Tuesday, January 29, 2013

Lelaki yang aku rindui...

"Mengapa semua ini terjadi?" jeritnya lagi.

Tidak ada seorang pun yang berani menjawab pertanyaannya. Panglima Vartanius juga tidak mampu memberikan alasan memandangkan dia juga benar-benar takut dengan kemarahan yang terpamer pada wajah Maharaja Hercules. (Petikan dari Novel Sejarah Islam, Khalid Memburu Syahid tulisan Abdul Latip Talib)

Peristiwa ini berlaku selepas tentera yang dipimpin oleh  Khalid Al Walid, Saifullah, yang hanya berjumlah 40,000 orang telah berjaya menumbangkan Tentera Rom yang seramai 240,000 orang. Peperangan ini dikenali sebagai perang Yarmuk kerana bertempat di Yarmuk. Dengan tumbangnya kerajaan Rom dan yang terdahulu (Parsi), maka, bermulalah pemerintahan Islam yang membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada Yang Maha Esa. 

"Buktikan kepada mereka yang kita datang bagi membebaskan mereka daripada kezaliman dan penindasan raja Parsi,"pesannya.

Pesanan Khalid bin Walid itu dipatuhi oleh anggota tenteranya. Buktinya..

"Bayaran Jizyah ini jauh lebih rendah berbanding dengan bayaran yang dikenakan oleh Raja Yazdegir dan anggota tenteranya. Kami lebih senang berada di bawah pemerintahan Islam berbanding raja Parsi. Kedatangan Tentera Islam berjaya membebaskan kami daripada penindasan dan kezaliman,"jawab mereka dengan jujur.

"Kami sanggup bekerjasama dengan tentera Islam bagi menumbangkan kerajaan Raja Yazdegir kerana beliau ialah raja yang zalim dan suka menindas rakyat,"kata mereka yang memeluk agama Islam pula.

Lihatlah bagaimana Cahaya Islam telah menerangi manusia yang berada dalam kegelapan. Lihatlah bagaimana keadilan Islam apabila benar-benar dilaksanakan dalam segenap aspek kehidupan dan tidak hanya dipenjarakan "di masjid" semata-mata. 

Semuanya bermula dengan sebuah keyakinan pada firman-Nya,

"Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam. 
(Surah Aali Imran:ayat 19)


Kemarahan Maharaja Hercules menyebabkan semua yang berada di situ menikus.

Tiba-tiba bangun seorang tentera yang paling tua.

"Tuanku, tentera kita berperang dengan satu kaum yang berpuasa pada siang hari dan beramal ibadat pada waktu malam. Mereka berpegang teguh pada janji, saling berkasih sayang sesama mereka bagaikan saudara. Mereka sentiasa mengerjakan kebaikan dan tidak melakukan kemungkaran." Dia berkata dengan jujur. (Petikan dari Novel Sejarah Islam, Khalid Memburu Syahid tulisan Abdul Latip Talib).

Itulah sejarah kegemilangan Islam. 

Merekalah yang harus kita contohi. Kerana merekalah yang telah membuktikan "Sesungguhnya hidupku, matiku, solatku dan ibadahku hanyalah untuk Allah".

Wahai sahabatku, Sejarah itu bukan untuk dibanggakan tapi ianya harus dijadikan panduan. Panduan bagi kembali menegakkan Islam dalam kehidupan.

"Ada antara orang-orang mukmin itu menepati apa yang mereka janjikan kepada Allah (berjihad), maka ada antara mereka yang gugur. Dan ada antara mereka yang masih menunggu-nunggu (untuk syahid) dan mereka sedikitpun tidak berubah janjinya,"
(Surah Al-Ahzab:ayat 23)

Jadilah Insan yang terus maju ke hadapan tanpa meninggalkan apa yang ada di belakang. Hari esok ditentukan oleh apa yang kita lakukan pada diri kita hari ini... Salam dan Selawat ke atas Junjungan kita...Bagindalah "Murabbi Cinta" kita...

No comments: