"Alhamdulillah...sampai" getus hatiku saat menghulurkan kaki di simen tepi blok Cempaka. Perlahan-lahan, aku mengangkat tubuhku keluar dari Kereta MyVi Kuning yang telah "mengangkut"ku.
"Terima kasih, ji. Terima kasih Mak cik" ucapku pada sahabat dan ibunya yang telah menumpangkan aku dari kampung halamanku ke tempat ini.
Sahabatku mengundurkan keretanya dan bergerak semula ke destinasi seterusnya. Aku melangkah longlai menuju ke bilikku yang terletak di tingkat satu. Menapak tangga asrama sambil fikiran hanyut mengingati memori yang tercipta sepanjang kepulanganku ke kampung halaman.
Ah!Segalanya terasa singkat.
Kini, aku kembali untuk meniti hari sebelum cuti semester bermula dengan peperiksaan yang bakal menjelang pada minggu hadapan.
Hampa.
Aku pergi dalam keadaan hati yang rawan. Kembali tanpa apa-apa perubahan.
Aku memberi salam sambil membuka tombol pintu. Menjenguk ke dalam bilik. Tiada sesiapa. Pasti "roomate" ku keluar bersama suaminya.
Aku meletakkan barang-barangku di lantai.
Dalam perkiraanu ingin merebahkan badan ke katil, mataku menangkap satu gambar yang telah mencuri perhatianku. Gambar pada sebuah buku yang amat kunantikan... (adikku yang sedang menuntut di UNIMAP telah membelikanku sebagai hadiah namun hanya akan memberikannya semasa cuti kelak).
Dalam keadaan yang masih tertanya-tanya siapakah empunya buku tersebut, aku terus membuka lembaran yang pertama. Lembaran yang diselak semakin bertambah. Aku hanya berhenti membaca ketika azan berkumandang. Pembacaan itu diteruskan.
Sapu tangan di ribaku semakin basah. Entah mengapa, air mata terasa begitu mudah mengalir saat membaca bait perkataan di dalamnya.
Apabila aku memandang jam, aku menjadi kalut.
"Alamak! Dah pukul 5. Belum telefon bapa lagi"
"Telefon bapa kalau dah sampai"masih terngiang-ngiang di telingaku Pesanan ini setiap kali berjalan ke mana-mana sedari dahulu.
Namun, acap kali juga aku terlupa. Sehingga pernah, ayah menghubungiku berpuluh-puluh kali kerana aku terlupa mengecas telefon bimbit yang kehabisan bateri dalam perjalanan sesampainya di tempat destinasi. Aku faham, ayah sangat risau kerana aku seringkali mengembara bersendirian.
Risau ayahku akan kerisauan. Aku tidak berlengah. Setelah menghubunginya baru terasa lega.
Apabila sampai ke halaman terakhir, aku termenung..
Aku tidak pernah mengenali insan ini. Namun, pada ceritanya aku menemui apa yang telah hilang sekian lama.
Ketika insan lain memilih untuk menjadi yang biasa, dia telah mengubah kebiasaan untuk menukar yang biasa menjadi luar biasa.
Tanpa perlu menghebohkan pada seluruh dunia.
Walau dia telah tiada, roh dan semangatnya telah menyentak munkin ratusan malah ribuan anak muda.
Aku amat bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh abang iparnya,
Ammar tetap manusia. Jangan jadikan beliau sebagai sanjungan, tapi ambillah kisahnya sebagai pengajaran.
Pada kisahnya, terdapat bukti kekuasaan ALLAH yang boleh membuatkan sesuatu yang mustahil menjadi kenyataan.
Allahuakbar!
InsyaAllah...kita akan bertemu lagi.

No comments:
Post a Comment