Thursday, June 20, 2013

Sungai yang mengalir

Sungai Tambunan.
Airnya menyejukkan, bunyinya menenangkan...
"Ehem, termenung jauh nampak..." sahabatku menegurku. Aku menoleh ke arahnya sebentar sebelum mengalihkan semula pandangan ke arah air sungai yang berada di hadapanku.

"Taklah, tengah berfikir..." balasku.

"Apa yang difikirkan tu?" sahabatku menyoal.

"Sungai...."jawabku sambil melangkah turun dari batu besar di tepi sungai tersebut. Dengan berhati-hati aku mencedok air sungai tersebut dengan kedua belah tanganku dan menyapukannya ke mukaku. 

Sejuk. Damai. Menyegarkan fizikal yang keletihan. SubahanAllah...

"Kenapa dengan sungai?" sahabatku itu kini terpacak di sisiku.

"Plush!" aku menyiramnya. Aku segera terjun ke dalam sungai. Dia yang tergamam kulihat mengetap gigi geram...

Kemudiannya dia pun melompat turun. 

Seketika, aku dan dia bermain air seolah-olah hanya kami yang berada di kawasan tersebut. Apabila terasa penat bermain sambil bergurau, aku mengajaknya duduk di atas sebiji batu yang agak besar.

"Ko tahukah, sungai ini sangat mendalam ertinya pada aku..." aku memulakan mukadimmah.

Suatu ketika dahulu, kehidupanku sangat intim dengan sungai. Pada ketika itu kami sekeluarga masih menetap di pinggiran sungai. Air sungailah yang menyambung kehidupan. Setiap hujung minggu, aku akan membawa adik-adik untuk mandi, mengangkat air dan bermain di sungai. Namun, sebelum kami dilepaskan, arwah ibu akan memastikan kami mengaji dahulu dan bersarapan. Itulah waktu yang terindah.

Ketika itu, airnya sangat jernih. Kejernihannya itu membuatkan kami tidak puas berendam. Selesai mengisi gelen dan baldi, kami akan mencari udang di sebalik batu dan kayu untuk dibawa pulang ke rumah sebagai lauk. Walaupun udang yang kami perolehi hanya kecil, namun, ia tetap dikongsikan bersama-sama. Itulah yang menjadi kenangan terindah. Kelazatannya masih terasa sehingga ke hari ini. Ada ketikanya kami terleka dan  akan bertempiaran balik ke rumah apabila terdengar laungan suara arwah mak...

Terlupa bahawa air yang diisi perlu digunakan untuk memasak makanan tengahari. Walaupun berat, namun, hati tidak mengeluh kerana puas dapat berendam di sungai. 

Apabila kami berpindah rumah, aku semakin jauh dari sungai. Aliran paip yang sampai ke rumah menyebabkan aku semakin lupa akan kenikmatan iar sungai.

Apabila aku mengenali dunia Tarbiyah, aku tetap tidak berpisah dengan sungai. Pertama kali Jaulah dengan Kak Jihah serta sahabat-sahabat ke Tambunan. Aku masih ingat bagaimana kami perlu menyeberangi sebatang sungai dengan membina jambatan manusia iaitu saling berpegang pada sahabat. Ketika itu, terasa ukhuwah yang menjadi pembenteng.

Kemudian, usrah seringkali akan rehlah di tempat yang berair seperti air Terjun Mahoa, air Terjun Ulu Senagang, sungai Pamilan...kesemuanya akan berakhir dengan kami menjadi "ikan duyung" yang seperti baru berjumpa air...

Air sungai seringkali disebutkan dalam al-Quran sebagai salah satu nikmat yang terdapat dalam syurga kelak.

"Di dalam keduanya (syurga itu) ada dua buah mata air yang memancar" 
(Surah Ar-Rahman, ayat 66)

"Pada hari engkau akan melihat orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, betapa cahaya mereka bersinar di depan dan di samping kanan mereka, (dikatakan kepada mereka), "Pada hari ini ada berita gembira untukmu, (iaitu) syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Demikian itulah kemenangan yang agung"

(Surah al-Hadid, ayat 12)

Aku sering hanyut dalam pemikiran apabila melihat aliran sungai. Ketika masih tinggal di tepi sungai, aku sering duduk di tepinya sambil melihat matahari terbenam. Ketika itu, pelbagai impian kuanyam untuk membina hidup yang lebih baik.

InsyaAllah, kami akan datang lagi...
Sungai.

Padanya aku belajar banyak perkara yang membuktikan kekuasaan Allah. Sungai yang mengalir tenang itu bila-bila masa sahaja akan menjadi ganas-seganas-ganasnya...

Setiap kali mendengar deruan airnya aku mengerti bahawa itulah alunan tasbih yang diajarkan-Nya buat makhluk-Nya ini.

Berendam dan direndam. Kedua-duanya punyai makna yang mendalam padaku.

"Pap" bahuku dipukul dengan kuat.

"Aduh!" aku menoleh ke arah sahabatku.

"Dari tadi aku tunggu apa ko mau cakap..." katanya.

"eh, bukan aku sudah cerita ka?" aku tersedar.

"Takpalah lain kali jak la..." aku menyambung sambil bergerak naik ke atas untuk bersiap pulang.

"Wei, jahat!" laungan sahabatku kubiarkan ditenggelami deruan tasbih air-air sungai tersebut...

"Ya Allah, ilhamkanlah kepadaku agar sentiasa mensyukuri nikmat yang Engkau berikan kepadaku dan kepada orang-orang disekelilingku dan berikanlah kami amalan-amalan yang Engkau Redhai...Ya Allah, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, ampunilah segala kesalahan kami. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa atas segala sesuatu..."

Sungai, aku akan kembali...yang pasti, aku tidak akan menemuimu sendiri...InsyaAllah...

No comments: