Monday, October 28, 2013

Catatan Sarawak (Part 1)

Pemandangan Marudi, Sarawak di pagi hari
"Woah!"semua teruja.

Ketibaan kami disambut dengan 3 buah kenderaan bertayar besar.  Pacuan 4 roda yang bersusun di luar lapangan Terbang Miri yang masih gagah walaupun dari luaran kelihatan sudah dimamah usia. Apabila dilihat sekali imbas, tidak ada sesiapa yang akan memilihnya. Namun, inilah yang bakal membawa kami ke destinasi. Tempat yang masih belum dapat kubayangkan bagaimana keadaan dan suasananya. 

Aku memanjat naik dengan bergayut pada pemegang kenderaan tersebut. Mujur, aku memakai seluar panjang. Sekurang-kurangnya, aku tidak risau akan aurat yang akan terselak. Pemandu kereta yang kunaiki adalah seorang lelaki berbangsa cina dalam lingkungan usia 40-an. Beliau serius sahaja dan tidak banyak bercakap sedari awal.

"Bos, macam mana jalan? Grubble (tidak pasti ejaan sebenar) ka?"  Pn. Afinah, pensyarah pengiring kami bertanya kepada pemandu bas sambil tangannya menggayakan isyarat jalan yang bengkak-bengkok.

Ketika itu, kami sibuk bercerita mengenai pemandangan di sekitar Bandar Miri. Setiap keganjilan dan perkara baru akan ditegur dan menjadi bahan gurauan. 

"Oh, tidak... ada tar sudah" balasnya sambil matanya memerhati keadaan sekeliling melalui cermin pandang tepi dan belakang. Mungkin beliau ingin memastikan kedua-dua buah kereta yang dinaiki oleh rakan sekelasku yang lain berada berhampiran kami.

Perjalanan yang bertar ini hanya seketika
Perjalanan pada awalnya adalah lancar melalui lebuhraya Bandar Miri yang teratur. Salah satu daripada keunikan bandar ini adalah terdapat 3 pusat bandar yang berbeza bagi Miri. Setiap satunya terpisah jauh   dan seakan-akan bandar yang berlainan daerah. Mercu tanda bagi bandar ini adalah kuda laut berdasarkan patungnya yang terpacak di tengah bandar.

Apabila kami semakin jauh, semua mulai senyap. Apatah lagi keadaan jalannya yang memang berlubang-lubang, berbatu besar, bengkak-bengkok dan tidak ada jalan rata! Mujur aku sudah terbiasa dengan Bukit Kimanis yang menjadi laluanku ke Papar (kampungku). 

Aku sendiri sudah menyumbatkan telinga dengan "ear Phone". Aku memilih lagu Maher Zain sebagai penemanku sepanjang perjalanan. Sepanjang perjalanan aku terpaku melihat skill pemanduan pak cik tersebut. Memandu di  tempat sebegini adalah merbahaya jika melihat kepada kelajuannya namun tidak bagi yang sudah berpengalaman "apa yang akan dihadapi di hadapan". Ini berdasarkan pengalamanku ulang-alik memanjat bukit Kimanis dengan kereta Viva abangku.

Perjalanan berhenti seketika di sebuah tempat kerana diputuskan oleh "Sungai Arang". Sungai yang perlu kami seberangi untuk meneruskan perjalanan. 

Aku  teringat kembali pemandangan yang kulihat dari atas kapal terbang tadi. Aku pasti inilah yang kulihat dari atas, kerana terlihat jelas warnanya yang perang kehitaman menghala terus ke lautan Cina Selatan. Berbeza dengan sungai-sungai di Sabah. 

Tidak sampai sejam perjalanan, kami bertemu lagi dengan sungai. Sungai tersebut dikenali sebagai "Sungai Baram". Sungai kedua yang kami perlu tempuhi dalam perjalanan. Keunikan sungai ini adalah sentiasa berombak.

Namun, kami tidak merentasinya menggunakan jambatan. Sebaliknya menggunakan pelantar yang digelar "feri". Pelantar ini akan ditarik dengan tali dari tebing ke seberang. Pelantar ini mampu memuatkan sehingga 9-10 buah kenderaan bagi satu-satu masa. Apabila bertanya sewa yang perlu dibayar, kami semua terlopong.

RM15 untuk sekali perjalanan!

Menurut beliau, beliau sudah mengalaminya semenjak 8 tahun yang lepas. Tanpa sebarang usaha untuk membina jambatan penghubung. Ini kerana ada yang ingin mengaut keuntungan daripada "perkhidmatan tarik feri ini". Kasihan. Aku memikirkan nasib yang kurang berkemampuan. Sedangkan perjalanan ini memang jauh. Allah, benarlah. Manusia tidak akan pernah puas dengan dunia. Sentiasa berlumba-lumba untuk menambahnya sedangkan dunia ini umpama meminum air laut. Semakin diminum, semakin haus.

MARUDI

"Wah, besarnya masjid!" ketibaan kami ke Marudi disambut sebuah masjid yang tersergam indah. Sejuk mata memandang. Ketenangan menyelusup ke ruang hati. Alhamdulillah. Sinar Islam telah menembusi ke pekan kecil ini. Aku melihat jam di telefon bimbitku, tertera angka 1 petang. 

Memang anggaran perjalanan adalah sekitar 2 jam setengah. Namun, kami tiba lebih awal dari jangkaan yang bermaksud, kami sangat laju!

"Boleh buat program ni kat sini" bisik sahabatku.

Aku tersenyum. Iya, semuanya akan diprogramkan  sebelum mula program. Perjalanan yang mencabar ini akan menjadi pakej tarbiyah yang sangat baik untuk menguji ketahanan dan kesabaran. 

"Hotel Mayland" aku membaca papan tanda pada bangunan tersebut. 

Inilah hotel yang akan menjadi tempat penginapan kami. Dengan kadar bayaran sebanyak RM60 bagi satu malam, keadaan infrastrukturnya adalah di tahap 5 bintang. Biliknya agak besar, malah, bilik mandinya juga boleh memuatkan 10 orang. Sangat besar!

Selepas berehat seketika, kami mulai bertebaran mencari makanan untuk mengalas perut, sebelum meneruskan dengan aktiviti masing-masing. Aku, selesai makan, bersama dengan beberapa orang rakan menapak mengikut langkah kaki mencari tempat yang menarik. 

Kami menemui muzium Marudi yang sangat menarik walaupun sebenarnya kami ingin mencari taman awam Marudi. Aku yang teruja kerana ini merupakan peluang pertama aku melangkah ke dalam muzium seumur hidupku.

"Eh, ada bayaran kah ni?" aku terpaku di pintu masuk apabila melihat penjaga di situ. Aku tidak membawa duit!

"Tidak ada...percuma." sambut penjaga muzium tersebut.

Aku melompat kesukaan tanpa kusedari.

Ketika itu kamera telefon bimbit rakanku, Een dan Hani menjadi mangsa.

"Hani, hani..gambar ni.." aku menunjuk pakaian patung.

"eh, een..tu sana..gambar..gambar..nanti kita boleh tunjuk.." aku terus-terusan bersuara.

Mujurlah mereka adik-adik (rakan sekelas) yang sangat baik dan memahami. Petang itu aku merasa sangat terisi. Seakan-akan Allah memberikan hadiah dan menyedarkan aku bahawa Allah Maha Kaya..

akan bersambung...




No comments: