Sunday, January 24, 2016

Sehari di Hospital Miri

"Awak pergi ke bilik X-Ray, cek dulu kaki tu lepas tu datang semula ke sini.." doktor menyudahkan sesi soal jawab dan sesi pemeriksaan pagi itu.

"Aok (ya dalam bahasa sarawak)", aku membalas.

Aku menggagahkan diri berdiri dari kerusi hijau yang kududuki. Kepalaku agak pening selepas disuntik ubat penahan sakit.

Aku melangkah keluar dari bilik, melewati barisan pesakit yang setia menunggu nama mereka dipanggil masuk ke bilik rawatan. Terlihat mata mereka menyoroti kakiku yang agak berdengket ketika berjalan. Namun, sakit di kakiku tidak begitu terasa memandangkan ubat yang disuntik sudah menjalankan tugasnya.

Aku melewati pengawal yang telah menolongku di awal ketibaanku tadi. Buat kali kedua, aku meminta pertolongannya lagi dengan meminta petunjuk arah ke bilik X-ray.

"Kitak jalan terus, nok ya bilit rawatan belah kanan kitak" dia memberikan arahan.

Aku mengganguk sambil mengucapkan terima kasih.

Setelah berjalan lebih kurang 10 minit dengan kudrat yang ku ada ketika itu, akhirnya aku smpai ke bilik X-Ray. Aku menolak daun pintu dengan sekuat tenaga kerana tenagaku habis terkuras untuk menggerakkan kaki dan badan ke hulu ke hilir ini.

Setelah menyerahkan borang di kaunter pendaftaran, aku diminta duduk seketika menunggu giliran.

Ini pengalaman kali ketiga aku di bilik X-Ray. Kali pertama adalah pada tahun 2007 di hospital papar, sabah untuk memenuhi syarat PLKN. Kali kedua adalah tahun lepas, 2015, untuk memenuhi syarat aku memasuki alam pekerjaan sebagai guru yang bertauliah. Pada ketika itu, pesakit diminta memakai pakaian khas dan menanggalkan keseluruhan pakaian. Namun, kini, aku tidak perlu berbuat demikian. Aku hanya perlu duduk dan meletakkan kakiku di atas sekeping kadbod hitam. Kemudian, sinaran X-ray dihalakan ke kakiku untuk melihat keadaan tulang kakiku.

Setelah selesai segala urusan di bilik X-ray, aku membawa gambar X-Ray tersebut ke bilik doktor yang kutemui di awal pertemuan tadi untuk menyerahkan keputusan.

Ketika itu, air mataku bergenang apabila teringat perbualan dengan jururawat yang bertugas di bahagian XRay tadi.

"Kenak kaki kitak? (Kenapa dengan kaki awak)" jururawat itu berbasi-basi bertanya.
"Guguk.. (jatuh)" aku membalas pendek.
"Siney? (Di mana)"
"Tangga"
"Aduh..." 
"Kitak tunggu dulu sitok owh..(Awak tungga dahulu di sini ya)"

Kemudian, proses X-Ray berlangsung sekitar 5 minit. Setelah siap, dia menghampiri semula.

"Kitak datang dengan sapa"jururawat itu bertanya lagi.
"Kedirik (sendiri)"

Dia agak terkejut. Dia menyatakan susah pergerakan tanpa ditemani sesiapa ini.

Jujur, ketika itu aku memang memerlukan seseorang untuk membantu..sekurangnya menemani. Namun, hidup di perantauan, tambahan lagi hari itu Hari bekerja, aku harus tabahkan hati.

Mujur, aku telah menyiapkan sebuah buku untuk mengusir kebosanan ketika menunggu. Semenjak menyudahkan bacaan "Badiuzzaman" karya Habiburrahman El-Sherizy beberapa hari yang lepas, aku seakan ketagih membaca novel. Novel Ayat-ayat Cinta yang juga karya Habiburrahman ini merupakan novel kelima yang kubaca sepanjang tempoh 2 minggu ini. Membaca epilog bagaimana beliau mendapat ilham menghasilkan buku-bukunya cukup mengagumkan.

"AL-QURAN di hatinya.."

Itu yang mampu kusimpulkan.

Apatah lagi, beliau berasal dari negara Indonesia yang begitu dekat dihatiku walau jauh dimata. Negara yang kujejaki tahun lepas untuk menjernihkan kembali kecintaan terhadap mukjizat yang Allah turunkan.

"Suratni binti Kiram.."
Namaku dipanggil di bilik pemeriksaan.

Sekali lagi aku melangkah masuk menemui doktor yang memeriksaku tadi.
Beliau tersenyum dan mempersilakan aku duduk..

Kemudian, beliau mengambil gambar X-Rayku dan menghalakannya ke peti yang berlampu untuk melihat dengan lebih jelas..

"Oh, ada tulang yang patah ni.." dia menjelaskan kepadaku sambil tangannya menunjukkan ke bahagian tulang kakiku.

Jelas, satu tulang seperti terkeluar dari garisan.

Aku kaget.

Tidak percaya kejadian semalam yang jatuh dari tangga rumah boleh menyebabkan kecederaan pada kaki kananku.

Allahuakbar. Kun Fa ya kun...

Apa yang Allah kehendaki pasti terjadi.

Aku diarahkan bertemu dengan pakar tulang. Doktor Mariam. Demikian yang kudengar dari Staff jururawat yang memanggilnya.

Buat ke sekian kalinya, aku menerangkan lagi situasi yang berlaku pada malam 18hb jan 2016 itu. Setelah selesai bersoal jawab, beliau memaklumkan akan memberi cuti rehat selama 2 minggu. Waktu yang cukup lama bagiku kerana memikirkan anak-anak muridku.

Sementara menunggu giliran, aku memaklumkannya untuk solat zohor terlebih dahulu memandangkan ketika itu sudah masuk waktu.

Memandangkan kedudukan surau di tingkat atas dan aku tidak mampu menapak lagi, aku memilih untuk menaiki lif. Aku sempat bertanya dengan staff yang lalu lalang, kedudukan tandas dan surau. Seingatku berhadapan dengan wad sakit perempuan. Aku perlu menggunakan tandas di wad memandangkan di surau tidak disediakan tandas.

Sujudku lebih lama kerana aku tahu agak sukar atau kemungkinan sepanjang kakiku sudah bersimen, dahiku tidak akan menyentuh  lantai lagi. Hanya isyarat semata-mata.

Terasa pedih.

"Ya Allah, janganlah engkau tarik nikmat dekat padaMU dengan ujian kesakitan ini. Aku tiada tempat mengadu selain Engkau.." aku merintih.

Apalah kiranya ujian ini dibandingkan dengan ujian yang dilalui oleh watak utama dalam buku "Bumi Cinta" Karya Habiburrahman yang baru ku selesaikan 2 hari lepas.

Allah tarik nikmat kaki kanan, namun, Allah hadirkan kerehatan.

"Maka, nikmat Tuhan manakah yang kamu dustakan?"

Tidak ada.

Terlalu banyak nikmat yang Allah hadirkan...

"Ok, selesai" lebih kurang 30 minit aku duduk melihat kakiku dibalut dengan simen.

Setelah selesai, aku ditolak oleh jururawat ke luar bilik sementara menunggu ketibaan Kak Nani dan Kak Siti. Kak Nani yang menemaniku dan menolakku ke bilik farmasi dan bilik pakar 2 untuk mengambil temu janji. Kelihatan Kak Nani agak sulit memandangkan beliau sudah berbadan dua. Terdetik rasa bersalah kerana menyusahkan namun apakan daya, aku sendiri tidak mampu bergerak. Semoga Allah membalas jasa mereka dengan yang lebih baik. Amin.


No comments: