"Cepat! 1..2...3..."
Kelihatan beberapa pelajar yang lewat terkedek-kedek dengan "aksesori'' wajib iaitu beg sandang. Pada wajah masing-masing, jelas terpampang kegusaran.
"Jaga amanah kamu tu baik-baik!"
Pelajar yang dipesan mengangguk-angguk. Entah kerana hormat atau takut.
Pesanan demi pesanan. Perkataan demi perkataan. Setiap satunya memang mengimbau sebuah kenangan. Dalam kesibukan menerima kedatangan adik-adik baru, pelbagai peristiwa menyebabkan aku disapa suatu perasaan kurang enak.
SKRIP ITU SENTIASA BERULANG-ULANG.
Aku sendiri tidak mengetahui siapa yang memulakannya. Namun, ianya umpama suatu kebiasaan. Setiap yang datang pasti akan merasainya... Tapi, tumpuanku bukan pada yang baru tapi pada yang "lama" itu.
Di saat bicara seorang ustaz yang amat aku hormati memberi peringatan...
"Jangan jadi macam kakak-kakak dan abang-abang kamu yang hipokrit dan kepura-puraan..." Hatiku terasa disentap.. Sedih. Namun, memang itulah realitinya. "Kepura-puraan" itu akan tersingkap apabila habis sahaja minggu orientasi. Baik AJk mahupun peserta, sama sahaja. Apatah lagi jika sudah menginjak ke alam senior. Ditambah lagi jika tidak ada lagi yang mengambil peduli. Kehadiran ke masjid menjadi "WAJIB" ketika sandaran dunia diletakkan.
"Kalau tak datang, nanti dapat surat PINK". Surat PINK lebih ditakuti daripada api neraka. Takut akan kehilangan peluang untuk menjadi guru lebih berbekas di hati berbanding kehilangan rahmat-Nya.
Astagfirullahal azim...
"Betulkan niat, itu penentu hala tuju yang seterusnya..."
Seakan-akan pesanan Ustaz dalam setiap kemasukan ini hanya menjadi halwa telinga. Bukankah setiap dari kita akan berniat?
Aku hanya ingin mengingatkan buat diriku dan kalian yang berkaitan,
Pada keseronokan kita mencari kesalahan adik-adik, ingatlah kita juga tidak pernah terlepas daripada melakukan kesalahan..
Pada "keseronokan" kita mengherdik, jangan lupa mohon keampunan. Takut-takut, hati yang terguris ketika diherdik itu adalah hati yang sentiasa mengingati Allah.
Pada "keseronokan" kita menjadi "senior", kita tetap seorang hamba-Nya. Tidak pernah Allah melihat "siapa yang hidup lebih dahulu" atau siapa yang paling banyak pengalaman..Tapi, pandangan Allah pada ketakwaan yang letaknya dalam diri setiap kita...
Usahlah berbangga dengan apa yang telah kita lalui sebagai seorang senior, andai kita tidak mampu membimbing adik-adik junior kita. Apa yang kita lakukan, akan diikuti. Berhati-hatilah...
Mata ini melihat, tapi hati inilah yang mentafsirkan..