai seribu satu kelemahan. Jangan pernah menghakimi sebelum kita memahami.
P/s: Teringat usaha seorang ustaz semalam yang cuba menjernihkan keadaan. Sahabat, dakwah ini memerlukan kita saling bantu-membantu bukan saling menjatuhkan. "Kerana Allah adalah matlamat kita".
No comments:
Post a Comment