"Hee..aku baca blog orang mati ni.." dia menyambut gurauanku dengan jawapan yang kukira gurauan juga.
"Dia sudah meninggal ni.." teman sebilikku menyambung bicara sambil menoleh seketika padaku.
Aku terdiam. Senyumanku mati.
Tanganku menarik kerusi di hadapan meja belajarku. "SUDAH MATI.". Kata-kata itu terngiang-ngiang di kepalaku. Sementara menunggu komputer ribaku berfungsi, aku mengerling kepada teman sebilikku. Dia masih lagi khusyuk membaca.
"Nanti kalau aku mati, bacalah blog aku ya.." terpancul kata-kata itu.
"Eish, ko ni su. Ada pula cakap macam tu!" dia terganggu.
Aku ketawa.
Namun, hatiku sedang rapuh.
"Sesiapa yang menutup keaiban orang lain, insyaAllah, Allah akan menutupkan keaibannya di akhirat kelak"-Maksud hadis.
Ya, ayat ini masih kugenggam erat.
Setiap insan pasti merasa, saat perpisahan yang terakhir.
Dunia yang fana, akan ditinggalkan, hanya amalan yang akan dibawa.
Terdengar sayup surah dibaca...
Kita seringkali ingin difahami sehingga terlupa, Allah Maha Memahami. Kita seringkali ingin ditemani, sehingga terlupa Allah sentiasa bersama. Tiap detik dan ketika. Malah, Allah lebih hampir daripada urat leher kita sendiri.
Aku merenung kembali. Selama aku bersama insan yang kusayangi, apa agaknya yang akan mereka kenang sepeninggalanku. Seandainya aku pergi dahulu, masih adakah lagi yang sudi menghulurkan doa. Amalan yang tak seberapa. Ilmu yang tidak diamalkan. Kesemua itu cukup untuk membuatkan hatiku takut. Takut untuk menghadap Ilahi. Membuatkan hati bergetar...
Aku meraup wajah.
Ketika ini, kami sedang dilanda dilema peperiksaan yang menjadi penentu apa yang akan tercatit di skrip keputusan kelak. Kesemua sibuk membuat persiapan sehingga mungkin ada yang terlupa persiapan sebenar yang perlu dilakukan.
Namun, hal ini yang ternyata lebih besar seringkali dilupakan. Teringat kembali sebuah pesanan Baginda Rasul, "Cukuplah dua benda sebagai peringatan iaitu Al-Quran dan Mati.."
Aku memegang dadaku yang sakit. Menusuk.
Ah! Setiap insan pasti akan pergi, tapi bagaimana pemergian kita?
Apakah aku antara yang dikatakan sebagai "kerehatan bagi alam" kerana alam yang sudah tidak mampu melihat dosa dan kezaliman yang kulakukan.
Apakah aku juga tergolong dalam orang yang sentiasa dinantikan pemergiannya oleh orang sekelilingku kerana acapkali menyusahkan dan banyak menyakitkan hati...
Allah...siapa aku?
Aku, teringin sekali menjadi seorang anak yang sentiasa taat kepada kedua ibubapaku. Anak yang boleh menjadi "penyelamat" di akhirat kelak. Penerang kubur mereka.
Aku, teringin sekali menjadi adik yang sentiasa dikasihi dan sentiasa berbakti kepada abang-abang dan kakak-kakakku. Adik yang bukan setakat kerana hubungan darah tetapi diikat dengan ikatan akidah yang kukuh. Itulah bakti yang terbesar untuk setiap pengorbanan mereka. Betapa banyak pengorbanan yang telah mereka lakukan...
Aku, teringin sekali menjadi seorang kakak yang penyayang dan sentiasa mengambil berat akan adik-adikku. Menjadi contoh terbaik buat mereka. Mendidik mereka menjadi seorang Muslim sejati.
Aku, teringin sekali menjadi seorang rakan dan sahabat yang baik buat sahabat-sahabatku. Sahabat yang telah menemaniku dalam setiap peredaran waktu dan perjalanan hidupku.
Aku, teringin sekali menjadi seorang yang boleh membalas jasa mereka-mereka yang telah banyak menolong dan membantu keluargaku. Mereka yang telah menyebabkan aku menyakini bahawa ALLAH benar-benar Maha Pengasih di celah-celah kezaliman manusia di sekelilingku.
Aku, teringin sekali menjadi seorang muslimah yang bukan setakat membaca al-Quran namun menjadikannya sebagai tujuan dalam hidupku.
Aku...
Hampa.
Aku hanyalah aku...
Insan yang sepi. Yang seringkali mendongak ke langit luas tetapi terlupa betapa rumput yang kupijak menangis kesakitan...
Ampunilah aku, Ya Allah...
Seandainya aku pergi dan tidak kembali lagi, inilah wasiatku kepadamu. Sampaikanlah salam kemaafanku kepada mereka semua. Sampaikanlah salam kasihku kepada mereka.
Aku ingin pergi tanpa sebarang dendam. Aku ingin pergi tanpa sebarang penyesalan.


No comments:
Post a Comment