Tuesday, June 18, 2013

Sebenarnya aku rindu...

Tambunan sentiasa ada dalam catatan  perjalanan kembara musafirku
"Su tahu ke kenapa kita buat semua tu?" soal naqibahku. 

Ketika itu kami dalam perjalanan ke Tambunan bagi mengunjungi rumah seorang sahabat. Naqibahku meminta untuk menemaninya. Aku menggunakan kesempatan ini untuk bercerita panjang dengan naqibahku berkaitan pelbagai perkara yang bersangkutan dengan dakwah dan tarbiyah. 

"Sebab nak bagi kesedaran ke, kak?" aku cuba meneka.

Kulihat dia tetap memandang ke hadapan sambil memegang kejap stering kereta. Pada bibirnya terukir sebuah senyuman. 

Dia menoleh seketika padaku sebelum membalas...

"Dalam kem kita biasakan mereka dengan fasilitator dan duduk dalam bulatan. Sebenarnya kita ingin mereka biasa dengan suasana Usrah. Ada halaqah dan ada naqib/ah. Kan Usrah tunjang tarbiyah..." 

Aku menganggukkan kepala. 

Aku mengakui...Usrahlah yang banyak mengubah dalamanku. 

Usrah = Keluarga. Ini kita tahu. Taaruf, Tafahum, Takaful. Ini kita hafal. Namun, sejauh mana usrah menjadi darah daging kita sehingga kita akan seperti "ikan yang terpisah dari air" andai lama tidak berusrah.

Memang, aku mengakui...ada juga orang yang tidak perlu usrah dalam hidupnya kerana mungkin peluang itu tidak hadir atau pelbagai perkara yang menjadi penghalang. 

Apabila bercerita berkenaan usrah, segala kenangan indah semalam bersama akhawat berputar dalam memori ingatanku. 

Rehlah (Berkelah)..
Jaulah (berjalan jauh)..
daripada Masjid IPG Kampus Keningau sehinggalah ke Tambunan dan Tenom. 

Kami sentiasa mencuri masa untuk menghadirkan diri kerana ada "sesuatu" yang kami perolehi yang tidak ada di mana-mana. Kemanisan dan kebahagiaan tersebut sukar diungkapkan kerana tidak ada perkataan yang dapat mengambarkannya.

Nikmat mempunyai sahabat yang baik adalah nikmat yang paling indah selepas nikmat iman dan Islam. Setiap kali memandang wajah mereka, terasa bahawa diri dihargai dan disayangi.

Disebabkan itulah, kami berusaha untuk meneruskan segala usaha yang telah dimulakan. Perlahan-lahan usrah menjadi sesuatu yang tidak asing...Namun, terdapat kepincangan di situ. Mungkin kerana kami kurang ilmu dan pengalaman. Hanya sekelumit cuma. Lalu, usrah menjadi sesuatu yang tidak lagi menjadi perhatian apatah lagi rebutan.

Semoga ada lagi kesempatan menjejakkan kaki ke sini...

Allah, ampunilah kekurangan kami..

Pelbagai tips dan kaedah untuk mempergiatkan usrah dicadangkan bagi mengatasi masalah yang berlaku. Sehinggakan kami hampir berputus asa...

"Kamu tidak pernah peduli dengan adik-adik usrah kamu, macam mana mereka nak dengar cakap kamu? Berapa ramai di sini yang mesej adik-adiknya sepanjang cuti ini? Hah, takda..." kata seorang senior semasa tamrin yang lalu. 

Kata-kata tersebut ada kebenarannya. Apatah lagi andai hubungan dengan Allah tidak dijaga dengan sebaiknya menyebabkan kekurangan itu semakin lompang. 

Iya, usrah hanya akan hidup di hati-hati yang inginkan kepada Islam...

Usrah bukan segala-galanya, tetapi tarbiyah memerlukan usrah untuk menggetuk hati-hati...

Namun, sebelum itu, kitalah yang berusaha ke arah tersebut. Usahlah ditangisi apa yang sudah berlalu, tapi anyamlah kerinduan tersebut dengan mencipta memori baru..

"Kita hanya akan dapat memulakan catatan di lembaran yang baru dengan beralih ke halaman yang seterusnya...Tidak ada yang perlu ditangisi. Andai hati sudah mulai merasakan nikmatnya dalam iman, genggamlah dengan gerahammu...usah dilepaskan. Kerana Peluang kedua tidak selalunya ada.."

Sebenarnya aku rindu dengan semua sahabat-sahabatku...Mempunyai impian untuk menyatukan semuanya kembali seperti suatu ketika dahulu sebelum kaki melangkah keluar ke medan sebenar di luar sana...Allahuma Amin...

Allahuma Yassir Wa La Tuassir...

Ayuh, sahabat, kita gerakkan kembali apa yang pernah bergerak. Kita cipta kembali apa yang pernah tercipta. 

"Kemudian apabila engkau telah berazam (untuk berbuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya" 
(Surah Aali Imran: ayat 159)

InsyaAllah. Segalanya dengan Izin Allah.

No comments: