Friday, October 18, 2013

Bertemu "Apis Tak Kisah"

Sumber:www.bloggingwv.com

"Only Diamond can cut the diamond" 

Quotes yang tertera di majalah Air Asia itu menarik perhatianku. Lama kutatap bait-bait patah perkataan tersebut sebelum mataku kulorotkan ke bawah, 

Tertulis maksudnya..."Only the best can satisfy the best"

Hurm..ayat ini mengingatkan aku kepada sosok tubuh yang selama ini ku ikuti tulisannya di blog beliau. Apatah lagi terdapat beberapa persamaan antara kami. Dia seorang guru Matematik. Dia meminati motivasi dan apa-apa yang berkaitan dengan motivasi. Dia menyukai kanak-kanak. Dia seronok ketika mengajar budak-budak Tahun 1. 

Ah! hanya beberapa persamaan rupanya. 

Peristiwa pagi tadi masih segar di memori. 

"Si Apis datang. Ada dia di IPG sekarang!" jerit seorang rakanku. 

Keadaan menjadi kecoh seketika. 

"Kelaaaas, ada pengumuman!Hafiz akan buat talk jam 9 nanti. Perkongsian ini untuk semester 8 sahaja. Tapi, kita boleh datang tengok sebab kita Major Matematik" terang wana, seorang rakan sekelas yang baru selesai dihubungi oleh seorang pensyarah HEP berkaitan perkara terbabit. 

Sejurus kemudian, pelbagai respon dan reaksi yang dapat kuperhatikan. 

Ada yang teruja, ada yang biasa-biasa sahaja, ada yang tidak tahu untuk memberi reaksi apa.

Ketika itu, sesi pembentangan bagi penggunaan ICT, "Hot Potatoes". Setiap kumpulan teruja berkongsi cara penggunaan perisian masing-masing. Kehebatan dan kemudahan software ini berjaya menarik minat kami. Demikianlah kelas Pn. Raiteh yang sentiasa dipenuhi pelbagai aktiviti untuk "memaksa" kami memberikan tumpuan. 

Jam 9. 

Kami sekelas bergerak turun dari kelas kami yang terletak di tingkat 3 blok kuliah ke arah Dewan Kuliah.

Apabila menapak masuk, mataku menangkap susuknya  yang sedang bercakap di hadapan. Suaranya yang kudengari buat pertama kali mengandungi aura. Perkongsiannya sudah sampai ke pertengahan ketika itu. Beliau menceritakan pengalamannya dan bagaimana pantasnya masa berlalu. Baginya, segalanya umpama mimpi. Keluar dari IPG, mengajar Orang Asli di sekolah pedalaman selama tiga tahun yang dipenuhi dengan pelbagai liku, mendapat anugerah APICTA, menyambung pengajian Master di UK, bekerja  di bahagian Kurikulum IPGM dan kini, memberikan perkongsian dengan kami di Sabah. 

Selesai sahaja sesinya, kami "menyerbunya" di koridor luar Dewan Kuliah. Sempat merakamkan beberapa keping gambar dan menemubualnya. Persoalan demi persoalan dari rakan-rakanku kudengar dengan sepenuh tumpuan.

"Macamana dapat idea untuk semua aktiviti tersebut?" soal Azurin, rakanku.

"Entahlah, idea tu selalu datang, pop! Kadang dari pelbagai sumber. Saya hanya cuba mana yang bersesuaian"

"Apa tajuk untuk Kajian Penyelidikan masa di Ipg dulu?" tanya rakanku ini lagi.

"Erm,..erm...(dia mengambil masa yang agak lama untuk mengingat)...perimeter...guna kertas grid. tak berapa ingat sudah sebab itu cuma "small research' kan..." tuturnya.

"Woah!!! small research???" kami kaget. Sedangkan saat ini (semester 6), itulah perkara yang menghantui kami. Saban ketika mendera kami untuk melepasinya. 

"Best jak hidup di IP ni kan? Seronok.." luahnya kepada kami. 

Kami terdiam.

"...erm, kenapa, tak seronok ka?" dia mungkin perasan dengan perubahan reaksi kami.

Ketawa pecah. 

Aku tersenyum. Perkara itu terus bermain-main di mindaku. Dia kelihatan bahagia dan seronok dengan kehidupan sebagai seorang guru. Itulah yang menyebabkan dia berjaya melepasi halangan "terdampar" di sebuah kawasan yang asing dengan kebanyakan pelajarnya tidak menguasai bahasa pertuturan, Bahasa Melayu. Itulah juga yang mendorongnya untuk meneruskan pengajian sehingga ke peringkat Master dengan jayanya. 

Bagiku, segalanya adalah ketentuan Allah. Apakah kita bersyukur dengan hidup kita?

Kerapkali kita terlupa hakikat bersyukur itu bagaimana. 

"Syukur seorang ulama adalah mengajar, Syukur seorang pekerja adalah bekerja, dan syukur seorang pelajar adalah tidak tuang kelas (tidak ponteng)." -Ustaz Ahmad Fawaz Fadzil dalam rancangan "Assalamualaikum" di TV Al-Hijrah.

Allah telah memberikan yang terbaik buat kita. Walaupun mungkin jalan cerita kita tidak menarik atau secantik orang lain kerana terdapat sisi gelap disebabkan oleh maksiat dan dosa-dosa, jangan kita menidakkan Rahmat-Nya kepada kita. Atas Kasih-Nya, kita berjaya melepaskan diri daripada cengkaman syaitan dan nafsu. Atas pertolongan-Nya, kita berjaya menapak semula walaupun mungkin langkah kita tidak segagah atau selaju dahulu. Semua itu nikmat. Nikmat itu ujian...

"Maka, nikmat Tuhan yang manakah yang kamu dustakan...??" 

Jangan kerana kita tidak terkenal di mata dunia, kita lupakan peranan kita. Tidak perlu kita risau dengan apa yang kita tidak ada, tetap kita perlu tumpukan dengan apa yang kita ada...

Sebuah kata-kata Hamka yang sentiasa tersemat di hati,

"Yang ada inilah harapan kita.."

Biarlah semalam melabuhkan tirainya bersama-sama laungan azan maghrib, mulakan hari ini dengan sinar ufuk kebahagiaan dan kesyukuran dengan sujud solat yang disaksikan para malaikat...

Salam Jumaat. Rebutlah cahaya perlindungan dari Fitnah Dajjal dengan Surah Al-Kahfi. InsyaAllah..

No comments: