![]() |
| Walau berbeza, kita tetap sama. Hamba kepada Yang Maha Esa. |
Sebuah realiti yang terjadi apabila "keterikatan" kita semakin erat. Ada yang mengistilahkan ini sebagai tanda ukhuwah.
Di sudut ini, Alhamdulillah.
Di sudut lain, ada kelompongan yang akan menjadi barah dalam daging.
Siapa yang tidak mahu bersama-sama sehingga ke syurga?
Bersama-sama ke masjid, bersama-sama melakukan amal kebaikan, bersama-sama mencari ilmu.
Namun, seringkali apa yang berlaku, dalam kebersamaan hanya menyebabkan kita "tertutup". Suatu sifat yang tidak seharusnya ada pada diri seseorang yang ingin berintima' dengan Islam.
Adakalanya, kita perlu bergerak sendirian tanpa ditemani sesiapa atas keyakinan, kita ada Allah sebagai tempat berlindung. Di ketika itulah, kita memahami dan merasai nikmat tawakal yang sebenarnya. Pergantungan sepenuhnya kepada Allah.
Itulah ibrah dari Sirah Rasulullah Solalahu alaih Wasalam.
Baginda kehilangan "tempat bergantung" sedari kecil. Hilang ayah, hilang ibu, hilang datuk.. apabila meningkat dewasa, hilang pak cik, hilang isteri tercinta. Semua itu untuk menghilangkan kesedihan dan kebergantungan kepada sesama makhluk untuk kembali yang Khalik.
Kesedihan yang bertimpa-timpa akan menjadikan hati kita tabah.
"Penat sudah aku menangis. Kering dah air mata...rupanya Allah nak ajar aku agar redha dengan segala yang berlaku" cerita seorang sahabat.
Sunnah perjuangan. Kita telusuri kisah nabi Ibrahim, meninggalkan keluarga tercinta di padang pasir. Kita lihat kisah umat yang terdahulu, pasti tidak lari dari "ditinggalkan" atau "meninggalkan".
Kelmarin.
"Kenapa tidak mahu ikut yang lain? syok tu" aku bertanya kepada seorang adik yang sudah lama tidak ditemui.
"Endaklah, kak. Takda kawan, semua balik kampung.."sambutnya.
Aku menghela nafas berat.
Apakah yang mereka mengerti "ukhuwah".
Adakah ukhuwah itu hanya untuk mereka yang berada di sekeliling kita.
Bukankah semua umat Islam adalah bersaudara. Mengapa ada jurang sebegini. Jurang yang menyakitkan. Jurang yang akan menjarakkan lagi kebangkitan Islam.
Adik-adik, bukalah dirimu. Ilmu kehidupan tidak semestinya bersumber pada buku atau kitab yang tebal. Kadang, ia ada dalam pergaulan sehari-hari dengan orang yang kau temui.
Hanya, lihatlah dengan mata hatimu..
Saidina Umar pernah mengungkapkan, "Semua orang adalah guruku. Kerana mereka mengajar aku sesuatu".
Belajarlah dari sesiapa.
Berdikarilah.
Pertolongan Allah akan datang dari mana pun..
Infiiru.
.jpg)
No comments:
Post a Comment