Friday, October 25, 2013

Rasa yang hilang

Mari bersama mencari redha Allah :)
"Kita harus kuat!"aku membaca perlahan.

Pada rangkap yang seterusnya, tertulis sambungan ayat tersebut.

"Bukan setakat kuat ilmu dan tajam minda tetapi perlu kuat emosi dan kukuh perasaan. Jangan mudah dipermainkan oleh perasaan tapi jangan sampai berdakwah tanpa perasaan..."

Bait ayat ini dirakamkan sekitar tahun 2012. Seingatku, ianya adalah tulisan Ust. hasrizal Abd. Jamil, penulis buku "Aku terimah Nikahnya" yang telah melonjakkan nama beliau. Seseorang yang tidak pernah kutemui secara realiti tetapi tulisannya banyak meninggalkan kesan di hati. 

Pada buku "Aku Terima Nikahnya" itu membuka minda kita bagaimana realiti alam perkahwinan sebenar. Penceritaan yang bersahaja dan memuatkan kisah benar akan mendatangkan impak yang amat besar. 

Kemudian, buku Travelognya, "Secangkir Teh Pengubat Letih", catatan kisahnya berkait negara Turki. Negara yang dikatakan telah pupus Islamnya dan dikuasai sekular keseluruhannya angkara Kamal Artatuk. Namun, Ust. Hasrizal berjaya membuka sudut pandang yang lain, "Islam adalah agama Allah, Allah tetap akan memeliharanya melalui tangan-tangan orang yang sanggup memegang bara api fitnah akhir zaman". 

Iya, dalam buku tersebut, beliau menceritakan sejarah kejatuhan Turki Uthmaniyah yang pasti akan membuat sesiapa yang membacanya menangis. Namun, di celah-celah keruntuhan tersebut ada kelompok yang masih utuh berpegang pada Islam. Lebih menyentak iman, kebanyakan mereka menghafal 30 juzuk al-Quran. SubahanAllah!

Kita?

Jom, mulakan sekarang. Allah telah menyatakan, al-Quran ini telah dipermudahkan. Hanya, kita sahaja, mahu ataupun tidak. 

Catat beliau,

"Turki. Ada yang pergi dapat pahala, ada yang pergi dapat dosa. Menentukan siapakah diri yang ingin dibawa mengembara, adalah kunci besar pada menentukan kesan akhir yang bakal terhasil. Itulah yang dikatakan, "Siapa kamu menentukan cara kamu melihat". Kesannya pula ialah, "Cara kamu melihat menentukan apa yang kamu dapat".

Terdapat tiga lagi buku travelog beliau, namun buku inilah yang paling berkesan di hati.

Ketika itu, beliau masih belajar di Jordan, namun kerap kali "melarikan diri" ke Turki. Keadaan ini akhirnya disimpulkan beliau sebagai "pergolakan hormon" remaja yang berperang dengan keinginan diri dan keadaan sekeliling. 

Aku termenung.

Aku juga suka "melarikan diri". Sedari dahulu. Seawal usia 10 tahun. Ketika itu, aku kerap melarikan diri ke tempat lain. Adakalanya pelarianku hanya melalui buku-buku yang berada di tanganku. Iya, melalui imaginasi. Berbekalkan sebuah buku, aku akan memanjat pokok mangga di belakang rumah, dan bersembunyi di situ sehingga sampai ke halaman terakhir.

Apabila aku semakin dewasa, aku akan melarikan diri ke luar. Dua tempat yang menjadi pilihanku  adalah perpustakaan di pekan atau masjid pekan. Kedua tempat ini mendatangkan ketenangan yang sukar diluahkan kepada sesiapa. 

Sehingga ke Ipg ini, seandainya aku kebingungan, aku akan mengambil masa untuk bersendiri. Mengembara ke tempat-tempat baru, sambil berfikir apa yang telah terjadi. 

Kebiasaannya, ianya berhasil. Banyak permasalahan yang dapat aku selesaikan. 

Tapi, tidak untuk kali ini. 

Kebuntuan ini menyebabkan banyak amanah yang tergendala. Banyak hati yang tersakiti. Banyak hari yang semakin sepi. 

Aku kembali menyelak kembali catatan lalu. 

Perlahan-lahan air mataku menitis...

Aku rindu akan masa lalu.

"Kita ni, kuat sebab hubungan dengan Allah yang terjaga. Andai kita lemah, merasa tidak mampu, periksalah kembali ibadah kita. Periksalah kembali hati kita...Bagaimana kita hendak membawa agama Allah, sekiranya Allah subahana wa taala tidak meredhai usaha kita. Itulah yang mendera kita. Hakikatnya, imanlah yang bersuara" suara sahabatku terngiang di cuping telinga. 

"Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tiada Tuhan selain Engkau. Engkau menciptakan aku dan aku adalah Hamba-Mu. Aku berada di atas janji-Mu, semampuku. Aku mohon perlindungan dari keburukan perbuatanku. Aku mengakui banyaknya nikmatMu yang Engkau anugerahkan kepadaku dan aku mengakui dosa-dosaku, maka ampunilah aku. Kerana sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa-dosa melainkan Engkau..." Allahuma Amin..

No comments: