Wednesday, October 16, 2013

Tulis Blog untuk Dia...

"Kakak ada frienster?" aku bertanya dengan penuh debaran. Kakak inilah yang menjadi lawanku ketika pertandingan Syarahan Tafsir pada bulan Ramadhan yang lepas. Walaupun takut-takut untuk menegur, kupaksakan diri untuk membuka bicara. Bagiku, satu-satunya cara untuk belajar dengannya adalah melalui mendekatinya. Walaupun dia adalah senior yang masih belum kukenali hati budinya, tetap kupaksakan diri. 

Takdir menemukan kami di tempat wuduk Masjid Jamek, IPG.

"Tiada, akak selalu blogging jak" ujarnya.

Aku mengerutkan dahi. 

"Blog???Apa tu kak?"terpacul soalan dari mulutku.

Dia tersenyum.

Bungkam.
Sumber: Hlovate

Ketika itu tahun 2009. Dunia blog masih asing lagi denganku. Malah, akaun friendster itu pun kumiliki kerana ditolong oleh seseorang yang banyak membantuku. Dia adalah sahabat baik dalam zaman silamku. Dia menyatakan mudah untuk berhubung apabila dia berlepas ke luar negara (Mesir) untuk menyambung pelajarannya dalam bidang kedoktoran. Alhamdulillah, terbaru aku mengetahui khabarnya dia akan menamatkan pelajarannya hujung tahun ini. Semoga Allah permudahkan urusannya. 

"Nanti kakak jelaskan. Kita solat dahulu.." sambungnya.

Peristiwa itu telah lama berlaku namun masih segar dalam ingatan. Aku mulai jatuh cinta dengan dunia blog apabila membaca catatan kakak tersebut. Air mata mengalir tiap kali membaca catatannya. Pada kisahnya ada kisahku. Itu yang mengikat hatiku.

Dari sehari ke hari, rutinku berkurung di bilik dengan melayari blog. Apatah lagi, dengan kemudahan internet dan laptop Acer milik abangku ini. Facebook yang menjadi fenomena tidak berkesan padaku. Seakan-akan blog itulah cinta hatiku.

Setelah itu, aku belajar dari kakak tersebut bagaimana untuk membuka akaun blog.

Musafir Kehidupan. 

Demikianlah segalanya bermula...

Setiap yang berlaku akan kucatatkan di blogku ini...

Peristiwa ketika bermulanya hari sehinggalah berbaring untuk menutup hari yang dilalui. 

Seronok. 

Itu perasaanku ketika itu. Aku semakin giat menulis selepas mengikuti tulisan beberapa orang kenalan blogger yang lain. Ditambah lagi dengan komen-komen yang ditinggalkan semakin menaikkan semangatku untuk meluahkan apa yang kulalui, apa yang kurasai... 

Pokoknya, apa pun yang terlintas di sudut hati.

Blog menjadi ketagihan baruku. Diari tulisan tanganku kupinggirkan ke tepi.

Semuanya berlanjutan sehinggalah hatiku diketuk angin kesedaran.


"Seorang pendakwah bukanlah seorang selebriti. Seorang selebriti akan membawa orang kepada dirinya sedangkan seorang pendakwah akan membawa orang kepada pencipta..."

Kata-kata itu hanya sekadar tulisan. Namun, menusuk ke dalam hati...

Aku termenung sendiri.

Apa yang kuinginkan daripada penulisan di blogku ini?

Kepuasan? 

Aku menggeleng.

Kekayaan? 

Bukan.

Ketenangan...

Benarkah?

Aku menemui lagi kakak tersebut. Kali ini, bukan untuk belajar "blog" dengannya tapi mengenai kisah blognya...

Disitu, aku mendengar ceritanya.

Bukan sekadar cerita. 

Tapi kisah kehidupannya. Bagaimana dia berubah. Bagaimana indahnya percaturan Allah dalam hidupnya. 

Aku menangis. 

Aku kemudiannya mengubah blogku ini. Segala catatan peribadi telah kukeluarkan untuk simpanan sendiri. Namun, kutinggalkan sedikit untuk renungan bersama. 


-Tarbiyah bukanlah segalanya, tapi segalanya bermula dengan tarbiyah-


2 comments:

Anonymous said...

salam.

teruskanlah berblog. lama tunggu post baru. post yg penuh dgn ilmu dan pengajaran di sebalik susunan kata2 yang indah. :)

musafir kehidupan said...

Wasalam..InsyaAllah..syukran atas dorongan. Mohon doanya juga ya..