Tuesday, January 14, 2014

Bengkel Pemantapan Naqibah 2.0

Batu dan air, kedua-duanya memiliki sifat yang berbeza tapi tidak pernah bertelagah sesama sendiri dalam melaksanakan perintah Allah (Sunnatullah)

"Kak, satu malam ni saya tidak tidur menyiapkan bahan dan berfikir apa yang perlu saya sampaikan.."luahannya menyentak hatiku.

Kata-katanya itu menyebabkan aku terdiam.

Ajakanku agar dia membantu mengambil satu slot "Pengurusan Usrah dan ciri-ciri naqibah yang berkesan" ternyata diambil dengan penuh keseriusan.

MasyaAllah.

Mengenang kembali beberapa hari yang lepas, hatiku sememangnya ragu-ragu untuk meneruskan program ini dalam keadaan yang serba-serbi kalut. Jadual kuliah setiap hari yang padat menyebabkan waktu malam menjadi rebutan untuk menyelesaikan segala perkara "amanah". Natijahnya, program ini hampir-hampir ditunda kepada waktu yang aku sendiri tidak mampu menjawab bilakah lagi peluang yang ada.

"Cuba kakak tengok dulu bahan yang saya akan sampaikan ini..."tangannya menyorot slaid demi slaid yang akan disampaikan pada malam nanti.

Aku tidak memberi komen apa-apa mengenai apa yang terpapar kerana ayat yang terluah dari bibirnya sedetik kemudian menyebabkan aku hampir menitiskan air mata.

"Saya akan cuba sampaikan berdasarkan teori dan apa yang pernah saya alami. Setiap satu yang saya lakukan pada paparan slaid ni kak ada maknanya. Contoh, pada awal slaid ni, semuanya kosong, kemudian, fasa kedua, sedikit warna, dan di akhirnya pada fasa terakhir slaid, dihiasi dengan warna dan hiasan tertentu. Lepas tu, berkaitan dengan LDK pula, saya nak fahamkan naqibah bahawa kaedah mungkin boleh dipelbagaikan untuk menarik perhatian adik-adik usrah..."

Malam itu membuatkan air mata bergenang.

Pertama, dengan rahmat Allah yang dilimpahkan melalui ibu sahabatku yang sudi menyediakan makan malam untuk kami. Menu ayam masak kicap beserta kerabu pisang, ikan goreng bercecahkan sambal belacan cukup membuka selera sehingga ramai yang menambah.

"Bila tengok ada mama jiji terasa macam di rumah..." seorang bersuara.

"Iya, kalau tidak..macam asrama kan.." sahut sahabat yang lain.

Semua ketawa.

Kemudian, bahagian yang paling penting pun bermula..

"Marilah sama-sama kita korbankan mata kita untuk fokus sepenuhnya. Program macam ni bukan selalu.."

Penerangan demi penerangan diberikan. Aku sendiri khusyuk mendengar. Kadangkala diselitkan dengan tips dan Latihan dalam Kumpulan (LDK) serta video menyebabkan aku merasa sangat bersyukur kepada Allah S.W.T yang telah menghantarkannya.

Benarlah, Allah sentiasa menyediakan pertolongan dengan syarat kita benar-benar bertakwa kepada-Nya.

Selesai slot bersama ukhti Liyana Azuren tersebut, kami menonton sebuah klip video "Sang Murabbi" yang penuh ibrah.

Filem yang berasaskan kisah hidup seorang Murabbi Tarbiyah yang memaparkan kisah perjuangan beliau. Kata-kata keramatnya,

"Ketika nilai kemanusiaan hilang, biarlah aku yang mengambil alih tugas ini. Semua orang boleh berdakwah, tetapi tidak semua orang boleh mencintai dakwah. Cinta itu memerlukan pengorbanan. Ianya tidak akan mampu bertahan bagi orang yang mengharapkan sesuatu daripada dunia dakwah ini..."

Perwatakannya yang lembut apabila menasihati dan menyantuni mad'u. Tegas pada prinsip hidupnya cukup membuatkan teringat akan satu sosok tubuh yang serupa iaitu As-syahid Imam Hassan Al-Banna. Kedua-duanya berusaha mengikuti Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam dengan menelosori perjalanan Baginda yang pastinya tidak ada jaminan akan kesenangan berupa keduniaan.

Keesokannya, kami menonton sebuah lagi filem iaitu "Karate Kid" yang menjadi perbandingan dengan filem Sang Murabbi..

"Macam mana ukhti, kita teruskan juga?" soalku berkaitan perancangan untuk mandi sungai. Ketika itu awan mendung dan jalan menuruni bukit pastinya agak licin.

Sahabatku mengangguk.

Dengan berbekalkan doa"Bismillahi Tawakaltu Illa Allah.." kami melangkah.

Sepanjang perjalanan menuju ke sungai untuk aktiviti terakhir, setiap peserta akan membentangkan  ibrah yang diperoleh melalui kedua-dua tayangan tersebut.

Alhamdulillah.

Hanya itu yang mampu aku ungkapkan. Walaupun hati masih lagi ragu-ragu akan hari esok, namun ku yakin sinar masih ada..

InsyaAllah..

No comments: