"Alhamdulillah.." aku menarik nafas dan menghelanya perlahan-lahan.
"Terima kasih.." aku ucapkan kepada staff Air Asia yang membantu menolakku serta pramugari yang menolong memasukkan barang-barangku ke kabin di atas kepalaku.
Ku lunjurkan kakiku yang bersimen ke dinding hadapan pemisah bahagian hadapan pesawat dengan tempat duduk penumpang. Asbab kakiku, aku ditempatkan di kedudukan Hot seat (1F) dan menjadi orang pertama yang tiba di pintu masuk menuju pesawat. Ditolak dengan menggunakan kerusi roda oleh staf Airasia, memang terasa mukaku agak tebal menahan malu. Namun, semua itu tidak ingin kufikirkan, sebaliknya hanya menikmati saat itu.
Aku tidak mempedulikan pandangan orang-orang yang mungkin sedang menunggu panggilan masuk ke pesawat yang sedang kunaiki sekarang. Aku tidak ingin memikirkan pandangan mereka kerana kesemua ini berlaku tanpa pengetahuan sesiapa. Apa yang telah ditetapkan dalam takdirNya, telahpun berlaku. Tugasku kini adalah redha dengan setiap ketentuanNya.
"Bersama-sama kesulitan, ada kemudahan" Benarlah firmanNya yang mulia..
Di sebalik setiap musibah, pasti ada sesuatu yang indah. Dengan terjadinya kemalangan ini, aku dapat meluangkan masa bersama keluarga di kampung. Walaupun aku tahu, pelbagai kesulitan yang akan kuhadapi di rumah nanti, namun, pilihan perlu dibuat. Peluang yang sama tidak akan berulang lagi. Jika ada yang serupa sekalipun, ianya tetap peluang yang lain.
23 Januari 2016 (Sabtu). Setelah 5 hari terkurung di rumah kerana tidak berupaya ke mana-mana, aku akhirnya keluar juga untuk balik ke bumi negeri di bawah bayu, tempat kelahiranku. Hatiku berdegup kencang apabila memikirkan keindahan dan ketenangan di rumah sendiri. Aku tidak pasti bagaimana penerimaan ayahku nanti kerana semenjak kejadian itu, aku tidak memaklumkan apa-apa lagi
Aku tadinya dihantar oleh kak Hakimah yang kusimpan dalam senarai kenalanku sebagai kak Kim petronas memandangkan itulah yang aku diperkenalkan pada awal pertemuanku dengannya pada 1 Februari 2015 tahun lepas di Taman Bulatan. Keunikannya lagi adalah pada keretanya yang bernombor TAX dan 11 membuatkan keretanya sering digelar sebagai TAXI. Terima kasih kak Kim..semoga Allah membalasnya dengan lebih baik.
Ketika di lapangan terbang Miri tadi juga aku sempat bertemu dengan Kak Asma yang rupanya mirip dengan kak ida, kakak sulungku bersama dengan suaminya. Barakallahuma kak..Aku tidak dapat menghadiri perkahwinannya tahun lepas kerana aku baru sahaja balik dari Indonesia. Apatah lagi, baki cuti yang tinggal dua minggu kuisi dengan berjalan mengelilingi sabah dengan ayahku.
"cuaca di kota kinabalu juga bagus. Kita bergerak dengan kelajuan 700km/j..." beberapa butiran pengumuman juruterbang sempat hinggap ke telingaku. Aku leka melihat pemandangan di bawah yang kelihatan jelas kerana tidak ada awan yang meliputinya. Melihat bentuk muka bumi, melihat sungai, bangunan yang seperti mainan kotak-kotak, semuanya kelihatan kecil. MasyaAllah, jika sedemikian kecilnya rumah, apatah lagi manusia. Tapi, bongkaknya kita sering melupakan DIA YANG MAHA BESAR.
Kata-kata juruterbang itu mengingatkan aku kata-kata pensyarahku, Sir Zaieddi, yang juga merangkap mentor kelas kami.
"Kapal terbang itu amat laju walaupun kelihatan perlahan..tidak kelihatan kerana suasana yang sama sahaja. Cuba kalau kita letakkan batang-batang elektrik, kita pasti akan melihat bagaimana lajunya kapal terbang itu terbang.."
Aku tidak ingat topik apa yang kami pelajari ketika itu, mungkin ada kaitan dengan kadar kelajuan, atau standard deviation...
Ah! semua itu seakan tidak melekat dikepalaku kerana apabila di alam pekerjaan ini, hanya lima hingga sepuluh peratus sahaja yang kuaplikasikan.
ILMU YANG TIDAK DIAMALKAN. Ah! pedih sekali apabila mengingati ilmu Tamyiz terjemahan AL-Quran juga yang belum kusampaikan lagi secara tersusun. Hanya beberapa perkongsian.
Rindu Bogor. Kota yang indah bagiku kerana di sana aku menemukan cebisan hatiku yang hilang kerana dirobek oleh pisau maksiat. Allah...
"Cik, cik...miss...miss...excuse me..."
Aku tersedar dari lamunanku apabila terdengar suara pramugari memanggil. Aku menoleh. Kulihat pramugari itu yang membongkok memanggilku. Beliau meminta aku menegakkan kerusiku kerana pesawat yang kunaiki sebentar lagi akan mendarat di lapangan terbang kota kinabalu.
Begitu pantas sekali masa berlalu.
"Ok, cikgu, nice to meet you, see you again.." kata penumpang lelaki cina yang duduk selang satu kerusi denganku. Beliau menyapaku di awal pertemuan kerana terkejut bagaimana aku boleh awal sampai, tapi apabila melihat kakiku yang bersimen, beliau faham sendiri. Banyak yang dibualkan olehnya namun mungkin kerana keadaanku yang tidak selesa membuatkan aku banyak berpura-pura tidur. Walaupun menyedari itu mungkin peluang dakwahku, namun, aku memang ingin bersendirian buat masa ini.
Aku tiba di lapangan terbang KKIA kira-kira pukul 6.05 dengan melihat jam yang terletak di dinding bangunan itu.
Ketibaanku ini juga disambut oleh kerusi roda dan ditolak sehingga ke kerusi luar di bahagian menunggu ketibaan. Ketika ini, pasti Abangku sedang dalam perjalanan. Mujurlah aku diberi cuti oleh Allah SWT. Maka, aku tidak perlu terkejar-kejar, hanya duduk menanti...
Fikiranku kembali menerawang kepada kenangan di Kota Bogor...
Fikiranku kembali menerawang kepada kenangan di Kota Bogor...
INDAHNYA PERANCANGAN ALLAH.
Allah tidak pernah menzalimi kita, sebaliknya kitalah yang menzalimi diri kita sendiri.
No comments:
Post a Comment