Saturday, February 25, 2012

Ibrah dari kehidupan: Cerita Merentas Desa 2012

Aku melihat sekeliling. Banyak muka-muka baru yang tidak berapa kukenali.

Teringat peristiwa BULATAN CINTA kelmarin yang memberikan aku pengalaman menguruskan golongan yang rata-ratanya jauh lebih berpengalaman dan pengetahuan.

Satu, dua, tiga....! Kedengaran suara pengarah memberikan arahan untuk melepaskan guru pelatih perempuan...

"Mudah-mudahan larianku berhasil..." azamku sebelum memulakan langkah pertama larian.

Merentas desa. Walaupun jaraknya tidak terlalu jauh, hanya 5.5 km, namun, Bukit Langsat tetap menjadi cabaran utama bagiku. Selama tiga tahun (bermula tahun 2010) aku berlari di laluan ini, di sinilah tempat yang membuatkan aku kecundang.

Ketika merangkak naik, aku berusaha dengan sedaya upaya untuk menahan kesakitan yang kurasakan pada kakiku, namun, tubuhku sudah mulai lemah. Aku tidak boleh mengalah! Aku bukan bertanding dengan sesiapa tapi dengan diriku sendiri. Aku terus memaksa sehingga dalam aku tidak sedari air mataku menitis. Aku menangis kerana emosiku memang tidak seberapa stabil. Dengan sedikit cabaran mental ini, aku berkemungkinan akan mengaku kalah. Aku semakin tenggelam dalam emosi apabila satu demi satu orang memotongku.

Saat itu, aku terfikir...
Beginilah juga kehidupan ini. Cabaran akan selalu silih berganti. Itu memang telah menjadi ketetapan takdir. Apa yang penting ialah kita tidak berhenti. Seandainya berhenti, kita bukan sahaja kalah pada orang lain tapi juga pada diri. Teruslah bergerak, biarpun diri terpaksa merangkak...

Saat ini, aku teringat akan kata-kata seorang ustaz,

"Proses tarbiyah itu amat panjang. Penuh dengan liku-liku...Kita ni merasa kesusahan yang sedikit itu berat kerana terlalu lama berada dalam zon selesa. Bayangkan saudara-saudara kita di Palestin, di syria..Kesemuanya bersungguh menegakkan agama Allah..."

Di akhirnya, ketika melihat masa yang kuambil untuk menamatkan larian ini, aku tersenyum. Segalanya belum berakhir. Selagi Allah masih memberikan peluang, perjuangan ini harus diteruskan.

Larian mungkin telah berakhir, tapi kehidupan masih lagi berjalan...

Aku ingin mencontohi dia. Seseorang yang kurasa terlalu dan teramat jauh untuk aku contohi...Tapi, itulah cabaran yang perlu aku sahut untuk menjadi lebih baik dari semalam...InsyaAllah.

With Lots of Love,
Living here for hereafter.

No comments: