Sambutan Hari Guru...
Sukan Olahraga..
Bina Insan Guru Fasa 6...
Lega. Hanya itu yang mampu kuucapkan saat ini. Walaupun banyak lagi yang menanti untuk diharungi dan diselesaikan, namun, apabila sudah melepasi 4 program yang agak "besar" kerana setiap satunya memerlukan tumpuan dengan bidang tugas yang berbeza terasa kelapangan mulai bertapak di hati.
Suatu hal yang amat aku syukuri, aku tidak bersendirian mengharunginya. Syukur kepada Allah Subahana Wa Taala yang mengirimkan sahabat-sahabat yang membantu. Adik-adik syukbah Tarbiyah (Dik Enang, Dik Zaina, Dik Ana, Dik Syikin), Dik Dayana, rakan sekelas yang tidak segan-segan membantu, akhawat dan ikhwah. Syukran Jazilan. Semoga tautan yang tersimpul akan terus utuh. Allahuma Amin.
Ternyata kesibukan ini merupakan nikmat dari-Nya kerana apabila aku semakin sibuk terasa aku mempunyai lebih banyak masa.
Teringat kata-kata seorang sahabat, syiqah, ketika menumpang tidur di rumah sewanya semasa mengikuti satu program pada semester lalu. Itu merupakan pertemuan pertama kali kami namun umpama sudah lama berkenalan...MasyaAllah, benarlah. Allah yang mempertautkan hati orang-orang yang beriman.
Bermula dari cerita sekitar kampus membawa kepada masalah seluruh dunia dan berakhir dengan diri sendiri. Seingatku, pada ketika itu segala keletihan perjalanan hilang sehinggakan kami tidak menyedari jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi.
"Syiqah, macamana nak urus masa dengan baik..?" aku bertanya kepadanya semasa sesi "taaruf" kami itu. Walaupun dia muda setahun dariku mengikut kiraan manusia, namun, aku melihatnya sebagai seorang yang lebih berpengalaman dalam gerak kerja dan pengalaman ("senior") kerana berada di tahun akhir. Tahun ini, dia akan menjalani praktikal yang terakhir sedangkan aku baru yang pertama. Langsung tidak pernah.
Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) yang telah dijalani sebanyak 4 fasa tidak menjamin apa-apa kerana medan praktikal yang sebenarnya adalah lebih mencabar. Bukannya kerana sukar tetapi dari segi "keteguhan" dan "kesediaan" kita untuk tetap istiqamah dalam mengekalkan gerak kerja seperti mana waktu "lapang" . Banyak bukti yang kulihat di hadapan mata, betapa "kesibukan" benar-benar menguji keimanan. Di saat itu, masa menjadi terlalu berharga sehingga ada yang tidak makan dan tidak tidur.
"Sebagai seorang ahli gerakan Islam, yang mewakafkan dirinya kepada Islam, kita kena SEDAR DIRI.." dia berhenti sejenak.
Aku terpaku. "Kenapa?" hanya itu yang terpacul.
"Yala, kita suda tau kita ni sibuk, janganlah mahu perasan macam orang lain. Masa orang lain tidur, janganlah pula ikut tidur. Berkorbanlah. Siapkan segala yang patut. Jangan bertangguh. Susun jadual dengan baik. Ingat baik-baik, hujung minggu bukan milik kita lagi, tapi milik agama" dia menyimpulkan.
Aku terdiam. Kata-katanya tersemat kukuh di ingatan dan mendasar jauh ke dalam sanubari. Walaupun perkenalan kami tidak lama, namun, banyak yang kupelajari darinya.
Disiplin. Tegas. Semangat.
Aku berharap akan ada lagi pertemuan kali kedua dengannya. Amin. Agak kesal kerana semasa ke Tawau tempoh hari tidak berkesempatan untuk bertemunya.
Mengurus masa?
Segalanya tidak mudah. Apatah lagi godaan masa kini yang tidak terkira banyaknya. Laman sosial yang semakin membanjiri dunia masa kini menyebabkan kita terleka. Andai tidak ada yang memperingatkan, kita boleh terlalai...
Segalanya tidak mudah. Apatah lagi godaan masa kini yang tidak terkira banyaknya. Laman sosial yang semakin membanjiri dunia masa kini menyebabkan kita terleka. Andai tidak ada yang memperingatkan, kita boleh terlalai...
Islam adalah agama yang menepati masa. Solat lima waktu. Puasa. Zakat...semuanya dikerjakan pada masa yang ditetapkan.

No comments:
Post a Comment