Thursday, May 24, 2012

Mengapa perlu jemaah?

"Dik, cuba patahkan lidi ni"arahku padanya.

Pak! Dengan kening yang bertaut, dia merenung memohon penjelasan. Seketika kemudian, terpacul di bibirnya pertanyaan, "kenapa, kak?"

Aku tersenyum. Pertanyaannya kubiarkan di awang-awangan. Kucapai pula segenggam lidi yang diikat dengan segelang getah lalu menghulurkannya.

"Cuba adik patahkan ini.."ujarku padanya. Walaupun masih dalam muka yang dipenuhi tanda tanya, dia menurut. 

Berulang kali dia mencuba, namun, hampa. Tenaganya tidak mencukupi untuk mematahkan "sekumpulan" lidi. Kulihat mukanya kemerah-merahan mencuba berhempas pulas untuk melaksanakan misi tersebut. Akhirnya, dia mengalah...
"Tak dapat, kak.." sambil menghulurkan semula padaku.

"Ingat cerita akak semalam?"aku memulakan mukaddimah penjelasan.

Sambil mengangguk, suaranya jelas pada pendengaranku,

"Oh, ni mesti berkaitan dengan sejarah kejatuhan kerajaan khilafah Othmaniyah ni kan, kak?" tanyanya.

Aku mengusap kepalanya.

"Hah, ingat pun..."
"Apa bentuk cabaran-cabaran yang kita hadapi sekarang?" aku masih mencungkil pemahamannya.

Sambil anak matanya dilarikan ke arah bawah kiri yang menunjukkan dia sedang menggunakan pemikiran auditori digital, dia menjawab, "Pertama, cabaran syaitan dan hawa nafsu. Kedua, cabaran pemikiran, ketiga,..."

"hurm, tahu kenapa Abdullah Nasih Ulwan meletakkan syaitan dan hawa nafsu sebagai cabaran yang pertama?" aku memotong bicaranya sambil memegang bahunya. 

 Adikku mengeleng-gelengkan kepalanya sambil mengangkat bahunya.

"Cuba fikir..." aku menggesanya.

Dia sekadar merenungku dengan pandangan kosong.

"K, masih ingat hadis nabi berkaitan sejurus kembali dari perang tu dulu?" aku cuba memberikan klu.

"Oh, yang berkaitan dengan peperangan dalam diri tu ya, kak?"dia bertanya semula.

"Alhamdulillah.." aku tersenyum.

"Ada lagi sebuah hadis berkaitan dengan sekumpulan kambing dan serigala tu, masih ingat?

"Iya, kambing yang bersendirian akan dimakan oleh serigala. Bagi manusia, serigala itu ialah syaitan, kan, kak?" dia cuba mendapatkan kepastian.

Senyumanku semakin lebar.

"Tapi, apa kaitan dengan lidi tu pula, kak?" jari telunjuknya dihalakan pada lidi-lidi yang terletak di atas meja setelah selesai "simulasi" sebentar tadi.

"Apa yang adik faham?' aku masih ingin mengujinya.

"kalau kita bersatu, kita akan kuat. Kalau kita satu orang, kita akan mudah "dipatahkan" oleh musuh" katanya.

"betul, begitulah juga hidup dalam beragama. Kekuatan agama kita terletak pada jemaahnya...Sebab itu, kita disuruh hidup berjemaah. Macam sekumpulan burung yang berhijrah merentasi benua, mereka dapat melepasi segala rintangan kerana saling sokong-menyokong antara satu sama lain..."

"Tapi, kak..banyak jemaah..mana nak ikut?" soalan yang tidak kuduga.

"Jangan ikut!" tegasku.

"Hah, tadi akak juga yang cakap hidup berjemaah...?" dia menyanggahku.

"Apa-apa yang kita lakukan biar ada ilmu... jangan ikut-ikut...tapi kita kena faham. Kita bukan nak jadi pengikut, tapi pendokong. Jemaah adalah kunci bagi membangunkan kembali runtuhan-runtuhan khilafah. namun, kesemua Jemaah perlu kepada satu matlamat yang sama, kembali pada Allah" aku cuba memperbetulkan pandangannya.

Dia mengeleng. "Maksud, akak?"

"Takpa, nanti malam kita sambung. Pergilah mandi, bersiap. Adik kan nak ke surau. Nak  maghrib dah ni" aku memutuskan bicara kami petang itu...

No comments: