"Masa sampai KK aritu hujan, masa nak balik ni pun hujan..." ujarku apabila melihat gumpalan awan hitam yang bila-bila masa sahaja akan melahirkan kandungannya.
Sahabat-sahabat yang lain tersenyum.
| Singgah sebentar. |
Ketika itu kami singgah sebentar di Restoran Kota Raya di Kota Belud untuk mengisi perut memandangkan perjalanan kami akan mengambil masa 5 jam dan jam pun sudah menunjukkan pukul 2 petang. Perut yang berkeroncong dengan pelbagai irama mahukan haknya dipenuhi.
Perkenalan yang singkat bersama dengan ayah seorang sahabat dari IPG Kent, Zahariah amat menyentuh hati kami apabila beliau sanggup mengambil kami di tapak program dan menguruskan perjalanan balik kami ke kota kinabalu untuk balik ke Keningau. Semoga Allah membalas budi beliau dengan yang lebih baik..
Sepanjang perjalanan balik aku tenggelam dalam memikirkan dua perkara. Masa yang telah berlalu dan masa yang akan datang.
| Ucapan oleh perasmi- "Jangan jadi pelajar yang rugi. Otak pintar tapi rohani kosong" nasihat beliau. |
Ini merupakan kali pertama aku mengikuti Program Kris anjuran PSS walaupun telah beberapa kali mendapat pelawaan untuk datang sebagai fasilitator. Namun, kali ini aku datang hanya untuk ziarah dan mengiringi adik-adik yang menjadi fasilitator. Kesempatan ini kami (bersama dengan seorang sahabat) gunakan untuk mengumpul maklumat dan berbincang dengan sahabat-sahabat yang datang dari ceruk rantau lain. Benarlah, apabila berkumpul akan memberikan suntikan semangat yang luar biasa untuk terus thabat dalam perjuangan ini.
Betapa banyak cerita yang dikongsikan. Setiap satunya membuka akal fikiran agar tidak terperangkap dalam dunia sendiri dan berpuas hati dengan apa yang ada sedangkan banyak lagi tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.
"Kita melihat dunia ini umpama melihat dari sebuah kotak yang dilubangkan di tepinya. Apabila kita dari sisi ini, kita akan mendapat pemandangan begini. Apabila kita melihat dari sisi itu, kita akan dapat melihat pemandangan begitu. Sebab itulah, kita perlu keluar dari kotak dengan membuka pemikiran dan diri untuk menerima pandangan dan perkongsian orang lain. Tak rugi apa pun..."
Suatu ketika dahulu aku bermula dengan menjadi fasilitator dalam keadaan "berat" kerana "penat". Apabila aku menyuarakan, ternyata bukan pujukan yang diterima tetapi kata-kata nasihat yang cukup menusuk hati. Namun, itulah yang mengubahku. Dalam kepenatan terdapat kemanisan. Iya, biarlah kita penat dalam melakukan kerja-kera untuk menegakkan agama Allah agar kita tidak punyai masa untuk berbuat dosa. Kesemua itu akan dibalas dengan ketenangan hati yang tidak terperi.
Teringat kata-kata seorang Murabbi dalam Tamrin yang lalu,
"Hanya orang yang berjuang akan hidup. Dalam perjuangan ini, kita tidak akan hidup senang tetapi, Allah akan berikan ketenangan. InsyaAllah."
Beliau merupakan seorang yang mewakafkan dirinya untuk perjuangan di jalan Allah. Walaupun mempunyai pelbagai halangan, namun, itu tidak menghalang beliau dari terus bersama-sama dengan perjuangannya dan mendidik anak-anak muda. MasyaAllah. Semoga Allah merahmati beliau. Kata-kata beliau masuk ke dalam hati, menyuntik kesedaran kerana apa yang beliau ucapkan terhasil daripada apa yang beliau lalui dan laksanakan. Beliau tidak dikenali, tetapi sesiapa yang mengenalinya akan menghargai setiap detik bersamanya yang sentiasa penuh dengan hikmah.
"Alhamdulillah, ada hikmah juga kita salah tempat kan kak...dapat juga jejak kaki di Tuaran..." kata-kata seorang sahabat ini memecahkan lamunanku.
"Heeh..maaflah..Akak yg terlebih yakin..." aku membalas..
"Kak su memang...yakin terus.." seorang lagi menyahut.
Ketawa pecah.
Maaflah sahabat-sahabat. Sesungguhnya pengorbanan kalian hanya Allah yang mampu membalasnya. Apatah lagi dalam keadaan poket kering sekarang...
Aku ingin menukilkan kata-kata seorang pejuang juga, Kak Fatma semasa singgah (Iya ka tu?) di Kepayan...
"Jawatan bukan milik kita tapi ianya adalah anugerah Allah yang diberikan kepada kita sebagai peluang untk meraih pahala..."
Sempat berkenalan dengan sahabat-sahabat dari PSS Tawau dan PSS Kota Marudu...kagum melihat gerak kerja mereka yang sentiasa konsisten. MasyaAllah.
No comments:
Post a Comment