Mendiang Bruce Lee hanya terjun secara serius ke dalam dunia filem sekitar tiga atau empat tahun terakhir hayatnya. Beliau mati muda dalam usia awal 30-an. Namun, nama beliau terpahat sebagai lagenda yang memperkenalkan kung fu Cina kepada dunia melalui bidang perfileman. Beliau adalah orang pertama yang membuka mata dunia kepada kehebatan kungfu Cina melalui filem-filem lakonan dan arahannya.
Filem-filem yang sempat beliau arah hanya ada beberapa buah tetapi mengatasi kesemua filem box-office Hong Kong waktu itu, termasuk filem masyhur Way Of The Dragon. Memperkenalkan kungfu Cina kepada dunia adalah ‘jihad’ Bruce Lee. Itulah idealisme yang memantapkan filem-filem beliau. Disebabkan kuatnya beliau berpegang kepada idealisme itu, beliau menolak untuk terus membina nama di Hollywood selepas berlakon dalam siri The Green Hornet.
Beliau memilih untuk menghasilkan filemnya sendiri di Hong Kong walaupun beliau lahir di Amerika. Bruce Lee pulang ke Hong Kong dan bekerjasama dengan seorang penerbit filem di sana untuk ‘melawan’ Hollywood dengan berbekalkan idealismenya sebagai pakar kungfu. Beliau hanya bersetuju kembali ke Hollywood melalui filem Enter The Dragon arahan Robert Clouse dengan syarat-syarat yang ketat, termasuk meminta diberi kebebasan mengubah suai skrip dan mengarah babak pertarungan.
Beliau yakin, hanya seorang pakar kungfu sejati saja yang dapat menceritakan dan memvisualkan kehebatan kungfu Cina sebenar. Beliau yakin, pakar itu adalah beliau sendiri. Melalui filem, beliau membawa misi menaikkan kungfu Cina di mata dunia dan beliau berjaya. Misi itu kemudian disambung oleh Jet Li, Jackie Chan, Samo Hung dan lain-lain pakar kungfu (Jackie Chan dan Samo Hung adalah pelakon stunt dalam Enter The Dragon sebelum membina nama sebagai pelakon dan pengarah filem aksi).
‘Jihad’ Bruce Lee adalah memperjuangkan filem kungfu terbaik untuk tontonan masyarakat dunia hingga masyarakat dunia akur bahawa kungfu Cina memang hebat dan no. 1, sampaikan Hollywood sendiri pun banyak menyelitkan elemen kungfu Cina dalam filem-filemnya. Untuk filemnya Way Of The Dragon misalnya, Bruce Lee menulis sendiri skripnya, mengarah, menerbitkannya (melalui usahasama) dan melakonkan watak utama di dalamnya.
Maka, idealisme sebegitulah yang seharusnya ada, malah lebih kuat diperjuangkan, oleh karyawan Muslim. Oleh itu, wajarlah kita menyokong dan mendoakan inisiatif Kang Abik (Habiburrahman El-Shirazy) yang terjun langsung ke dalam dunia perfileman kerana memperjuangkan idealisme yang berteraskan Islam dalam pembikinan filem adaptasi Ketika Cinta Bertasbih karya beliau. Idealisme seorang Bruce Lee sudah pun disambut oleh pakar-pakar kungfu selepasnya. Mudah-mudahan idealisme Kang Abik akan disambut oleh karyawan-karyawan muda berjiwa Islam lainnya.
Kata orang, Islam adalah agama perjuangan.
Jadi, Sesiapa yang mengaku Islam adalah pejuang-pejuang agama.
Namun, apabila kita meneliti artikel di atas, terdapat 3 perkara yang menarik perhatian penulis..
Pertama, Jihad "Bruce Lee" adalah memperkenalkan Kung Fu. Apabila melihat perkataan jihad yang digunakan oleh Tn. Zakaria Sungib (penulis artikel), kita akan memahami bahawa Bruce Lee menumpukan seluruh hidupnya dan mengorbankan segalanya untuk memperkenalkan Kung Fu.
Itulah jihadnya!
Kedua, Keyakinan beliau hanya seorang pakar Kung Fu yang sejati yang mampu menceritakan dan memvisualkan kehebatan kung Fu sebenar. Iya, hanya jauhari yang mengenal manikam. Bagaimana mungkin kita hendak menceritakan sesuatu perkara sekiranya ianya tidak ada dalam memori kita dan kita sendiri tidak memahami apa yang kita ceritakan. Keyakinan bukanlah perkara yang boleh dibuat-buat tetapi diawali oleh kefahaman yang mendalam sehingga menapak kukuh di dalam sanubari.
Ketiga, Idealismenya disambut oleh pakar-pakar seterusnya. Sesuatu idealisme hanya akan berkembang apabila ada yang akan meneruskan perjuangan yang telah dimulakan.
Baik, apabila kita melihat ketiga-tiga perkara ini, sebenarnya itulah yang patut kita fikirkan seandainya kita ingin dipilih Allah untuk menjadi pejuang agama-Nya. Memang benar, apabila ada yang mengatakan agama Islam, Allah yang pelihara. Namun, kita harus ingat, Allah memeliharanya melalui tangan-tangan hamba-Nya yang terpilih. Apakah kita tidak mahu terpilih? Bukankah itu yang sepatutnya menjadi agenda dalam hidup kita? "Mendapatkan perhatian Allah Subahana Wa Taala"..
Jihad kita adalah memperkenalkan Islam atau dalam erti kata yang lain, kita menjadi duta kepada agama kita. Seorang pernah berkata, "If you want to deliver a message, be the message". Hanya seorang yang menjaga kesihatan, layak bercakap mengenai kesihatan. Hanya seorang yang berjaya, layak bercakap mengenai kejayaan. Itu kekuatan pada pengalaman.
Bagaimana mungkin kita ingin menyampaikan Islam (dengan baik), sekiranya kita sendiri tidak Muslim pada aqidah, ibadah, akhlak, dari sudut keluarga. Malah yang lebih teruk, kita tidak dapat menguasai diri sendiri. Hanya menuruti saranan syaitan dan godaan hawa nafsu. Tambah teruk lagi, kita sendiri tidak yakin dengan masa depan Islam yang gemilang. Itulah yang cuba ditekankan oleh al-marhum Syeikh Fathi Yakan dalam bukunya "Apa ertinya saya menganut Islam".
Seterusnya, penyambung kepada apa yang diperjuangkan. Seorang pemimpin yang baik adalah yang mampu melahirkan pemimpin yang lain. Dakwah ini adalah perjuangan yang telah dimulakan oleh baginda Rasulullah Sallahu alaih Wasalam. Kemudian, disambung oleh para sahabat, dan para khalifah sehinggalah sampai kepada kita hari ini. Namun, sudahkah kita "mengimani" perjuangan ini?
Semoga sedikit cebisan ini akan dapat membuka hati dan minda kita. Apa yang kita perjuangkan?
Wallahualam.


No comments:
Post a Comment