Monday, August 8, 2011

Teruskanlah...

Dengan Nama Allah Yang Maha Melihat lagi Maha Mengetahui...jadikanlah setiap yang berlaku pada kita membawa kebaikan pada diri dengan mengambil ibrah dan hikmah dari setiap yang berlaku. Jangan pernah mempersoalkan mengapa Allah menguji kita, tapi ingatlah selalu bahawa kita ini adalah hamba-Nya yang memang layak pun diuji...

"Aku ingin berhenti. Berhenti menulis. Berh
enti ambil peduli mengenai orang lain. Berhenti berprasangka baik... Yang paling hebat, berhenti dari melaksanakan amanah ini..."

Pernah. Pernah hatiku terdetik perkara ini. Ingin berhenti...Tapi, apa yang aku temui adalah tipu daya yang mempesona. Tenggelam dalam kenikmatan yang sementara. Kerana ikutkan rasa, aku hampir binasa dan membinasakan. Kerana ikutkan hati, aku lemas di tempat yang tidak berair.

Peringatan demi peringatan. Bukan sekali, tapi berkali-kali. Bukan seorang, tapi ramai sekali. Bukan sepatah, tapi berpatah-patah kata yang jika dikumpul akan menjadi sebuah buku. Benarkah meninggalkan kelazatan itu lebih nikmat dari kelazatan meninggalkan kita? Entah. Apa yang pasti, aku merasa satu rasa yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Sudah namanya rasa, pastilah hanya hati yang mampu menjawabnya.


"Bukankah yang putih itu jelas. Bukankah yang hitam itu juga jelas. Tapi, dunia hari ini, bukan lagi "dunia-hitam-putih" seperti TV zaman 80an. Dunia hari ini, penuh dengan pelbagai jenis warna. Dan di antara hitam-putih itu terselit kelabu" Kata-kata seorang sahabat ini menerjah ke kotak ingatan. Tersenyum. Dalam kekelabuan itu aku keliru. Membiarkan akal mentafsir apa yang sebenarnya terjadi.

Sehinggalah aku menyedari.
Kesedaran yang membuat aku tersenyum dalam tangisan. Kesedaran yang membuat aku bersyukur dalam kekecewaan. Ya Allah...Betapa besarnya kasih-MU...

Percayalah kepada Rasulullah SAW apabila baginda berpesan,

“Barangsiapa yang takut kepada Allah, tentu ia tidak akan maju-mundur. Barangsiapa yang tidak maju-mundur tentu akan sampai ke tempat tujuan. Ketahuilah, bahawa barang dagangan Allah itu mahal, Ketahuilah, bahawa barang dagangan Allah itu ialah syurga”
(Hadith Riwayat: Tirmidzi dan Al-Hakim).


Sekali lagi, percayalah kepada Muhammad Utusan Allah ini apabila baginda bersabda,

“Iman itu bukanlah angan-angan dan juga bukan perhiasan: tetapi Iman itu adalah sesuatu yang menetap di dalam hati, dan dibenarkan dengan amal.”
(H.R. Ad Dailami)

Adakalanya diam itu menyakitkan buat mereka yang inginkan jawapan kepada sebuah persoalan. Namun, lebih baiklah diam jika apa yang bakal keluar dari mulut itu hanya akan menyakitkan hati orang lain.

No comments: