Apabila menjelang cuti sekolah, aku mempunyai peluang berkumpul dengan sebilangan adik-beradik yang pulang bercuti. Bilangan itu pula saban tahun makin bertambah dengan bertambahnya bilangan ahli keluarga yang baru. Dalam keramaian itu, aku akan seringkali memerhati.
"Kakak tidak penat kah melakukan rutin yang sama? Bangun pagi, masak sarapan, cuci dan jemur kain, kemas rumah, mandikan anak, masak tengahari, cuci pinggan mangkuk, sediakan minum petang, angkat kain, masak makanan malam, mengemas lagi, semua itu berterusan. Setiap hari skrip yang sama, yang mungkin beza, pada harinya atau waktunya sahaja"
Tapi, pertanyaan itu hanya bergema di hati.
Segalanya terjawab, tika melihat senyuman bahagia pada wajahnya.
Pengorbanannya tidak sia-sia. Semua itu dilakukan kerana yang namanya CINTA..
Melihat anak-anaknya yang selesa dan terjaga.
Melihat suami bahagia kerana punyai isteri yang meringankan beban di dada.
Aku melihat ke dalam diri.
Betapa cinta yang itu punyai kuasa yang besar. Maka, berhati-hatilah dalam meletakkan cintamu...
Ah! Patutlah H. K Rahmat, Seorang Murabbi dari Indonesia yang pernah mempimpin PKS (Partai Keadilan Sejahtera) pernah mengungkapkan,
"Semua orang boleh berdakwah. Tetapi, tidak ramai yang dapat mencintai dakwah."
Iya, kerana cinta ini disinonimkan dengan pengorbanan. Andai kita mencintai dakwah, kita tidak akan merasa sedikit pun kerugian saat kita mengorbankan apa yang kita ada demi memastikan kelangsungan dakwah itu sendiri.
Sahabat, tika dirimu terasa lelah dengan "Rutinmu" itu. Tika usrah menjadi hambar dan tiadanya yang menarik hati. Saat bertemu dengan sahabat perjuangan sudah tidak terasa lagi manisnya ukhuwah. Ketika pengorbananmu terasa sia-sia...
Renunglah kembali ke dalam diri.
Bukankah syurga itu indah. Bukankah pertemuan dengan-Nya yang kita nanti-nantikan? Apa itu tidak cukup untuk kita berpenat dengan dunia yang sementara ini demi meraih kerehatan yang abadi? Apa kita tidak yakin dengan janji-Nya?
Sedarilah, cinta itu bukannya sudah tiada. Tetapi kerana kita terlupa membajai dan menjaganya.
Cinta itu umpama buah.
Bagi mendapatkan buah tersebut, kita perlu menanam sebuah pohon dulu. Pohon itu pula perlu sentiasa dijaga dan dibajai pada akarnya. Pelik bukan? kita menginginkan buah, tetapi yang perlu dijaga adalah akarnya. Tapi, itulah hakikatnya. Kerana hanya melalui akar yang sihat sahaja, akan menumbuhkan pokok yang sihat dan mengeluarkan hasil (buah) yang kita inginkan.
Lalu, bagi mendapatkan cinta yang luhur, kita perlu kembali kepada akarnya. Dimanakah akar cinta?
Hati.
Maka, di situlah kita perlu mencari, mengali, membaiki dan menjaganya dengan bersungguh-sungguh. Tepat sekali sabda baginda bahawa Hati adalah raja bagi seluruh diri kita. Andai rosak hati, maka rosaklah segala amalan. Tidak akan terasa lagi kemanisan dalam ketaatan. Tiada lagi erti sebuah keimanan..
"Dakwah adalah gerakan yang mati sekiranya ia berlangsung tanpa wujud perasaan cinta dalam hati.
Cinta akan masa hadapan ummat.
Cinta akan perubahan dalam masyarakat.
Cinta mahu bersama dalam usaha mengubah masyarakat menjadi lebih baik.
Cinta untuk bersedia tetap positif menghadapi kekurangan-kekurangan orang di sekitar kerana begitulah dakwah, ia menyediakan ruang untuk orang memperbaiki diri. Kalau semuanya sudah sempurna, maka apakah gunanya dakwah.
Menghidupkan perasaan cinta dalam kerja dakwah kita, ia tidaklah semudah menuturkannya.
Berapa orang yang berbicara tentang kesusahan di medan dakwah, tetapi rupanya pada dirinya sendiri tidak ada kesanggupan untuk bangun di awal pagi menunaikan solat Subuh di awal waktu.
Berapa orang yang berbicara tentang agenda dakwah, tetapi rupanya dengan hanya sekecil tohmahan dan fitnah orang terhadap dirinya sudah membuatkan dirinya mengeluh dan cepat berputus asa.
Berapa orang yang berbicara tentang keperluan melakukan dakwah, tetapi untuk dirinya senyum ikhlas sesama saudara seagamanya pun belum langsai untuk dia melakukannya."
(dipetik dari langitilahi.com)
Maka, tika hati sudah tiada cinta, kembalilah pada sang Pencipta...
Insyaallah, ALLAH sentiasa ada...
kerana DIA lah yang menciptakan CINTA...

No comments:
Post a Comment