"Bagaimana keadaan semua krew? Persediaan ok sudah?" mesej daripada penyelaras program kurenung berkali-kali.
Aku merenung ke luar melalui tingkap bas yang kabur.
Aku mengimbau kembali sebuah memori Tahun lepas di sebuah tempat..
Tontolob Liwan, Ranau
"Suratni, ustaz harap kamu tidak rasa serik untuk join program-program
selepas ini..."
Tersentak. Aku yang ketika itu sedang menyiapkan bahan-bahan untuk slotku yang
bakal menjelang dalam beberapa jam lagi menjadi kaku. Aku diam. Perlahan-lahan
aku mengangkat muka..
"InsyaAllah, ustaz..."Hanya itu yang mampu kuucapkan.
Satu ayat yang bagiku amat mendalam maknanya. Mungkin beliau ingin
memberikan semangat agar aku tidak patah semangat. Aku merasa terharu. Dalam
keadaan diri yang serba-serbi kurang ini, masih lagi diberi peluang untuk
mentarbiyah dan ditarbiyah.
Terlalu banyak yang kupelajari biarpun ketibaan kami agak lewat. Namun, aku
memanjatkan kesyukuran kerana pada mulanya aku menyangka kami tidak akan
berkesempatan untuk mengikuti program ini. Rancangan awal, kami akan bertolak
pada hari jumaat itu tapi kerana bertembung dengan Larian 1 Malaysia pada hari
sabtu, segalanya berubah.
Ya Allah...engkau lebih mengetahui...Aku beristighfar. Ingin kuluahkan betapa
aku bersyukur masih lagi diberi peluang ini. Namun, semua itu tidak terluah.
Sekadar berlegar-legar di dalam minda tanpa terluah. Ah!Terlalu banyak yang aku
pelajari, terlalu banyak yang kuperolehi.
Ketika melihat wajah-wajah penduduk kampung, aku merasai satu ketenangan.
Namun, pada masa yang sama kerisauan berputik. Aku risau memikirkan gerakan pihak tertentu yang amat laju. Apatah lagi melihat wajah-wajah yang haus akan ilmu agama. Apakah
ada lagi orang yang mengambil berat mengenai mereka?
Aku melihat ke dalam diri. Aku lahir dalam
keluarga sederhana serba-serbi. Baik fizikal mahupun dalaman. Walaupun pernah
makan nasi berlaukkan air garam, namun aku bersyukur. Kesusahan hidup banyak
mengajar aku akan kasih sayang Allah dan pergantungan kepada-Nya...
Air mata bergenang. Tiada kata yang terucap. Aku menyangka itulah kem terakhir yang akan aku sertai. Namun, perancangan Allah..
"Jomlah kak..." wajah adik-adik yang menjadi penguatku tika lemah kurenung.
"Tapi , jauh bha Tawau tu..." aku cuba mencipta alasan.
"Kaka ni..pergi semenanjung ndak pula rasa jauh. Ini masih sabah juga bha..."
Aku terdiam.
Dalam keadaan dilema bagaimana untuk menerangkan kepada ayahku, aku memberikan persetujuan. Andai itu yang tertulis buatku, pasti ada jalannya...
Ketika melangkah turun dari bas, angka yang tertera di jam tanganku menunjukkan pukul 4.28 pagi. Tepat waktu subuh, kami sampai ke daerah ini.
Sambil menumpang kasih di rumah keluarga angkat, 2 hari sebelumnya kami isi dengan menziarahi rumah sahabat yang ada dan menjejakkan kaki di masjid yang ada. Segalanya Indah. Kepada yang telah menerima kehadiran kami, Semoga Allah memberikan balasan yang lebih baik daripada yang diberikan kepada kami. Semuanya membuktikan bahawa ikatan akidah adalah yang paling utuh.
30 Mei 2013 (Khamis)
Hari yang dinanti telah tiba. "Motor" yang akan mengangkut kami ke Pulau Sebatik rupanya adalah sebuah Kapal bot. Dek kerana mabuk laut, perjalanan yang memakan masa selama 2 jam setengah tersebut diisi dengan ibadah senyap.
Ketibaan kami disapa angin laut yang bertiup dari Laut China Selatan. Maha Suci Allah yang telah menundukkan lautan ini untuk memudahkan perjalanan. Udara berlumba-lumba memasuki paru-paru ketika menarik nafas sedalam-dalamnya.
Alhamdulillah.
Tenang. Damai menyelinap ke dalam relung hati. Itulah yang mampu kugambarkan. Melihat keadaan sekeliling yang masih terpelihara daripada "batu-batu konkrit" pembangunan, memberikan peluang untuk menghayati ciptaan Allah yang sentiasa sempurna.
Sekali lagi, kami menumpang kasih di rumah penduduk kampung di sini bersama sahabat-sahabat yang lain. Walaupun badan agak letih, namun, keterujaan untuk program keesokan harinya menyebabkan kami semua tidak duduk diam. Semuanya membuat persiapan masing-masing.
Di sinilah aku mengenali Ikan Baulu..Menyiang dan memotongnya tanpa mengetahui itulah ikan baulu yang selama ini cuba kuelak daripada menjamahnya.
Alhamdulillah..Rezeki untuk sepanjang program.
Menjadi Kem kom adalah pilihan terakhir yang aku ingin pikul. Namun, seperti mana pesan sahabatku,
"Apabila kita sudah berjanji setia untuk berkorban diri untuk Islam, kita harus sedar janji tersebut datang dengan satu pakej ujian. Terimalah apa pun yang mendatang. Lihatlah dengan mata hati kerana hikmah adalah hasil yang kita ingin perolehi dari setiap perkara yang berlaku. Teruslah belajar setiap hari, di mana pun, dari siapa pun..."
Terima kasih, sahabat....
Terima kasih, sahabat....
Aku memilih untuk banyak mendiamkan diri dan memerhati setiap yang berlaku. Benarlah, menimba ilmu di tempat orang akan memberikan kita perspektif yang berbeza. Di saat inilah Allah akan menguji keikhlasan kita. Yakinlah, Andai niat benar-benar kerana-Nya, kesabaran akan menjadi benteng bagi menghadapi segalanya. Disebabkan itulah "Perbetulkan niat" adalah pesanan yang sering diulang-ulang...
Berada di tempat yang baru dan mengenali wajah-wajah baru dengan watak yang pelbagai adakalanya menguji diri. Rasa hati dikesampingkan kerana itulah perkara terbaik yang boleh dilakukan.
Namun, satu perkara yang menyentuh hatiku adalah melihat perjuangan beberapa insan yang kukira wajar untuk aku kagumi. Melihat mereka berbicara mengetuk kesedaran dalam diri bahawa semua orang diuji...
Meneguk kata-kata nasihat dari seorang Ustaz Nasir bin Yak yang kukira telah lama menyimpan suka duka perjuangan,
"Hanya satu sahaja yang kamu perlu bina dalam diri kamu...itulah keihklasan..bukan untuk hanya dalam program ini tapi untuk seluruh kehidupan kamu..."
Ketika merasmikan penutupan, sekali lagi beliau memetik Surah Luqman dengan penuh penghayatan...
"Inilah ciri-ciri orang beriman..ketika ayat-ayat Allah dibacakan, hatinya akan bergetar. Air mata akan berlinang.." bisik sahabatku.
Allah...hanya orang yang di dalam hatinya ada al-Quran akan mampu memahami apa yang disampaikan...
Segalanya adalah Rahmat dari Allah. Semangat yang dicari kutemui di sebuah pulau...
"Ya Allah, pilihlah kami...janganlah engkau pesongkan kami sesudah engkau berikan kami petunjuk..."
2 comments:
Hebatkan takdir ALLAH.. Sebuah perjalanan kehidupan yg penuh makna, di pengakhir nanti kta akan melihatnya semula saat amalan kta di bentangkan, Moga ALLAH menerima amalan kita..
Ya, sangat hebat. Tidak pernah terfikir...mungkin inilah yg Allah mahu kita fikir...Amin...Ya, mudah2an...Harapan walaupun takut...kerana itulah kekuatan kita...
Post a Comment