Friday, January 18, 2013

Boleh ikut awak?

"Hah, kuliah mula jam7?"

"Aish, lewat la ni..."

"Ish, tak best la.Sudahlah aku ni jam 7 baru bangun (bersangka baik: dia tidur selepas subuh)."

"Menyusahkan betullah!"

Rungutan tersebut kini semakin tenggelam di telan waktu. Kelihatan setiap orang mulai membiasakan diri walaupun ada juga terdengar beberapa kes rakan yang terlupa hal ini. Biasalah, manusia kan mudah lupa...

Perubahan jadual setiap hari jumaat telah pun bermula sedari awal tahun. Di awalnya, aku juga tidak menyenangi hal ini kerana kuliah Tafsir Hadis yang telah dimulakan semenjak bulan Ramadhan tahun lalu dan diteruskan sehingga ke hujung tahun akan "dikorbankan". Kuliah tersebut yang bermula pada pukul 7 sehingga 7.30 pagi memberikan semangat untuk bersiap lebih awal dari hari yang lain. Setengah jam yang diperuntukkan untuk pengisian rohani sebelum hadir ke kuliah memberi impak yang besar. 

Namun, semasa kuliah subuh pagi tadi, Ustaz Rosli telah menjelaskan kedudukan sebenar.Kesalahfahaman yang timbul menimbulkan penyesalan kerana bersangka buruk sebelum mengetahui hal yang sebenar.

"Itulah su..asyik2 fikir konspirasi. Otak pun dipenuhi dengan konspirasi" ujar sahabatku.

Aku tersengih. 

"Sebenarnya peristiwa ni mengajar aku. Yalah, dahulu ada juga aku ter"miss" kuliah tafsir sehingga ditegur oleh seorang pensyarah. Beliau inginkan setiap muslim dalam kuliahnya mengambil berat soal agama dan pembentukan peribadi Muslim. (Maklumlah, tengah ABC...apalagi terbabas lah.) Masa dapat datang tu, terpancar kegembiraan di wajah beliau melihat kelibat kami. Sejak tu, berazam tak nak tinggal lagi majlis-majlis ilmu. Bila buat azam, "aku nak hadir setiap hari",  tiba-tiba ada pula perubahan. Sedih sangat. Masa tu, barulah sedar sesuatu yang berharga hanya akan terasa nilainya andai ianya terlepas dari genggaman.." luah seorang sahabat dengan penuh emosi.

Aku dan seorang lagi sahabatku juga larut dalam refleksi muhasabah diri...

Hari ini juga aku (dan rakan sekelas) mendapat 2 orang guru baru. Seorang akan menjadi Tutor mengantikan tempat Puan Raiteh, (Tutor kami) bersama-sama Tn. Hj. Zaieddi bin Shahadan (kekal). Nama beliau En. Darussalam (Maaf, tidak ingat nama penuh beliau), yang pada asalanya kusangka Muslim tapi ternyata bukan. Ketika sesi tutoring  pada pagi tadi, kami senyap mendengar kisah pengalamnnya sebagai seorang guru bermula daripada seorang guru sekolah Rendah di Pendalaman Sarawak, di sebuah pulau yang terletak di Sandakan, di sekolah Elit Johor, Jakarta, sehinggalah ke Sekolah Henry Genie (Sekolah penjara bagi budak di bawah umur). Antara kata-kata beliau yang menjentik perasaan ialah,

"Sepanjang saya berkhidmat, satu perkara yang amat menentukan kecemerlangan sesebuah sekolah ialah bagaimana pelajar belajar. Jangan bangga jika dapat menyampaikan ilmu 90% kerana belum tentu mereka dapat sekalipun 20%. Tapi, kita harus usahakan untuk mereka mendapat 100% walaupun kita hanya memberikan 40%. Lagi satu, sentiasalah belajar bersama-sama anak murid. Dengan itu, kamu akan faham perilaku mereka. Apa yang penting timbalah pengalaman sebanyak-banyaknya kerana pengalaman tidak akan diperolehi dalam mana-mana buku. Ianya perlu dilalui dan bersabarlah ketika melaluinya. Pahit, tawar, sakit, jangan terus buang kerana mungkin itulah ubat yang paling mujarab untuk mengubati rasa ego dalam diri"

Setelah itu, pada waktu PJM (kod 3112) kami menerima seorang lagi guru. En. Subra (Tidak tercatat nama penuh beliau) yang berasal dari Perak dan berbangsa India. Beliau merupakan seorang yang terlibat sepenuhnya dalam dunia sukan kerana merupakan bekas pemain Bola Sepak negara. MasyaAllah. Mendengar perkongsian pengalaman beliau juga membangkitkan semangatku. Ya, aku merupakan "peminat sukan". Aku menyukai nilai yang diajar dan dipupuk dalam sukan terutama dari segi penjagaan kesihatan, ketepatan masa, kesungguhan dan tidak mudah berputus asa. 

"Semasa dalam satu kajian, saya dan rakan saya pergi melawat Negara Jepun. Satu peristiwa yang mengagumkan ialah apabila pada suatu hari sebiji Tin aluminium yang terjatuh dari sebuah kereta ke jalan raya. Pada ketika itu, 6 orang meluru ke arah sampah tersebut untuk mengutipnya. Apabila sampah tersebut dikutip dan dibuang ke tong sampah, barulah yang lain beredar. Mengkagumkan...kan?"

Kami mengangguk sambil bibir membulat dan terlantunlah perkataan ..."Wah"!

"Kemudian, ada lagi, ketika itu saya hendak ke tandas, bagaimana tingginya budi yang ditunjukkan mereka apabila saya dihantar sehingga ke pintu tandas yang jaraknya lebih kurang 200 meter. Jika kita, mungkin hanya menunjukkan arahnya, kan?"

Sekali lagi, kami teruja. Sekali lagi, suara"Waahhhhhh" kendengaran.

"Mereka juga berjalan dengan amat laju. Mungkin terdorong daripada pemikiran mereka yang komitmen dengan kerja...oleh itu, masa amat berharga bagi mereka."

Semua senyap. Berfikir mungkin. 

Cerita beliau ini mengingatkan aku mengenai peribadi seorang yang agung. Rasulullah S.A.W. Baginda juga berjalan dengan amat laju sehingga dikisahkan dalam sirah para sahabat termengah-mengah mengejarnya. Sesuatu yang patut kita fikirkan...Menurut seniorku dahulu, seseorang yang berjalan dengan laju akan mempunyai keperibadian yang kuat bekerja dan mempunyai pemikiran yang lebih tajam. Melalui pemerhatianku, aku mengakui hal ini. 

Sambung beliau lagi, 

"Jadi, nasihat saya, semasa belajar ni lah, kutip pengalaman dengan melawat ke negeri orang lain. Jangan hanya menjadi guru biasa...tapi, jadilah guru yang luar biasa. Sedarlah, guru ni merupakan insan yang paling diberkati hidupnya oleh tuhan kerana mengajar orang kepada perkara yang baik."

Apabila aku menoleh ke arah rakan-rakan, semuanya tersenyum simpul. Ada yang matanya menghala ke siling, mungkin sedang memikirkan impian untuk menjelajahi dunia...

Kedua-dua mereka mempunyai satu persamaan. 

PENGALAMAN mengajar mereka dan mereka mengajar kami melalui PENGALAMAN.

Aku teringat kisah bagaimana Nabi Musa (seorang yang mendapat wahyu secara langsung dari Allah S.W.T tanpa perantaraan malaikat Jibril) diarahkan untuk bertemu dengan Nabi Khidr. Kisah yang dirakamkan dalam Surah Al-Kahfi ini, berjumlah  22 ayat bermula dari ayat 60 hingga 82 mempunyai mesej yang amat penting dalam menuntut ilmu.

Pertama, kesungguhan Nabi Musa sebelum tercapai tujuan...

"Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada pembantunya, "Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai ke pertemuan dua laut, atau aku akan berjalan (terus sampai) bertahun-tahun."

Kedua, tidak hanya meminta teori tapi ingin bersama-sama Nabi Khidr untuk menimba ilmu...

"Musa berkata kepadanya, "Bolehkah aku mengikutimu agar engkau mengajarkan kepadaku (ilmu yang benar) yang telah diajarkan kepadamu (untuk menjadi) petunjuk?"

Dalam hal ini, dalam sebuah rancangan TV Al-Hijrah yang bertajuk "AL-Quran The New Dawn" menjelaskan bahawa ibrah dari perjalanan akan lebih berkesan terhadap proses pembelajaran berbanding hanya menatap kitab-kitab yang tebal. Malah, kita boleh lihat bagaimana kisah para sahabat yang gigih menuntut ilmu walaupun mengambil masa bertahun-tahun sehingga kisah para ulama tersohor yang mengambil tempoh bertahun-tahun dan mengembara dari sebuah negara ke negara yang lain untuk menuntut ilmu. Walaupun hasilnya mungkin hanya memperolehi sebuah hadis dari guru/ulama agung, tapi mereka sangat menghargai nilai ilmu tersebut.

Ini kerana, mereka membayar Harga yang amat mahal untuk mendapatkan ilmu tersebut...Sedangkan dunia hari ini, lambakan ilmu hanya berada di hujung jari menyebabkan nilainya hilang...

Dalan sebuah hadis Qudsi dinyatakan bahawa, jalan menuju ke syurga diciptakan Allah  sukar dan dipagari kesusahan manakala jalan ke neraka dipagari oleh kesenangan...Jadi, andai hidup kita senang-lenang sahaja, fikirkanlah kita sedang melalui jalan ke mana? 

Ketiga, Bersabar. Bersabar. Dan terus bersabar sebelum kita memahami keseluruhannya (hikmah di sebalik apa yang berlaku)...

"Dia (Nabi Khidr) menjawab, "Sungguh, engkau tidak akan sanggup sabar bersamaku. Dan bagaimana engkau akan dapat bersabar atas sesuatu, sedang engkau belum mempunyai pengetahuan yang cukup mengenai hal itu?. Dia (Musa) berkata, InsyaAllah akan engkau dapati aku orang yang sabar, dan aku tidak akan menentangmu dalam urusan apa pun. " (18:67-69)
Wallahu' alam.
Sama-samalah kita menghargai setiap detik kehidupan dengan berfikir mengenai kebesaran Allah untuk mendidik hati agar terus berzikir mengingati-Nya ketika berdiri, duduk mahupun berbaring. Maha Suci Allah yang tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia...

P/s: Siapa nak join kembara iman masa cuti semester nanti? Boleh hubungi Syukbah Tarbiyah  (Khas untuk muslimah sahaja)

No comments: