Friday, January 4, 2013

Terima kasih, kak...

"Su nampak lain macam jak, ada masalahkah?" mesej seorang kakak senior yang sekarang sedang berkhidmat di pedalaman Sarawak, Kak Aisyah. Mesej itu  diterima kelmarin menjadi bukti biarpun jauh di mata namun beliau sentiasa mengambil berat. Terima kasih, kak...

"Su apa khabar, napa lama tak update blog. Sibuk ea?" sebentar tadi  seorang lagi kakak senior merangkap sahabat seusrah, kak yatie yang  baru sahaja menghabiskan pengajian di sini bertanya lewat pesanan ringkas. Aku tersenyum. Kak Yatie yang sentiasa meraikan dan sentiasa menghargai. Kak Yatie yang sentiasa bersemangat untuk mengamalkan apa yang diketahui dan tidak ingin ketinggalan dalam perkara kebaikan. Kak Yatie yang tidak pernah mengungkapkan perkataan penat atau letih walaupun nampak jelas di wajahnya. Kak Yatie yang amat tulus menyayangi sahabat-sahabatnya. Kak Yatie. Terima kasih, kak...

Petang tadi pula mendapat kunjungan dari kakak senior, Kak Ani yang merupakan satu batch dengan Kak Yatie dengan membawa barang kiriman dari kak Ibah. Melihat senyumannya menjadi pengubat bagi kerinduan yang bertandang. Melihat wajahnya membuatkan kenangan yang tercipta sepanjang mengenalinya menjadi suatu yang ingin kuulangi. Kasih yang tidak dihubungkan dengan ikatan keluarga atau pertalian darah tapi terhubung melalui tautan akidah dan perjalanan hidup yang hampir serupa. Kak Ani yang sentiasa tulus dalam berbicara mahupun bertindak. Kak Ani yang sentiasa menjadikan diri istimewa di sisinya. Kak Ani yang sentiasa menghargai dan teliti dalam setiap tindakan. Kak Ani. Terima Kasih, kak...

Melihat barang kiriman yang dititipkan, bibir tersenyum. Ternyata gurauanku diambil berat. Wajah kak Ibah yang sentiasa menyambutku dengan senyumannya muncul di mindaku. Kak Ibah yang sentiasa riang, menyebabkan diri tidak pernah kering gusi. Kak Ibah yang mudah mengalirkan air mata kerana hatinya yang lembut. Kak Ibah yang sentiasa meraikan dan sentiasa empati kepada orang di sekelilingnya. Tutur bicaranya menambat hati. Kak Ibah. Terima Kasih, kak...

Kak Aisyah. Kak Yatie. Kak Ani. Kak Ibah. Ah! Sukar untuk diungkapkan bagaimana kasihnya aku kepada mereka berempat.

Perpisahan dengan mereka berempat merupakan satu tamparan hebat dalam diri. Terasa kehilangan.

Keempat-empat mereka merupakan antara insan-insan yang banyak mendidik diri ini. Mereka menjadi Qudwah Hasanah. Menjadi pendorong. Menjadi penguat semangat ketika lemah.

Bersama-sama menimba ilmu. Bersama-sama mencipta kenangan dalam menuju ke alam kedewasaan. Bersama-sama memperbaiki diri. Bersama-sama bangun di kala ramai yang semakin menyerah.

Terima Kasih. Jazakillah kak kerana membenarkan diri ini menumpang kasih di sudut hati akak. Terima kasih kak kerana bersabar dengan segala kerenah diri ini. Terima kasih kak kerana sudi menyayangi diri ini...

Tidak banyak yang dapat kunukilkan di sini kerana mengingati mereka menyebabkan mata berkaca-kaca sehingga kabur pandangan...

Apa yang mampu kuungkapkan, nikmat bersahabat dengan mereka merupakan nikmat yang teramat besar.

Ya Allah, nikmatmu ini terlalu besar untuk didustakan.

"Ya Allah, peliharalah ikatan antara kami ini. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Gagah lagi Maha Perkasa. Ya Allah,sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul untuk mencurahkan mahabbah hanya kepada-Mu, bertemu untuk taat kepada-Mu, bersatu dalam rangka menyeru  di jalan-Mu, dan berjanji setia untuk membela syariat-Mu, maka, kuatkanlah ikatan pertaliannya, Ya Allah, abadikanlah kasih sayang ini, tunjukkanlah jalannya dan penuhilah dengan cahaya-Mu yang tidak pernah redup, lapangkanlah dadanya dengan limpahan iman dan keindahan tawakkal kepada-Mu, hidupkanlah dengan ma'rifat-Mu, dan matikanlah dalam keadaan syahid di jalan-Mu, Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong. Amin. Semoga selawat serta salam salalu tercurahkan kepada Junjungan Muhammad S.A.W, kepada keluarganya, dan kepada semua sahabatnya."

No comments: